Tuesday, April 22, 2008
MB DAN UMNO TERENGGANU LAYAK DIGELAR BADUT POLITIK
Pengumuman Menteri Besar Terengganu berkaitan dengan isu royalti petroleum di Terengganu adalah jenaka politik yang terbaru yang dimainkan oleh UMNO Terengganu.
Secara tiba-tiba UMNO Trengganu melalui Menteri Besarnya menyatakan :-
" the time had come for the annual 5% oil royalty, which was withdrawn in 1999 when PAS captured the state and restored later as the Federal Government Special Fund,
to be fully managed by the state government to carry out more development projects.We want to be frank. We expect the (royalty) money to be given to us,” ( lihat Star 21 April 2008 )
( Terjemahan : Masa dah tiba untuk bayaran royalti minyak sebanyak 5% yang ditarik baik apabila PAS menawan negeri tersebut dan dikembalikan semula sebagai wang pembiyaan ehsan untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan banyak lagi projek pembangunan. Kami ingin berterus-terang. Kami harapkan wang royalti diberikan kepada kami." )
Ha ha ! Secara tiba-tiba wang ehsan bertukar jadi royalti semula !! Bukankah dulu UMNO Trengganu sendiri merestui tindakan Dr Mahathir menghentikan pemberian royalti petroleum kepada Kerajaan Trengganu selepas Terengganu diambil alih oleh PAS. Di manakah suara Ahmad Said ketika itu ? Apabila mantan MB Trengganu Tan Sri Wan Mokhtar sendiri merestui tindakan Dr Mahathir merampas wang royalti Terengganu, meskipun beliau sendiri yang menandatangani perjanjian royalti dengan Petronas, tiada suara daripada UMNO Terengganu yang menemplak atau mengkritik tindakan Wan Mokhtar tersebut. Bagi UMNO Terengganu ketika itu pertukaran royalti ke wang ehsan adalah satu "loteri" yang membawa kegembiraan. UMNO Terengganu dapat menghidu projek yang banyak daripada pertukaran tersebut !! Motto UMNO Terengganu pada masa itu : persetankan hak rakyat, kantong kami lebih utama !!!
Rakyat tentu tidak lupa pengkhianatan UMNO yang bacol dan berpolitik sempit apabila enggan bersuara jauh sekali menentang tindakan Kerajaan Pusat ( yang juga dikuasai UMNO ) yang secara tiba-tiba merampas harta rakyat Terengganu. Jika tidak kerana pengkhianatan dan politik sempit sudah tentu pemimpin UMNO Terengganu , tanpa melihat siapa atau parti mana yang memerintah Terengganu , bangun berdiri menentang rampasan harta royalti petroleum berbilion ringgit yang menjadi hakmilik rakyat Terengganu.
Sebagai rekod , hak rakyat Terengganu kepada royalti adalah satu hak yang dijamin oleh undang-undang kerana terdapat satu perjanjian yang jelas dan sah ditandatangani oleh Petronas dan Kerajaan Terengganu seawal tahun 1975. Disebabkan terdapat perjanjian yang sah dan mengikat kedua-dua pihak ( Petronas dan Kerajaan Trengganu ) , Ketua Eksekutif Petronas sendiri iaitu seorang tokoh korporat yang amat profesional dan tahu serta faham apa itu perjanjian yang sah, telah menyatakan ( semasa isu rampasan royalti berlaku ) bahawa Petronas tetap akan membayar wang royalti Petroleum kepada Trengganu kerana seperti mana katanya :-
"For as long as oil is produced, royalty will be paid to the state and the royalty amount, accrued or due is RM810 million, which is 5% of the value of oil and gas produced"
( Terjemahan : Selagi mana minyak dikeluarkan, royalti akan dibayar kepada negeri (Terengganu ) dan jumlah royalti yang tertunggak adalah sebanyak RM 810 juta iaitu 5 peratus daripada nilai minyak dan gas yang dikeluarkan )
UMNO Terengganu sepatutnya merasa malu kerana hak royalti rakyat Terengganu dipertahankan oleh seorang tokoh korporat yang amat profesional yang telah berjaya meletakkan Petronas satu-satunya syarikat di Malaysia yang berjaya dan telah disenaraikan dalam 500 syarikat berjaya di dunia dalam "Fortune 500 company". Sehingga Mac 2000 ( apabila wang royalti dirampas ) Terengganu telah menerima sejumlah 7.13 billion ringgit wang royalti yang dibayar sejak tahun 1978 .
