Saturday, September 22, 2007

UNDANG-UNDANG MANUSIA TIDAK BERSTAMINA MEMBENDUNGJENAYAH

oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Kadar jenayah yang semakin tinggi di negara ini adalahsatu fakta yang tidak boleh disembunyikan. Ia bukan sahaja mencemaskan rakyat negara ini malahan sedikit sebanyak menjejaskan peluang pelaburan asing di negara ini.

Di dalam ucapannya baru-baru ini di Singapura,Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk N.Parameswaran terpaksa menjawab mengenai kebimbangan masalah jenayah di Johor yang ditimbulkan oleh firma-firma perdagangan di Singapura yang sekaligus melewatkan proses pelaburan di Wilayah Pembangunan Iskandar ( WPI ).

Sebagai menjawab isu tersebut, Datuk N. Parameswaran berkata, pihak berkuasa di Malaysia sedang berusaha keras untuk mengatasinya.

Beliau seterusnya berkata :-

“Kami juga mahu tinggal dalam persekitaran yang selamat. Saya kini boleh melihat kegigihan penempatan anggota polis, rondaan, balai polis dan sebagainya,”. ( Mngguan Malaysia 1 September 2007 )

Amat malang sekali meskipun negara kita mempunyai undang-undang jenayah yang agak keras ke atas penjenayah, kadar jenayah masih tidak menurun malahan semakin hari semakin meningkat. Kita tentu masih ingat juga kisah di Johor Bahru di mana masyarakat Cina telah berkumpul di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Johor memprotes tentang kadar jenayah yang tinggi di bandaraya tersebut.

Persoalannya mengapakah penjenayah tidak merasai gerun untuk melakukan jenayah meskipun hukuman terhadap perbuatan jenayah agak keras di negara ini. Ini persoalan yang perlu direnung oleh semua pihak.

Apabila kita bercakap soal jenayah ia meliputi dua perkara iaitu apa yang dipanggil "mens rea" ( niat di hati dan minda penjenayah ) dan "actus reus" ( perbuatan jenayah itu sendiri ). Undang-undang manusia mungkin dapat mengawal actus reus tapi agak sukar untuk mengawal mens rea kerana mens rea melibatkan soal hati manusia. Ia melibatkan soal dalaman yang tidak boleh diterokai oleh undang-undang manusia .

Undang-undang hanya dapat mengawal soal luaran manusia. Atas dasar itulah undang-undang yang dibuat manusia tidak dapat berperanan luas mendidik manusia untuk tidak melakukan jenayah.

Kadar jenayah yang tinggi selalunya cuba diselesaikan dengan meminda undang-undang yang berkaitan agar hukuman yang sedia ada ditambah atau diperkuatkan lagi bagi kononnya menggerunkan penjenayah. Apa yang berlaku bukan penjenayah yang gerun sebaliknya mangsa yang semakin hari semakin gerun kerana berhadapan dengan penjenayah yang tidak ada kegerunanan di dalam hati mereka.

Oleh sebab itu untuk mengawal kadar jenayah tidak dapat tidak kita memerlukan satu sistem yang dapat mengawal kedua-dua perkara iaitu mens rea dan actus reus. Sama ada kita suka atau tidak Islam menawarkan sistem yang terbaik bagi hal tersebut. Sistem yang telah dibuktikan keberkesanannya mengawal jenayah. Ini satu hakikat bukan satu kesombongan.

Mungkin orang akan bertanya kenapa di negara umat Islam seperti di Malaysia kadar jenayahnya masih tinggi. Ini sebenarnya hujah Islam ke atas pemerintah negara umat Islam bukannya hujah kita menolak sistem Islam. Apa yangberlaku di dalam negara umat Islam adalah Islam tidak diberikan peranan yang lebih luas khususnya untuk mentadbir negara.

Perbuatan jenayah bertitik tolak dari mens rea. Dengan lain perkataan hati manusia yang mendorong manusia melakukan jenayah. Hati manusia dikawal oleh akal dan hawa nafsu.

Apabila hawa nafsu mengatasi akal maka manusia terdorong untuk melakukan jenayah. Hawa nafsu manusia diilhamkan untuk melaukan perkara baik ( takwa) dan juga perkara buruk ( fujur ). Pembersihan hati ( tazkiyyah al-Qulub ) adalah satu aspek yang amat dititiberatkan oleh Islam.

Para Rasul diutus antara lain untuk mendidik manusia bagaimanakah untuk membersihkan hati mereka. Hanya Pencipta manusia yakni Allah s.w.t yang tahu "nature" hati manusia dan sekaligus menawarkan cara dan kaedah yang berkesan untuk membersihkan hati manusia.

Sebab itulah di dalam Islam ayat Al-Quran yang menyentuh soal hukum- hakam dan perundangan datang kemudian . Ayat-ayat awal adalah ayat yang diturunkan untuk membentuk dan membersihkan hati manusia dari segala sifat buruk dan keji. Apabila manusia telah bersih hatinya maka amat mudah untuk mereka menerima undang-undang yang dikenakan ke atas mereka.

Maka sejarah Islam telah menyaksikan bagaimana mereka yang melakukan jenayah seperti seorang sahabat bernama Maiz datang sendiri berjumpa Yang Arif Hakim ( iaitu Rasulullah s.a.w sendiri ) bagi membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan jenayah dan meminta Rasulullah s.a.w mengenakan hukuman ke atasnya. Tanpa polis tanpa pendakwa. Ia tidak pernah berlaku dalam mana -mana sistem perundangan manusia.

Apabila hati manusia telah bersih , manusia Arab yang bukan sahaja ketagih arak malahan sampai ke peringkat memuja dan mengagongkan arak melalui syair-syair mereka dengan mudah menerima undang-undang Islam yang mengharamkan arak . Arak yang selama ini dipuja begitu rupa dengan mudah dibuang dari bekasnya apabila datang ayat yang mengharamkan secara total penggunaan arak.

Maka mereka yang sedang menunggak arak dengan pantas membuang gelas-gelas arak yang sedang mereka pegang. Mereka yang menyimpan arak di bejana dan tong-tong arak di rumah-rumah mereka lantas bertindak memecahkan bejana dan tong-tong arak tersebut . Diriwayatkan Kota Madinah dipenuhi dengan limpahan arak. Mereka dengan bangga memecahkan bekas-bekas arak tersebut sambil berteriak" Intahaina Ya Rabb , Intahaina Ya Rabb !! ( Kami dah berhenti , kami dah berhenti Ya Tuhan !!! ). Lihatlah bagaimana hebatnya Islam membendung jenayah . Begitu ekonomikal- tidak perlu berkempen dan menghabiskanberbilion ringgit !!!

Sebagai perbandingan mari kita ihat pula bagaimana negara yang dikatakan hebat dan bertamadun seperti Amerika Syarikat. Amerika pernah berusaha mengharamkan arak . Maka dibuat pindaan ke atas Perlembagaan Negara bagi menggubal satu Akta khusus untuk tujuan itu.

Akta Volstead atau lebih popular dikenali sebagai National Prohibition Act (1919) telah digubal. Akta tersebut antara lain mengharamkan "the manufacture, sale, or transportation ofintoxicating liquors" di Amerika Syarikat. Akta tersebut digubal sempena nama Andrew Volstead, Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Senat . Bagaimanapun " Anti-Saloon League’sWayne Wheeler" yang sebenarnya mendraf undang-undang tersebut.

Berbillion dolar wang negara dibelanjakan untuk melancarkan kempen pengharaman arak tersebut tapi apa yang malang bukan sahaja undang-undang tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah ketagihan arak rakyat Amerika sebaliknya banyak masalah yang timbul dengan adanya Akta Volstead tersebut.

Pengeluaran ,pengeksportan dan pengagihan arak yang sebelumya merupakan satu perniagaan yang sah- telah diambil alih oleh kumpulan penjenayah yang bergelut sesama mereka untuk mengawasai pasaran.

Pergelutan yang ganas tersebutmengakibatkan pembunuhan beramai-ramai ( sebagai contoh kes Al Capone ) . Yang semakin kaya adalah golongan gangster. Ramai juga yang menderita dengan pelbagai penyakit kronik sehingga ada yang menjadi buta kerana menggunakan arak yang dijual di pasar gelap ( blackmarket ) yang tidak dibuat mengikut preskripsi yang betul.

Penguatkuasaan undang-undang tersebut juga amat sukar kerana penguatkuasa undang-undang dengan mudah disogok dan dirasuah oleh golongan gangster yang kaya raya. Mereka yang cuba membantu penguatkuasa akan diancam, diugut dan malahan ada yang dibunuh.

Akhirnya Kongres yang meluluskan Akta berkenaan telah mencadangkan satu pindaaan agar undang-undang tersebut dimansukhkan kerana ternyata ia tidak membawa perubahan bagi mengatasi ketagihan arak rakyat Amerika sebaliknya Akta tersebut makin banyak mendatangkan kesan negatif. Maka terbatallah undang-undang tersebut pada 5 Disember 1933.
Lihatlah perbezaan undang-undang manusia dan undang-undang Islam dan renungkanlah hal tersebut !!!

No comments: