Monday, January 26, 2009

Suruhanjaya DiRaja siasat kematian A.Kugan

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin


Kematian A.Kugan amat merungsingkan kita. Untuk rekod ini bukan kali pertama tragedi seperti ini berlaku di dalam negara ini. Walau apa pun alasan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa terhadap kematian A.Kugan , kematian tahanan yang berada di dalam jagaan pihak polis adalah suatu perkara yang serius dan tidak sewajarnya berlaku. Ia menunjukkan kelemahan sistem keadilan kita.

Walau apa pun kesalahan yang mungkin dilakukan oleh mendiang Kugan , beliau tidak sewajarnya diseksa oleh pihak polis . Undang-undang negara ini mengiktiraf bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah.

Laporan akhbar menyatakan bahawa Kugan telah dilaporkan mati semasa sedang disoal siasat di balai polis Taipan di Subang Jaya pada 20 Disember yang lalu. Laporan bedah siasat yang awal menyatakan kematiannya bukan disebabkan "foul play" .

Kematiannya di dakwa disebabkan paru-paru berair tetapi tidak dijelaskan bagaimana ianya berlaku. Jika kita hanya bersandarkan laporan bedah siasat tersebut seolah-olah kematian Kugan hanyalah satu kematian biasa- maka polis tidak boeh dipertanggungjawabkan.

Namun setelah kita membaca laporan bahawa keluarga Kugan telah masuk ke bilik mayat di Hospital Serdang pada hari yang sama dan berjaya mengambil gambar mayat simati, jelas laporan awal bedah siasat amat diragui. Ini kerana gambar badan simati menunjukkan bahawa terdapatnya bekas-bekas lebam dan kecederaan pada tubunh simati.
Ia menunjukkan bahawa sesuatu telah dilakukan ke atas badan simati sebelum beliau mati.

Maka bedah siasat kali kedua dilakukan pada hari Ahad yang lalu. Sehingga artikel ini ditulis laporan bedah siasat yang kedua masih belum
dikeluarkan.

Peguam Negara telah mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh.Polis menafikan wujud percanggahan fakta antara kenyataan yang dibuat oleh pihaknya dan Peguam Negara berhubung kematian Kugan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kenyataannya adalah berdasarkan laporan bedah siasat hospital yang menunjukkan kematian Kugen disebabkan paru-paru berair.

Diminta mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail semalam yang mengklasifikasikan kematian Kugen itu sebagai kes bunuh, beliau berkata, :

"Ia (kenyataan Gani) hanya klasifikasi sahaja, belum ada lagi sebarang tuduhan dibuat ke atas kes tersebut. Tidak wujud sebarang percanggahan (kenyataan) yang dibuat menerusi kenyataan polis mengenai kematian Kugen.
Kalau orang nak cakap apa, biar mereka bercakap. Kita (polis) tetap akan meneruskan siasatan mengenai kes ini sehingga selesai," katanya.

Sikap Musa Hasan amat pelik. Dalam keadaan Peguam Negara mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh Musa Hasan masih menafikan ada percanggahan kenyataan polis dan kenyataan Peguam Negara.

Mungkin Musa Hasan perlu jelaskan bagaimanakah Peguam Negara boleh klasifikan kematian Kugan sebagai kes bunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan jika kematiannya hanya disebabkan paru-paru berair ? Adakah Musa Hasan ingin menyatakan bahawa Gani Patail buta undang-undang hingga tidak tahu apa dia kes bunuh .

Di dalam kenyataannya yang dilaporkan di dalam akhbat the star, keluarga Kugan menyatakan mereka inginkan kebenaran didedahkan dalam kes kematian Kugan ini. JIka kebenaran yang ingin dicari oleh keluarga Kugan dan juga rakyat negara ini maka bagi saya perlunya pihak ketiga yang menyiasat punca kematian Kugan ini.

Memandangkan Kugan mati di dalam tahanan polis , keadilan meminta supaya pihak ketiga yang menyiasat kes ini. Jika polis yang siasat polis
kita khuatir akan berlaku sepertimana siasatan ke atas kes mata lebam Anwar Ibrahim dahulu. Kita tentu tidak lupa bagaimana semasa Anwar ditumbuk di dalam tahanan polis, pada awalnya siasatan dilakukan oleh pihak polis sendiri. Apabila polis sendiri yang menyiasat polis rakyat tidak tahu siapa yang menumbuk Anwar ? Polis yang siasat tidak jumpa siapa yang menumbuk Anwar ? Hanya selepas SuruhanDiraja ditubuhkan baru 'jumpa' siapa yang tumbuk Anwar : Ketua Polis Negara sendiri !!!

Oleh itu jika keluarga Kugan inginkan kebenaran mereka tidak boleh harapkan polis siasat polis. Polis siasat polis samalah seperti pencuri menyiasat kes kecurian -sampai bila tidak jumpa barang curi !

Jika lebam mata Anwar Ibrahim mewajarkan Suruhanjaya Diraja maka kematian Kugan juga , bagi saya, perlu disiasat oleh Suruhanjaya Diraja. Kerajaan harus tidak memilih bulu. Jika hanya kes lebam mata boleh menjustifikasikan penubuhan Suruhanjaya DiRaja mengapa kes kematian tidak boleh disiasat oleh Suruhanjaya Diraja. Bukankah kes kamatian lebih serius dari kes lebam mata apatah lagi kematian di dalam bilik tahana polis-tempat yang sepatutnya paling selamat.

Kerajaan mesti adil , telus dan tidak mengamalkan diskriminasi dalam hal ini. Kita tidak mahu jika orang besar dicederakan maka Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan sedangkan jika rakyat biasa hanya polis yang siasat polis. Saya percaya Anwar juga akan bersetuju dengan saya dalam hal ini.

Dengan adanya Suruhanjaya Diraja kita pasti lebih mudah untuk kita mengetahui kebenaran. Mahkamah bukan tempat mencari kebenaran kerana perbicaraan Mahkamah dikawal oleh prosedur yang rigid khususnya berkaitan dengan penerimaan bahan bukti

Dengan adanya Suruhanjaya Diraja diharapkan kita dapat mengetahui antara lain jawapan kepada persolan-persoalan berikut :-

- Kenapakah dalam laporan bedah siasat yang pertama,doktor hanya menyatakan kematian Kugan hanya disebabkan paru-paru berair ?
- Adakah pihak hospital diminta tidak mendedahkan kesan-kesdan kecederaan di tubuh simati ?
- Adakah terdapat satu campurtangan dalam penyediaan laporan bedah siasat pertama ?
- Mengapakah sejak dari awal tidak dinyatakan bahawa terdapat kesan-kesan lebam dan kecederaan di atas tubuh badan simati ?
- Mengapa keluarga Kugan dan bukannya polis yang perlu mengambil gambar-gambar yang menunjukkan kesan-kesan kecederaan di tubuh badan simati ?
- Mengapakah selepas gambar kecederaan di badan simati didedahkan barulah timbul kes ini diklasifikasin sebagai kes bunuh ?
-Apakah teknik penyiasatan yang dilakukan oleh pihak polis sehingga Kugan 'berjaya" mati di dalam tahanan polis ?

Saya percaya soalan-soalan ini hanya boleh didedahkan di dalam Suruhanjaya Diraja dan bukannya Mahkamah.

Saturday, January 03, 2009

HUDUD UNDANG –UNDANG YANG PALING RASIONAL

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Dalam artikel saya yang lalu saya menyatakan bahawa hudud bukan sahaja boleh dipertahankan dari sudut agama tetapi juga dari sudut ilmiah . Dalam tulisan kali ini saya akan cuba menjawab serba sedikit persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan di dalam isu hudud ini.

Persoalan pertama yang sering dibangkitkan adalah undang-undang hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Untuk tujuan perbincangan katakanlah kita terima bahawa hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya adakah apa sahaja undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan adalah undang-undang yang tidak baik dan perlu diketepikan begitu sahaja. Jika benar sesuatu undang-undang itu benar-benar bercanggah dengan Perlembagaan , tidak bolehkah Perlembagaan tersebut dipinda bagi membolehkan undang-undang yang baik tersebut diluluskan dan seterusnya dilaksanakan. Adakah meminda peruntukkan dalam Perlembagaan adalah suatu jenayah atau “dosa” yang besar dan tidak boleh dimaafkan sama sekali. Bukankah selama ini Perlembagaan negara ini telah beberapa kali dipinda ?

Selanjutnya adakah semua undang-undang yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang baik dan tidak zalim kepada rakyat ? Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ), Akta Polis , Akta Hasutan , Akta Penerbitan & Mesin Cetak, Akta Universiti dan Universiti Kolej ( AUKU ) adalah contoh undang-undang yang digubal menurut peruntukan Perlembagaan dan sehingga kini diputuskan oleh Mahkamah undang-undang tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan. Tetapi siapa yang boleh menafikan akta-akta tersebut, meskipun selaras dengan Perlembagaan, adalah undang-undang yang zalim dan telah terbukti menzalimi rakyat yang tidak berdosa. Sehingga kini suara-suara yang meminta undang-undang tersebut sama ada dipinda atau dimansuhkan masih terus berkumandang . Meskipun undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan kenapakah ianya diminta untuk dipinda atau dimansuhkan?

Dalam konteks undang-undang hudud adilkah untuk kita meminta undang-undang Allah tersebut dipinda bagi membolehkan ianya selaras dengan Perlembagaan ? Sudah tentu alternatif terbaik, jika ianya bercanggah dengan Perlembagaan , maka sewajarnya Perlembagaan itu sendiri yang harus dipinda. Mungkin ada yang berhujah adalah sukar untuk kita meminda Perlembagaan Persekutuan ? Apa yang lebih susah dari meminda peruntukkan Perlembagaan Persekutuan apabila ianya menyentuh isu imuniti Raja. Bukan sahaja pindaan tersebut memerlukan dua pertiga tetapi ia juga perlu persetujuan Majlis Raja-Raja. Tetapi, seperti yang kita maklum, pindaan tersebut berjaya dilakukan meskipun sukar.

Hujah yang saya berikan di atas bertolak dari andaian bahawa undang-undang hudud bercanggah dengan Perlembagaan. Namun perlu saya nyatakan di sini ada juga dari kalangan ahli-ahli undang-undang yang berpendapat undang-undang hudud tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Antara lain hujah yang dikemukakan oleh ahli undang-undang ini adalah bidangkuasa Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang sepertimana yang dinyatakan di dalam Senarai Negeri ( State list ) di Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah termasuk menggubal undang-undang Islam ( Islamic law ) dan perkataan undang-undang Islam di dalam Senarai Negeri tersebut hendaklah ditafsirkan secara luas sepertimana yang difahami oleh Islam.

Persoalan kedua yang juga sering ditimbulkan adalah undang-undang hudud terlalu keras ( harsh ) dan ianya menakutkan orang bukan Islam. Undang-undang memotong tangan pencuri dan merejam penzina dianggap undang-undang yang tidak bertamadun dan ketinggalan zaman.

Pertamanya persoalan orang bukan Islam. Jika dilihat kepada Enakmen hudud yang digubal di Kelantan dan Trengganu adalah jelas ianya tidak terpakai orang-orang bukan Islam. Oleh itu kebimbangan orang-orang bukan Islam tidak ada asasnya.

Selanjutnya isu sama ada sesuatu undang-undang itu keras, tidak bertamadun atau ketinggalan zaman adalah persoalan persepsi. Kita lihat undang-undang yang mengenakan hukum mati ( death penalty ) sendiri, sehingga kini ianya menjadi bahan perbahasan. Ada yang menyatakan ianya adalah undang-undang yang keras, tidak bertamadun dan ketinggalan zaman kerana ianya bercanggah dengan hak asasi manusia.

Memandangkan persepsi masyarakat berbeza, ada negara yang meneruskan hukum mati dan ada negara yang tidak. Hatta bagi negara yang mengekalkan hukum mati mereka juga tidak sepakat tentang kaedah untuk melaksanakan undang-undang hukum mati tersebut. Ada yang setuju dengan kaedah menggantung penjenayah. Ada pula yang setuju ianya dilaksanakan dengan cara menembak penjenayah dan ada pula yang setuju ianya dilaksanakan dengan cara meng”inject” dengan gas beracun. Bagi yang memilih untuk menggantung mereka berpendapat hukuman tembak adalah terlalu keras dan tidak bertamadun dan begitulah sebaliknya.

Hatta ada juga para sarjana undang-undang yang berhujah undang-undang memenjarakan penjenayah juga bukan sahaja zalim.tetapi juga tidak berkesan mengurangkan kadar jenayah. Ini kerana hukuman penjara bukan sahaja menghukum penjenayah yang melakukan jenayah tetapi juga ianya menghukum orang lain yang tidak terlibat dengan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah tersebut. Sebagai contoh jika seorang pencuri dipenjarakan, ianya bukan sahaja menghukum pencuri tetapi juga menghukum isteri dan anak-anaknya kerana mereka dengan secara paksa dipisahkan dari suami dan bapa mereka. Ia juga menghukum pembayar cukai yang terpaksa menanggung makan dan minum sipencuri tersebut di penjara. Tidakkah ini zalim ? Negara kita mengenakan hukuman penjara ke atas pencuri namun secara jujur adakah undang-undang tersebut telah berjaya mengurangkan kadar jenayah kecurian dalam negara ini ? Pada masa kini kecurian juga boleh berlaku di dalam balai polis sendiri-tempat yang sepatutnya paling selamat !!!

Selanjutnya jika kita mempelajari falsafah , prinsip dan teori hukuman ( sentencing ) kita tentu biasa dengan istilah pencegahan (deterrence ). Tujuan hukuman antara lain adalah untuk mencegah. Hukuman potong tangan sebagai contoh memenuhi kriteria pencegahan kerana ianya bukan sahaja menakutkan pencuri tetapi juga orang-orang yang mungkin ada niat mencuri. Hukuman tersebut juga satu bentuk pengaiban ( humiliation ) yang paling baik kepada penjenayah. Tangan kodong sejak dari lahir atau tangan kodong kerana dipotong oleh doktor atas alasan kesihatan sudah tentu tidak sama aibnya dengan tangan kodong kerana menjalani hukuman kerana mencuri.

Seperkara lagi yang perlu kita faham meskipun hukum hudud secara relatifnya mengandungi hukuman yang agak keras ianya juga dalam masa yang sama menuntut satu kaedah pembuktian yang paling ketat ( rigid ). Dalam bahasa undang-undang , jenayah hudud menuntut satu standard pembuktian ( standard of proof ) yang lebih tinggi dari undang jenayah yang diamalkan sekarang. Standard pembuktian jenayah hudud adalah melampaui segala keraguan ( beyond any shadow of doubt ) sedangkan undang-undnag jenayah yang sedia ada hanya mengenakan standard pembuktian melampaui keraguan munasabah sahaja ( beyond any shadow of doubt ). Jadi undang-undang manakah yang lebih melindungi hak orang yang dituduh.