Ahmad Said kini mengeluh bahawa wang royalti disalurkan secara terus kepada Kementerian yang melaksanakan projek tanpa sebarang rundingan dengan Kerajaan Negeri yang mengakibatkan , katanya, banyak projek yang dilaksanakan tidak memberi kesan atau impak besar kepada rakyat kerana kehendak rakyat tidak diambil kira.
Jawapan saya kepada keluhan Ahmad Said itu : Wahai Ahmad Said , inilah wajah UMNO yang sebenar. Sejak bila UMNO mengambil tahu tentang keperluan rakyat ? Kalau UMNO ambil tahu penderitaan dan kehendak rakyat sudah tentu 5 negeri tidak jatuh kepada pakatan rakyat.
Jika Ahmad Said dan UMNO Trengganu sendiri tidak dapat mempertahankan hak rakyat Trengganu untuk terus menerima royalti meskipun di perintah oleh PAS pada tahun 1999, Ahmad Said dan UMNO Trengganu hilang kelayakan untuk berrcakap soal royalti dan hak rakyat Terengganu. Untuk Ahmad Said dan UMNO Terengganu jawablah saoalan-soalan ini :-
-Tidakkah Ahmad Said dan pemimpin UMNO sendiri selama ini bersetuju dengan pertukaran nama wang royalti kepada wang ehsan sekaligus mengenepikan perjanjian yang sah ?
-Tidakkah Ahmad Said dan UMNO Trengganu hanya berdiam diri semasa Rais Yatim menyatakan tidak ada perjanjian royalti , yang ada hanyalah MOU ( Memorandum of Understanding ) ?
-Di manakah UMNO Terengganu dan Ahmad Said apabila Kerajaan PAS Terengganu terkapai-kapai keseorangan mempertahankan royalti -hak rakyat Trengganu- di dalam dan luar Mahkamah ?
-Di manakah maruah dan harga diri Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila melihat rakyat di luar Terengganu yang sanggup disembur air dan diperlakukan secara kasar oleh polis demi menyokong dan mempertahankan royalti minyak yang menjadi milik rakyat Terengganu ?
-Di mana maruah Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila Kerajaan Pusat yang juga diterajui UMNO tidak langsung mengganggu jauh sekali merampas royalti minyak di Negeri Sabah dan Sarawak yang juga mempunyai perjanjian royalti yang sama dengan Petronas sepertimana perjanjian royalti Kerajaan Terengganu dan Petronas ?
-Di manakah suara Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila pada bulan Sept 5, 2000, Kementerian Kewangan mengumumkan wang royalti akan disalorkan secara terus kepada rakyat melalui projek pembangunan dan tidak lagi akan diberikan kepada Kerajaan Negeri Trengganu ?
-Di mana Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila Dr Mahathir mengambil tindakan secara unilateral tanpa merujuk kepada Petronas dan Peguam Negara menarik balik royalti dengan alasan pemberian royalti yang menjadi hak milik rakyat Terengganu adalah satu kesilapan ?
-Tidakkah Ahamd Said dan UMNO Trengganu sendiri terlibat secara langsung atau secara tidak langsung menggunakan wang royalti ( yang dianggap sebagai wang ehsan ) untuk mengumpan rakyat Terengganu bagi mendapatkan sokongan dan meraih undi rakyat Terengganu yang miskin dan terdesak ?
Selagi UMNO Trengganu dan Ahmad Said tidak dapat menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan di atas, kata-kata Ahmad Said dan UMNO Terengganu terhadap isu royalti tiada sebarang nilai. Bagi kami kamu hanya layak digelar Badut Politik ( Political Clown ).
