Tuesday, May 17, 2005

Elakkan perpecahan, tinggalkan Islam Hadhari

Abdullah Ahmad Badawi memang sesungguhnya seorang insan politik yang amat ganjil. Mana tidaknya. Setelah beliau berpeluh dan berhempas pulas mempolitikkan Islam Hadhari kini beliau melarang pula Islam Hadhari dipolitikkan Akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa: "Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh pentadbirannya tidak dipolitikkan hingga membawa perpecahan kepada masyarakat di negara ini".Sebaliknya, Perdana Menteri meminta ia difahami dengan jelas dan dilaksanakan untuk kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, mereka yang melihat Islam Hadhari secara negatif sebenarnya tidak memahami atau tidak membaca keseluruhan apa yang digariskan dalam pendekatan itu.

"Yang paling saya takut ialah apa yang saya buat ini boleh menimbulkan porak peranda kepada masyarakat,'' katanya pada majlis Diskusi Islam Hadhari bersama Ulama Kedah, bertemakan Islam Hadhari Membina Damai Abadi, di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), di sini hari ini. ( Lihat Utusan 4/2/2005 )
Jika benar pun perpecahan berlaku ianya adalah hasil kerja UMNO yang mempolitikkan Islam Hadhari. Umpan Islam Hadhari hanya boleh dimakan oleh mereka yang jahil dan keliru tentang Islam yang sebenar diturunkan oleh Allah dan didakwahkan oleh RasulNya. Mereka yang memahami Islam yang sebenar tidak akan mungkin menerima umpan Islam Hadhari tersebut .

Apabila terdapat golongan yang menerima Islam Hadhari dan terdapat golongan yang menolak Islam Hadhari tersebut perpecahan pasti terjadi. Apa yang lebih malang mereka yang mencanangkan Islam Hadhari tidak sanggup dan tidak mahu mendengar daripada pihak yang mengatakan Islam Hadahari itu tidak betul dan tidak menetapi Islam yang sebenar. Keengganan mendengar itu sudah cukup membuktikan bahawa mereka yang mencanangkan Islam Hadhari tersebut sesungguhnya tidak yakin untuk berhujah dengan golongan yang menentang Islam Hadhari tersebut.

Apa yang lebih malang lagi sebaik sahaja ada suara yang menentang Islam Hadhari dan usaha menanggalkan topeng Islam Hadhari tersebut bagi menzahirkan wajah buruk dan hodoh Islam Hadahari tersebut dengan sepantas kilat golongan tersebut dilabelkan sebagai pemecah belah.

Perpecahan itu sendiri tidak semestinya suatu yang buruk. Apa yang buruk adalah mereka yang berpecah kerana sessuatu perkara itu masih berkeras berpegang dengan apa yang mereka percaya meskipun kepercayaan mereka salah. Di dalam konteks mereka yang berpecah kerana isu Agama ( baca Islam ) , perpecahan akan dapat dielakkan jika golongan yang berada di jalan yang salah bersedia mengakui kesalahan mereka dan kembali kepada kebenaran .Dalam konteks Agama kayu pengukur bagi menentukan kebenaran dan kebatilan adalah Al-Quran dan Al-Sunnah.

Jika menepati Al-Quran dan Al-Sunnah adalah betul dan tepat meskipun seluruh dunia mengatakan ianya salah. Apabila bercanggah dengan AlQuran dan Al-Sunnah adalah salah dan sesat meskipun seluruh dunia atau bepuluh ribu Tantawi mengatakan ianya adalah betul. Syaidina Abu Bakar di dalam ucapannya menyatakan " Tidak ada kebaikan ( al-khair ) jika diakhir kebaikan itu neraka dan tidak dikatakan keburukan sekiranya diakhirnya adalah syurga."

Di dalam sejarah, perpecahan sering berlaku di antara golongan yang memperjuangkan hak dan golongan yang ingin mengekalkan kebatilan. Ianya berlaku di generasi manusia yang awal lagi. Qabil menentang Habil. Ibrahim ditentang Namrud. Musa ditentang Firaun yang dibantu oleh Haman dan Qarun. Noh ditentang golongan al-mala'( golongan penguasa dan pembesar ). Rasululah s.a.w ditentang Abu Jahal, Abu Lahab, Walid Al-Mughirah di Mekkah dan ditentang golongan munafiqin seperti Abdullah bin Ubay dan Abu Amir Al-Fasiq.
Golongan munafiqin ini lebih susah dihadapi disebabkan mereka juga mempopularkan mereka sebagai golongan Islam. Jika dikatakan mereka menentang Islam mengapa mereka sembahyang di belakang Nabi s.a.w. Jika dilabelkan mereka tidak mahu Islam bukankah mereka juga berjihad bersama Nabi s.a.w di dalam peperangan. Jika mereka tidak bersembahyang bagaimanakah mereka tergamak membuat masjid.
Masyarakat yang tidak begitu memahami Islam mudah nampak kejahatan Abu Jahal kerana beliau tidak menyembunyikan seterunya kepada Islam. Tetapi mereka mungkin teragak-agak untuk menerima bahawa golongan yang bersembahyang di belakang Nabi , berperang dengan Nabi dan mendirikan masjid sebagai golongan yang juga menentang Islam.

Dalam konteks negara ini mereka yang menyerang hukum hudud dan tidak mahu laksanakan hudud kerana dikhuatiri negara huru hara dan rakyat akan makan sup tangan, menyatakan nabi tidak mencukur janggut disebabkan tidak ada pisau cukur dan sebagainya mungkin lebih terserlah dilihat melawan Islam .
Bagaimanapun golongan yang pada suatu keadaan menjadi Imam solat jamaah , mengajak rakyat memerangi rasuah ( meskipun melantik ahli kabinetnya yang tidak bersih dari rasuah ), dan dalam keadaan yang lain merestui tindakan pemimpin parti mereka mencabar undang-undang Hudud di Mahkamah, merestui program maksiat seperti sure heboh dan konsert hiburan yang melalaikan, meneruskan polisi membenarkan khazanah negara dipenuhi wang judi, mengekalkan ISA dan akta-kata draconian yang mencabut akar umbi kebebasan rakyat dan sebagainya seringkali berjaya menipu rakyat dengan permainan licik mereka.

Percayalah mereka tidak bersedia melaksanakan Islam sebagai Al-Deen sebaliknya terpaksa menggunakan kad Islam ( Islamic card ) bagi meneruskan survival politik jijik mereka. Tidak hairanlah golongan seperti ini menurut Newsweek adalah golongan "Islam moderate" - Islam mengikut telunjuk Amerika.

Elakkan perpecahan? Tinggalkan Islam Hadhari. Berpeganglah kepada Islam Hakiki.

No comments: