Tuesday, June 24, 2008
BPR TIDAK WAJAR JADI PAK TURUT BN
Tindakan BPR ingin menyiasat Presiden Parti SAPP Datuk Yong Teck Lee hanya mengundang kepada persepsi bahawa badan tersebut tidak bebas di dalam melakukan siasatan. Susah untuk rakyat menolak tindakan SPR itu adalah bermotifkan politik semata-mata.
Dalam dunia politik di mana persepsi adalah lebih penting dari realti rakyat berhak mempersoalkan kejujuran BPR ingin menyiasat Datuk Yong Teck Lee. Isunya amat mudah : adakah Datuk Yong akan disoal oleh BPR jika beliau tidak mendedahkan hasrat partinya untuk membawa undi tidak percaya kepada Abdulllah Badawi ?
Trend terbaru BPR ini –menyiasat mana-mana individu yang dilihat mengancam BN atau Perdana Menteri –tidak memberi imej yang baik ke atas badan tersebut . Ini kerana BPR bukan sahaja diharap bebas tetapi hendaklah dilihat bebas. Tanpa kebebasan, BPR tidak berguna di mata masyarakat.
Kita tentu tidak lupa bagaimana apabila timbul isu pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Trengganu yang dilihat menentang keputusan Abdullah Badawi yang mahukan Idris Jusuh sebagai Menteri Besar, Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu ( yang tidak dinamakan ) juga sedang disiasat BPR berhubung beberapa projek di Kijal.
Ramai pada ketika itu membuat ramalan Datuk Ahmad Said adalah ahli politik tersebut. Walau siapa pun individu tersebut tindakan BPR yang hanya menyiasat tokoh politik apabila sesuatu isu berkaitan ancaman kepada BN timbul mengundang pelbagai reaksi yang negatif terhadap badan tersebut. Ia hanya menguatkan persepsi BPR adalah pak turut BN.
Mungkin lebih baik jika BPR menyiasat Isa Samad yang baru lepas edah penggantungan oleh UMNO. Meskipun hukuman ke atas Isa Samad telah berakhir ianya tidak bermakna Isa adalah pemimpin yang bersih dari rasuah. Sebagai satu peringatan pada 25 hb Jun 2005 Abdullah telah menyatakan BPR boleh menyiasat kes rasuah politik membabitkan Mohd.Isa. ( lihat Utusan Malysia 26/6/2005 ).
Memandangkan Lembaga Disiplin UMNO mempunyai bukti-bukti yang kukuh bagi mendakwa Isa dengan tuduhan rasuah politik wang , tidak ada sebab untuk BPR menghadapi masalah untuk melakukan penyiasatan ke atas Isa.
BPR mempunyai kuasa yang luas di bawah Pencegahan Rasuah 1997 (Akta No. 575 ) iaitu di bawah seksyen 22 (1) Akta tersebut untuk memanggil kesemua ahli lembaga disiplin UMNO bagi mendapatkan maklumat berhubung kes Isa tersebut dan tidak timbul ahli-ahli lembaga disiplin tidak mahu memberi kerjasama kepada BPR bagi tujuan tersebut.
Abdullah sendiri ketika ditanya oleh wartawan sebelum ini mengapakah kes Isa mengambil masa begitu lama untuk disiasat, berkata, Lembaga Disiplin terpaksa mengambil kira dan menghalusi semua maklumat.
Beliau berkata ``Kes (Mohd.) Isa bukan diputuskan dalam masa sehari tetapi telah disiasat dan dihalusi sejak Oktober tahun lepas,'' ( lihat Utusan Malaysia 30/6/2005 ).
Kenyataan Abdullah itu membuktikan siasatan telah dilakukan terperinci dan sudah tentu dengan bukti yang kukuh dan kuat.
Tuesday, June 10, 2008
KES DUN SANGLANG –PERBICARAAN TENTANG KEJUJURAN
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Selepas pilihanraya umum 2004 , UMNO Kelantan telah memfailkan petisyen pilihanraya bagi kawasan Parlimen Pasir Putih. Di dalam pilihanraya tersebut calon UMNO yang sepatutnya diisytiharkan menang telah diisytiharkan kalah oleh SPR manakala calon PAS yang kalah iaitu Senator Kalthom telah diisytiharkan menang .
Memandangkan memang terdapat kesilapan yang “genuine” oleh pihak SPR maka semasa perbicaraan petisyen Pasir Putih tersebut calon PAS bersedia menyerahkan kerusi Parlimen Pasir Putih tersebut kepada calon UMNO yang sepatutnya diisytiharkan menang oleh SPR.
Meskipun keputusan untuk menyerahkan kerusi Pasir Putih tersebut adalah suatu yang agak berat untuk dibuat, namun demi menghormati pilihan rakyat Pasir Putih yang telah memilih calon UMNO sebagai wakil rakyat mereka maka ianya diserahkan kepada calon UMNO tersebut dengan hati terbuka.
Kini dalam Pilihanraya Umum 2008 sejarah yang sama berulang kembali. Bezanya kali ini SPR telah membuat kesilapan dengan megisytiharkan calon UMNO yang kalah iaitu Abdullah bin Hassan sebagai pemenang sekaligus menafikan kemenangan calon PAS iaitu Ustaz Hashim Jasin sebagai wakil rakyat DUN Sanglang, Perlis.
Jika dilihat kepada kesemua Borang 14 ( Borang Penyata Rasmi Undi ) yang dikeluarkan oleh semua Ketua Tempat Mengundi ( KTM ) di semua tempat mengundi di DUN Sanglang tersebut adalah jelas Ustaz Hashim telah mencapai kemenangan dengan majoriti 47 undi.
Semasa saya menerima keputusan yang berasaskan Borang 14 tersebut, keputusan pilihanraya DUN Sanglang masih belum diwartakan . Memandangkan keputusan belum diwartakan , saya dan beberapa peguam Pas yang lain berpandangan keputusan tersebut masih belum muktamad dan SPR masih boleh membetulkan keputusan tersebut dan seterusnya mewartakan keputusan yang sebenar iaitu Ustaz Hashim yang seharusnya dilapor pilih sebagai wakil rakyat DUN Sanglang.
Kami lantas memfaikan Saman Pemula bagi mendapatkan perisytiharan Mahkamah bahawa Ustaz Hashim diisytiharkan menang dan seharusnya dilapor pilih .Kami juga meminta Mahkamah memerintah SPR mewartakan keputusan pilihanraya tersebut dengan memasukkan nama Ustaz Hasim sebagai calon yang mendapat undi tertinggi. Malangnya jauh daripada membuat pengakuan terhadap kesilapan tersebut, kedua-dua pihak iaitu SPR dan calon UMNO tersebut membantah Saman Pemula tersebut di atas alasan kes tersebut seharusnya difailkan melalui petisyen pilihanraya.
Di atas penolakkan saman pemula itu, saya menasihati Ustaz Hashim untuk memfailkan petisyen pilihanraya. Maka ,Ustaz Hashim pun memfailkan petisyen pilihanraya. Saya amat berharap calon UMNO dan SPR tidak akan membantah petisyen pilihanraya tersebut. Jangkaan saya silap. Apabila kes ini mula dipanggil pada kali pertama pada 14/5/2008 tiada pengakuan kesilapan oleh calon UMNO.
Calon UMNO bukan sahaja tidak mahu mengakui malahan membuat permohonan untuk membatalkan petisyen Ustaz Hashim tersebut dengan pelbagai bantahan yang bersifat teknikal.
Kes ditetapkan untuk pendengaran pada 21/5/2008 namun masih tiada pengakuan oleh calon UMNO dan SPR.
Kes kemudian ditangguhkan kepada 28/5/2008 untuk pendengaran permohonan calon BN untuk membatalkan petisyen Ustaz Hashim tersebut. Sebelum hujah dimulakan saya masih bertanya peguam calon UMNO adakah anakguam beliau mahu mengaku. Jawapan beliau, tiada arahan daripada anakguam beliau untuk mengaku.
Mahkamah pun meneruskan pendengaran bantahan calon UMNO. Hati saya menggelegak marah dengan sikap calon UMNO yang masih tidak mahu mengakui kesilapan. Tapi saya hanya pendamkan kemarahan tersebut di dalam hati. Saya bertanya di dalam hati “Where is honesty ? Saya pun bersungut di dalam hati adakah calon UMNO tidak takut memakan elaun wakil rakyat yang bukan miliknya ?
Peguam beliau akhirnya berhujah dan mengambil masa lebih kurang empat jam untuk meminta Mahkamah membatalkan petisyen Ustaz Hashim. Saya membuat hujah balas dalam masa lebih kurang 1 jam sahaja.
Selepas penghujahan tamat dan sebelum Y.A. Hakim menangguhkan kes untuk keputusan Y.A Hakim telah bertanya peguamcara SPR tentang pendirian SPR di dalam kes ini. Ketika itulah buat kali pertama ( iaitu pada jam lebih kurang 4.00 petang 28/5/2008 ) peguam SPR mengakui secara terbuka terdapat kesilapan yang menyaksikan Ustaz Hashim diisytiharkan kalah dan calon UMNO diisytiharkan menang . Peguam UMNO agak terkejut. Saya terkejut tapi sedikit gembira, Lewat mengakui kesilapan adalah lebih baik daripada tidak mengakui langsung.
Kesemua peguam dipanggil ke kamar hakim selepas pengakuan SPR tersebut. Akhirnya peguam calon UMNO diberi tempoh sehingga 4/6/2008 untuk mendapatkan arahan anakguamnya sama ada beliau juga ingin mengakui sepertimana yang SPR lakukan.
Pada 4/6/2008 peguam calon UMNO memaklumkan saya anakguamnya bersetuju mengakui kesilapan tapi beliau diarahkan untuk memohon supaya pilihanraya diisytiharkan terbatal dan pilihanraya kecil diadakan.
Saya tidak bersetuju dan mencadangkan kepada beliau agar isu sama ada pilihanraya semula perlu diadakan ataupun Ustaz Hashim diisytiharkan menang dihujahkan untuk Y.A Hakim membuat keputusan.
Akhirnya setelah pengakuan dibuat oleh calon UMNO bahawa beliau juga mengakui terdapat kesilapan, Y.A Hakim member masa saya tempoh satu hari sahaja untuk saya berhujah sama ada pilihanraya semula perlu diadakan ataupun Ustaz Hashim diisytiharkan menang tanpa pilihanraya semula.
Pembaca mungkin bertanya kenapakah perlu pilihanraya semula ? Bukankah UMNO dah SPR telah mengakui kesilapan ? Jawapannya : isu ini berbangkit kerana Parlimen telah memansuhkan peruntukkan di dalam seksyen 35 ( c ) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang mana sebelum pemansuhan itu seksyen tersebut membenarkan hakim pilihanraya mengisytiharkan mana-mana calon sebagai pemenang. Pindaan ini dibuat selepas kes petisyen Bukit Bintang yang melibatkan Y.B Wee Chee Keong. Dengan pemansuhan itu secara zahirnya seolah-oleh Y.A Hakim tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang meskipun kesilapan diakui.
Dalam masa 24 jam maka kami ( Saya, Hj Arif Yusuff , Zulmi Sabri dan saudara Aqbal ) membuat penyelidikan.