Monday, April 07, 2008
ZAID JUGA PERLU MINTA MAAF
Di dalam kenyataaan akhbar selepas dilantik sebagai Menteri di Jabatan
Perdana Menteri,Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Kerajaan
seharusnya meminta maaf kepada Tun Salleh Abas di atas kesilapan memecat bekas
Ketua Hakim Negara 20 tahun yang lalu.
Zaid berkata " ia merupakan kesalahan besar yang meningggalkan
kesan sehingga hari ini. Tindakan tersebut juga memalukan negara apabila
dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia."
Beliau seterusnya berkata " Pada pendapat saya kesilapan besar
kita ialah Kerajaan memecat Tun Salleh Abas dan melantik hakim-hakim yang
tidak berkebolehan serta ada unsur rasuah." (Mingguan Malaysia
23/3/2008 m/s 3 )
Kenyataan Zaid wajar disokong kerana perbuatan meminta maaf di atas
kesilapan yang dilakukan adalah suatu tindakan yang mulia apatah lagi
kalau ianya datang dari ahli politik. Semua tahu ahli-ahli politik UMNO
paling sukar untuk meminta maaf meskipun mereka melakukan kesilapan yang
yang nyata dan jelas.
Meskipun meminta maaf kepada Tun Salleh Abas adalah satu tindakan yang
betul dan sepatutnya telah dilakukan lebih awal lagi namun ianya tidak
boleh berakhir di situ.
Dengan mengakui kesilapan di atas pemecatan Tun Salleh , Kerajaan BN
sewajarnya melakukan perkara-perkara berikut iaitu sama ada mengkaji
semula pemecatan tersebut dengan membicarakan semula kes Tun Salleh atau
mengembalikan semula segala faedah yang dinafikan ke atas Tun Salleh
seperti pencen dan sebarang emolumen yang beliau berhak menikmatinya
sekiranya pemecatan tersebut tidak berlaku.
Hanya jika Kerajaan bersedia melakukan salah satu dari dua perkara di
atas barulah pengakuan kesilapan dan minta maaf dari pihak Kerajaan
benar-benar bermakna. Jika tidak, ucapan minta maaf tersebut adalah satu
ucapan kosong yang tidak bermakna.
Selain daripada itu Zaid juga seharusnya " walk the talk" (
cakap serupa bikin ) . Kalau dia berani menyarankan Kerajaan BN untuk
memohon maaf kepada Tun Salleh, beliau sendiri juga seharusnya bersedia
berbuat demikian kepada Kerajaan Kelantan dan rakyatnya.
Bagi saya, Zaid juga telah melakukan kesilapan yang yang lebih besar
dan serius. Kita tentu masih ingat bagaimana Zaid dengan berani mencabar
di Mahkamah Persekutuan Enakmen Jenayah Syariah 11 yang memperuntukkan
undang-undang hudud,qisas dan taazir yang digubal oleh Kerajaan Islam
Kelantan.
Sebagai seorang Islam , kita tidak boleh mengengkari kewajipan
melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang diwajibkan oleh Allah di dalam
Al-Quran dan Al-Sunnah. Berdosa hukumnya kita menentang apatah lagi
mencabarnya di Mahkamah. Sebagai orang Islam dan peguam,Zahid sepatutnya
memikirkan bagaimanakah Enakmen tersebut dapat dilaksanakan . Apa yang
berlaku beliau berusaha keras supaya ianya digagalkan.
Zaid dengan secara berani sanggup mencabar undang-undang Islam tersebut
di Mahkamah dengan harapan undang-undang tersebut boleh diisytiharkan
tidak sah dan terbatal oleh Mahkamah.
Walau apa pun alasan dan niat Zahid berbuat demikian, tindakan beliau
sebagai seorang yang mengakui dirinya seorang Islam, adalah satu
tindakan yang amat tidak wajar. Kita tidak terkejut sekiranya Samy Vellu atau
Ong Kah Teng atau Lim Kit Siang yang mencabar undang-undang Syariah
namun apabila Zaid Ibrahim dari parti UMNO yang menentang ianya
menimbulkan seribu persoalan.
Tindakan Zaid mencabar Enakmen Jenayah Syariah 11 Kelantan menunjukkan
Zaid tidak menghormati kehendak dan pilihan rakyat Kelantan yang
merestui hukum Islam dilaksanakan kepada mereka apabila rakyat Kelantan
memberi mandat kepada PAS untuk memerintah Kelantan sejak tahun 1990. Hasrat
untuk melaksanakan undang-undang Islam tersebut dinyatakan di dalam
manifesto PAS Kelantan yang disokong dengan bulat oleh rakyat Kelantan.
Meskipun Zaid dilaporkan telah menarik balik kes tersebut di Mahkamah
namun tindakan tidak bertanggungjawab beliau tetap menghiris dan
menyakitkan hati nurani orang Islam khususnya umat Islam di Kelantan.
Tidak cukup dengan bertindak mencabar keesahan Enakmen tersebut,.Zaid
juga dengan niat yang jahat telah mengelirukan orang ramai di negara ini
apabila beliau bersama-sama Azalina Othman menuduh secara membabi buta
dan memfitnah bahawa undang-undang hudud yang Kerajaan PAS Kelantan
gubal menghalalkan liwat ke atas isteri .
Kenyataan beliau tersebut telah benar-benar mengelirukan orang ramai
khususnya mereka yang jahil tentang hukum hudud. Jelas ia dibuat untuk
menunjukkan kepada rakyat bahawa undang-undang Islam yang digubal oleh
PAS adalah zalim dan berat sebelah.
Saya sendiri telah menulis secara panjang menyangkal tuduhan jahat Zaid
Ibrahim tersebut. Apa yang sebenarnya berlaku liwat ke atas isteri
adalah salah tetapi tidak boleh dikenakan hukum hudud kerana ada unsur
syubhat. Enakmen tersebut sendiri memperuntukkan bahawa mana-mana
kesalahan yang boleh dihukum dengan hukum hudud akan hanya dikenakan hukum
taazir sekiranya syarat-syarat tidak mencukupi atau sekiranya terdapat
syubhat.
Yang lebih malang apabila saya mencabar Zaid memeriksa undang-undang
yang digubal oleh BN di Wilayah Persekutuan yang hanya menakrifkan liwat
hanya terhad kepada hubungan sesama lelaki sahaja sekaligus
menghalalkan liwat sesama perempuan termasuk isteri, beliau hanya berdiam diri dan
tidak dapat menjawab.
Zaid juga di dalam temuramahnya dengan majalah Off The Edge telah
memperlekehkan pengharaman makyong dan manora di Kelantan. Jelas banyak yang
Zaid lakukan untuk menentang perlaksanaan syariah di Kelantan.
Sehingga kini Zaid masih tidak memohon maf kepada orang Islam khususnya
umat Islam Kelantan di atas tindakan -tindakan beliau yang telah saya
nyatakan di atas.
Kalau Zaid ikhlas dalam kenyataannya meminta Kerajaan BN memohon maaf
beliau juga sewajarnya memohon maaf secara terbuka kepada Kerajaan
Kelantan dan umat Islam di Kelantan .
Di sini saya juga memohon agar pimpinan Pas Kerajaan Kelantan di bawah
pimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat agar tidak lupa dengan
tindakan Zaid yang telah saya sebut di atas. Dengan rendah diri saya memohon
jagalah hati dan perasaan umat Islam yang terhiris dengan segala
serangan yang Zaid lakukan ke atas perlaksanaan Islam di Kelantan. Biar apa
pun niat Tuan Guru berjumpa ,duduk semeja dan bertukar senyum dengan Zaid
, kami sangat mengharapkan hati dan perasaan umat Islam yang lain juga
jangan dilupakan. Itulah permintaan kecil kami kepada Tok Guru yang
kami hormati dan cintai.
Jangan sempitkan definisi menyerang Islam
oleh : Mohamed Hanipa Maidin