Monday, August 30, 2010

UMNO BERPESTA FITNAH DI BULAN BARAKAH

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Cuba bayangkan jika Rasulullah s.a.w ditakdirkan Allah masih hidup di zaman ini. Tidakkah kita fikirkan bahawa Utusan dan Umno mungkin juga akan menemplak tindakan Rasulullah s.a.w yang membenarkan orang-orang Kristian Najran masuk ke masjid dan bersembahyang di Masjid Nabi.

Ahli Parlimen DAP Y.B Teo Nie Ching diserang-serang habis-habisan kerana berkunjung ke Surau Al-Huda Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut. Beliau telah dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas. Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Kerana seronok memfitnah di bulan Ramadhan , Umno dan Utusan tidak peduli seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang berjaya menonjolkan ruh tasamuh ( toleransi ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Ibnu Ishak meriwayatkan golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka bejumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) .

Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang mengikut cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur ( lihat buku tulisan Yusuf Al-Qardhawi “ Religious Minority from Shariah’s Perspective ). Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Ulama Pas,Dato Harun Taib iaitu mereka yang arif tentang Islam menyatakan tidak salah orang bukan Islam memasuki masjid.

Jika Rasulullah s.a.w yang digambarkan oleh Al-Quran sebagai qudwatun hasanah ( role model ) membenarkan orang bukan Islam bersembahyang cara mereka di Masjid Nabi siapakah Utusan dan Umno yang ingin melarang Ahli Parlimen DAP dari memasuki surau Al-Huda, Kajang.

Umno dan Utusan mendakwa kononnya pihak Surau Al-Huda membenarkan Nie Ching memberikan tazkirah sedangkan beliau adalah orang bukan Islam dan tidak memakai aurat.

Sebenarnya ini hujah makan tuan. Baiklah katakan , untuk tujuan berhujah, kami terima pendapat Umno bahawa Nie Ching tidak sepatutnya bertazkirah kerana beliau adalah orang bukan Islam dan tidak menutup aurat . Jika itu hujah Umno kita juga berhak bertanya kenapakah semasa Umno menjadi Kerajaan di Selangor dahulu para alim ulama’ seperti Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum dan beberapa alim ulama' yang lain juga dilarang memberikan tazkirah oleh pemimpin Umno .Bukankah Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum adalah orang Islam dan bukankah mereka juga menutup aurat !

Umno katakan Nie Ching tidak menutup aurat ketika bertazkirah . Kita ingin bertanya Umno , adakah hukum atau perintah menutup aurat hanya untuk orang Islam atau juga terpakai untuk orang bukan Islam ? Jika menutup aurat hanya wajib untuk orang Islam sahaja kenapakah kita harus mewajibkan ke atas orang bukan Islam dalam perkara yang Allah tidak wajibkan ke atas mereka. Bukankah pendirian kita bahawa orang bukan Islam yang ingin berkunjung ke masjid mestilah berpakaian sopan. Saya tidak nampak Nie Ching berpakaian tidak sopan hanya kerana beliau tidak bertudung.

Jika Umno begitu serius tentang isu menutup aurat mengapakah Umno tidak ambil peduli sebahagian besar isteri pemimpin Umno dan sesetengah pemimpin wanita dan Puteri Umno yang masih tidak menutup aurat !

Apabila Ahli Parlimen Selayang, Y.B William Leong Jee Keen menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid al-Taqwa, Selayang akhbar Mingguan Malaysia menulis dengan tajuk berikut “ Ahli Parlimen Selayang pula “ bertazkirah” Kesucian Masjid terus dinodai” ( Mingguan Malaysia 29/8/2010 m/s 3 ) . Akhbar itu melaporkan pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.

Saya tidak pelik jika JAIS mengambil pendirian begitu kerana bagi saya saki baki pengaruh Umno masih tebal dalam JAIS. Bukankah JAIS di zaman BN dahulu sibuk mengambil tindakan kepada AJK masjid yang dilihat tidak cenderung kepada Kerajaan BN. Saya mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam isu tersebut kerana saya mewakili lebih kurang 7 buah masjid dan surau yang diganggu oleh JAIS !

Untuk Khusrin kita ingin bertanya soalan berikut : Adakah Rasulullah s.a.w tidak tahu orang-orang Kristian Najran berhadas besar semasa Rasulullah s.a.w membenarkan mereka masuk Masjid Nabi dan bersembahyang di Masjid Nabi ?

Apabila Ustaz Zakaria Ahmad mendoakan di dalam khutbah agar Lim Guan Eng diberi hidayah akhbar proksi Umno memfitnah beliau dengan mengatakan doa Ustaz Zakaria berbunyi begini “ Ya Allah , Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng… ( lihat Mingguan Malaysia 22/8/2010 m/s 5 ). Malahan ada disiarkan di dalam TV bagaimana seseorang membuat komen bahawa khutbah tersebut boleh dikatakan tidak sah kerana tidak ada doa kepada Yang Dipertuan Agung ( YDPA ). Wow ! sejak bila doa kepada YDPA menjadi rukun khutbah. Habislah semua khutbah Nabi tidak sah kerana di zaman Nabi YDPA tidak ada !

Mengapakah Umno terus menerus memainkan isu seperti ini ? Jawapannya mudah sekali iaitu amat mudah memainkan emosi rakyat dengan isu-isu sensasi ini. Percayalah Umno akan terus menerus memainkan isu seperti ini kerana bagi Umno undi adalah segala-galanya. Bagi mendapatkan undi matlamat menghalalkan cara. Umno tidak akan peduli sama ada isu yang dimanipulasi itu selaras dengan syara’ atau tidak.

Lihatlah pendirian Umno dalam isu kalimah Allah di dalam akhbar the Herald. Emosi mengatasi ilmu. Lihat pula dalam isu kuil dan memijak kepala lembu . Sekali lagi perasaan mengatasi ilmu pengetahuan. Lihat pula isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Umno tidak peduli seerah dan sunnah Rasulullah s.a.w . Lihat pula isu khutbah. Umno seronok memfitnah di dalam bulan yang penuh barakah.

Tuesday, August 17, 2010

SELAMAT MEMBULI PENEROKA MR PRIME MINISTER !

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Bagi menunjukkan kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak peka dengan penderitaan para peneroka Felda , penero ka dijanjikan oleh Najib untuk diberi RM 350 bagi setiap peneroka yang berupa bayaran khas untuk hari raya aidilfitri. Dilaporkan bahawa 101,391 peneroka Felda akan mendapat bayaran tersebut ( lihat The Star 14/8/2010 )

Bagi kita Pas, segala bayaran yang boleh mengurangkan beban para peneroka amat-amat kita alukan. Namun yang kita tidak boleh terima sama sekali mengapakah seramai 11, 244 peneroka yang memilih untuk tanam semula secara sendiri dan tidak melalui Felda hanya akan diberikan RM 150 sahaja untuk hari raya aidilfitri nanti .

Tiada sebarang alasan mengapakah para peneroka yang yang memilih untuk tanam semula secara sendiri dan tidak melalui Felda hanya akan diberikan RM 150 sahaja sedangkan rakan-rakan mereka mendapat RM 350-00 dari pihak Felda. Kalau ini bukan diskriminasi apa nak kita namakan dengan tindakan ini ?

Apa guna kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang jika Kerajaan dengan secara mudah dan tanpa rasa bersalah terus menerus melakukan tindakan diskriminasi sesama peneroka.

Memanglah kita tidak boleh harapkan Kerajaan Najib untuk takut pada Allah kerana bertindak zalim ke atas peneroka dengan mendiskriminasi sesama mereka – yang tanam semula dengan Felda dapat RM 350 dan yang tanam semula secara sendiri hanya dapat RM 150-00 sahaja- namun sekurang-kurangnya kita masih harapkan Kerajaan Najib ini masih boleh berfikir dan bertindak secara rasional dan dalam kerangka Perlembagaan.

Nampaknya tindakan terbaru Najib ini mengesahkan bahawa rakyat tidak boleh mengharapkan pemimipin No 1 Umno dan Negara ini untuk hormati ayat Al-Quran yang melarang umatnya melakukan kezaliman . Hatta untuk mengharapkan mereka Najib menghormati Perlembagaan pun jauh panggang dari api. Kesimpulannya Najib tidak mesra Perlembagaan jauh sekali mesra Al-Quran.

Harus diingat apabila para peneroka memilih untuk tanam secara sendiri dan tidak melalui Felda ( selepas pokok mereka ditebang ) para peneroka hakikatnya hanya melaksanakan opsyen yang Felda berikan kepada mereka. Felda sendiri sebenarnya telah memberikan pilihan kepada para peneroka untuk menanam semula secara sendiri.

Hakikatnya mereka yang menanam semula secara sendiri telah dijanjikan oleh Felda untuk diberikan wang sebanyak RM 1700 seekar bagi menanggung perbelanjaan kerja-kerja tanam semula.

Mantan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gadam dan juga Pengerusi Felda Holdings Yusuf Noor pernah membuat kenyataan di akhbar dan memberi jaminan bahawa peneroka-peneroka yang memilih untuk menanam semula secara sendiri berhak mendapatkan wang mereka daripada tabung tanam semula.

Melalui mesyuarat antara Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia ( PKPKM ) dengan Kementerian Perusahaan Utama yang turut dihadiri oleh wakil Felda pada 11/1/2001 , Felda bersetuju memulangkan kembali wang daripada tabung tanam semula kepada peneroka yang sudah menjelaskan bayaran skim Felda tidak kira sama ada mereka membuat tanam semula secara bersendiri atau menerusi Felda dan jumlah wang yang akan dikembalikan ialah RM 1,700.00 setiap ekar.

Sebenarnya para peneroka yang menanam semula secara sendiri dalam banyak hal didiskriminasi. Mereka bukan sahaja didiskriminasi dalam isu pemberian duit raya tapi juga dalam perkara yang lain.

Ada para peneroka yang terpaksa pergi ke Mahkamah bagi mendapatkan wang RM 1700 seekar . Pada masa ini saya sedang mewakili 24 peneroka Air Tawar 5 Kota Tinggi, Johor dan 11 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 yang dinafikan oleh Felda bagi mendapatkan wang dari tabung tanam semula sebanyak RM 1700 seekar tersebut. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedih dan pilunya melihat para peneroka yang sudah lanjut umur dan ada yang sudah uzur bersusah payah memanjat tangga Mahkamah bagi mendapatkan hak mereka.

Meskipun Felda dan Najib terus menerus memberikan janji manis bahawa peneroka yang tanam semula secara sendiri akan diberikan wang dari tabung tanam semula sebanyak RM 1700 seekar namun apabila tiba waktu perlaksanaan janji tersebut maka peneroka akan dikenakan pelbagai syarat melalui beberapa Pekeliling yang dikeluarkan oleh Felda dari semasa ke semasa. Sekejap Pekeliling TBB –Operasi 4/2004, kemudian Pekeliling TBB –Operasi 2/2005, kemudiannya Pekeliling TBB –Operasi 2/2006 dan kemudiannya Pekeliling TBB –Operasi 2/2008 pula. Meskipun wang tabung tanam semula adalah hasil caruman para peneroka namun apabila tiba waktu membuat Pekeliling –Pekeliling tersebut kita tidak nampak kepentingan dan hak para peneroka yang menanam semula secara sendiri benar-benar dijaga.

Apabila peneroka memilih tanam semula melalui Felda, ironinya Felda juga menggunakan wang dari tabung tanam semula. Jadi kita tidak faham mengapakah apabila pihak peneroka menanam secara sendiri ada dari mereka yang dinafikan hak oleh Felda untuk mendapatkan wang tersebut sedangkan kesemua mereka adalah peneroka tanpa mengira yang tanam sendiri atau yang tanam melalui Defendan.

Wang tabung tanam semula adalah milik para peneroka di mana wang itu diambil dari potongan hasil peneroka setiap bulan dan bayaran tersebut dinyatakan secara spesifik di dalam Penyata Bayaran Hasil yang peneroka terima dari Felda.

Sebenarnya para peneroka mempunyai alasan yang kuat untuk tidak mahu tanam semula melalui Felda. Para peneroka sebenarnya tidak mahu berhutang semula dengan Felda sepertimana yang mereka pernah alami sebelum mereka mendapat Hakmilik Geran hartanah mereka. Mereka yang tanam semula melalui Felda ,meskipun mendapat bantuan Felda akan terpaksa membayar kembali bantuan tersebut bersama-sama dengan kadar faedah ( baca riba ) yang mana kadar itu boleh diubah dari semsa ke semasa.

Para peneroka yang tanam semula melalui Felda tidak boleh campurtangan berkenaan rundingan harga jualan hasil tanaman mereka yang dilakukan oleh pihak Felda dengan pihak Kilang.

Untuk Najib – selamat membuli para peneroka !!!

Monday, August 02, 2010

SAMAN EKOR-POLIS JANGAN JADI MAFIA !!!

OLEH : MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN

Apabila kita bercakap tentang saman ekor kita sebenarnya bercakap tentang kegagalan pihak polis memahami prinsip keadilan asas di dalam undang-undang jenayah iaitu seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Prinsip ini boleh dikatakan bersifat sejagat dan dipakai di serata dunia.

Hakikatnya prinsip asas ini sahajalah yang boleh melindungi pencabulan hak rakyat oleh pihak Negara. Di dalam kes jenayah pendakwaan dilakukan oleh Negara . Negara yang gagah kerana mempunyai segala sumber di dalam genggamannya seperti polis dan agensi-agensi lain dibenarkan oleh undang-undang untuk membawa rakyat yang lemah ke muka pengadilan. Rakyat yang lemah sudah tentu tidak berupaya untuk melawan Negara yang gagah dan perkasa serta kaya dengan segala sumber kekuatan dan prasarana. .

Oleh itu satu-satunya senjata yang boleh melindungi rakyat dari ‘serangan” Negara adalah prinsip asas yang saya nyatakan tersebut iaitu seseorang dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Dengan bersandarkan prinsip ini rakyat boleh menyatakan kepada Negara lebih kurang begini “ saya tahu kamu ( Negara ) ada segala kekuatan untuk membawa saya ke muka pengadilan , maka saya menuntut kamu wahai Negara untuk membuktikan bahawa saya benar-benar bersalah , kerana jika kamu tidak ada bukti untuk mensabitkan saya bersalah kamu janganlah menganggu kehidupan saya.”

Amat malang saman ekor membunuh prinsip asas tersebut. Saman ekor memberi erti rakyat adalah dianggap bersalah maka rakyat yang kena buktikan bahawa mereka tidak bersalah.

Bagi saya saman ekor adalah manifestasi penyalahgunaan kuasa dan undang-undang bagi mendapatkan faedah kewangan secara tidak sah. Dengan kata lain saman ekor adalah jalan pintas bagi Negara di bawah BN untuk mengambil wang rakyat secara paksa. Kalau di zaman feudal raja yang zalim bertindak meminta rakyat membayar ufti bagi menjamin keselamatan mereka, maka saman ekor adalah ufti versi baru yang dikutip dari rakyat oleh “neo feudalist” dengan berselindung di bawah ketiak undang-undang yang dinamakan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa pihak mereka akan tetap meneruskan saman ekor terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas . Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, tindakan itu untuk memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab. PDRM juga pada masa sama, menurutnya, akan menyenaraihipemilik kenderaan yang gagal melunaskan saman selepas tiga bulan notis diserahkan. Abdul Aziz berkata, tindakan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mengikut kedua-dua seksyen terbabit, polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) boleh menyenaraihitamkan pemilik kenderaan sekiranya mereka masih ada urusan (saman) yang belum diselesaikan dengan polis atau JPJ, maka mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini ( Utusan10/7/2010 )

Nampaknya pihak polis menafsir seksyen 17 dan seksyen 29 ( 1A ) Akta tersebut secara harfiah iaitu jika pemilik kenderaan yang memohon untuk memperbaharui cukai jalan [ seksyen 17 ] dan lesen memandu [ seksyen 29 ( 1A ) ] dan didapati mereka masih ada kes tertunggak dengan JPJ atau Polis berkaitan dengan pelanggaran atau kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta Pelsesenan Kenderaan Perdagangan 1987 maka permohonan pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu boleh ditolak.

Untuk pihak polis yang tidak terlatih di dalam bidang undang-undang sayugia diingatkan tidak semua peruntukkan undang-undang boleh dibaca secara harfiah kerana ada masanya jika kita membaca secara harfiah ia boleh memberi makna yang tidak munasabah sekaligus mewujudkan ketidakadilan.

Bagi pihak polis apabila pemilik ada saman ekor dan masih belum dibayar ia secara ipso facto ( dalam keadaan begitu ) bererti pemilik kenderaan dikira ada kes tertunggak dan sekaligus lesen memandu dan cukai jalan tidak boleh diperbaharui melainkan dibayar kompaun saman ekor itu terlebih dahulu.Tafsiran harfiah pihak polis tersebut jelas bertentangan dengan prinsip asas undang-undang jenayah yang saya sebut di awal artikel ini iaitu seseorang dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah.

Seksyen 17 dan 29 ( 1A ) bukan hanya bercakap tentang pemilik kenderaan mempunyai kes tertunggak dan kemudian full stop. Kedua-dua seksyen tersebut sebaliknya bercakap tentang pemilik kenderaan ada kes tertunggak berkaitan dengan pelanggaran dan kesalahan di bawah Akta.
Jadi kalimah yang penting di sini dan perlu diambil perhatian adalah kalimah “ berkaitan dengan kesalahan dan pelanggaran Akta”.

Persoalannya adakah hanya kerana seseorang dikenakan saman ekor maka ia secara automatik dikira bersalah di sisi undang –undang ? Kalau itu tafsiran polis maka tidak perlulah ada pendakwaraya, peguambela , Mahkamah atau juri. Lebih baik polis menjadi pendakwaraya, peguambela, mahkamah dan juri sekaligus.

Sudah tentu tafsiran yang munasabah adalah pelanggaran dan kesalahan yang dinyatakan di dalam seksyen 17 dam 29 (1A ) tersebut adalah semestinya bermaksud kesalahan dan pelanggaran yang telah dibuktikan mengikut prinsip dan prosedur undang-undang, Sebab itu di dalam undang-undang mereka yang ditangkap dipanggil suspek manakala mereka yag didakwa di mahkamah dipanggil tertuduh. Hanya setelah tertuduh didapati bersalah barulah orang yang dituduh itu dipanggil orang yang bersalah dan hanya orang bersalah baru layak dihukum sama ada hukuman denda atau penjaran atau sebagainya.

Jika kita ikut logik polis di dalam kes saman ekor mereka yang disaman itu adalah dikira orang bersalah yang demikian ia wajib membayar denda/kompauan jika tidak akan disenaraihitamkan.
Sesuatu kesalahan atau pelanggaran undang-undang hanya boleh dibuktikan di Mahkamah mengikut lunas undang-undang. Ini bermakna hanya seseorang itu dikenakan saman ekor tidak boleh dengan sendirinya membawa maksud beliau bersalah kerana kesalahan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu.

Polis menyatakan bahawa pengguna yang disenarai hitam adalah mereka yang melakukan dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju serta melanggar lampu isyarat.Polis menyatakan bahawa pihak mereka mempunyai bukti seperti rakaman gambar kesalahan setiap pengguna sebelum mengeluarkan saman tersebut . Polis menyatakan bahawa sekiranya pemilik kenderaan itu tidak memberi sebarang maklum balas, maka pihak polis beranggapan pemilik terbabit benar melakukannya dan diminta untuk membayar saman berkenaan.

Jawapan kita tentang alasan tidak cerdik polis itu mudah sahaja. Kalau polis mendakwa mereka ada bukti mengapa polis tidak berani bawa bukti tersebut di Mahkamah iaitu dengan mendakwa orang yang melakukan kesalahan tersebut. Hanya kerana polis menyatakan ada bukti tidak bermakna bukti tersebut mesti diterima oleh Mahkamah. Berapa banyak kes yang polis bawa bukti tetapi Mahkamah tolak bukti tersebut yang mengakibatkan kes ditolak oleh Mahkamah.

Polis kena faham sebarang bukti yang mereka katakan itu hanyalah bukti yang belum diuji lagi. Maka kaedah untuk menentukan sama ada bukti itu boleh diterima atau tidak, pihak yang disaman ekor itu mestilah diberi peluang untuk mempertikaikan bukti polis itu dan ini hanya boleh dilakukan di Mahkamah. Meminta orang membayar denda/kompaun dalam keadaan ia belum dibuktikan bersalah adalah satu peras ugut. Peras ugus adalah kerja mafia bukan polis !!!