Kami berhujah bahawa meskipun seksyen 35 ( c ) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 telah dimansuhkan, Mahkamah masih mempunyai kuasa sedia ada ( inherent power ) untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang kerana fakta kes ini menunjukkan secara jelas terdapat kesilapan yang bukan berpunca dari Ustaz Hashim atau calon UMNO tetapi pihak SPR. Memandangkan SPR dan calon UMNO telah mengakui terdapat kesilapan maka Mahkamah seharusnya mempunyai kuasa sedia ada ( inherent power ) untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang kerana itulah pilihan rakyat DUN Sanglang pada pilihanraya umum baru-baru ini. Dengan mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang, kami hujahkan, Mahkamah pada hakikatnya bukan melantik Ustaz Hashim sebaliknya mengesahkan dan menghormati keputusan atau pilihan rakyat DUN Sanglang yang mahukan Ustaz Hashim mewakili mereka dan bukannya Abdullah bin Hassan iaitu calon UMNO.
Hujah telah diberi. Keputusan akan diumumkan pada 18 Jun 2008 ini. Sama ada Ustaz Hashim diisytiharkan menang atau satu pilihanraya kecil akan diadakan, bagi saya , bukan persoalan yang utama bagi kes ini. Bagi saya perbicaraan Sanglang ini adalah "perbicaraan mengenai kejujuran" ( " the trial of honesty" ) !!!
Monday, May 26, 2008
BN TIDAK KONSISTEN DENGAN UNDANG-UNDANG ANTI LOMPAT
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Isu lompat parti kembali lagi dibincangkan selepas Barisan Nasional ( BN ) mengalami kekalahan yang teruk dalam pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim telah pun mengeluarkan kenyataan pada 22 Mac 2008 sepertimana yang dipetik daripada akhbar the Star ( 23/3/2008 )
“I will propose to the Cabinet for consideration. It is an issue of integrity and morality. I am sure Malaysians would not want their politicians to hop.” ( Saya akan mencadangkan Kabinet untuk pertimbangan . Ia adalah isu integeriti dan moraliti. Saya pasti rakyat Malaysia tidak mahu ahli politik mereka melompat.” )
Suruhanjaya Pilihanraya juga melalui Timbalan Pengerusinya juga mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda agar pebuatan melompat parti boleh dicegah.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak bersetuju perbuatan melompat parti dan bersetuju dengan cadangan Zaid kerana menurutnya PAS juga pernah mengalami masalah melompat parti dan beliau menambah perbuatan ahli politik melompat parti adalah menunjukkan ahli politik tersebut adalah seorang yang rendah moralnya dan tidak takut dengan dosa.
Jika dilihat kepada ketiga-tiga kenyataan individu-individu di atas adalah jelas kesemuanya bersetuju bahawa undang-undang anti lompat sesuatu yang perlu dengan alasan-alasan yang diberikan .
Sebenarnya undang-undang melarang perbuatan melompat parti telah pun wujud di tiga buah negeri di Negara ini iaitu di Sarawak, Sabah dan Kelantan. Perlembagaan Negeri Sarawak telah dipinda pada bulan November 1994 dengan menambah Klausa 7 kepada Artikel 17 Perlembagaan Negeri bagi membenarkan undang-undang anti lompat digubal.
Klausa 7 (a) berbunyi “Any person who has voluntarily given an undertaking to the Speaker in writing that he will not resign his membership from the political party for which he stood or to which he belonged when he is elected to the DUN, shall, if he resigns from the political party after being elected, be disqualified in the interest of public integrity and morality from continuing to be a member of the DUN with effect from the date he resigned from the political party.”
( Terjemahan harfiah : Mana-mana orang yang secara sukarela member akujanji kepada Speaker secara bertulis bahawa dia tidak akan meninggalkan keahliannya daripada parti politik yang beliau berdiri/bertanding atau yang dia ceburi apabila dia dilantik di DUN hendaklah, sekiranya dia meninggalkan parti politik selepas dipilih , hilang kelayakan demi kepentingan integriti politik dan moraliti daripada terus menerus menjadi ahli DUN dan berkuatkuasa daripada tarikh dia meninggalkan parti politik tersebut )
Manakalah Klausa 7 (b) pula berbunyi “For the avoidance of any doubt, it is hereby declared that this Clause shall not be taken as imposing restrictions on any person from becoming a member of any political party, permanently or otherwise.”
( Terjemahan : Bagi mengelak sebarang keraguan, adalah dengan ini diisytiharkan Klausa ini tidak boleh diambil sebagai mengenakan halangan mana-mana orang daripada menjadi ahli mana-mana parti politik , secara kekal atau sebaliknya.” )
Undang-undang di Sarawak ini digubal selepas mengambil pengajaran dari undang-undang yang sama yang dilulus oleh Kerajaan Kelantan awal dari itu yang bagaimanapun diisytiharkan batal oleh Mahkamah Agung . Sebab itulah di dalam undang-undang yang digubal di Sarawak ditanbah dengan kalimah " demi menjaga kepentingan integriti dan moraliti".
Perlembagaan Persekutuan membenarkan sesuatu undang-undang dibuat meskipun menghadkan kebebasan asasi individu jika ia dibuat demi menjaga moraliti awam. Rakyat Sarawak nampaknya selesa dengan pindaan itu dan tidak mencabar pindaan tersebut di Mahkamah.
Kecuali Tuan Guru Nik Aziz yang dilihat konsisten membantah dan mengutuk perbuatan melompat parti dan membuktikan kecaman tersebut dengan tindakan apabila pada tahun 1992 Kerajaan Kelantan pimpinan beliau meminda Perlembagaan Kelantan bagi melarang perbuatan melompat parti , Zaid ( dan UMNO ) serta SPR dilihat tidak konsisten.
Kenapakah Zaid dan SPR tidak langsung bersuara jauh sekali menyokong pindaan yang dibuat oleh Kelantan bagi melarang perbuatan melompat parti pada tahun 1992 . Zaid dan SPR bukan sahaja tidak bersuara malahan partinya sendiri merestui tindakan Nordin Salleh , ADUN BN di Kelantan pada masa itu mencabar pindaan undang-undang yang dibuat di Kelantan pada masa itu.
Akhirnya undang-undang yang dibuat di Kelantan itu, yang Zaid kini baru mengatakan ianya adalah isu integeriti dan moraliti, telah diisytiharkan terbatal dan tidak sah kerana bertentangan dengan kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perkara 10 ( 1 ) ( c ) Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya bukan sahaja undang-undang anti lompat di Kelantan dibatalkan malahan Kerajaan Kelantan terpaksa juga membayar kos Mahkamah yang agak tinggi.
Jelas tindakan Zaid dan SPR ( dibaca juga sebagai UMNO ) sekali lagi dilihat “consistenly inconsistent”.
Mereka hanya bersedia mengubah sesuatu perkara apabila kepentingan mereka terancam. Bagi saya ini gaya berpolitik orang yang tidak berprinsip. Apa sahaja yang datang dari Pembangkang seperti PAS tidak akan disokong meskipun ianya suatu yang baik . Apabila terdesak dan terhimpit mereka tidak segan silu meniru balik tindakan yang mereka kecam sebelum ini.
Mana-mana parti politik di Negara ini termasuk PAS tidak harus mengamalkan amalan berpolitik tanpa prinsip ini. Politik sebegitu sesuai dengan parti sebegitu.
Jika PAS telah mengambil pendirian bahawa perbuatan melompat parti di kalangan ADUN atau Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat adalah sesuatu amalan yang buruk dan ianya dimanifestasikan melalui tindakan meminda Perlembagaan Kerajaan Negeri Kelantan bagi menghalang tindakan melompat parti maka , suka atau tidak, PAS tidak dapat lari dari diperhatikan dan dihakimi oleh rakyat Negara ini jika ia mengambil pendirian yang berbeza.
Mungkin terlalu awal untuk meramal semua ini tetapi ingatlah pendirian yang konsisten adalah asas dalam dunia politik. Mengambil ringan perkara ini “is at our own peril.”
Thursday, May 15, 2008
Boycotting Utusan is not a good idea
By : Mohamed Hanipa Maidin
Harakahdaily today reports that Council of five Chief Ministers from Pakatan Rakyat has urged the rakyat to boycott Utusan. The report inter alia says
“Salah seorang ahli majlis, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berpendapat akhbar itu bersikap keterlaluan dan tidak profesional serta tidak adil, kerana terus memburuk-burukkan serta memutar-belit berita tentang pentadbiran negeri dan juga gabungan Pakatan Rakyat.
Khalid juga menegaskan akhbar terbabit membesar-besarkan isu untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pentabiran serta parti dan juga membakar api perkauman yang sempit.
Katanya, semua ahli majlis ini meminta semua jabatan dan institusi kerajaan di lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan berhenti membeli akhbar tersebut dan juga berhenti memberikan iklan kepada mereka.
Justeru, ahli majlis ingin menyeru supaya semua pembaca Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berhenti membeli akhbar tersebut serta-merta.
Personally and with the greatest respect, I don’t think boycotting utusan is really a good idea. Being an UMNO linked newspaper it is ridiculous to expect Utusan to carry a just report on these five states. To expect Utusan to compliment Pakatan Rakyat is akin to asking Harakah and Suara Keadilan to praise BN and its policy.
By asking the rakyat to boycott the newspaper, the Council has sent a wrong message that it is not tolerating any painful criticism thus undermining freedom of speech as well as freedom of press . Whether the criticism leveled against these five states are justified or not is immaterial and irrelevant. In democracy bad criticism even by a lousy newspaper must also be tolerated. We must understand in democracy one is not expected to sing the same song.
If Pakatan Rakyat governments are serious to nurture and enliven democracy in this country they must practice what they preach. They must never penalize any newspaper for publishing damaging remarks against them. All criticisms against them must be met with convincing reply. Boycotting , even if is needed, must only be resorted to as a final option.
Monday, May 12, 2008
KEPUTUSAN MAHKAMAH SYARIAH PULAU PINANG TIDAK SELARI DENGAN PANDANGAN FUQAHA’ ISLAM.
Saya percaya ramai orang Islam yang kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang 7 Mei yang lalu yang membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah, 39, untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad).
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mendengar kes itu dahulu, Othman Ibrahim, yang kini merupakan Ketua Hakim Syarie Perlis, memutuskan demikian setelah mendapati plaintif tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998. Sehubungan itu, Hakim Othman memerintahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) membatalkan sijil memeluk Islam wanita itu.
Untuk menukar status dalam kad pengenalan, Siti Fatimah diminta menguruskannya dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana itu di luar bidang kuasa mahkamah syariah.
Keputusan tersebut dilaksanakan menurut undang-undang yang mula terpakai sejak 1 Januari 2006 lanjutan kepada Seksyen 61(3)b(X) di bawah Enakmen Aturcara Mal 2004, Mahkamah Syariah Pulau Pinang.
Pada 10 Julai 2006, wanita itu memfailkan permohonannya terhadap MAIPP selaku defendan. Menurut pernyataan tuntutannya, beliau tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu sekadar untuk mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki warga negara Iran bernama Ferdoun Ashanian pada 16 September 2004. Siti Fatimah, yang pernah bekerja sebagai tukang masak, memfailkan permohonan itu selepas ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri tanpa sebarang sebab.
Dalam tuntutannya juga, beliau menyatakan bahawa sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya, Buddha dan memakan daging khinzir.
Keputusan Mahkamah Syariah ini amat menarik kerana secara jelas Hakim yang membuat keputusan tersebut mendekati kes tersebut dengan pendekatan yang amat berbeza dengan pandangan para fuqaha’ Islam yang mengklasifikasikan perbuatan murtad sebagai satu jenayah ( jarimah ).
Meskipun para fuqaha’ Islam berbeza pandangan sama ada murtad boleh dikategorikan sebagai jenayah hudud atau ta’zir namun mereka tetap berpandangan murtad adalah satu jenayah.
Memandangkan Hakim tersebut memutuskan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah keluar daripada agama Islam (murtad) keputusan tersebut boleh ditafsirkan bahawa wanita tersebut dan secara luasnya mana-mana orang Islam di Pulau Pinang mempunyai hak untuk keluar agama ( murtad ) dan Mahkamah Syariah atau Islam melindungi hak tersebut.
Keputusan tersebut membawa kesan yang amat besar dan mendalam . Ia boleh membuka ruang yang besar kepada orang Islam yang tidak begitu komited dengan agamanya untuk memohon kepada Mahkamah Syariah bagi menukar agamanya atas alasan ia tidak lagi berpegang atau beramal dengan ajaran Islam.
Dengan penuh hormat, saya berpandangan keputusan tersebut adalah tidak tepat dan silap. Kesilapannya bermula apabila Hakim tersebut tidak mendekati murtad sebagai satu jenayah sepertimana yang ditentukan oleh fuqaha’ Islam.
Apabila murtad dikategorikan sebagai satu jenayah tidak timbul seorang Islam itu mempunyai hak untuk membuat permohonan untuk murtad, Sebaliknya Negara yang bertanggungjawab membawa pesalah murtad ke Mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan murtad dan jika didapati bersalah simurtad tersebut boleh dihukum . Bagaimanapun simurtad tidak boleh dihukum tanpa terlebih dahulu diberi peluang untuk bertaubat.
Islam mempunyai sebab tersendiri menjadikan murtad sebagai satu kesalahan jenayah. Menjadikan murtad sebagai satu jenayah adalah selari dengan maqasid syariah yang meletakkan agama sebagai satu perkara asas yang amat perlu dilindungi.
Menjaga agama ( hifz al-deen ) bukan hanya melalui pensyariatan segala bentuk “ibadah ( solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain ) dan juga jihad tetapi juga melalui pensyariatan hukum ke atas orang yang murtad. Penjagaan agama ( al -deen ) diletakkan di tempat yang paling atas dari segi aulawiyatnya kemudiannya barulah diikuti oleh penjagaan nyawa ( al-nafs ), akal, keturunan ( nasab ) dan harta benda ( al-mal ). Al-Qarafi meletakkan penjagaan air muka ( muruah ) sebagai tambahan daripada lima perkara tersebut
Bagi menjaga nyawa Islam mensyariatkan hukum qisas dan diyyah. Bagi menjaga aqal ada hukuman ke atas peminum arak. Bagi menjaga keturunan Islam bukan sahaja menggalakkan perkahwinan tetapi juga mengenakan hukuman ke atas penzina dan bagi menjaga harta benda bukan sahaja zakat diwajibkan malahan pencuri juga boleh dihukum. Bagi menjaga air muka ada hukuman ke atas jenayah qazaf. Jadi mengapa pula murtad dibiarkan bebas dan tidak perlu dihukum ?
Untuk berlaku adil kepada Hakim tersebut, beliau mungkin tersepit kerana tiada peruntukkan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Pulau Pinang yang membolehkan murtad didakwa di Mahkamah Syariah di Pulau Pinang.
Enakmen yang sedia ada iaitu Enakmen Aturcara Mal 2004 pula membenarkan seorang yang ingin keluar agama membuat permohonan di Mahkamah. Jika kita mengambil hujah ini bermakna yang silap bukanlah Hakim tetapi pihak Kerajaan yang menggubal undang-undang tersebut.
Bagi saya hakim tersebut tidak terlepas dari tanggungjawabnya untuk memastikan sebarang keputusannya selari dengan hukum Islam. Saya berpandangan hakim tersebut sepatutnya menggunakan kuasa sedia ada ( inherent power ) untuk mengisytiharkan Enakmen Aturcara Mal 2004, Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang membenarkan seorang yang ingin keluar agama membuat permohonan di Mahkamah adalah satu undang-undang yang ultra vires ( bertentangan ) dengan undang-undang Islam yang sebenar.
Oleh itu, bagi saya, Hakim tersebut sepatutnya memutuskan bahawa berdasarkan hukum Islam beliau tidak ada bidangkuasa mendengar kes tersebut kerana undang-undang yang dirujuk oleh peguam wanita tersebut adalah ultra vires perundangan Islam yang sebenarnya. Malangnya peguam MAIPP mahupun peguam wanita tersebut tidak membantu Hakim dalam hal ini.
Seorang hakim Islam di Mahkamah Syariah berbeza dengan seorang hakim di Mahkamah sivil. Hakim Mahkamah sivil hanya memutuskan sesuatu perkara tanpa mengambil kira keputusan tersebut selari dengan Islam atau tidak. Sebaliknya hakim Mahkamah Syariah wajib memutuskan sesuatu perkara selaras dengan hukum Islam yang sebenarnya.
Suatu yang tidak begitu pasti mengapakah hakim tersebut tidak mengarahkan wanita tersebut bertaubat. Sepatutnya wanita tersebut sewajarnya diberi peluang dan masa yang mencukupi untuk dikaunseling dan disuruh bertaubat. Jika ini boleh dibuat mungkin ‘aqidah wanita tersebut dapat diselamatkan.
Saya berharap Mahkamah Rayuan yang akan mendengar rayuan pihak MAIPP dapat membuat koreksi terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tersebut.
Tuesday, April 22, 2008
MB DAN UMNO TERENGGANU LAYAK DIGELAR BADUT POLITIK
Pengumuman Menteri Besar Terengganu berkaitan dengan isu royalti petroleum di Terengganu adalah jenaka politik yang terbaru yang dimainkan oleh UMNO Terengganu.
Secara tiba-tiba UMNO Trengganu melalui Menteri Besarnya menyatakan :-
" the time had come for the annual 5% oil royalty, which was withdrawn in 1999 when PAS captured the state and restored later as the Federal Government Special Fund,
to be fully managed by the state government to carry out more development projects.We want to be frank. We expect the (royalty) money to be given to us,” ( lihat Star 21 April 2008 )
( Terjemahan : Masa dah tiba untuk bayaran royalti minyak sebanyak 5% yang ditarik baik apabila PAS menawan negeri tersebut dan dikembalikan semula sebagai wang pembiyaan ehsan untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan banyak lagi projek pembangunan. Kami ingin berterus-terang. Kami harapkan wang royalti diberikan kepada kami." )
Ha ha ! Secara tiba-tiba wang ehsan bertukar jadi royalti semula !! Bukankah dulu UMNO Trengganu sendiri merestui tindakan Dr Mahathir menghentikan pemberian royalti petroleum kepada Kerajaan Trengganu selepas Terengganu diambil alih oleh PAS. Di manakah suara Ahmad Said ketika itu ? Apabila mantan MB Trengganu Tan Sri Wan Mokhtar sendiri merestui tindakan Dr Mahathir merampas wang royalti Terengganu, meskipun beliau sendiri yang menandatangani perjanjian royalti dengan Petronas, tiada suara daripada UMNO Terengganu yang menemplak atau mengkritik tindakan Wan Mokhtar tersebut. Bagi UMNO Terengganu ketika itu pertukaran royalti ke wang ehsan adalah satu "loteri" yang membawa kegembiraan. UMNO Terengganu dapat menghidu projek yang banyak daripada pertukaran tersebut !! Motto UMNO Terengganu pada masa itu : persetankan hak rakyat, kantong kami lebih utama !!!
Rakyat tentu tidak lupa pengkhianatan UMNO yang bacol dan berpolitik sempit apabila enggan bersuara jauh sekali menentang tindakan Kerajaan Pusat ( yang juga dikuasai UMNO ) yang secara tiba-tiba merampas harta rakyat Terengganu. Jika tidak kerana pengkhianatan dan politik sempit sudah tentu pemimpin UMNO Terengganu , tanpa melihat siapa atau parti mana yang memerintah Terengganu , bangun berdiri menentang rampasan harta royalti petroleum berbilion ringgit yang menjadi hakmilik rakyat Terengganu.
Sebagai rekod , hak rakyat Terengganu kepada royalti adalah satu hak yang dijamin oleh undang-undang kerana terdapat satu perjanjian yang jelas dan sah ditandatangani oleh Petronas dan Kerajaan Terengganu seawal tahun 1975. Disebabkan terdapat perjanjian yang sah dan mengikat kedua-dua pihak ( Petronas dan Kerajaan Trengganu ) , Ketua Eksekutif Petronas sendiri iaitu seorang tokoh korporat yang amat profesional dan tahu serta faham apa itu perjanjian yang sah, telah menyatakan ( semasa isu rampasan royalti berlaku ) bahawa Petronas tetap akan membayar wang royalti Petroleum kepada Trengganu kerana seperti mana katanya :-
"For as long as oil is produced, royalty will be paid to the state and the royalty amount, accrued or due is RM810 million, which is 5% of the value of oil and gas produced"
( Terjemahan : Selagi mana minyak dikeluarkan, royalti akan dibayar kepada negeri (Terengganu ) dan jumlah royalti yang tertunggak adalah sebanyak RM 810 juta iaitu 5 peratus daripada nilai minyak dan gas yang dikeluarkan )
UMNO Terengganu sepatutnya merasa malu kerana hak royalti rakyat Terengganu dipertahankan oleh seorang tokoh korporat yang amat profesional yang telah berjaya meletakkan Petronas satu-satunya syarikat di Malaysia yang berjaya dan telah disenaraikan dalam 500 syarikat berjaya di dunia dalam "Fortune 500 company". Sehingga Mac 2000 ( apabila wang royalti dirampas ) Terengganu telah menerima sejumlah 7.13 billion ringgit wang royalti yang dibayar sejak tahun 1978 .
Ahmad Said kini mengeluh bahawa wang royalti disalurkan secara terus kepada Kementerian yang melaksanakan projek tanpa sebarang rundingan dengan Kerajaan Negeri yang mengakibatkan , katanya, banyak projek yang dilaksanakan tidak memberi kesan atau impak besar kepada rakyat kerana kehendak rakyat tidak diambil kira.
Jawapan saya kepada keluhan Ahmad Said itu : Wahai Ahmad Said , inilah wajah UMNO yang sebenar. Sejak bila UMNO mengambil tahu tentang keperluan rakyat ? Kalau UMNO ambil tahu penderitaan dan kehendak rakyat sudah tentu 5 negeri tidak jatuh kepada pakatan rakyat.
Jika Ahmad Said dan UMNO Trengganu sendiri tidak dapat mempertahankan hak rakyat Trengganu untuk terus menerima royalti meskipun di perintah oleh PAS pada tahun 1999, Ahmad Said dan UMNO Trengganu hilang kelayakan untuk berrcakap soal royalti dan hak rakyat Terengganu. Untuk Ahmad Said dan UMNO Terengganu jawablah saoalan-soalan ini :-
-Tidakkah Ahmad Said dan pemimpin UMNO sendiri selama ini bersetuju dengan pertukaran nama wang royalti kepada wang ehsan sekaligus mengenepikan perjanjian yang sah ?
-Tidakkah Ahmad Said dan UMNO Trengganu hanya berdiam diri semasa Rais Yatim menyatakan tidak ada perjanjian royalti , yang ada hanyalah MOU ( Memorandum of Understanding ) ?
-Di manakah UMNO Terengganu dan Ahmad Said apabila Kerajaan PAS Terengganu terkapai-kapai keseorangan mempertahankan royalti -hak rakyat Trengganu- di dalam dan luar Mahkamah ?
-Di manakah maruah dan harga diri Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila melihat rakyat di luar Terengganu yang sanggup disembur air dan diperlakukan secara kasar oleh polis demi menyokong dan mempertahankan royalti minyak yang menjadi milik rakyat Terengganu ?
-Di mana maruah Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila Kerajaan Pusat yang juga diterajui UMNO tidak langsung mengganggu jauh sekali merampas royalti minyak di Negeri Sabah dan Sarawak yang juga mempunyai perjanjian royalti yang sama dengan Petronas sepertimana perjanjian royalti Kerajaan Terengganu dan Petronas ?
-Di manakah suara Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila pada bulan Sept 5, 2000, Kementerian Kewangan mengumumkan wang royalti akan disalorkan secara terus kepada rakyat melalui projek pembangunan dan tidak lagi akan diberikan kepada Kerajaan Negeri Trengganu ?
-Di mana Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila Dr Mahathir mengambil tindakan secara unilateral tanpa merujuk kepada Petronas dan Peguam Negara menarik balik royalti dengan alasan pemberian royalti yang menjadi hak milik rakyat Terengganu adalah satu kesilapan ?
-Tidakkah Ahamd Said dan UMNO Trengganu sendiri terlibat secara langsung atau secara tidak langsung menggunakan wang royalti ( yang dianggap sebagai wang ehsan ) untuk mengumpan rakyat Terengganu bagi mendapatkan sokongan dan meraih undi rakyat Terengganu yang miskin dan terdesak ?
Selagi UMNO Trengganu dan Ahmad Said tidak dapat menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan di atas, kata-kata Ahmad Said dan UMNO Terengganu terhadap isu royalti tiada sebarang nilai. Bagi kami kamu hanya layak digelar Badut Politik ( Political Clown ).
Monday, April 07, 2008
ZAID JUGA PERLU MINTA MAAF
Di dalam kenyataaan akhbar selepas dilantik sebagai Menteri di Jabatan
Perdana Menteri,Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Kerajaan
seharusnya meminta maaf kepada Tun Salleh Abas di atas kesilapan memecat bekas
Ketua Hakim Negara 20 tahun yang lalu.
Zaid berkata " ia merupakan kesalahan besar yang meningggalkan
kesan sehingga hari ini. Tindakan tersebut juga memalukan negara apabila
dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia."
Beliau seterusnya berkata " Pada pendapat saya kesilapan besar
kita ialah Kerajaan memecat Tun Salleh Abas dan melantik hakim-hakim yang
tidak berkebolehan serta ada unsur rasuah." (Mingguan Malaysia
23/3/2008 m/s 3 )
Kenyataan Zaid wajar disokong kerana perbuatan meminta maaf di atas
kesilapan yang dilakukan adalah suatu tindakan yang mulia apatah lagi
kalau ianya datang dari ahli politik. Semua tahu ahli-ahli politik UMNO
paling sukar untuk meminta maaf meskipun mereka melakukan kesilapan yang
yang nyata dan jelas.
Meskipun meminta maaf kepada Tun Salleh Abas adalah satu tindakan yang
betul dan sepatutnya telah dilakukan lebih awal lagi namun ianya tidak
boleh berakhir di situ.
Dengan mengakui kesilapan di atas pemecatan Tun Salleh , Kerajaan BN
sewajarnya melakukan perkara-perkara berikut iaitu sama ada mengkaji
semula pemecatan tersebut dengan membicarakan semula kes Tun Salleh atau
mengembalikan semula segala faedah yang dinafikan ke atas Tun Salleh
seperti pencen dan sebarang emolumen yang beliau berhak menikmatinya
sekiranya pemecatan tersebut tidak berlaku.
Hanya jika Kerajaan bersedia melakukan salah satu dari dua perkara di
atas barulah pengakuan kesilapan dan minta maaf dari pihak Kerajaan
benar-benar bermakna. Jika tidak, ucapan minta maaf tersebut adalah satu
ucapan kosong yang tidak bermakna.
Selain daripada itu Zaid juga seharusnya " walk the talk" (
cakap serupa bikin ) . Kalau dia berani menyarankan Kerajaan BN untuk
memohon maaf kepada Tun Salleh, beliau sendiri juga seharusnya bersedia
berbuat demikian kepada Kerajaan Kelantan dan rakyatnya.
Bagi saya, Zaid juga telah melakukan kesilapan yang yang lebih besar
dan serius. Kita tentu masih ingat bagaimana Zaid dengan berani mencabar
di Mahkamah Persekutuan Enakmen Jenayah Syariah 11 yang memperuntukkan
undang-undang hudud,qisas dan taazir yang digubal oleh Kerajaan Islam
Kelantan.
Sebagai seorang Islam , kita tidak boleh mengengkari kewajipan
melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang diwajibkan oleh Allah di dalam
Al-Quran dan Al-Sunnah. Berdosa hukumnya kita menentang apatah lagi
mencabarnya di Mahkamah. Sebagai orang Islam dan peguam,Zahid sepatutnya
memikirkan bagaimanakah Enakmen tersebut dapat dilaksanakan . Apa yang
berlaku beliau berusaha keras supaya ianya digagalkan.
Zaid dengan secara berani sanggup mencabar undang-undang Islam tersebut
di Mahkamah dengan harapan undang-undang tersebut boleh diisytiharkan
tidak sah dan terbatal oleh Mahkamah.
Walau apa pun alasan dan niat Zahid berbuat demikian, tindakan beliau
sebagai seorang yang mengakui dirinya seorang Islam, adalah satu
tindakan yang amat tidak wajar. Kita tidak terkejut sekiranya Samy Vellu atau
Ong Kah Teng atau Lim Kit Siang yang mencabar undang-undang Syariah
namun apabila Zaid Ibrahim dari parti UMNO yang menentang ianya
menimbulkan seribu persoalan.
Tindakan Zaid mencabar Enakmen Jenayah Syariah 11 Kelantan menunjukkan
Zaid tidak menghormati kehendak dan pilihan rakyat Kelantan yang
merestui hukum Islam dilaksanakan kepada mereka apabila rakyat Kelantan
memberi mandat kepada PAS untuk memerintah Kelantan sejak tahun 1990. Hasrat
untuk melaksanakan undang-undang Islam tersebut dinyatakan di dalam
manifesto PAS Kelantan yang disokong dengan bulat oleh rakyat Kelantan.
Meskipun Zaid dilaporkan telah menarik balik kes tersebut di Mahkamah
namun tindakan tidak bertanggungjawab beliau tetap menghiris dan
menyakitkan hati nurani orang Islam khususnya umat Islam di Kelantan.
Tidak cukup dengan bertindak mencabar keesahan Enakmen tersebut,.Zaid
juga dengan niat yang jahat telah mengelirukan orang ramai di negara ini
apabila beliau bersama-sama Azalina Othman menuduh secara membabi buta
dan memfitnah bahawa undang-undang hudud yang Kerajaan PAS Kelantan
gubal menghalalkan liwat ke atas isteri .
Kenyataan beliau tersebut telah benar-benar mengelirukan orang ramai
khususnya mereka yang jahil tentang hukum hudud. Jelas ia dibuat untuk
menunjukkan kepada rakyat bahawa undang-undang Islam yang digubal oleh
PAS adalah zalim dan berat sebelah.
Saya sendiri telah menulis secara panjang menyangkal tuduhan jahat Zaid
Ibrahim tersebut. Apa yang sebenarnya berlaku liwat ke atas isteri
adalah salah tetapi tidak boleh dikenakan hukum hudud kerana ada unsur
syubhat. Enakmen tersebut sendiri memperuntukkan bahawa mana-mana
kesalahan yang boleh dihukum dengan hukum hudud akan hanya dikenakan hukum
taazir sekiranya syarat-syarat tidak mencukupi atau sekiranya terdapat
syubhat.
Yang lebih malang apabila saya mencabar Zaid memeriksa undang-undang
yang digubal oleh BN di Wilayah Persekutuan yang hanya menakrifkan liwat
hanya terhad kepada hubungan sesama lelaki sahaja sekaligus
menghalalkan liwat sesama perempuan termasuk isteri, beliau hanya berdiam diri dan
tidak dapat menjawab.
Zaid juga di dalam temuramahnya dengan majalah Off The Edge telah
memperlekehkan pengharaman makyong dan manora di Kelantan. Jelas banyak yang
Zaid lakukan untuk menentang perlaksanaan syariah di Kelantan.
Sehingga kini Zaid masih tidak memohon maf kepada orang Islam khususnya
umat Islam Kelantan di atas tindakan -tindakan beliau yang telah saya
nyatakan di atas.
Kalau Zaid ikhlas dalam kenyataannya meminta Kerajaan BN memohon maaf
beliau juga sewajarnya memohon maaf secara terbuka kepada Kerajaan
Kelantan dan umat Islam di Kelantan .
Di sini saya juga memohon agar pimpinan Pas Kerajaan Kelantan di bawah
pimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat agar tidak lupa dengan
tindakan Zaid yang telah saya sebut di atas. Dengan rendah diri saya memohon
jagalah hati dan perasaan umat Islam yang terhiris dengan segala
serangan yang Zaid lakukan ke atas perlaksanaan Islam di Kelantan. Biar apa
pun niat Tuan Guru berjumpa ,duduk semeja dan bertukar senyum dengan Zaid
, kami sangat mengharapkan hati dan perasaan umat Islam yang lain juga
jangan dilupakan. Itulah permintaan kecil kami kepada Tok Guru yang
kami hormati dan cintai.
Jangan sempitkan definisi menyerang Islam
oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Sunday, January 06, 2008
BN BIJAK MENIPU DAN BAZIRKAN WANG RAKYAT
Kejayaan besar Kerajaan Barisan Nasional ( BN ) adalah bijaknya mereka membazir serta menghabiskan duit rakyat. Kejayaan besar ini dapat dicapai kerana pemimpin BN mempunyai masalah memahami apa yang dimaksudkan dengan duit negara . Bagi mereka duit negara adalah seperti duit bapa mereka sendiri. Oleh itu, mereka tidak langsung dihantui rasa bersalah jika duit rakyat tidak dibelanjakan dengan betul dan teliti.
Saya akan mengemukakan beberapa contoh kes yang secarajelas menunjukkan betapa mudahnya wang rakyat dibazirkan oleh BN.
Bagi menipu rakyat bahawa kononnya kerajaan Abdullah Badawi peka terhadap masalah salahlaku, salah guna kuasa , penyelewengan dan rasuah dalam institusi polis, Abdullah menubuhkan Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan PengurusanPolis Diraja Malaysia yang ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara ,Tan Sri Mohamed Dzaidin dan 15 anggota yang lain. Ia telah telah ditubuhkan pada 4 Februari 2004.
Suruhanjaya tersebut telah mengemukakan 125 cadangan kepada Kerajaan untuk membaiki imej polis . Salah satu cadangan utamaSuruhanjaya tersebut adalah untuk Kerajaan mewujudkanIPCMC ( Independent Police Complaints and Misconduct Commission ) , yang dicadangkan tarikh akhir penubuhannya adalah pada 31 hb Mei 2007.
Umum mengetahui betapa banyak duit yang telah dibelanjakan oleh Suruhanjaya tersebut bagi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Sebagai rakyat kita boleh menerima jika jutaan ringgit yang dibelanjakan oleh Suruhanjaya tersebut boleh memberi manfaat kepada rakyat iaitu pembaikan institusi polis dalam ngara ini. Malangnya ianya tidak berlaku begitu. Kerajaan bukan sahaja masih gagal melaksanakan banyakdaripada saranan Suruhanjaya tersebut malah sanggup mengubah 360 darjah saranan Suruhanjaya tersebut khususnya dalam isu penubuhan IPCMC. IPCMC yang dicadangkan oleh Suruhanjaya , Special Complaints Commission (SCC) pula yang hendak dibuat oleh Kerajaan BN.
Tan Sri Dzaidin, Pengerusi Suruhanjaya Diraja yangbegitu marah dan kecewa dengan tindakan Kerajaan tersebut menyatakan " the proposed Special Complaints Commission (SCC)now being formed by an act of parliament, was"something entirely different from what were commended. The government, in its wisdom, did not accept the core recommendation of an independent oversight body." ( cadangan SCC yang digubal melaluiAkta Parlimen adalah "sesuatu yang berbeza sama sekali daripada yang kami cadangkan. Kerajaan tidak menerima cadangan utama bagi mewujudkan IPCMC ) .
Tan Sri Dzaidin juga berkata IPCMC dan bukannya SCC diharap untuk menerima dan menyiasat aduan salah lakupolis dan menghalang, membanteras dan menyiasat rasuah serta salah laku polis bagi meningkat keyakinan rakyat ke atas pihak polis. Salah laku didefinisikan termasukrasuah polis, penglibatan polis dalam perbuatan jenayah dan kegagalan mematuhi peraturan dan prosedur undang-undang. Nampaknya , kata Dzaidin. rasuah tidak langsung disebut dalam Akta SCC.
Jelas senario terbaru ini menunjukkan Abdullah dan sekutunya dalam BN telah berbohong kepada rakyat dan sanggup bazirkan wang rakyat begitu sahaja.
Seperti yang saya katakan BN amat cekap dan bijak bazirkan wang rakyat. Kita tentu masih ingat bagaimana dalam isu insinerator di Broga , Semenyih misalnya , Kerajaan BN, di atas kebodohan dan kepekakkan telinga mereka tidak mendengar keluhan rakyat terpaksa membazirkan berbilion ringgit bagi membatalkan projek tersebut.
Insinerator yang seberat 1,500-ton dan menggunakanteknologi " fluidized bed gasification " yang dikatakan terbesar di Asia ditaksirkan menelan belanja 5 billion ringgit ( lebih kurang US$395 juta) untuk dibina dan RM 200 juta ringgit ( US$53 juta) bagi kos operasinya setiap tahun.
MeskipunKerajaan tahu dan sedar projek tersebut adalah tidak "viable" dan boleh mengancam kesihatan rakyat ianya masih ingin diteruskan. Akhirnya Najib Tun Razak mendedahkan kebodohan BN dengan menyatakan keputusan membatlkan projek tersebut kerana kos membinanya iaitu katanya lebih kurang 435 juta dolar dan bukannya kerana protes berkaitan dengan impak alam sekitar dan kesihatan. Najib berkata pembinaan insinerator tersebut bukan sahaja melibatkan perbelanjaan modal ( capital expenditure ) sebanyak 1.5 billion ringgit tetapi juga kos penjagaan ( maintenance costs ) yang amat tinggi.
Persoalannya kalau dah tahu kos yang tinggi kenapa hendak dibina juga ? Walau apa pun alasan Najib, pokoknya duit rakyat telah dibazirkan di atas perbelanjaan kerja-kerja yang telah dijalankan dan juga bagi pembayaran pampasan atau gantirugi berbilion ringgit yang kena dibayar oleh Kerajaan kepada syarikat yang dikurniakan kontrak untuk membina insinerator tersebut iaitu Konsortium yang terdiri daripada Syarikat Jepun, Ebara Corporation and rakan kongsinya yang terdiri daripada syarikat tempatan iaitu Hartasuma Sdn Bhd.
Selain projek insinerator Broga , BN juga sekali lagi berjayamembazirkan wang rakyat dalam isu pembinaan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhun Klang ( Port Klang Free Trade Zone (PKFTZ ).
Projek yang diselubungi oleh pelbagai kontroversi tersebut menyaksikan pertambahan kos yang meningkat sebanyak RM 3.5 billion daripada kos asal . Bukan sahaja Kerajaan gagal menyiasat kegagalan projek tersebut ia malahan bersetuju pula untuk memberikan pinjaman ( soft loan ) sebanyak RM 4.681 bilion kepada Port Klang Authority ( PKA ).
Anwar Ibrahim dalam kenyataan rasminya menyatakan " episod iniadalah satu daripada banyak contoh daripada Kerajaaan yang mendedahkan konflik kepentingan, rasuah dan salah pengurusan yang melibatkan ahli politik , ahli perniagaan dan penjawat awam."
PKA telah membeli 1000 ekar Pulai Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Berhad pada harga RM 25 satu kaki persegi dengan nilai RM 1.8 billion ( termasuk faedah ). KualaDimensi telah mengaut keuntungan sebanyak RM 993 juta kerana syarikat tersebut hanya membeli tanah yang berkaitan daripada Pulau Lumut Development Cooperative Berhad pada nilai RM 95 juta sahaja ( iaitu pada harga RM 3 satu kaki persegi ).
Menurut Anwar lagi, urusniaga yang menguntungkan ini melibatkan ahli politik UMNO dan MCA termasuklah Pengerusi Tetap UMNO pada masa ini iaitu Tan Sri DatoSeri Haji Onn Ismail , Bendahari UMNO, Dato Seri Azim bin Mohamed Zabidi , Dato Chor Chee Heung, MCA yang juga Pengerusi KPA dan mantan Timbalan Menteri DalamNegeri, Dato Seri Tiong King Sing dan tidak ketinggalan Ahli Parlimen Bintulu .
Apa yang lebih mengejutkan lagi dalam keadaan rakyat menderita dengan kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang semakin meningkat Kerajaan BN masih sibuk memikirkan bagaimana ingin terus menerus menghabiskan duit rakyat dengan bermegah untuk membina kompleks sukan di Kota London.
Isu ini menjadi bahan kritikan apabila terbocornya maklumat bahawa Kerajaan BN perlu membayar kos sebanyak RM490 juta untuk mengubah TARRC ( Tun AbdulRazak Research Centre ) kepada HPTC ( High PerformanceTraining Centre ).
Dilaporkan kemudiannya bahawa RM490juta tersebut adalah kos bagi membina kompleks sukan . Apa yang lebih memeranjatkan adalah apa yang ada di minda Jawatankuasa Kabinet Kementerian berkenaan untuk membina HPTC hanyalah sekadar RM70 million.
Bagaimanakah ia boleh meningkat kepada 490 juta ? Baru-baru ini dilaporkan permohonan Malaysia untuk mengubah sebahagian TARRC di Brickendonbury, London kepada HPTC telah ditolak oleh Jawatankuasa Majlis Kawalan Pembangunan Timur di London.
Sebenarnya tiada apa yang hendak dipelikkan. Di dalam laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Belia dan Sukanantara lain menunjukkan bagaimana pembelian 13 item untuk InstitutKemahiran Belia Kabangsaan ( NationalYouth Skills Institute ) meningkat sehinggai RM8.39 juta- satu nilai yang jauh daripada harga pasaran.
Dilaporkan dua " crane towers" yang dibeli dengan harga RM5.72 juta apabila kos sebenar hanyalah RM2.98juta sahaja.
Kementerian Belia dan Sukan juga telah membeli 17 setbuku teknikal pada harga RM181,900 atau RM10,700 bagi setiap set sedangkan harga sebenar hanyalah RM417 bagi setiap set .
Syabas BN , kamu memang hebat menipu rakyat yang malangnya suka pula terus ditipu oleh kamu !!
BERHIMPUN DI STADIUM- NAJIB JAHIL UNDANG-UNDANG
Akhbar Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Najib TunRazak seperti berikut :- “ Menurut beliau ( Najib ), kerajaan bukannya terlalu mengekang rakyat negara ini untuk berhimpun tetapi ia mestilah mengikut peraturan dan yang paling penting tidak mengganggu ketenteraman orang ramai.‘‘Jangan fikir kerajaan tidak bagi langsung orang naktunjuk perasaan, kalau nak buat di markas sendiri atau stadium... kita bagi, bersyarah dan bercakaplah sampai pagi. ( lihat Utusan Malaysia 30/12/2007 ).
Sekali pandang kenyataan Najib menunjukkan seolah-olah kerajaan Barisan Nasional ( BN ) adalah kerajaan yang tidak menekan rakyat untuk berhimpun di negara ini.Cumanya perhimpunan tersebut hendaklah diadakan di markaz sendiri atau di stadium. Mungkin inilah reaksi sebahagian besar rakyat Malaysia apabila membaca kenyataan Najib tersebut.
Rakyat sepatutnya bertanya soalan berikut : Adakah kenyataan Najib tersebut benar di sisi undang-undang ? Hakikatnya kenyataan Najib tersebut menunjukkan secara jelas bahawa Kerajaan BN tolol undang-undang. Ya,kenyataan tolol undang-undang adalah kenyataan yang keras dan kasar. Tetapi itu sahaja perkataan yang paling sesuai bagi kerajaan yang dari semasa ke semasa menunjukkan kejahilannya terhadap undang-undang mengenai perhimpunan aman di negara ini.
Hak rakyat untuk berhimpun bukan ditentukan oleh kerajaan BN atau kenyataan pemimpin BN seperti kenyataan Najib di atas. Sebaliknya hak rakyatberhimpun di mana-mana tempat di negara ini ditentukanoleh undang-undang tertinggi negara ini iaituPerlembagaan Persekutuan. Perkara 10 ( 1 ) Perlembagan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman di mana-mana tempat di negara ini dan ianya tidak dihadkan di stadium atau markaz sahaja. Ya, benar Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa Parlimen boleh membuat peraturan untuk mengawal selia hak berhimpun tersebut .Pengawalselian tersebut dicerminkan melalui mekanismepermit yang diperuntukkan di bawah seksyen 27 AktaPolis 1967.
Akta Polis 1967 membenarkan rakyat negara ini berhimpun dalam dua keadaan.Pertamanya rakyat dibenarkan berhimpun di mana-mana tempat awam di negara ini dan untuk melaksanakan hak tersebut mereka perlu memohon permit daripada Ketua Polis Daerah ( KPD ) berdasarkan seksyen 27 Akta Polis.
Jika dilihat kepada perkataan-perkataan di dalamseksyen 27 ( 2 ) Akta Polis ia sebenarnya lebihmenuntut KPD memberikan permit kepada mana-mana rakyatyang ingin berhimpun secara aman di mana-mana tempat awam di dalam negara ini. Penafian hak berhimpun di tempat awam melalui penafian hak untuk mendapatkan permit adalah tindakan yang bercanggah dengan Perkara10 Perlembagaan Persekutuan dan tindakan tersebut adalah “unconstitutional”.
Keduanya, rakyat juga dibenarkan untuk mengadakan aktiviti termasuk berhimpun di tempat yang bukan dikira tempat awam iaitu di premis persendirian. Bagi melaksanakan hak tersebut rakyat tidak perlu memohon apa-apa permit daripada pihak polis. Hak tersebutdiperuntukkan di dalam seksyen 27A Akta Polis.
Inilah kedudukan undang-undang berkaitan dengan hak rakyat untuk berhimpun di negara ini. Jelas hak rakyat untuk berhimpun di negara ini tidak ditentukan oleh mana-mana kenyataan pemimpin UMNO apatah lagi pemimpin yang jahil seperti Najib. Undang-undang juga tidak menghadkan hak berhimpun tersebut hanya terhad kepada stadium dan markaz seperti yang dikatakan oleh Najib.
Kenyataan Najib juga menunjukkan bahawa Najib kini telah dilantik oleh Abdullah Badawi mengambil alih jawatan Ketua Polis Daerah bagi menggantikan semua KPD yang sedia ada di dalam negara ini yang dipertanggungjawab oleh undang-undang untuk memproses mana-mana permohonan rakyat untuk berhimpun di tempat awam. Seterusnya kenyataan Najib bahawa rakyat boleh 0berhimpun di markaz dan stadium sahaja menunjukkan bahawa Najib telah bertindak memadam undang-undang yang sedia ada iaitu undang-undang yang membenarkan rakyat berhimpun di mana-mana tempat tanpa dikhususkankepada stadium dan markaz. Sebagai ganti terhadap undang-undang yang dipadam tersebut Najib mewujudkan pula undang-undang yang baru tanpa beliau dan parti beliau perlu pergi ke Parlimen terlebih dahulu.
Kenyataan Najib ini samalah seperti kenyataan pemimpin yang dizahirkan melalui watak Tok Lebai berjanggut didalam filem ‘Musang Berjanggut.” Pak Lebai berjanggutyang masuk ke rumah isteri orang tanpa izin suami perempuan tersebut telah ditanya dengan soalan berikut: “Tidakkah undang-undang negara tersebut melarang mana-mana orang masuk ke rumah isteri orang lain tanpa izin suami perempuan tersebut ?”
Lihatlah apa jawapanTok Lebai berjanggut tersebut . “ Undang-undang negara ini kami ( pemimpin ) yang buat bila-bila sahaja kami boleh padam dan ganti undang-undang baru.”
Najib adalah jelmaan musang berjanggut yang baru.
Akhirnya, jika benar pun Najib berjanji rakyat boleh berhimpun di stadium dan markaz adakah rakyat boleh percaya kepada janji pemimpin BN yang korup dan suka berbohong tersebut. Sebelum ini rakyat pun pernahdidodoi dengan janji yang sama tetapi apa yang rakyat terima. Janji untuk membenarkan berhimpun di stadium bukan sahaja tidak dikotakan malahan hak rakyat untuk berhimpun di markaz dan rumah persendirian menyaksikan ramai pemimpin, ahli , penyokong PAS disembur dengan air gas dan dipukul dengan belantan polis dan ramai juga yang terpaksa di hadapkan di Mahkamah seperti Naib Presiden PAS, Tuan Haji Mohd Sabu.
Mohd Sabu dan enam orang yang lain terpaksa menanggung kesengsaraan selama enam tahun menghadapi tuduhan berhimpun secara haram di Mahkamah Majistret Jelebu di atas alasan kononnya perhimpunan tersebut tiada permit. Apa yang berlaku adalah perhimpunan di Jelebu tersebut diadakan di dalam premis persendirian dan ianya tidak memerlukan permit dan hal tersebut disahkan oleh Yang Arif Hakim Dato Sulaiman Daud ,Hakim Mahkamah Tinggi Seremban. Apa yang lebih malang, Mohd Sabu dan enam yang lain didakwa kerana berhimpun di premis persendirian ketika mana Abdullah Badawi sendiri sebelum daripada itu telah berjanji di Parlimen bahawa mana-mana perhimpunan di premis persendirian tidak akan diganggu.
Kesimpulannya janji Najib adalah satu lagi projekKerajaan BN : Menipu rakyat dulu, kini dan tidak tahu sampai bila !!!
Tuesday, December 18, 2007
Penghakiman petisyen pilihan raya layakkan Rashid letak jawatan
Kebencian rakyat khususnya masyarakat sivil terhadap Tan Sri Rashid, Pengerusi SPR kini berada di tahap maksimum. Semakin hari semakin jelak rakyat melihat sikap 'double standard' dan muka selamba beliau tatkala menerima kecaman umum.
Kenyataan terbaru Rashid sepertimana yang dilaporkan di media massa hanya menguatkan lagi bukti betapa beliau tidak lagi peduli soal integriti dan kredibiliti. Beliau dilaporkan berkata:
"... We have done well in all the general elections. Even my foreign counterparts praised me because here we get faster results and the elections are smooth." (NST, 20 Nov m/s 4)
Seterusnya beliau menyatakan kesediaan untuk bersara "if they could show proof of irregularities like vote-rigging."
Rashid juga mencabar parti politik untuk pergi ke Mahkamah jika mereka tidak berpuashati cara pilihan raya dikendalikan.
Saya tidak tahu kenapakah Rashid harus terus mengulangi cabaran supaya kes pilihan raya dibawa ke Mahkamah sedangkan dalam banyak pertemuan PAS dengan beliau (yang saya sendiri hadiri lebih kurang empat kali) dan dalam tulisan saya sebelum ini di akhbar Harakah dan Harakahdaily, saya telah menyatakan beberapa kali bahawa parti pembangkang sudah banyak kali menyaman SPR di Mahkamah sama ada melalui petisyen pilihan raya atau melalui writ saman.
Di dalam Pilihan Raya Umum 2004 yang lalu sahaja PAS (tidak termasuk Partai Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP) telah memfailkan 25 petisyen pilihan raya di seluruh negara dan di dalam kesemua petisyen tersebut SPR telah dijadikan pihak iaitu sebagi Responden. PKR juga telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ke atas SPR.
Mungkin Rashid yang buta undang-undang itu keliru memandangkan petisyen yang difailkan ditolak oleh Mahkamah, maka bagi beliau, SPR adalah di pihak yang benar dan pilihan raya yang diadakan adalah mengikut undang-undang.
Kekeliruan Rashid tersebut sebenarnya boleh dielakkan jika beliau mengambil masa sedikit membaca (dan tidak hanya sibuk bercakap) beberapa penghakiman yang ditulis oleh beberapa orang Hakim yang mendengar petisyen pilihan raya berhubung pengendalian pilihan raya oleh SPR.
Jika beliau membaca penghakiman tersebut adalah jelas terdapat "judicial recognitions" tentang perlanggaran undang-undang pilihan raya oleh SPR.
Di dalam kes petisyen yang difailkan oleh ahli PAS bagi Dun Pengkalan Pasir, Kelantan pempetisyen telah mendakwa bahawa SPR telah melanggar undang-undang pilihan raya antaranya perlanggaran seksyen 19(7) Peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981.
Yang Arif Hakim Dato' Hassan Lah yang mendengar kes tersebut bersetuju bahawa terdapat perlanggaran undang-undang pilihan raya di dalam pilihan raya kecil tersebut.
Beliau menyatakan di dalam penghakimannya:
"Pihak Responden Kedua (pegawai pengurus pilihan raya) dan Ketiga (SPR) tidak memanggil sebarang saksi untuk menafikan keterangan saksi-saksi pempetisyen berkaitan perkara ini. Dengan itu saya menerima keterangan SP 12, SP 13 dan SP 15 bahawa mereka telah tidak dibenarkan untuk mengundi bagi pihak ibu atau bapa mereka pada hari tersebut oleh petugas-petugas SPR di saluran-saluran tersebut."
Di dalam kes yang sama, Hakim Dato' Hassan Lah juga berpuashati bahawa terdapat orang lain yang telah mengundi (melalui penyamaran) dengan menggunakan nama pengundi yang sebenar yang terdapat di dalam daftar pemilih.
Hakim Dato Hassan Lah menyatakan:
"Berdasarkan keterangan-keterangan yang ada, saya telah berpuashati bahawa ada orang lain yang telah mengundi dengan menggunakan nama Yusuf bin Harun dan Zainab binti Mat Jusuh dan kedua-dua mereka telah tidak mengundi pada hari tersebut."
Sekiranya Rashid masih belum puas hati dengan bukti di atas, saya kemukakan di sini keputusan Yang Arif Hakim Dato Muhammad Kamil Awang di dalam kes Harris Mohd Salleh v The Returning Officer, Ismail Majin & Ors (2001) 3 CLJ 161 iaitu kes yang melibatkan petisyen pilihan raya di N 13 iaitu Dun Likas.
Antara isu utama dalam pilihan raya tersebut adalah isu daftar pemilih 1998 yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah.
Daftar pemilih untuk Dun Likas disahkan oleh SPR pada Disember 1998. Sebelum tarikh itu terdapat 4,585 bantahan yang dibangkitkan bagi Senarai A dan 246 bantahan bagi Senarai B. Senarai A mengandungi nama pengundi di mana semakan daftar pemilih hanya boleh dilakukan jika melibatkan pengundi yang mati dan pengundi yang hilang kelayakan. Senarai B pula mengandungi nama mereka yang memohon untuk bertukar kawasan.
Semasa perbicaraan, pihak pempetisyen telah berjaya mengemukakan bukti 4,197 orang yang mempunyai kad pengenalan yang diragui. Pempetisyen juga telah menerima dari orang ramai 36 kes kad pengenalan yang diragui di mana nama mereka ada di dalam daftar pemilih bagi Dun Likas dan pempetisyen telah membuat laporan polis (No Report 1438/1999) tetapi tiada penyiasatan dibuat oleh polis.
Meskipun SPR melalui pegawai pendaftarnya mengakui bahawa dia menerima sebanyak 4,585 bantahan terhadap Senarai A dan 246 bantahan ke atas Senarai B, namun tiada sebarang inkuiri diadakan sedangkan bantahan tersebut sepatutnya wajar didengar oleh SPR kerana ia melibatkan kelayakan seorang pengundi untuk mengundi.
Melalui surat SPR yang dikeluarkan oleh ibu pejabat SPR bertarikh 7 dan 8 Oktober 1998 (eksibit P21 dan P22) SPR secara jelas enggan membenarkan bantahan yang bermerit tersebut didengar oleh SPR Sabah.
Meskipun pempetisyen telah membuat rayuan kepada SPR Pusat, tiada sebarang jawapan ke atas rayuan tersebut.
Yang Arif Hakim Dato Muhammad Kamil Awang secara jelas menyelar tindakan SPR tersebut di dalam penghakimannya apabila beliau menyatakan :-
"The SPR has to face the truth. The 4,585 objections in List A were cases of persons having dubious identity cards or persons who had been convicted of having fake identity cards. The people who raised the objections were exercising their rights as citizens, and it is unthinkable that the SPR should shutt-off the objections in List A without public inquiry.
It is a constitutional wrong for SPR to habe rejected the objections outright. More importantly, it is wrong for SPR to allow non-citizens and disqualified persons to be on the electoral roll as voters. It appears that the certification of the electoral roll for the 1998 Likas Constituency by SPR ultra vires the Constitution and is in fact illegal." (m.s 175)
( Terjemahan: SPR harus berhadapan dengan kebenaran. 4,585 bantahan pada Senarai A adalah kes yang melibatkan orang-orang yang memiliki kad pengenalan yang diragui, atau orang-orang yang telah disabitkan di Mahkamah mempunyai kad pengenalan palsu. Mereka yang membuat bantahan telah melaksanakan hak mereka sebagai warganegara dan tidak dapat difikirkan SPR harus menutup pintu untuk membuat bantahan pada Senarai A tanpa perbicaraan awam.
Adalah bercanggah dengan Perlembagaan bagi SPR untuk menolak bantahan begitu sahaja. Yang lebih penting adalah satu kesilapan untuk SPR membenarkan bukan warganegara dan orang yang hilang kelayakan berada di daftar pemilih sebagai pengundi...)
Hakim tersebut juga telah menyatakan bahawa nama-nama berikut iaitu Kassim bin Ali No KP H 508335; Anwar No KP H 512235 dan Kadir Labak No KP H 0454652 telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah di Tawau di atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu namun nama-nama mereka masih berada di Daftar Pemilih 1998 di Dun Likas tanpa SPR membuang nama-nama tersebut.
Hakim Dato' Muhammad Kamil bertanya soalan berikut kepada SPR:
"Why has the SPR failed to hold a public inquiry and have their names deleted from the Electoral Roll?" (m.s. 177)
Wahai Rashid... tak cukup lagi ke bukti-bukti di atas untuk kamu meletakkan jawatan!
Monday, November 26, 2007
ISU MATEMATIK DAN SAINS -UMNO SEDAR LANGGAR UNDANG-UNDANG ?
Untuk para pembaca sekelian ingin saya maklumkan bahawa polisi tersebut telah dicabar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh para emapat orang pelajar melayu daripada Negeri Perak. Kebetulan saya peguam mereka. Untuk berkongsi dengan pembaca saya kemukakan di sini hujah yang saya berikan di Mahkamah berhubung isu tersebut.. Mahkamah telah menetapkan bulan Januari 2008 ini untuk peguam Kerajaan manjawab hujah saya tersebut.
Melalui Saman Pemula yang difailkan oleh Plaintif-Plaintif ( selepas ini dirujuk sebagai Plaintif sahaja ) Plaintif memohon daripada Mahkamah yang mulia ini perintah-perintah berikut ( a. ) Deklarasi bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2002 bertarikh 27/11/2002 berhubung perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan ( SK ), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ( SJKT ), Sekolah Menengah ( SM ) dan Tingkatan Enam mulai tahun 2003 ( selepas ini disebut Pekeliling 11 ) adalah tidak berperlembagaan ( unconstitutional ), tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan ; ( b.) Deklarasi bahawa Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 12/2002 bertarikh 27/11/2002 berhubung perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC ) mulai tahun 2003 ( selepas ini disebut Pekeliling 12 ) adalah tidak berperlembagaan ( unconstitutional ), tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan ; ( c ) Deklarasi bahawa Defendan tidak mempunyai kuasa dan budibicara untuk memperkenalkan , menguatkuasakan dan melaksanakan dasar yang dinyatakan di dalam Pekeliling 11 dan 12 tersebut ; ( d )Perintah mengarahkan Defendan supaya mengubah/menukar semula dasar yang terkendung di Pekeliling 11 dan Pekeliling 12 tersebut menurut kehendak dan peruntukkan Perlembagaan dan Undang-Undang Bertulis yang berkaitan perkara tersebut ; ( e ) Kos dan ( f ) Lain-lain relif yang difikirkan sesuai dan manfaat oleh Mahkamah .
A. SIAPAKAH PLAINTIF-PLAINTIF DI DALAM TINDAKAN INI ?
Terdapat empat orang Plaintif-Plaintif di dalam kes ini. Kesemua mereka adalah pelajar sekolah. Pada masa material Plaintif Pertama adalah pelajar Tahun 4 Darjah 4 ) Sekolah Kebangsaan Batu 3, 35350 Temoh , Perak [ lihat perenggan 4 Afidavit Plaintif ] Pada masa material Plaintif Kedua pula adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Muda Abd Aziz , 31100 Sungai Siput, Perak dan menutut di Tingkatan 3 sekolah tersebut [ lihat perenggan 5 Afidavit Plaintif ] Pada masa material Plaintif Ketiga adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak dan menuntut di Tingkatan 3 sekolah tersebut [ lihat perenggan 6 Afidavit Plaintif ] Pada masa material Plaintif Keempat pula adalah pelajar Madrasah Idrissiah , Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar dan menuntut di Tingkatan 4 sekolah tersebut [ lihat perenggan 7 Afidavit Plaintif ].
Adalah jelas bahawa sebagai pelajar Plaintif mempunyai locus standi untuk membawa tindakan ini kerana dasar yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Defendan sepertimana yang dinyatakan di dalam Pekeliling 11 khususnya [ lihat eksibit A di perenggan 8 Afidavit Plaintif ] dan Pekeliling 12 ( lihat eksibit B di perenggan 9 Afidavit Plaintif ] menjejaskan hak dan kepentingan Plaintif. Plaintif menyatakan di dalam Afidavit Plaintif bahawa “ akibat daripada pengenalan, perlaksanaan dan penguatkuasaan dasar yang terkandung di kedua-dua pekeliling tersebut khususnya Pekeliling 11 yang terpakai kepada Plaintif-Plaintif di dalam tindakan ini, Plaintif-Plaintif telah dipaksa untuk belajar dan diajar bagi kedua-dua matapelajaran tersebut di dalam bahasa Inggeris dan ianya dilaksanakan tanpa kerelaan saya sebagai bapa kepada Plaintif Pertama dan juga bapa-bapa Plaintif-Plaintif yang lain.” [ lihat perenggan 10 Afidavit Plaintif ]
B.ADAKAH PEKELILING 11 DAN PEKELILING 12 YANG DIPERKENALKAN OLEH DEFENDAN ADALAH BERPERLEMBAGAAN ( CONSTITUTIONAL ) DAN SAH DI SISI UNDANG-UNDANG ?
Dengan hormat kami berhujah bahawa di dalam memperkenalkan dasar berhubung perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di negara ini sepertimana yang terkandung di dalam Pekeliling 11 dan 12 Defendan telah bertindak di luar batas-batas undang-undang dan juga Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan bahawa “ Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa
( a ) tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan ( bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi ) ,atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain ;
( b ) tiada apa-apa dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan [ lihat m/s 63-65 Ikatan Authoriti Plaintif ].
Di dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia ( 1981 ) 2 MLJ 356 isu Perkara 152 Perlembagan Persekutuan telah timbul dan diputuskan oleh Mahkamah. Fakta kes Merdeka University tersebut secara ringkas adalah Plaintif telah mengemukakan petisyen kepada Yang DiPertuan Agung bagi penubuhan Universiti Merdeka. Petisyen tersebut telah ditolak dan Menteri Pendidikan telah mengumumkan bahawa penolakkan petisyen tersebut antara lain disebabkan Universiti Merdeka tersebut akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantarnya..Plaintif telah menfailkan writ saman bagi mendapatkan perintah antara lain perintah deklarasi bahawa penolakkan petisyen untuk penubuhan Universiti Merdeka adalah tidak sah dan terbatal kerana ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ; perintah deklarasi bahawa penolakkan petisyen penubuhan universiti tersebut adlah tidak munasabah dan satu perlaksanaan budibicara yang tidak betul di bawah seksyen 6 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.Di dalam menolak writ saman Plaintif tersebut Yang Arif Abdoolcader J. antara lain memutuskan berhubung penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Beliau menyatakan :-
“ If the Merdeka University were established it would be a public authority within the definition in Article 160 of the Federal Constitution and its purpose would accordingly be an official purpose within Article 152 ( 6 ) of the Constitution and it would therefore be excluded by the parenthesis in proviso ( a ) to Article 152 ( 1 ) from its protection. Consequently as the Merdeka University proposes to give instruction in its course in Chinese , whether as the only or the medium of instruction , the proviso would afford no protection for that purpose.” [ lihat m/s 1 Ikatan Authoriti Plaintif ]
Oleh yang demikian adalah jelas bahawa dasar Defendan memperkenalkan pengajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris juga terbatal dan tidak sah kerana penggunanan bahasa tersebut di sekolah-sekolah adalah bagi maksud rasmi ( for official purposes ) sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 152 ( 6 ) Perlembagaan Persekutuan Pakar Undang_-Undang Perlembagaan, Prof .Dr Aziz Bari di dalam bukunya “Malaysia Constitution : A Critical Introduction” terbitan The Other Press, Kuala Lumpur ,2003 menyatakan di m/s 48
“ Whatever the constitution has to say about the Malay language in recent years there have been policies which apparently not in conformity with art 152. A good example being the decision of the federal government to use English as the medium of instruction for Science and Mathematics in school. Apparently this falls under the category of official purpose. This appears to be the position given the decision in Merdeka University Berhad where the government rejection to an application to establish a private university was upheld.” [ lihat m/s 113 Ikatan Authoriti Plaintif ]
Selain bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagan Persekutuan dasar tersebut juga bertentangan dengan Seksyen 17 ( 1 ) Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ) yang secara jelas memperuntukkan bahawa “ Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini. [ lihat m/s 108 Ikatan Authoriti Plaintif ]
Seksyen 2 Akta Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ) pula menafsirkan “bahasa kebangsaan” beerti bahasa Melayu sebagaimana yang ditentukan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan [ lihat m/s 100 Ikatan Authoriti Plaintif ] Seterusnya jika dilihat kepada Muqaddimah ( Preamble ) Akta Pendidikan 1996 ( Akta 550 ) khususnya di Recital yang ketiga adalah jelas dinyatakan bahawa "… DAN BAHAWASANYA Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dizahirkan seperti berikut :
“ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kea rah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insane yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani , emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan , berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga , masyarakat dan negara
DAN BAHAWASANYA dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama…” [ lihat m/s 98 & 99 Ikatan Authoriti Plaintif ]
Adalah jelas dasar Defendan sepertimana yang terkandung di dalam Pekeliling 11 dan 12 tersebut adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia ( 1981 ) 2 MLJ 356 Yang Arif Eusoffe Abdolcader juga memutuskan “ the proposal to use Chinese as the medium of instruction would be contrary to the national education policy “[ lihat m/s 1 Ikatan Authoriti Plaintif ] Seterusnya Yang Arif Eusoffe Abdolcader juga menyatakan “ Basically the rejection to the Plaintiff’s petition on the composite ground that is contrary to the national education policy turns on the language of instruction in relation to recital in the preamble to the Education Act and in this context my discussion with regard to the purport and effect of the provisions of Article 152 of the Federal Constitution is pertinent and relevant. It would be pertinent to refer to what the Minsiter has to say in his evidence before me in connection with the national education policy to amplify the objection to the proposal for MU in relation to the medium of instruction. He says that in connection with the national objectives the education system is to be used as a means of national unification and the national language is to be the instrument by which Malaysians of different racial origins would be able to unite through a common language and the education system as enunciated by the education policy is to be the basis of the national objective… [ lihat m/s 8 Ikatan Authoriti Plaintif ]
Selanjutnya Plaintif juga berhujah bahawa dasar berhubung perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di negara ini sepertimana yang terkandung di dalam Pekeliling 11 dan 12 juga bertentangan dengan peruntukkan di dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Wan Arfah Wan Hamzah di dalam artikelnya yang bertajuk “ Bahasa Malaysia dalam bidang undang-undang-pencapaian dan cabaran “ yang dimuatkan di Makalah Undang-Undang Menghormati Ahmad Ibrahim , terbitan Dewan Bahasa & Pustaka , 1988 menyatakan :
“ Parlimen meluluskan dua Akta, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 untuk melaksanakan Perkara 152. Akta 1963 yang mengandungi hanya beberapa peruntukkan telah disatukan dengan Akta 1967 yang telah disemak dan kini dinamai Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Tujuan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, aialah menetapkan penggunaan bahasa Melayu ( kini dikenali sebagai bahasa Malaysia ) untuk maksud-maksud rasmi tetapi pada waktu yang sama membenarkan bahasa Inggeris dan bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan terus digunakan untuk apa-apa maksud yang difikirkan sesuai perlu demi kepentingan awam.” [ lihat m/s 65 Ikatan Authoriti Plaintif ]
Adalah dihujahkan pengajaran matematik dan sains di sekolah-sekolah adalah bagi maksud rasmi yang demikian penggunaan bahasa kebangsaan adalah satu yang wajib. Selain perlanggaran Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 17 Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Dasar Pendidikan Negara yang berteraskan Falsafah Pendidikan Negara dasar tersebut juga, dari segi perlaksanaanya, bercanggah dengan Perkara 8 ( 1) Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat perbezaan peruntukkan masa dalam minit seminggu bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik untuk Tahun 1 bagi Sekolah Kebangsaan ( SK ) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ( SJKT ) di satu pihak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC ) di pihak yang lain ( lihat perenggan 11 ( b ) Afidavit Plaintif ). Bagi SK dan SJKT jumlah pengajaran dan pembelajaran adalah 90 minit seminggu ( Sains ) dan 210 minit seminggu ( Matematik ) manakala bagi SJKC terdapat penggunaan dua bahasa bagi pengajaran dan pembelajaran kedua-dua matpelajaran tersebut iaitu bahasa Manderin ( 90 minit Sains ; 180 Minit-Matematik ) dan dalam bahasa Inggeris ( 90 minit -Sains ; 120 minit -Matematik ).
Adalah dihujahkan SK dan SJKT telah didiskriminasikan bukan sahaja berhubung peruntukkan masa dalam minit seminggu bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik tetapi juga dari sudut tidak diperuntukkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu dan bahasa Tamil sepertimana yang dipraktikkan kepada SJKC yang diberi kebenaran belajar dan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Mandarin. Kalau ini bukan dinamakan amalan diskriminasi dan arbitrari apakah yang kita hendak namakan bagi amalan seperti ini ? Di dalam kes Tan Tek Seng v Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan ( 1996 ) 1 MLJ 261 Yang Arif Hakim Gopal Sri Ram telah menuruti keputusan kes Mahkamah Agung di India iaitu kes Maneka Gandhi v Union of India yang memberi tafsiran baru berhubung Artikel 14 Perlembagaan India ( yang in pari materia dengan Artikel 8 ( 1 ) Perlembagan Persekutuan ) apabila memutuskan
“ Now..the question immediately arises as to what is the requirement of art 14 what is the content and reach of the great equalizing principle enunciated in this article ?...Where an act is arbitrary , it is implicit in it that is unequal both according to political logic and constitutional law and is therefore violative of art 14. Art 14 strikes at arbitrariness in State action and ensures fairness and equality of treatment..” [ lihat m/s 36 & 37 Ikatan Authoriti Plaintif. ]
Plaintif juga berhujah bahawa dasar tersebut dan perlaksanaannya akan mewujudkan satu jurang diskriminiasi yang runcing dan mendalam di antara pelajar-pelajar di kawasan bandar dan kawasan luar bandar yang sekaligus mewjudkan satu lagi amalan diskrimniasi dan arbitrari yang bertentangan dengan Perkara 8 ( 1 ) Perlembgaan Persekutuan ) [ lihat perenggan 11 ( c ) Afidavit Plaintif ]. Plaintif hujahkan prinsip yang dinyatakan di dalam kes Tan Tek Seng ( supra ) juga terpakai bagi perkara ini. Sepertimana yang dikatakan oleh Plaintif di perenggan 12 Afidavit Plaintif tiada sebarang indikasi bahawa Defendan akan menukar dasar tersebut bagi memastikan ianya selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan melainkan terdapat satu intervensi daripada Mahkamah yang mulia ini yang fungsinya adalah sebagai penjaga/pengawal Perlembagaan ( the guardian of the constitution ).
Tuesday, October 16, 2007
BADAN KEHAKIMAN DIREPUTKAN OLEH UMNO
Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Suffian semasa merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia pada 10 Oktober 1991 antara lain menyatakan :
" Our judiciary in our country is supposed to be independent.. Well you know what the position is today regardless of what individual judges think and feel -and they are honest man. Public confidence in judiciary has been seriously eroded and it will take a whole generation before the damage done can be remedied."
( Terjemahan : Badan Kehakiman di negara kitasepatutnya bebas. Tapi kamu semua tahu keadaannya padamasa ini tanpa mengira mana-mana hakim fikirkan ataurasakan - dan mereka ( para hakim ) adalah orang-orangyang jujur. Keyakinan masyarakat terhadap badankehakiman telah terhakis secara serius dan iamemerlukan satu generasi sebelum kerosakan yangberlaku dapat dibaiki semula" )
Episod terbaru yang menyaksikan perbualan telepon antara Dato' V.K Lingam dan Ketua Hakim Negara ( Tun Ahmad Fairuz ) secara jelas mengesahkan semula apa yang dinyatakan oleh Tun Suffian di atas. Satu fakta yang tidak boleh dipertikaikan adalah segala kerosakan terhadap badan dan sistem kehakiman berlaku di zaman BN memerintah. Ini bermakna hujah yang menyatakan insiden ini berlaku dalam zaman Mahathir adalah tidak relevan. Mahathir dan Abdullah Badawi adalah pemimpin UMNO. Jika Mahathir mungkin boleh dikaitkan sebagai tokoh yang merosakkan badan dan sistem kehakiman Abdullah pula tidak boleh lari dari tuduhan sebagai tokoh yang merestui kerosakkan sistem kehakiman tersebut.
Kita tentu masih ingat bagaimanana Kerajaan Abdullah secara angkuh menolak saranan mengkaji semula kes Tun Salleh Abas meskipun didesak oleh Majlis Peguam. Tidakkah ini menunjukkan bahawa Abdullah Badawi merestui pemecatan Tun Salleh Abas meskipun seluruh dunia tahu pemecatan tersebut tidak sah dan dipengaruhi oleh unsur politik.
Hatta semasa Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan berada di dalam kabinet Mahathir beliau juga enggan bertemu rombongan beberapa badan antarabangsa ( yang terdiri daripada International BarAssociation ( IBA ), Centre for the Independent ofJufges and Lawyers of the International Commission ofJurists ( CIJL ) , the Commonwealth Lawyer'sAssociation ( CLA ) dan Union Internationale desAvocats ( UIA ) ) yang ditugaskan untuk membuat kajian terhadap kebebasan kehakiman. Hal ini dinyatakan secara jelas di dalam laporan misi tersebut yang bertajuk "Justice in Jeopardy : Malaysia 2000 ". Laporan itu menyatakan " repeated attempts were also made to arrange meeting with ...Datuk Abdullah Ahmad Badawi, Deputy Prime Minister , but without sucesss."
Penubuhan Jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Haidar untuk mengkaji video tape perbualan telepon antara V.K Linggam tidak boleh sama sekali dilihat sebagai satu usaha rejim Abdullah untuk membaiki sistem kehakiman yang dah terlalu reput tersebut.
Bagi rakyat Jawatankuasa tersebut hanyalah ibarat harimau tua yang tidak bergigi dan bertaring yang lebih menyerupai harimau mainan. Abdullah memikul tanggungjawab untuk menyiasat antara lain kes -kes berikut yang secara jelas melemahkan integriti dan menghakis keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman di megara ini.
a. Kes surat Dato Ahmad Idid yang mengandungi tuduhansalah laku dan rasuah beberapa orang hakim.
Surat tersebut ditulis pada tahun 1996. Surat tersebut mengandungi 112 tuduhan yang terdiri daripada 39 kes tuduhan rasuah, 21 tuduhan salah guna kuasa dan 52 tuduhan salah laku ( misconduct ) dan amalan tidak bermoral. Meskipun Peguam Negara pada masa itu pada mulanya bersungguh berjanji kepada rakyat untuk mendakwa penulis surat tersebut tapi pada 9 Julai 1996 apabila Peguam Negara mengumumkan keputusan penyiasatan polis tersebut beliau hanya menyatakan hakim yang menulis surat tersebut telah meletakkan jawatan . Peguam Negara juga menyatakan bahawa beliau tidak akan mendakwa hakim tersebut. Di dalam sidang akhbarnya Peguam Negara mengakui bahawa terdapat keterangan yang mencukupiuntuk mendakwa namun bagi beliau persaraan hakim tersebut sudah mencukupi sebagai satu hukuman ke atas hakim tersebut.
b. Kes Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Omar yang mengakui berjumpa dengan Tan Sri Loy di pejabatnya ketika mana kes yang melibatkan syarikat Tan Sri Loy masih dalam pendegaran rayuan di Mahkamah Agung dan Tun Hamid adalah salah seorang hakim yang terlibat mendengar permohonan intelokutori syarikat Tan Sri Loy dan memberikan keputusan memihak kepada Tan Sri Loy .
c. Kes Ayer Molek ( iaitu kes Ayer Molek Rubber Co Bhd v Insas Bhd ) yang juga melibatkan peguam V.K.Linggam.
Fakta kes ini antara lain adalah pada 10 hb April 1995 pihak Plaintif telah membuat permohonan secara ex parte ( sebelah pihak ) dan mendapat satu perintah injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Perintah itu memaksa Defendan untuk mendaftar perpindahan saham syarikat Ayer Molek Rubber Co.dan seterusnya mengeluarkan sijil saham yang baru ke atas nama Plaintif dalam masa dua hari bekerja selepas menerima sijil saham tersebut.
Meskipun menjadi amalan permohonan seperti yang dipohon oleh Plaintif itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang ( commercial division) namun dalam kes ini Plaintif melanggar amalan tersebut dengan memfailkan permohonannya di Bahagian Rayuan Dan Kuasa-Kuasa Khas . Perintah injunksi telah diserahkan kepada Defendan pada 11 hb April 1995 dan pada 12 hb April 1995 Defendan memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah tersebut yang sepatutnya didengar pada 13 hb April 1995.
Namun pada 13 hb April 1995 Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pendengaran permohonan Defendan tersebut kepada 27 hb April 1995 . Ini mengakibatkan Defendan terpaksa melakukan perpindahan saham tersebut dan permohonan Defendan untuk menggantungkan perintah injunksi tersebut telah ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggii iaitu Dato' Azmeel Ma'moor ( kini Hakim Mahkamah Rayuan ).
Plaintif telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Hakim N.H.Chan yang mmberikan penghakiman bertulis telah mengkritik secara keras tindakan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut dengan kata-kata berikut :-
" This is a case about injustice which has been perpetrated by a court of law . This is also a case about abuse of the process of the High Court.." ( Terjemahan : Ini adalah kes di mana ketidakadilan dilakukan oleh Mahkamah sendiri dan ini juga adalah kes tentang penyalahgunaan proses Mahkamah Tinggi.. ).
Hakim N.H. Chan juga menyelar V.K Linggam sebagaipeguam yang tidak beretika dan menyatakan tindakan beliau memfailkan permohonan anakguamnya di bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan bukannya di bahagian Dagang mewujudkan satu persepsi bahawa terdapat amalan" judge shopping" ( membeli -belah hakim ).
Hakim N.HChan juga menukilkan kata-kata Shakespeare di dalam Hamlet iaitu " something is rotten in the State of Denmark" yang secara tersirat merujuk kepada Wisma Denmark di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terletak pada masa itu.
Tindakan Hakim N.H Chan yang menyelar Hakim MahkamahTinggi dan peguam V.K Linggam bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Tun Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara ketika itu yang secara jelas membela tindakan Hakim Mahkamah Tinggi dan peguam V.K Linggam. Meskipun sepertimana yang dijangkakan Tun Eusoff Chin pasti membela VK. Linggam di dalam kes tersebut ( bukankah mereka berdua bergambar dengan tangan berpelukan di New Zealand ) beliau sebagai Ketua Hakim Negara bagaimanapun telah melalukan satu kesilapan yang memalukan apabila membenarkan Hakim Mahkamah Tinggi ( yang tidak layak untuk menjadi penel hakim Mahkamah Persekutuan ) untuk menjadi anggota Panel Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuan anakguam V.K Linggam tesebut . Ini secara jelas bercanggah dengan Perkara 122 ( 2 ) Perlembagaan Persekutuan.
Bayangkan bagaimana seorang Ketua Hakim Negara tidak mengetahui perkara asas Perlembagan Persekutuan.
d. Kes Percutian Tun Eusoff Chin dan V.K Linggam.
Sehingga kini laporan Bowlan yang menunjukkan bukti-bukti kuat tentang hal tersebut tidak diketahui nasibnya.
e. Kes arahan Tun Eusoff Chin kepada Hakim Dato'Mohammad Kamil Awang untuk menolak petisyen pilihanraya Likas.
Hal ini dinyatakan secara jelas oleh Hakim Mohammad Kami Awang dalam penghakimannya ketika membenarkan petisyen pilihanraya yang membatalkan keputusan pilihanraya Likas yang penuh dengan tuduhan pengundi hantu.