OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Tindakan BPR ingin menyiasat Presiden Parti SAPP Datuk Yong Teck Lee hanya mengundang kepada persepsi bahawa badan tersebut tidak bebas di dalam melakukan siasatan. Susah untuk rakyat menolak tindakan SPR itu adalah bermotifkan politik semata-mata.
Dalam dunia politik di mana persepsi adalah lebih penting dari realti rakyat berhak mempersoalkan kejujuran BPR ingin menyiasat Datuk Yong Teck Lee. Isunya amat mudah : adakah Datuk Yong akan disoal oleh BPR jika beliau tidak mendedahkan hasrat partinya untuk membawa undi tidak percaya kepada Abdulllah Badawi ?
Trend terbaru BPR ini –menyiasat mana-mana individu yang dilihat mengancam BN atau Perdana Menteri –tidak memberi imej yang baik ke atas badan tersebut . Ini kerana BPR bukan sahaja diharap bebas tetapi hendaklah dilihat bebas. Tanpa kebebasan, BPR tidak berguna di mata masyarakat.
Kita tentu tidak lupa bagaimana apabila timbul isu pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Trengganu yang dilihat menentang keputusan Abdullah Badawi yang mahukan Idris Jusuh sebagai Menteri Besar, Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu ( yang tidak dinamakan ) juga sedang disiasat BPR berhubung beberapa projek di Kijal.
Ramai pada ketika itu membuat ramalan Datuk Ahmad Said adalah ahli politik tersebut. Walau siapa pun individu tersebut tindakan BPR yang hanya menyiasat tokoh politik apabila sesuatu isu berkaitan ancaman kepada BN timbul mengundang pelbagai reaksi yang negatif terhadap badan tersebut. Ia hanya menguatkan persepsi BPR adalah pak turut BN.
Mungkin lebih baik jika BPR menyiasat Isa Samad yang baru lepas edah penggantungan oleh UMNO. Meskipun hukuman ke atas Isa Samad telah berakhir ianya tidak bermakna Isa adalah pemimpin yang bersih dari rasuah. Sebagai satu peringatan pada 25 hb Jun 2005 Abdullah telah menyatakan BPR boleh menyiasat kes rasuah politik membabitkan Mohd.Isa. ( lihat Utusan Malysia 26/6/2005 ).
Memandangkan Lembaga Disiplin UMNO mempunyai bukti-bukti yang kukuh bagi mendakwa Isa dengan tuduhan rasuah politik wang , tidak ada sebab untuk BPR menghadapi masalah untuk melakukan penyiasatan ke atas Isa.
BPR mempunyai kuasa yang luas di bawah Pencegahan Rasuah 1997 (Akta No. 575 ) iaitu di bawah seksyen 22 (1) Akta tersebut untuk memanggil kesemua ahli lembaga disiplin UMNO bagi mendapatkan maklumat berhubung kes Isa tersebut dan tidak timbul ahli-ahli lembaga disiplin tidak mahu memberi kerjasama kepada BPR bagi tujuan tersebut.
Abdullah sendiri ketika ditanya oleh wartawan sebelum ini mengapakah kes Isa mengambil masa begitu lama untuk disiasat, berkata, Lembaga Disiplin terpaksa mengambil kira dan menghalusi semua maklumat.
Beliau berkata ``Kes (Mohd.) Isa bukan diputuskan dalam masa sehari tetapi telah disiasat dan dihalusi sejak Oktober tahun lepas,'' ( lihat Utusan Malaysia 30/6/2005 ).
Kenyataan Abdullah itu membuktikan siasatan telah dilakukan terperinci dan sudah tentu dengan bukti yang kukuh dan kuat.
No comments:
Post a Comment