Tuesday, May 17, 2005

Khairy “menyalak” pada tempat yang salah

Isu JAWI menangkap orang Islam di pub pada 13 Januari yang lalu masih belum selesai. Kali ini giliran Khairy Jamaluddin, Timbalan Ketua Pemuda UMNO mangambil bahagian mengkriktik JAWI. Beliau malahan menegur rakannya sendiri di dalam Pemuda UMNO iaitu Shamsul Najmi Shamsuddin yang menyokong tindakan JAWI. Khairy menyatakan bahawa tindakan Shamsul tersebut tidak direstui oleh beliau dan Dato’ Hishamuddin sendiri. Itu hanyalah pendapat Shamsul sendiri dan bukannya pendirian Pemuda.

Kesimpulannya Pemuda UMNO tidak menyokong JAWI. Mereka menyokong Jeslina dan yang lain. Bukan secara nyata tetapi secara tersirat. Di dalam kes ini kamu, sama ada menyokong atau menentang JAWI. Tidak menunjukkan pendirian samalah seperti menentang usaha JAWI tersebut. Lagipun apa yang JAWI lakukan adalah sebahagian daripada usaha mencegah kemungkaran .

Komentar utama Khairy kali ini adalah apa yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh yang terdapat di dalam seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 adalah tidak jelas . (lihat Sunday Mail 27/2/2004). Beliau merasakan bahawa peruntukkan tersebut perlu diperjelaskan terlebih dahulu kerana katanya perkataan yang terkandung di dalam peruntukkan tersebut akan ditafsirkan secara subjektif oleh pegawai penguatkuasa Jawi (‘leave too much to the subjective judgment of the JAWI enforcement officers.’). Beliau juga mengeluh tentang tindakan JAWI yang dilihat bersifat diskriminasi dalam menjalankan serbuan. Mengapa, keluh beliau, JAWI tidak membuat serbuan terhadap orang Islam yang bertugas di dalam kapal terbang yang terlibat menjual arak.

Kegagalan Khairy memahami bagaimana sesuatu undang-undang itu digubal dan beroperasi menyebabkan beliau keliru dalam isu ini. Nampaknya komen Khairy berasaskan kepada anggapan atau premis bahawa JAWI yang menggubal Akta yang berkenaan. Itulah sebabnya beliau secara tersirat meminta JAWI menyatakan secara jelas makna kelakuan tidak senonoh (indecent behaviour) yang terdapat di dalam Akta tersebut. Bertolak daripada premis yang salah telah membawa kepada komen yang salah. Beliau terburu-buru membuat komentar tanpa terlebih dahulu menguasai isu yang beliau bicarakan.

Biarlah dijelaskan di sini bahawa undang-undang yang berkaitan bukan digubal oleh JAWI. Tugas utama JAWI hanyalah menguatkuasakan undang-undang tersebut .Apabila undang-undang menyatakan bahawa mempamerkan kelakuan tidak senonoh di tempat awam adalah satu kesalahan tugas JAWI adalah untuk memastikan kesalahan tersebut tidak dilanggar. Sekiranya kesalahan tersebut dilanggar JAWI mempunyai tanggungjawab statutori untuk membawa mereka yang melanggar undang-undang tersebut ke muka pengadilan. Ini dilakukan dengan menangkap dan menahan mereka yang melanggar undang-undang tersebut. Sudah semestinya JAWI harus mematuhi prosedur yang telah ditetapkan semasa tangkapan hendak dilaksanakan. Apabila JAWI berpuashati bahawa terdapat syak wasangka yang munasabah mana-mana orang Islam melakukan kesalahan berkelakuan tidak senonoh di mana-mana tempat awam di Wilayah Persekutuan mereka mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan. Apa yang diperlukan oleh undang-undang bagi memastikan tangkapan itu sah adalah kewujudan syak wasangka yang munasabah (a reasonable suspicion).

Mereka yang ditangkap oleh JAWI adalah dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah. Mereka mempunyai hak untuk diwakili peguambela. Hanya kerana mereka ditangkap tidak bererti mereka telah bersalah. Mahkamahlah yang akhirnya akan menentukan sama ada mereka telah melakukan kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam. UMNO tidak perlu bimbang kerana mereka yang ditangkap perlu dibicarakan terlebih dahulu dan tidak akan di ISAkan. JAWI tahu batasan undang-undang. Sekiranya JAWI bertindak melebihi batas undang-undang terdapat undang-undang yang akan bertindak ke atas JAWI.

