oleh :Mohamed Hanipa Maidin
KERJAYA seorang polis amat dipandang mulia dan suci di dalam mana- mana tamadun manusia apatah lagi Islam.
Tidak dapat dinafikan polis memainkan peranan yang amat besar dalam mengawal keamanan dan membenteras jenayah dalam sesebuah negara. Institusi polis adalah elemen penting dalam mana-mana sistem keadilan.
Atas dasar itu rakyat amat berharap polis menjalankan tugas mereka tanpa rasa gentar dan memihak (without fear and favour) khususnya dalam memerangi jenayah.
Justeru itu juga profesionalisme polis mesti dipertahankan jika pasukan polis ingin dihormati oleh rakyat. Polis tidak harus tunduk kepada mana-mana pihak dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
Malangnya kredebiliti institusi polis di negara ini telah mula diragui dengan berlakunya beberapa insiden yang secara jelas memburukkan imejnya.
Polis tidak lagi dilihat memfokuskan matlamat utamanya iaitu membenteras jenayah dan mewujudkan kestabilan dan keamanan. Jenayah semakin hari semakin meningkat.
Polis pula dengan mudah dirasuah oleh penjenayah-penjenayah besar. Ditekan oleh UMNO, polis sanggup menggadaikan profesionalisme mereka dan dalam keadaan yang tertentu profesionalisme tersebut sedia di"lacurkan" .
Polis semakin hari semakain jelas menunjukkan sikap memihak mereka dan mengamalkan budaya "favouritisme". Musuh Umno- golongan pembangkang- tidak semena- semena juga menjadi musuh polis.Ironisnya semakin banyak kritikan dibuat berhubung amalan buruk pihak polis semakin teruk pula rekod dan kredibiliti polis.
Tragedi berdarah yang berlaku di Batu Buruk,Trengganu baru-baru ini hanya membawa kita kepada satu kesimpulan sahaja- institusi polis semakin hancur. Persoalannya sampai ke tahap mana Umno mahu institusi polis di negara ini terus hancur !!!
Secara jujur memang sukar untuk kita memahami kenapakah dengan tiba-tiba polis bertindak ganas ke atas rakyat Trengganu yang hanya ingin melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang lebih malang lagi adalah dua orang rakyat negara ini iaitu saudara Suwandi Abdul Ghani ,37 dan Muhamad Azman Aziz ,21 telah ditembak dengan peluru hidup dari jarak dekat oleh seorang anggota polis di dalam insiden tersebut.
Yang lebih menghairankan meskipun rakyat yang ditembak oleh polis, namun pihak polis telah bertindak menangkap mangsa tembakan tersebut dan meminta Mahkamah mengeluarkan perintah reman ke atas salah seorang individu yang ditembak oleh anggota polis tersebut.
Maka mangsa yang dibedah di hospital Kuala Trengganu tersebut bukan sahaja menderita kesakitan kerana dibedah untuk mengeluarkan peluru tapi juga terpaksa terbaring di katil dalam keadaan tangannya bergari 24 jam sambil dikawal oleh polis.
Dilaporkan kedua-dua individu tersebut, yang telah menerima rawatan di Hospital Kuala Trengganu dan Kubang Kerian berkemungkinan besar akan didakwa di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara kedua-dua mangsa yang ditembak oleh pihak polis tersebut telah dan akan direman dan berkemungkinan besar akan didakwa di atas tuduhan jenayah di Mahkamah , anggota polis yang menembak mereka berdua dibiarkan bebas tanpa ditangkap,direman jauh sekali untuk didakwa.
Kenapa tidak ditangkap? Alasan polis adalah polis yang menembak kedua-dua individu tersebut melaksanakan hak mempertahankan diri (self or private defence).
Alasan ini sudah tentu adalah satu alasan yang "premature" di peringkat ini kerana forum yang paling layak menentukan sama ada pembelaan self defence itu terpakai di dalam kes ini hanyalah Mahkamah.
Di dalam konteks kes ini ianya bermakna polis tersebut perlu terlebih dahulu didakwa di Mahkamah dan terpulang untuk beliau membangkitkan pembelaan mempertahan diri tersebut di Mahkamah.
Sebagai satu analogi kes , kita tentu masih belum lupa kes Peguam Balwant Singh yang ditangkap dan didakwa kerana menembak seorang penunggang motosika berbangsa India.
Balwant telah ditangkap dan didakwa di Mahkamah Tinggi di atas tuduhan bunuh dan setelah selesai saksi-saksi memberi keterangan, Mahkamah telah mengambil kira isu pembelaan self defence yang dibangkitkan oleh Balwant Singh dan memutuskan pembelaan tersebut terpakai kepada Balwant dan beliau akhirnya dibebaskan.
Jadi jelas penembak harus ditangkap dan didakwa terlebih dahulu sebelum beliau dibenarkan membangkitkan pembelaan mempertahankan diri tersebut.
Di dalam kes Batu Buruk ini bukan sahaja polis yang menembak dua rakyat dari jarak dekat menggunakan peluru hidup (yang boleh menyebabkan kematian) tidak didakwa, tangkap pun tidak!
Tanpa penangkapan dan pendakwaan ke atas polis terbabit , ia menunjukkan bahawa polis bukan sahaja bertindak sebagai penembak tetapi juga bertindak sebagai pendakwa, hakim dan juri sekaligus di dalam isu ini.
Dengan ketiadaan penangkapan dan pendakwaan ke atas pihak polis yang menembak kedua-dua individu tersebut akan mengundang pelbagai spekulasi antaranya sesuatu cuba disembunyikan oleh pihak polis dari pengetahuan umum.
Ia juga akan mewujudkan satu "bad precedent" (duluan yang buruk) bagi kes-kes seperti ini di masa hadapan dan tidak perlu dikatakan ini secara jelas bertentangan dengan prinsip akauntabiliti seorang penjawat awam.
Ia juga membenarkan persepsi orang ramai bahawa polis di Malaysia berbudaya "trigger happy" (gembira menembak orang) sekaligus memburukkan lagi imej dan kredibiliti polis yang sedia buruk.
Demi kepentingan keadilan polis yang terbabit sewajarnya ditangkap, direman dan seterusnya didakwa di Mahkamah dan pendakwaan yang paling munasabah ke atas polis terbabit adalah tuduhan cuba membunuh (attempted murder)!
Bagi saya, polis secara jelas bersalah sepenuhnya di dalam kes ini. Kenapakah mereka harus mengganggu ceramah yang ingin diadakan oleh BERSIH yang hanya ingin menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung tuntutan BERSIH untuk memulihkan sistem demokrasi yang telah tempang di negara ini.
Sebenarnya partai pembangkang seperti PAS bukan ingin sangat berceramah di waktu-waktu malam seperti yang dilakukan sekarang. Pembangkang memilih untuk berceramah di waktu malam ini kerana ini sahaja saluran yang mereka ada. Mereka tidak dibenarkan memiliki akhbar harian,televisyen dan radio yang dikuasai semutlaknya oleh Barisan Nasional (baca Umno.
Berkaitan isu penerangan ini Umno secara jelas mengamalkan dasar apartheid -dasar yang memihak satu pihak dan menindas pihak yang lain.
Walaupun di pentas demokrasi rakyat sepertimana kata seorang Hakim di India "are not required to sing the same song!" di Malaysia demokrasi versi Umno tidak mengiktiraf rakyat menyanyi lagu lain selain lagu untuk setia kepada Umno sahaja - dulu kini dan tak tahu sampai bila!
Jika polis berfikir sejenak hal tersebut sudah tentu mereka tidak sewajarnya menafikan partai pembangkang untuk bersuara . Sistem demokrasi seharusnya membenarkan pembangkang untuk bersuara dan secara timbal balas (reciprocity) rakyat pula hendaklah dibenarkan untuk mendengar suara pembangkang tersebut.
Polis ,saya percaya, mempunyai pengetahuan laporan-laporan yang dibuat oleh Suhakam dan Suruhanjaya Diraja Pembaikan Imej Polis yang ditubuhkan oleh Kerajaan Abdullah Badawi dengan dipengerusikan oleh Mantan Ketua Hakim Negara,Tan Sri Dzaiddin. Laporan-laporan ini secara jelas menyatakan bahawa polis tidak boleh sama sekali menafikan hak berhimpun ke atas rakyat negara ini yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Badan-badan tersebut malahan telah mencadangkan seksyen 27 dan 27A Akta Polis 1967 yang menyentuh soal perhimpunan di tempat awam dan premis persendirian dimansuhkan kerana bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.
Menurut undang-undang pentadbiran, saranan laporan-laporan Suhakam dan Suruhanjaya Diraja tersebut mewujudkan satu "legitimate expectation"(jangkaan yang sah) kepada partai pembangkang dan rakyat untuk mendesak polis mengikut saranan badan -badan tersebut.
Jika rakyat sebagai pembayara cukai tidak mendapat manfaat dari saranan badan -badan tersebut yag beroperasi di atas duit pembayar cukai apa relevannya badan-badan tersebut.
Untuk polis dan UMNO, ingatlah kesabaran rakyat ada hadnya. Jangan undang kemarahan rakyat.
Jadilah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan Polis Raja di Malaysia (PRDM)!
1 comment:
tragedi batu burok sebenarnya adalah tragedi polis burok.. seburok2 org yg terlalu burok, burok lg musa hassan ni..
Post a Comment