Sekira pun makna berkelakuan tidak senonoh adalah tidak jelas di dalam Akta, forum selayaknyanya untuk Khairy menjerit untuk mengadu hal tersebut adalah di Parlimen iaitu tempat di mana undang-undang tersebut diluluskan. Beliau sepatutnya mengadu kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang melebihi dua pertiga bilangannya itu untuk menyatakan dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan berkelakuan tidak senonoh tersebut. Sekiranya makna perkataan tersebut masih lagi tidak jelas di dalam Akta yang berkenaan, pindaan perlu dilakukan untuk menjelaskan makna perkataan tersebut. Janganlah menjadi bahan ketawa orangramai dengan “menyalak” pada tempat yang salah. “Menyalak”lah pada ahli-ahli Parlimen kamu sendiri dan bukannya kepada JAWI.

Mengenai cadangan Khairy bahawa JAWI sepatutnya pergi membuat serbuan dan tangkapan di dalam kabin kapalterbang persoalan yang harus ditanya mengapa JAWI? Mengapa tidak disuruh Kerajaan Islam Hadhari untuk mengeluarkan arahan yang tegas melarang hidangan arak di dalam kapalterbang? Atau mungkinkah arak bukan najis yang haram di dalam Kerajaan Islam Hadhari? Adalah suatu yang tidak munasabah untuk meminta sesuatu institusi yang kurang berkuasa seperti JAWI untuk bertindak kepada Syarikat Kapalterbang seperti MAS dalam keadaan terdapat badan yang lebih berkuasa iaitu Kerajaan sendiri untuk bertindak di dalam isu menghidangkan arak di dalam kapalterbang.

Berhubung saranan beliau bahawa JAWI tidak saharusnya bersifat memilih dalam melakukan serbuan iaitu dengan hanya menumpukan tempat-tempat tertentu sebaliknya harus pergi ke semua tempat maksiat dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut, kita berhak mempersoalkan keseriusan dan keikhlasan cadangan beliau tersebut apabila dilihat kepada sejarah UMNO yang terus-menerus cuba menghalang sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk mencegah maksiat.

Sehingga kini kita masih belum mendengar pendirian Pemuda UMNO di dalam isu-isu yang boleh dikategorikan sebagai kelakuan tidak senonoh seperti Sure heboh, Akademi Fantasia, Malaysian idol, konsert-konsert hiburan yang megkhayalkan. Khairy mungkin ikhlas dalam membuat cadangan tersebut tetapi bagaimana dengan parti beliau. Adakah beliau betul-betul bersedia untuk menyokong dan mempertahankan JAWI sekiranya JAWI melaksanakan cadangan beliau.

Dengan apa yang ditunjukkan melalui reaksi dan sikap pemimpin-pemimpin parti beliau yang tidak sependapat dalam isu JAWI ini sudah lebih daripada cukup untuk kita meragui pendirian Khairy ini. Beliau sendiri enggan merestui dan menyokong kenyataan rakannya sendiri. Bagaimanapun sama ada disedari atau tidak dengan mencadangkan bahawa JAWI harus pergi ke semua tempat maksiat dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut Khairy kini mengakui bahawa terdapat banyak tempat maksiat di negara Islam Hadhari ini. Terima kasih Khairy kerana pengakuan kamu tersebut yang makin menambah keyakinan kami betapa mengarutnya Islam Hadhari yang UMNO slogankan.

Akhirnya Khairy juga sepatutnya mempamerkan konsistensi di sini. Jika benar dakwaan JAWI melaksanakan serbuan terpilih mengapa hanya JAWI sahaja diserang. Mengapa Pemuda UMNO tidak bersuara langsung dalam isu pendakwaan terpilih bagi kes rasuah yang melibatkan pemimpin –peminpin di dalam Kerajaan Islam Hadhari seperti Rafidah Aziz dan ikan-ikan besar yang lain. Sebenarnya bukan JAWI yang tidak konsisten sebaliknya kamulah yang secara konsisten tidak konsisten.

No comments: