Friday, December 17, 2010

BERDIALOG DENGAN PENGIKUT SYIAH BUKAN TANGKAP DAN AIBKAN MEREKA

oleh Mohamed Hanipa Maidin

Hampir semua media cetak berbahasa melayu menyiarkan berita tentang serbuan JAIS ke atas markaz syiah dan menangkap lebih kurang 200 dikatakan pengikut syiah baru-baru ini.

Pelbagai tuduhan liar di lemparkan ke atas mereka yang ditangkap termasuklah tuduhan kononnya tarikan seks menjadi faktor utama pengikut syiah.

Dari kenyataan pengarah Jais yang dilaporkan di media massa nampaknya Jais sudah menghukum mereka yqng ditangkap tanpa mereka yang ditangkap diberi peluang membela diri. Mereka yang ditangkap digambarkan seolah-olah setaraf dengan pengikut ajaran sesat.

Bagi saya amat tidak adil untuk Jais menyamaratakan syiah dengan ajaran sesat. Ini kerana isu fahaman syiah mempunyai sejarah yang panjang. Ya,benar ada perbezaan teologi antara syiah dan sunni namun agak tersasar untuk Jais meletak kedudukan syiah setara dengan ajaran sesat.

Bagi saya Jais sepatutnya memilih jalan dialog atau hujah dengan pengikut syiah bukan meyerbu, tangkap dan aibkan mereka. Saya tidak nampak tindakan yang diambil ke atas pengikut syiah itu boleh dikategorikan 'islamic'. Mungkin juga dengan daya intelektual yang tidak begitu tinggi untuk berhadapan dengan pengganut mazhab syiah maka pengarah Jais yang kita tahu amat sinonim dengan Umno terpaksa menggunakan kuasa dan 'force' untuk berdepan dengan pengikut syiah. Saya boleh bayangkan jika pengarah Jais berdepan dengan mana mana ayatullah atau hujjahtul Islam syiah beliau bukan sahaja tidak mampu berhujah mungkin juga pengarah Jais selepas ini tidak berani lagi 'mengusik' syiah .

Dalam keadaan ulama sunni dan syiah berusaha keras mendekatkan kedua dua mazhab besar ini melalui 'taqrib al madzahib' tindakan Jais nampaknya makin menjauhkan kedua dua mazhab itu.

Tuesday, November 30, 2010

BICARA KES ANWAR- AWAT LAGU NI ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Sekiranya ada pertandingan “apakah perbicaraan yang paling lucu abad ini” mungkin agaknya pembaca akan bersetuju dengan saya sudah tentu juri akan memilih perbicaraan Anwar Ibrahim sebagai juara pertandingan tersebut.

Mana tidakknya ? Sudah menjadi pengetahuan umum boleh dikatakan hampir semua permohonan yang dibuat oleh pasukan peguam Anwar telah ditolak oleh Mahkamah dan jika pun ada rayuan dibuat sama ada di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan kedua-dua Mahkamah tersebut juga tidak akan bersimpati kepada Anwar.

Yang terbaru kita menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini supaya dibekalkan dengan nota-nota klinikal doktor pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian setelah mendapati Ketua Pembangkang itu gagal memenuhi keperluan perundangan untuk membolehkan mahkamah mengarahkan pasukan pendakwaan membekalkan dokumen terbabit kepada pihak pembelaan.

Anwar telah memohon dibekalkan nota-nota klinikal tiga doktor HKL yang memeriksa bekas pembantu peribadinya itu pada 28 Jun 2008 bagi membuktikan wujud percanggahan dalam keterangan Mohd. Razali di mahkamah dengan catatannya dalam dokumen tersebut.

Memang agak sukar untuk menerima rasional penolakkan Hakim ke atas permohonan Anwar tersebut. Keputusan hakim tersebut sudah tentu menyukarkan lagi usaha pasukan peguam Anwar untuk melakukan pemeriksaan balas secara efektif ke atas saksi pendakwa iaitu doktor pakar HKL yang memeriksa Saiful.

Bagi mana-mana peguam yang mengendalikan perbicaraan jenayah sudah tentu nota-nota klinikal doktor pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008 adalah dokumen yang maha penting untuk dilihat dan diteliti kerana ia akan membantu kerja peguambela bagi membuat pemeriksaan balas ke atas saksi pakar tersebut dengan lebih efektif. Sekiranya nota-nota klinikal doktor pakar HKL tersebut dibekalkan kepada peguambela Anwar barulah peguam Anwar boleh merujuk nota-nota klinikal tersebut kepada doktor pakar yang Anwar “hire” bagi mendapatkan khidmat nasihat bagi tujuan pemeriksaan balas saksi doktor pakar HKL tersebut

Harus diingat saksi yang pendakwa panggil adalah doktor pakar HKL dan bukannya bomoh HKL. Terdapat perbezaan besar menyoal balas seorang doktor pakar dengan menyoal seorang bomoh.Jika pendakwa di dalam kes Anwar hanya memangil seorang bomoh atau Tok dukun yang memeriksa Saiful, sudah tentu pasukan peguam Anwar tidak perlu bersusah payah mendapatkan nota-nota klinikal kecualilah di dalam Negara ini ada bomoh yang juga mempunyai nota-nota klinikal !!!

Dalam keadaan pendakwa memanggil doktor pakar memberikan keterangan adalah suatu yang tidak boleh diterima bagaimanakah seorang Hakim boleh dengan mudah menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan nota-nota klinikal doktor pakar tersebut. Sudah tentu keputusan Hakim menolak permohonan Anwar tersebut tidak boleh dikatagorikan sebagai satu perbicaraan yang adil dan telus sepertimana yang dijanjikan oleh Kerajaan BN kepada masyarakat antarabangsa.

Keputusan Hakim menolak permohoan Anwar bagi mendapatkan nota-nota klinikal doktor pakar HKL tersebut adalah satu dari siri-siri penolakkan permohonan Anwar bagi mendapatkan perbicaraan yang adil ke atasnya. Tidak keterlaluan hatta jika Anwar mendapatkan peguam yang terhebat di dunia seperti QC ( Queen Counsel ) peguam hebat tersebut juga tidak akan sama sekali berjaya membantu Anwar jika perbicaraan dijalankan dalam keadaan mata Anwar ditutup , mulutnya dikunci dan kedua-dua tangan dan kakinya diikat oleh pendakwa dan Mahkamah pula merestui tindakan pendakwa tersebut.

Di bawah ini saya senaraikan , setakat yang saya ingat, senarai permohoan Anwar yang ditolak oleh Mahkamah.

Pertama, Anwar pernah membuat permohonan laporan toksikologi dikeluarkan dari bahan bukti atas alas an ianya telah tercemar namun Hakim menolak permohonan Anwar tersebut . Alasan Anwar membuat permohonan tersebut adalah disebabkan pasukan peguam Anwar mendakwa laporan perubatan itu 'tercemar' kerana Mohd. Razali telah merujuk kepada laporan toksikologi semasa pemeriksaan balas sedangkan laporan berkenaan (toksikologi) tidak diserahkan bersama laporan perubatan yang dibekalkan kepada mereka.

Kedua, Anwar juga pernah membuat permohonan agar kes sodomi II beliau digugurkan ekoran hubungan romantis antara saksi utama kes Saiful Bukhari Azlan dan salah seorang anggota pasukan pendakwa. Bagaimanapuan Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar tersebut. Adalah menarik dicatatkan di sini di dalam afidavit pihak pendakwa, mereka tidak menafikan atau mengesahkan adanya hubungan ini tetapi mengesahkan Farah dan Saiful tidak boleh akses kepada dokumen.

Ketiga Anwar juga pernah membuat permohonan untuk membatalkan kenyataan bertulis pendakwa raya yang menyatakan tiada fakta memihak kepada pihak pembelaan dalam kes liwatnya. Di dalam permohonannya Anwar memohon perintah perisytiharan bahawa kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwa raya dan diserahkan kepadanya pada 24 Jun lalu tidak menepati Seksyen 51A(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah, batal dan tidak sah.

Antara fakta yang didakwa Anwar memihak kepada beliau ialah laporan Dr. Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi bertarikh 28 Jun 2008 dan laporan Dr. Khairul Nizam Hassan, Mohd. Razali Ibrahim serta Dr. Siew Sheue Feng dari Hospital. Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) memutuskan menolak dengan kos permohonan Anwar tersebut .

Keempat , Anwar juga pernah membuat permohonan Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan keseluruhan keterangan bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan kepada polis dua tahun yang lalu. Peguam Anwar , Karpal Singh membuat permohonan itu selepas Saiful yang mengadu diliwat Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi yang dia tetap dengan pendirian bahawa kejadian liwat yang didakwanya itu adalah tanpa kerelaan dia. Saiful berkata demikian semasa disoal balas oleh Karpal yang mengetuai pasukan pembelaan.

Seperti yang diduga permohonan Anwar tersebut juga ditolak oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin. Hakim menyatakan beliau memutuskan untuk menafikan akses kepada dokumen yang dipohon menerusi Karpal Singh kerana tiada percanggahan dalam keterangan Saiful kepada polis dan di Mahkmah

Kelima , Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah membuat permohonan bagi mendapatkan nota klinikal, laporan, spesimen dan maklumat lain disediakan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi pembelaan kes liwatnya. Dalam permohonannya, Anwar turut meminta dibekalkan keseluruhan sejarah perubatan Mohd Saiful ketika diperiksa pada 28 Jun 2008, borang (proforma) dan peralatan penderaan seks digunakan di HKL serta kelulusan akademik ketiga-tiga pakar terbabit. Sekali lagi Hakim menolak permohonan Anwar di atas alasan tiada peruntukan undang-undang dan asas perundangan yang membolehkan pembelaan dibekalkan dengan dokumen, sampel dan peralatan berkenaan.

Permohonan Anwar yang terbaru yang masih belum diputuskan oleh Mahkamah adalah permohonan bagi meminta Hakim Datuk Mohamad Zabidin menarik diri ( recusal ) dari mendengar kesnya. Berdasarkan keputusan Mahkamah ke atas kesemua permohonan yang saya sebut di atas adakah suatu keajiban akan berlaku di dalam permohonan Anwar terbaru ini.

Mungkin Hakim Datuk Mohamad Zabidin perlu meneliti nasihat dari Hakim Israel iaitu Hakim Ehud Barak yang memberi satu nasihat yang amat berguna kepada para Hakim iaitu “ when we ( judge ) sit to judge , we are in fact being judged.” ( Apabila kita kita ( hakim ) duduk menghakimi hakikatnya kita yang sedang dihakimi.” )

Sunday, November 14, 2010

LARANG MEDIA UMNO DI DUN KEDAH-JANGAN SAMA DENGAN DEPA

oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Saya berpendapat tindakan Kerajaan Kedah melarang media pro Umno membuat liputan sidang Dun Kedah bukan satu tindakan yang bijak.

Kerajaan Kedah berhak marah dengan sikap tidak profesional media pro Umno yang membuat laporan yang negatif terhadap Kedah dalam isu banjir di negeri itu. Apa yang Kerajaan Kedah harapkan dari media umno-berita yang adil dari media musuh?

Harakahdaily melaporkan tindakan Kerajaan Kedah itu disokong oleh beberapa pihak atas alasan Kerajaan Bn di Perak juga pernah melarang media alternatif membuat liputan sidang Dun Perak. Kalau itu hujahnya apa beza kita dengan musuh kita? Kalau itu hujahnya bukankah itu namanya politik balas dendam?

Bagi saya lebih elok kalau Kerajaan Kedah tidak mengambil pendirian yang boleh ditafsirkan tidak mesra demokrasi. Demokrasi merestui berita yang tidal memihak kepada kita walau seteruk mana berita itu . Biarlah kita berbeza dengan musuh kita .

Apa pun tahniah dan syabas kepada komitmen yang tinggi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Kedah dalam menangani isu banjir di negeri itu.

Monday, October 25, 2010

FESTIVAL MENGHANCURKAN NAMA ISLAM

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Mengapa Pas menentang Festival Busana Islam di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu ? Adakah Pas menentang Busana Islam ?

Saya sempat mengunjungi sesawang di www.islamicfashionfestival.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang festival busana Islam yang menjadi isu panas sekarang ini. Di dalam website tersebut ada disenaraikan nama-nama anggota Lembaga Stail Festival Busana Islam yang dinaungi Dato Sri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri. Anggota-anggota Lembaga tersebut merangkumi individu-individu dari Malaysia, Indonesia dan Dubai.

Saya tidak pasti sama ada semua anggota lembaga itu adalah Islam. Antara anggota itu adalah Ibu Sonia Lee. Jika diandaikan kesemua anggota lembaga tersebut adalah Islam khususnya anggota-anggota wanita, saya tidak nampak mana-mana anggota itu yang menutup aurat secara sempurna. Daripada Datin Sri Rosmah sebagai penaung semua anggota wanita tidak menutup rambut mereka. Antara anggota wanita Malaysia yang menganggotai lembaga tersebut adalah YAM Tengku Aishah, Puan Sri Faridah dan Datin Nina Juren. Suami penyanyi Siti Norhaliza iaitu Dato Sri Khaled Mohd Jewa juga adalah anggota Lembaga tersebut. Saya tidak pasti sama ada Lembaga ini ada merujuk kepada para cendiakawan Islam bagi mendapatkan pandangan sama ada festival yang mereka anjurkan selari dengan Islam.

Apabila tiada seorang ahli wanita lembaga tersebut menutup aurat saya tidak pasti apakah pandangan Lembaga tersebut tentang isu penutupan aurat yang merupakan sebahagian dari ajaran Islam. Adakah Lembaga tersebut berpendirian menutup aurat bagi wanita adalah tidak wajib oleh itu berfesyen tanpa menutup aurat tidak menjadi satu masalah ? Jika Lembaga tersebut berpendapat menutup aurat adalah wajib mengapakah festival busana Islam yang diadakan di Monte Carlo ( pusat perjudian yang terkenal ) pada 9 Ogos yang lalu membiarkan peragawati-peragawati fesyen menggayakan pakaian yang tidak menutup aurat dan mereka juga dibenarkan menggoyang-goyangkan badan mereka seperti mana dalam pentunjukkan fesyen yang tidak dibuat atas nama Islam.

Bagi tujuan penulisan artikel ini saya sempat melihat berita CNN ( di dalam youtube ) tentang petunjukkan fesyen tersebut. Saya hanya boleh mengatakan apa yang diperagakan tidak boleh sama sekali dikatakan sebagai festival busana Islam.

Sudah menjadi trend kini golongan Islam yang berfikiran dan berfahaman sekular menggunakan label Islam bagi menjustifikasikan program yang mereka anjurkan. Festival Busana Islam ini satu contoh yang jelas.

Di dalam website mereka , penganjur mengatakan tujuan mereka menganjurkan festival busana Islam adalah bagi membetulkan tanggapan orang-orang barat tentang Islam. Kata penganjur Islam sering dikaitkan dengan pengganas maka salah satu cara untuk membetulkan tanggapan tersebut adalah dengan menunjukkan kepada orang-orang barat bahawa Islam juga menghargai kecantikan dan dunia fesyen , maka timbullah idea menganjurkan festival busana Islam tersebut.

Bagi kita sebarang usaha untuk membetulkan persepsi barat tentang Islam adalah satu niat yang murni. Bagaimanapun niat yang murni sahaja tidak mencukupi. Ia juga harus bergerak di dalam landasan yang betul Dalam hal ini umat Islam tidak perlu apologetik ( bersifat mengalah ) hanya semata-mata ingin menjaga hati orang-orang barat. Umat Islam perlu sedar pertembungan nilai antara barat dan Islam memang wujud. Oleh itu sebarang usaha untuk cuba mengenepikan pertembungan tersebut adalah usaha sia-sia.

Dunia fesyen barat adalah berteraskan falsafah hedonism dan alam glamour. Hedonisme dan glamour adalah permainan nafsu. Memandangkan barat mempromosikan kebebasan mutlak dalam dunia fesyen maka tiada sebarang sekatan dibenarkan bagi mengawal dunia fesyen di sana. Bertolak dari falsafah ini sebarang pakaian yang direka di sana tidak akan mengambil kira soal maruah dan harga diri wanita. Tiada istilah menutup aurat dan berpakaian sopan dalam kamus dunia fesyen barat.

Melihat kepada petunjukkan fesyen busana Islam di Monte Carlo tiada apa yang dapat dibezakan dengan petunjukkan fesyen –fesyen lain. Bezanya di Monte Carlo ada istilah Islam. Itu sahaja. Jika di dunia fesyen barat peragawati tidak menutup aurat , di Monte Carlo pun apa bezanya. Jika di barat peragawati yang menggayakan koleksi pakaian terbaru sibuk menggoyangkan segala-galanya bagi menarik hati pengunjung , di Monte Carlo juga pengunjung melihat perkara yang serupa dalam festival busana Islam !!!

Seorang ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata pendekatan pembangkang mengecam tindakan Datin Seri Rosmah Mansor menaungi Festival Busana Islam (IFF) - yang mencetuskan kontroversi - tersasar daripada konsep agama sebagai nasihat.Fathul Bari berkata, pembangkang sengaja membesar-besarkan isu itu sambil meletakkan sepenuhnya kesalahan atas bahu Rosmah tanpa menyiasat terlebih dahulu.

Cukuplah mengampu wahai Ustaz muda !! Awak sedarkah Rosmah adalah orang penting yang bertungkus lumus menjayakan festival busana Islam! Kalau awak tak sedar mari kami tunjukkan apa yang disebut di websitewww.islamicfashionfestival.com.my.

Dinyatakan “ Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor as the founding patron, has helped establish the fashion festival as a landmark event in the history of global fashion ( Terjemahan “ Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor selaku penaung awal telah membantu menjayakan festival fesyen sebagai satu upacara unggul di dalam sejarah dunia fesyen di peringkat global )

Wahai Fathul Bari sepatutnya awak mengucapkan terimakasih pada pemuda Pas yang menjalankan tanggungjawab menegur kemungkaran setelah semua ulama Umno diam membisu dan membatu tidak berani menegur isteri Perdan Menteri.

Jika awak minta Pas menasihati dan tidak mengecam , baiklah sekarang ini dengan nama Allah kami menasihati awak sebagai orang yang tahu hukum agama silalah tinggalkan Umno kerana dengan menyokong Umno awak pada hakikatnya merestui segala kezaliman dan kemungkaran yang Umno lakukan. Kalau Ah Chong dan Mutusamy pun mahu menyokong kepimpinan ulama dalam Pas , awak tidak malukah masih mahu bersekongkol dengan Umno !!

Monday, October 11, 2010

AHMAD MASLAN DAN NAJIB IBARAT CACING KEPANASAN

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Apabila keputusan Mahkamah memihak kepada para peneroka Felda Kemahang, pihak yang bertanggungjawab menjaga Felda menyatakan bahawa sebenarnya kekalahan itu kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Kini apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan memihak kepada peneroka Sungai Koyan, Ahmad Maslan dan Najib bertungkus lumus menyatakan bahawa sebenarnya Felda tidak kalah .

Najib dan Ahmad Maslan masih lagi di dalam “denial syndrome” ( sindrom penafian ) –tidak dapat menerima dua keputusan Mahkamah yang menyebelahi peneroka dan tidak menyebelahi Felda. Maka bagi menegakkan benang basah kedua-dua pemimpin ini nampak sangat terkial-kial cuba menyelamatkan imej Felda yang terguris teruk di sini sana. Hakikatnya semakin mereka cuba mempertahankan Felda semakin jelas mereka tercungap-cungap !

Kita lihat dulu kes Felda Kemahang. Felda menyatakan bahawa institusi tersebut kalah kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Secara tersirat Felda ingin menyatakan bahawa peneroka menang kes tersebut bukan kerana kes mereka kuat.

Persoalannya benarkah Felda kalah hanya kerana semata-mata peguam Felda tidak hadir di Mahkamah ? Memang mudah untuk menipu rakyat dengan berselindung di sebalik hujah ini. Namun Najib dan Ahmad Maslan kena ingat pepatah Amerika yang menyatakan “ kita boleh berbohong seseorang dalam sesuatu masa, tetapi kita tidak boleh bohong semua orang dalam semua masa”.

Ya, benar antara sebab Felda kalah dengan peneroka Kemahang kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Tetapi itu hanya sebahagian dari kebenaran. Kebenaran lain yang disorok oleh Najib dan Ahmad Maslan adalah meskipun peguam Felda tidak hadir, Hakim yang mendengar perbicaraan tersebut tidak memberikan kemenangan mudah kepada peneroka Felda Kemahang. Dalam bahasa undang-undang hakim tersebut tidak memasukkan penghakiman ingkar ( judgment in default ) ke atas Felda hanya kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Untuk makluman para pembaca penghakiman ingkar adalah penghakiman yang direkodkan oleh Mahkamah jika salah satu pihak tidak hadir di Mahkamah dan penghakiman tersebut dibuat tanpa Hakim mendengar keterangan dari pihak-pihak atau saksi-saksi mereka.

Dalam kes Felda Kemahang meskipun Felda dan peguam mereka tidak hadir di Mahkamah , Hakim Dato’ Azman Hussin masih mahu mendengar keterangan saksi-saksi peneroka sebelum membuat keputusan. Hanya setelah Hakim mendengar keterangan barulah hakim berpuashati bahawa terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa unsur penipuan dalam kes tersebut dan sekaligus Hakim memerintahkan Felda membayar peneroka-penerokan yang menyaman itu gantirugi RM 11 juta. Berdasarkan hal tersebut adalah TIDAK BENAR untuk Najib dan Ahmad Maslan menyatakan Felda kalah hanya kerana peguam Felda tidak hadir. Hakikatnya meskipun peguam Felda tidak hadir kes tersebut masih boleh menyebelahi Felda jika Hakim , setelah mendengar saksi pihak peneroka, merasakan peneroka telah gagal membuktikan kes mereka.

Kita lihat pula isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan di dalam kes para peneroka Sungai Koyan 2 dan 3. Ahmad Maslan berkata, laporan akhbar Harakah yang berjudul “Felda Kalah Lagi” mengelirukan dan tidak tepat. "Kalau Felda kalah, sudah tentu rayuan akan dibuat sebaliknya keputusan mahkamah itu dengan jelas menyatakan peneroka hanya berhak dapat tuntutan mereka jika patuh kepada prosedur Felda. Jadi, tindakan saman itu hanya merugikan mereka kerana terpaksa membayar khidmat peguam. Kalau mereka tak saman pun, kita tetap bayar," katanya pada sidang akhbar pada 7/10/2010.

Malah, menurut Ahmad, tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ahmad Maslan cuba bermain dengan logik. Logik beliau kalau Felda kalah sudah tentu Felda akan merayu. Oleh kerana Felda tidak merayu maka mengikut logik Ahmad Maslan Felda tidak kalah.

Baiklah jika itu logik Ahmad Maslan kita juga boleh menjawab dengan logik berikut. Jika Felda tidak kalah maka sudah tentu peneroka yang kalah .Dalam Mahkamah tidak ada keputusan seri. Jika peneroka kalah sudah tentu saman yang dikemukakan oleh peneroka akan ditolak oleh Mahkamah. Dan jika peneroka yang kalah sudah tentu peneroka yang kena buat rayuan.

Persoalannya bagaimana peneroka hendak dikatakan kalah jika apa yang mereka minta dibenarkan oleh Mahkamah meskipun tidak keseluruhan. Mereka meminta Mahkamah membuat perintah perisytiharan bahawa mereka dibenarkan tanam secara sendiri dan Mahkamh membenarkan perintah itu. Mereka juga meminta Mahkamah mengisytiharkan bahawa mereka layak diberi RM 1700 seeekar dan Mahkamah juga benarkan perintah tersebut. Hanya kerana Mahkamah menambah bahawa bagi tujuan bayaran RM 1700 seekar perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan tidak boleh ditafsirkan Felda menang dan peneroka kalah.

Sepertimana kes Felda Kemahang, Ahmad Maslan sekali lagi tidak mendedahkan kebenaran yang sebenar. Beliau menyatakan kalau tidak saman pun kita ( felda ) tetap akan bayar. Ini satu pembohongan yang amat terang dan nyata. Kalau Felda akan bayar apa yang diminta oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 mengapakah peneroka tersebut perlu bersusah payah pergi ke Mahkamah untuk mendapatkan hak mereka ? Kalau betul Felda akan bayar mengapakah Felda bertungkus lumus lawan para peneroka habis-habisan di Mahkamah ? Saksi Felda sendiri apabila disoal oleh saya bersetuju bahawa para peneroka perlu pergi ke Mahkamah kerana ingin mendapatkan keadilan. Lihat soal jawab berikut :-

Soalan ( S ): Sekarang ni bila Felda uruskan tanam semula, Felda guna duit dalam tabung,sebahagian duit itu sebahagian duit Plaintif,betul?

Jawapan ( J ) : Betul

S:Maknanya Felda diberi izin berdasarkan perjanjian ini untuk guna wang tabung tanam semula,duit itu yang sebahagiannya ada duit Plaintif.tapi bila peneroka nak tanam sendiri macam-macam syarat dikenakan.wajar tak wajar?

J: Wajar.

S:Kalaulah saya katakan Peneroka yang tanam melalui Felda mereka boleh guna RM 1,700,sepatutya hak yang sama diberikan kepada Plaintif,betul?

J:Betul

S:Tiba-tiba 2002 tak dapat langsung.adil ke tak?

J :Tak adil.

S:kalau tak adil tu la pergi mahkamah .tu la mereka pergi mahkamah untuk dapat keadilan.betul?

J: Betul

Ahmad Maslan menyatakan tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Sekali lagi bercakap bohong jadi hobi Ahmad Maslan. Mengapakah Ahmad Maslan enggan menyatakan kebenaran bahawa semasa saksi Felda memberikan keterangan saksi Felda tanpa berselindung menyatakan bahawa ketiga-tiga peneroka itu hanya layak menerima RM 11,000 lebih sahaja setiap orang sedangkan berdasarkan garis panduan Felda sendiri mereka layak menerima RM 1700 seekar ( RM 1700 x 14 ekar = RM 23, 800-00 ). Jika 3 peneroka ini tidak saman Felda di Mahkamah apakah jaminan Felda setuju bayar mereka jumlah penuh sebanyak RM 23, 800-00 ? Apabila Mahkamah memutuskan mereka layak dibayar RM 1700 seekar tindakan Felda hanya bayar RM 11,000 lebih sahaja kepada 3 peneroka tersebut adalah jelas tidak betul.

Akhir sekali Ahmad Maslan menyatakan saman itu hanya merugikan para peneroka kerana mereka terpaksa membayar khidmat peguam. Mengapakah Ahmad Maslan tidak pula menyatakan bahawa tindakan Felda menggunakan peguam dan membayar kos peguam Felda yang tinggi juga membuang duit Felda sahaja hanya semata-mata Felda mahu tegakkan benang basah dan ingin menafikan hak peneroka. Oh mungkin bagi Ahmad Maslan tidak salah Felda membazir duit bayar yuran peguam Felda sebab duit Felda itu hakikatnya datang dari hasil penat lelah peneroka juga ! Bukankah lebih baik Felda bayar peneroka wang tanam semula dari bayar wang kepada peguam Felda bagi membela Felda untuk tidak mahu bayar wang tanam semula kepada peneroka

Friday, October 01, 2010

PENEROKA MENANG LAGI KES SAMAN FELDA

Harakahdaily

KUANTAN, 29 Sept: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan peneroka Felda berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

Kaputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya ekoran saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.

Namun, Hakim itu memutuskan, bayaran itu hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.

Hakim menolak hujah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka kepada Tabung Tanam Semula tidak mencapai RM 1700 seekear.

Namun, hakim memutuskan Felda perlu membayar jumlah itu kerana ia telah ditetapkan oleh Felda sendiri.

10 peneroka Felda itu diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala Felda diwakili oleh Tetuan Abdullah Zainudian yang diwakili oleh Puan Doshi.

Tambahan :-

1. Peneroka-Peneroka yang menjadi Plaintif-Plaintif di dalam kes ini adalah bekas perajurit negara.Mereka menyaman Felda hanya untuk menuntut hak mereka yang bagi mereka telah dinafikan oleh Felda.

2. Ladang mereka adalah seluas lebih kurang 14 ekar.

3. Berdasarkan keputusan Mahkamah tersebut mereka sepatutnya layak menerima, bagi setiap orang, lebih kurang RM 23,800-00 dari wang tabung tanam semula yang dipegang oleh Felda.

4. Bagi mereka keputusan Y.A Hakim Dato'Mariana tersebut menunjukkan bahawa Mahkamah mengiktiraf hak mereka. Dari reaksi mereka , saya dapati pengiktirafan tersebut lebih bermakna dari wang RM 23,800-00 tersebut.

5. Salah seorang peneroka yang terlibat di dalam kes ini adalah seorang yang berbangsa Cina iaitu saudara Pang Kong Meng.

6. Suatu perkara yang agak lucu semasa peguam Felda menyoal balas Encik Pang Kong Meng, beliau menjawab lebih kurang berikut " I dont understand your question, can you ask me in english." Saya nampak mereka yang berada di Mahkamah agak terkejut kerana saksi ini , meskipun seorang peneroka namun fasih berbahasa Inggeris.

7. Anakguam-anakguam yang saya wakili adalah peneroka yang sudah tua dan ada dari mereka yang sudah tidak jelas pendengaran dan ada juga yang terpaksa dipapah untuk memberikan keterangan di Mahkamah. Yang lebih menyedihkan anakguam saya yang perlu dipapah ini ketika hendak turun tangga ( Mahkamah di tingkat 2 ) ia perlu turun secara "reverse" ( gostan ) dan perlu dipapah oleh isteri yang setia menemani suami memperjuangkan hak mereka.

8. Untuk makluman juga sebelum ini Y.A Hakim Dato' Mariana Yahya juga adalah Hakim yang membuat keputusan memenangkan Dr Hatta Ramly dan 2 pemimpin Pas yang lain di atas saman yang dikemukakan oleh mereka ke atas mantan OCPD Rompin yang menangkap dan menahan mereka dalam satu aktiviti ceramah PAS di Markaz PAS di Rompin.

9. Dato Mariana telah memutusakan bahawa OCPD telah menyalahgunakan kuasa apabila menangkap Dr Hatta dan 2 yang lain dan beliau telah memerintahkan OCPD Rompin membayar gantirugi am, gantirugi tauladan dan gantirugi melampau serta kos Mahkamah kepada Dr Hatta dan 2 yang lain. Kes tersebut kini sedang dalam proses taksiran gantirugi di hadapan Timbalan Pendaftar.

Moga kemenangan kecil ini insya'Allah membawa makna yang besar kepada perjuangan para peneroka yang tahu apa itu erti harga diri dan kehormatan dan terus sabar dan istiqamah mengharungi liku-liku perjuangan.

Tuesday, September 21, 2010

PEMBUNUH SOSILAWATI DAPAT ILHAM DARI KES ALTANTUYA ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Jika kita perhatikan ada ciri-ciri persamaan antara kes pembunuhan Altantuya dengan kes pembunuhan Sosilawati.

Apa yang jelas persamaan pertama bagi kedua-dua kes tersebut adalah kedua-dua mangsa adalah wanita. Kedua-duanya dari negara 2M- Mongolia dan Malaysia. Kekejaman penjenayah ke atas golongan wanita di negara ini boleh dilihat dari kes pembunuhan kanak-kanak dan remaja perempuan sehingglah ke wanita dewasa sama ada wanita Malaysia atau wanita Monggolia.

Persamaan kedua adalah melibatkan isu motif pembunuhan. Berdasarkan laporan media massa nampaknya pembunuhan Sosilawati , sepertimana kes Altantuya, juga melibatkan unsur kewangan. Dalam kes Altantuya , kita dikhabarkan wanita dari Negara Genghis Khan itu sanggup datang ke Malaysia bagi mendapatkan duit komisyen penjualan kapal selam. Di dalam kes Sosilawati pula dikhabarkan ianya melibatkan urusan penjualan dan pembelian hartanah yang dikatakan bernilai jutaan ringgit. Pokoknya kedua-dua kes pembunuhan itu melibatkan soal wang. Wang adalah simbol kuasa. Kerana kuasa orang sanggup membunuh .

Persamaan ketiga adalah modes operandi pembunuhan tersebut. Kita tertanya-tanya adakah mereka yang terlibat dalam pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain tersebut mendapat ilham dari kes pembunuhan Altantuya ?Mungkin tidak keterlaluan jika kita katakan mereka yang membunuh Sosilawati mendapat ilham dari kes pembunuhan Altantayu Sharibu

Bagi mendakwa seorang pembunuh, pendakwa perlu buktikan wujudnya mangsa yang dibunuh. Bagi membuktikan mangsa dibunuh, perlu dibuktikan kewujudan mayat yang yang dikatakan menjadi mangsa pembunuhan tersebut.

Modes operandi pembunuhan Altantuya adalah pertamanya melenyapkan segala bukti yang membolehkan mayat mangsa ditemui atau dikenalpasti. Oleh itu sekadar menembak Altantuya tidak mencukupi. Mayatnya perlu di”ghaib”kan dengan meletupkan tubuh badannya dan membakarnya sehingga menjadi abu. Dengan itu harapan untuk mengenalpasti mangsa akan menjadi terlalu sukar jika pun tidak mustahil.

Bukankah modes operandi yang sama juga kini diaplikasikan di dalam kes Sosilawati. Apa yang jelas sepertimana pembunuh Altantuya, pembunuh Sosilawati, siapa pun dia, memang berniat mahukan segala bukti yang membolehkan mayat Sosialawati dikenalpasti dilenyapkan . Maka atas dasar itu dikatakan oleh pihak polis, mayat Sosilawati telah dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai. Dengan membuang abu ke dalam sungai nampaknya pembunuh Sosilawati menambahbaik teknik pembunuhan yang dilakukan ke atas Altantuya. Jika nak kenalpasti Altantuya agak sukar kerana mayatnya sudah menjadi abu, maka usaha mengenalpasti mangsa dalam kes Sosilawati kini bertambah-tambah sukar kerana bukan sahaja mayat telah menjadi abu, abu mayat pun turut dibuang ke sungai.

Persamaan berikutnya adalah suspek yang dilibatkan dengan pembunuhan Altantuya dan Sosilawati juga melibatkan mereka yang mempunyai sumber kewangan yang agak lumayan. Dengan kata lain mereka adalah orang kaya. Dilaporkan di dalam akhbar antara suspek yang dikaitkan dengan pembunuhan Sosilawati adalah mereka yang bergelar Datuk dan mempunyai harta yang agak banyak. Harta dan kewangan adalah simbul kekuasaan. Kuasa boleh membeli pengaruh. Pengaruh pula, jika tidak dikawal, boleh membunuh.

Persamaan berikut mungkin ramai yang tidak perasan. Di dalam kes Altantuya, semasa Razak Baginda membuat permohonan bagi mendapatkan jaminan, beliau menyatakan di dalam afidavitnya bahawa beliau telah mendapatkan bantuan dari salah seorang anggota pasukan keselamatan yang dituduh bersama-sama beliau iaitu C/Inspektor Azilah Hadri yang diperkenalkan kepada Razak oleh DSP Musa Safri. Di dalam afidavitnya Razak menyatakan C/Inspektor memberitahunya bahawa beliau bertanggungjawab ke atas pembunuhan enam orang atau lebih dan beliau boleh menolong Razak.

Kini di dalam kes Sosilawati kita juga dikhabarkan suspek yang terlibat juga dikatakan pernah terlibat dengan kematian beberapa orang lain sebelum ini.

Persoalannya kenapa hanya selepas kes Altantuya timbul, barulah timbul berita kes pembunuhan enam orang yang dikatakan di bawah tanggungjawab Azilah .Siapakah enam orang tersebut yang dikatakan dibunuh oleh Azilah sehingga kini menjadi misteri.

Misteri yang sama juga timbul di dalam kes Sosilawati. Jika Sosilawati tidak dibunuh apakah terbongkar kisah kematian jutawan India dan beberapa individu yang lain yang dikaitkan juga dengan suspek di dalam kes Sosilawati. Jika kes Sosilawati tidak menjadi berita hangat di media massa adakah kes-kes lain itu akan juga disiasat atau disiasat secara terperinci dan didedahkan hasil penyiasatan kepada orang ramai ?

Persamaan yang terakhir antara kes Altantuya dan kes Sosilawati adalah kedua-dua kes tersebut berjaya merosakkan imej negara Malaysia. Dalam hal ini kita perlu ucapkan tahniah kepada Kerjaaan BN ! Ia menunjukkan betapa tidak selamatnya negara ini di pandangan negara dan orang luar. Jika Lee Kuan Yew pernah mengatakan suatu ketika dahulu negara ini tidak selamat kerana kadar jenayah yang tinggi bolehkah kita salahkan beliau ?

Monday, August 30, 2010

UMNO BERPESTA FITNAH DI BULAN BARAKAH

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Cuba bayangkan jika Rasulullah s.a.w ditakdirkan Allah masih hidup di zaman ini. Tidakkah kita fikirkan bahawa Utusan dan Umno mungkin juga akan menemplak tindakan Rasulullah s.a.w yang membenarkan orang-orang Kristian Najran masuk ke masjid dan bersembahyang di Masjid Nabi.

Ahli Parlimen DAP Y.B Teo Nie Ching diserang-serang habis-habisan kerana berkunjung ke Surau Al-Huda Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut. Beliau telah dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas. Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Kerana seronok memfitnah di bulan Ramadhan , Umno dan Utusan tidak peduli seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang berjaya menonjolkan ruh tasamuh ( toleransi ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Ibnu Ishak meriwayatkan golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka bejumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) .

Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang mengikut cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur ( lihat buku tulisan Yusuf Al-Qardhawi “ Religious Minority from Shariah’s Perspective ). Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Ulama Pas,Dato Harun Taib iaitu mereka yang arif tentang Islam menyatakan tidak salah orang bukan Islam memasuki masjid.

Jika Rasulullah s.a.w yang digambarkan oleh Al-Quran sebagai qudwatun hasanah ( role model ) membenarkan orang bukan Islam bersembahyang cara mereka di Masjid Nabi siapakah Utusan dan Umno yang ingin melarang Ahli Parlimen DAP dari memasuki surau Al-Huda, Kajang.

Umno dan Utusan mendakwa kononnya pihak Surau Al-Huda membenarkan Nie Ching memberikan tazkirah sedangkan beliau adalah orang bukan Islam dan tidak memakai aurat.

Sebenarnya ini hujah makan tuan. Baiklah katakan , untuk tujuan berhujah, kami terima pendapat Umno bahawa Nie Ching tidak sepatutnya bertazkirah kerana beliau adalah orang bukan Islam dan tidak menutup aurat . Jika itu hujah Umno kita juga berhak bertanya kenapakah semasa Umno menjadi Kerajaan di Selangor dahulu para alim ulama’ seperti Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum dan beberapa alim ulama' yang lain juga dilarang memberikan tazkirah oleh pemimpin Umno .Bukankah Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum adalah orang Islam dan bukankah mereka juga menutup aurat !

Umno katakan Nie Ching tidak menutup aurat ketika bertazkirah . Kita ingin bertanya Umno , adakah hukum atau perintah menutup aurat hanya untuk orang Islam atau juga terpakai untuk orang bukan Islam ? Jika menutup aurat hanya wajib untuk orang Islam sahaja kenapakah kita harus mewajibkan ke atas orang bukan Islam dalam perkara yang Allah tidak wajibkan ke atas mereka. Bukankah pendirian kita bahawa orang bukan Islam yang ingin berkunjung ke masjid mestilah berpakaian sopan. Saya tidak nampak Nie Ching berpakaian tidak sopan hanya kerana beliau tidak bertudung.

Jika Umno begitu serius tentang isu menutup aurat mengapakah Umno tidak ambil peduli sebahagian besar isteri pemimpin Umno dan sesetengah pemimpin wanita dan Puteri Umno yang masih tidak menutup aurat !

Apabila Ahli Parlimen Selayang, Y.B William Leong Jee Keen menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid al-Taqwa, Selayang akhbar Mingguan Malaysia menulis dengan tajuk berikut “ Ahli Parlimen Selayang pula “ bertazkirah” Kesucian Masjid terus dinodai” ( Mingguan Malaysia 29/8/2010 m/s 3 ) . Akhbar itu melaporkan pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.

Saya tidak pelik jika JAIS mengambil pendirian begitu kerana bagi saya saki baki pengaruh Umno masih tebal dalam JAIS. Bukankah JAIS di zaman BN dahulu sibuk mengambil tindakan kepada AJK masjid yang dilihat tidak cenderung kepada Kerajaan BN. Saya mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam isu tersebut kerana saya mewakili lebih kurang 7 buah masjid dan surau yang diganggu oleh JAIS !

Untuk Khusrin kita ingin bertanya soalan berikut : Adakah Rasulullah s.a.w tidak tahu orang-orang Kristian Najran berhadas besar semasa Rasulullah s.a.w membenarkan mereka masuk Masjid Nabi dan bersembahyang di Masjid Nabi ?

Apabila Ustaz Zakaria Ahmad mendoakan di dalam khutbah agar Lim Guan Eng diberi hidayah akhbar proksi Umno memfitnah beliau dengan mengatakan doa Ustaz Zakaria berbunyi begini “ Ya Allah , Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng… ( lihat Mingguan Malaysia 22/8/2010 m/s 5 ). Malahan ada disiarkan di dalam TV bagaimana seseorang membuat komen bahawa khutbah tersebut boleh dikatakan tidak sah kerana tidak ada doa kepada Yang Dipertuan Agung ( YDPA ). Wow ! sejak bila doa kepada YDPA menjadi rukun khutbah. Habislah semua khutbah Nabi tidak sah kerana di zaman Nabi YDPA tidak ada !

Mengapakah Umno terus menerus memainkan isu seperti ini ? Jawapannya mudah sekali iaitu amat mudah memainkan emosi rakyat dengan isu-isu sensasi ini. Percayalah Umno akan terus menerus memainkan isu seperti ini kerana bagi Umno undi adalah segala-galanya. Bagi mendapatkan undi matlamat menghalalkan cara. Umno tidak akan peduli sama ada isu yang dimanipulasi itu selaras dengan syara’ atau tidak.

Lihatlah pendirian Umno dalam isu kalimah Allah di dalam akhbar the Herald. Emosi mengatasi ilmu. Lihat pula dalam isu kuil dan memijak kepala lembu . Sekali lagi perasaan mengatasi ilmu pengetahuan. Lihat pula isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Umno tidak peduli seerah dan sunnah Rasulullah s.a.w . Lihat pula isu khutbah. Umno seronok memfitnah di dalam bulan yang penuh barakah.

Tuesday, August 17, 2010

SELAMAT MEMBULI PENEROKA MR PRIME MINISTER !

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Bagi menunjukkan kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak peka dengan penderitaan para peneroka Felda , penero ka dijanjikan oleh Najib untuk diberi RM 350 bagi setiap peneroka yang berupa bayaran khas untuk hari raya aidilfitri. Dilaporkan bahawa 101,391 peneroka Felda akan mendapat bayaran tersebut ( lihat The Star 14/8/2010 )

Bagi kita Pas, segala bayaran yang boleh mengurangkan beban para peneroka amat-amat kita alukan. Namun yang kita tidak boleh terima sama sekali mengapakah seramai 11, 244 peneroka yang memilih untuk tanam semula secara sendiri dan tidak melalui Felda hanya akan diberikan RM 150 sahaja untuk hari raya aidilfitri nanti .

Tiada sebarang alasan mengapakah para peneroka yang yang memilih untuk tanam semula secara sendiri dan tidak melalui Felda hanya akan diberikan RM 150 sahaja sedangkan rakan-rakan mereka mendapat RM 350-00 dari pihak Felda. Kalau ini bukan diskriminasi apa nak kita namakan dengan tindakan ini ?

Apa guna kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang jika Kerajaan dengan secara mudah dan tanpa rasa bersalah terus menerus melakukan tindakan diskriminasi sesama peneroka.

Memanglah kita tidak boleh harapkan Kerajaan Najib untuk takut pada Allah kerana bertindak zalim ke atas peneroka dengan mendiskriminasi sesama mereka – yang tanam semula dengan Felda dapat RM 350 dan yang tanam semula secara sendiri hanya dapat RM 150-00 sahaja- namun sekurang-kurangnya kita masih harapkan Kerajaan Najib ini masih boleh berfikir dan bertindak secara rasional dan dalam kerangka Perlembagaan.

Nampaknya tindakan terbaru Najib ini mengesahkan bahawa rakyat tidak boleh mengharapkan pemimipin No 1 Umno dan Negara ini untuk hormati ayat Al-Quran yang melarang umatnya melakukan kezaliman . Hatta untuk mengharapkan mereka Najib menghormati Perlembagaan pun jauh panggang dari api. Kesimpulannya Najib tidak mesra Perlembagaan jauh sekali mesra Al-Quran.

Harus diingat apabila para peneroka memilih untuk tanam secara sendiri dan tidak melalui Felda ( selepas pokok mereka ditebang ) para peneroka hakikatnya hanya melaksanakan opsyen yang Felda berikan kepada mereka. Felda sendiri sebenarnya telah memberikan pilihan kepada para peneroka untuk menanam semula secara sendiri.

Hakikatnya mereka yang menanam semula secara sendiri telah dijanjikan oleh Felda untuk diberikan wang sebanyak RM 1700 seekar bagi menanggung perbelanjaan kerja-kerja tanam semula.

Mantan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gadam dan juga Pengerusi Felda Holdings Yusuf Noor pernah membuat kenyataan di akhbar dan memberi jaminan bahawa peneroka-peneroka yang memilih untuk menanam semula secara sendiri berhak mendapatkan wang mereka daripada tabung tanam semula.

Melalui mesyuarat antara Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia ( PKPKM ) dengan Kementerian Perusahaan Utama yang turut dihadiri oleh wakil Felda pada 11/1/2001 , Felda bersetuju memulangkan kembali wang daripada tabung tanam semula kepada peneroka yang sudah menjelaskan bayaran skim Felda tidak kira sama ada mereka membuat tanam semula secara bersendiri atau menerusi Felda dan jumlah wang yang akan dikembalikan ialah RM 1,700.00 setiap ekar.

Sebenarnya para peneroka yang menanam semula secara sendiri dalam banyak hal didiskriminasi. Mereka bukan sahaja didiskriminasi dalam isu pemberian duit raya tapi juga dalam perkara yang lain.

Ada para peneroka yang terpaksa pergi ke Mahkamah bagi mendapatkan wang RM 1700 seekar . Pada masa ini saya sedang mewakili 24 peneroka Air Tawar 5 Kota Tinggi, Johor dan 11 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 yang dinafikan oleh Felda bagi mendapatkan wang dari tabung tanam semula sebanyak RM 1700 seekar tersebut. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedih dan pilunya melihat para peneroka yang sudah lanjut umur dan ada yang sudah uzur bersusah payah memanjat tangga Mahkamah bagi mendapatkan hak mereka.

Meskipun Felda dan Najib terus menerus memberikan janji manis bahawa peneroka yang tanam semula secara sendiri akan diberikan wang dari tabung tanam semula sebanyak RM 1700 seekar namun apabila tiba waktu perlaksanaan janji tersebut maka peneroka akan dikenakan pelbagai syarat melalui beberapa Pekeliling yang dikeluarkan oleh Felda dari semasa ke semasa. Sekejap Pekeliling TBB –Operasi 4/2004, kemudian Pekeliling TBB –Operasi 2/2005, kemudiannya Pekeliling TBB –Operasi 2/2006 dan kemudiannya Pekeliling TBB –Operasi 2/2008 pula. Meskipun wang tabung tanam semula adalah hasil caruman para peneroka namun apabila tiba waktu membuat Pekeliling –Pekeliling tersebut kita tidak nampak kepentingan dan hak para peneroka yang menanam semula secara sendiri benar-benar dijaga.

Apabila peneroka memilih tanam semula melalui Felda, ironinya Felda juga menggunakan wang dari tabung tanam semula. Jadi kita tidak faham mengapakah apabila pihak peneroka menanam secara sendiri ada dari mereka yang dinafikan hak oleh Felda untuk mendapatkan wang tersebut sedangkan kesemua mereka adalah peneroka tanpa mengira yang tanam sendiri atau yang tanam melalui Defendan.

Wang tabung tanam semula adalah milik para peneroka di mana wang itu diambil dari potongan hasil peneroka setiap bulan dan bayaran tersebut dinyatakan secara spesifik di dalam Penyata Bayaran Hasil yang peneroka terima dari Felda.

Sebenarnya para peneroka mempunyai alasan yang kuat untuk tidak mahu tanam semula melalui Felda. Para peneroka sebenarnya tidak mahu berhutang semula dengan Felda sepertimana yang mereka pernah alami sebelum mereka mendapat Hakmilik Geran hartanah mereka. Mereka yang tanam semula melalui Felda ,meskipun mendapat bantuan Felda akan terpaksa membayar kembali bantuan tersebut bersama-sama dengan kadar faedah ( baca riba ) yang mana kadar itu boleh diubah dari semsa ke semasa.

Para peneroka yang tanam semula melalui Felda tidak boleh campurtangan berkenaan rundingan harga jualan hasil tanaman mereka yang dilakukan oleh pihak Felda dengan pihak Kilang.

Untuk Najib – selamat membuli para peneroka !!!

Monday, August 02, 2010

SAMAN EKOR-POLIS JANGAN JADI MAFIA !!!

OLEH : MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN

Apabila kita bercakap tentang saman ekor kita sebenarnya bercakap tentang kegagalan pihak polis memahami prinsip keadilan asas di dalam undang-undang jenayah iaitu seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Prinsip ini boleh dikatakan bersifat sejagat dan dipakai di serata dunia.

Hakikatnya prinsip asas ini sahajalah yang boleh melindungi pencabulan hak rakyat oleh pihak Negara. Di dalam kes jenayah pendakwaan dilakukan oleh Negara . Negara yang gagah kerana mempunyai segala sumber di dalam genggamannya seperti polis dan agensi-agensi lain dibenarkan oleh undang-undang untuk membawa rakyat yang lemah ke muka pengadilan. Rakyat yang lemah sudah tentu tidak berupaya untuk melawan Negara yang gagah dan perkasa serta kaya dengan segala sumber kekuatan dan prasarana. .

Oleh itu satu-satunya senjata yang boleh melindungi rakyat dari ‘serangan” Negara adalah prinsip asas yang saya nyatakan tersebut iaitu seseorang dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Dengan bersandarkan prinsip ini rakyat boleh menyatakan kepada Negara lebih kurang begini “ saya tahu kamu ( Negara ) ada segala kekuatan untuk membawa saya ke muka pengadilan , maka saya menuntut kamu wahai Negara untuk membuktikan bahawa saya benar-benar bersalah , kerana jika kamu tidak ada bukti untuk mensabitkan saya bersalah kamu janganlah menganggu kehidupan saya.”

Amat malang saman ekor membunuh prinsip asas tersebut. Saman ekor memberi erti rakyat adalah dianggap bersalah maka rakyat yang kena buktikan bahawa mereka tidak bersalah.

Bagi saya saman ekor adalah manifestasi penyalahgunaan kuasa dan undang-undang bagi mendapatkan faedah kewangan secara tidak sah. Dengan kata lain saman ekor adalah jalan pintas bagi Negara di bawah BN untuk mengambil wang rakyat secara paksa. Kalau di zaman feudal raja yang zalim bertindak meminta rakyat membayar ufti bagi menjamin keselamatan mereka, maka saman ekor adalah ufti versi baru yang dikutip dari rakyat oleh “neo feudalist” dengan berselindung di bawah ketiak undang-undang yang dinamakan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa pihak mereka akan tetap meneruskan saman ekor terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas . Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, tindakan itu untuk memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab. PDRM juga pada masa sama, menurutnya, akan menyenaraihipemilik kenderaan yang gagal melunaskan saman selepas tiga bulan notis diserahkan. Abdul Aziz berkata, tindakan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mengikut kedua-dua seksyen terbabit, polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) boleh menyenaraihitamkan pemilik kenderaan sekiranya mereka masih ada urusan (saman) yang belum diselesaikan dengan polis atau JPJ, maka mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini ( Utusan10/7/2010 )

Nampaknya pihak polis menafsir seksyen 17 dan seksyen 29 ( 1A ) Akta tersebut secara harfiah iaitu jika pemilik kenderaan yang memohon untuk memperbaharui cukai jalan [ seksyen 17 ] dan lesen memandu [ seksyen 29 ( 1A ) ] dan didapati mereka masih ada kes tertunggak dengan JPJ atau Polis berkaitan dengan pelanggaran atau kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta Pelsesenan Kenderaan Perdagangan 1987 maka permohonan pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu boleh ditolak.

Untuk pihak polis yang tidak terlatih di dalam bidang undang-undang sayugia diingatkan tidak semua peruntukkan undang-undang boleh dibaca secara harfiah kerana ada masanya jika kita membaca secara harfiah ia boleh memberi makna yang tidak munasabah sekaligus mewujudkan ketidakadilan.

Bagi pihak polis apabila pemilik ada saman ekor dan masih belum dibayar ia secara ipso facto ( dalam keadaan begitu ) bererti pemilik kenderaan dikira ada kes tertunggak dan sekaligus lesen memandu dan cukai jalan tidak boleh diperbaharui melainkan dibayar kompaun saman ekor itu terlebih dahulu.Tafsiran harfiah pihak polis tersebut jelas bertentangan dengan prinsip asas undang-undang jenayah yang saya sebut di awal artikel ini iaitu seseorang dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah.

Seksyen 17 dan 29 ( 1A ) bukan hanya bercakap tentang pemilik kenderaan mempunyai kes tertunggak dan kemudian full stop. Kedua-dua seksyen tersebut sebaliknya bercakap tentang pemilik kenderaan ada kes tertunggak berkaitan dengan pelanggaran dan kesalahan di bawah Akta.
Jadi kalimah yang penting di sini dan perlu diambil perhatian adalah kalimah “ berkaitan dengan kesalahan dan pelanggaran Akta”.

Persoalannya adakah hanya kerana seseorang dikenakan saman ekor maka ia secara automatik dikira bersalah di sisi undang –undang ? Kalau itu tafsiran polis maka tidak perlulah ada pendakwaraya, peguambela , Mahkamah atau juri. Lebih baik polis menjadi pendakwaraya, peguambela, mahkamah dan juri sekaligus.

Sudah tentu tafsiran yang munasabah adalah pelanggaran dan kesalahan yang dinyatakan di dalam seksyen 17 dam 29 (1A ) tersebut adalah semestinya bermaksud kesalahan dan pelanggaran yang telah dibuktikan mengikut prinsip dan prosedur undang-undang, Sebab itu di dalam undang-undang mereka yang ditangkap dipanggil suspek manakala mereka yag didakwa di mahkamah dipanggil tertuduh. Hanya setelah tertuduh didapati bersalah barulah orang yang dituduh itu dipanggil orang yang bersalah dan hanya orang bersalah baru layak dihukum sama ada hukuman denda atau penjaran atau sebagainya.

Jika kita ikut logik polis di dalam kes saman ekor mereka yang disaman itu adalah dikira orang bersalah yang demikian ia wajib membayar denda/kompauan jika tidak akan disenaraihitamkan.
Sesuatu kesalahan atau pelanggaran undang-undang hanya boleh dibuktikan di Mahkamah mengikut lunas undang-undang. Ini bermakna hanya seseorang itu dikenakan saman ekor tidak boleh dengan sendirinya membawa maksud beliau bersalah kerana kesalahan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu.

Polis menyatakan bahawa pengguna yang disenarai hitam adalah mereka yang melakukan dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju serta melanggar lampu isyarat.Polis menyatakan bahawa pihak mereka mempunyai bukti seperti rakaman gambar kesalahan setiap pengguna sebelum mengeluarkan saman tersebut . Polis menyatakan bahawa sekiranya pemilik kenderaan itu tidak memberi sebarang maklum balas, maka pihak polis beranggapan pemilik terbabit benar melakukannya dan diminta untuk membayar saman berkenaan.

Jawapan kita tentang alasan tidak cerdik polis itu mudah sahaja. Kalau polis mendakwa mereka ada bukti mengapa polis tidak berani bawa bukti tersebut di Mahkamah iaitu dengan mendakwa orang yang melakukan kesalahan tersebut. Hanya kerana polis menyatakan ada bukti tidak bermakna bukti tersebut mesti diterima oleh Mahkamah. Berapa banyak kes yang polis bawa bukti tetapi Mahkamah tolak bukti tersebut yang mengakibatkan kes ditolak oleh Mahkamah.

Polis kena faham sebarang bukti yang mereka katakan itu hanyalah bukti yang belum diuji lagi. Maka kaedah untuk menentukan sama ada bukti itu boleh diterima atau tidak, pihak yang disaman ekor itu mestilah diberi peluang untuk mempertikaikan bukti polis itu dan ini hanya boleh dilakukan di Mahkamah. Meminta orang membayar denda/kompaun dalam keadaan ia belum dibuktikan bersalah adalah satu peras ugut. Peras ugus adalah kerja mafia bukan polis !!!

Friday, July 30, 2010

ADUN SIJANGKANG DR AHMAD YUNUS DAPAT GANTIRUGI RM 55,000-00

30 Julai 2010- Hakim Mahkamah Sesyen hari ini telah merekodkan penghakiman persetujuan di mana Defendan-Defendan bersetuju dengan tanpa pengakuan liabiliti membayar gantirugi sebanyak RM 55,000-00 kepada YB Dr Ahmad Yunus Khairi iaitu Adun Pas bagi Dun Sijangkang.

Pada 29/7/2004 Dr Ahmad Yunus telah memfailkan saman dengan menamakan bekas exco Kerajaan Selangor dari Umno iaitu Datuk Abdul Fatah bin Haji Iskandar, Kalimullah Hassan dan The News Straits Times Press ( Malaysia ) Berhad sebagai Defendan-Defendan di atas berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 20/3/2004 yang bertajuk “ Fatah ‘ditikam dari belakang’ calon Pas” . Antara lain berita tersebut menyatakan

“ Ahmad Yunus rapat dengan saya, dia ikut hampir setiap ceramah dan majlis yang saya hadiri. ..Sebelum penamaan calon, saya ada terdengar nama dia akan dicalonkan. Saya tanya dia berkali-kali sama ada dia hendak bertanding, tapi dia nafikan akan melawan saya.’.. Abdul fatah menyifatkan tindakan Dr. Ahmad Yunus sebagai “menikamnya dari belakang” kerana persahabatan mereka begitu rapat. Saya yakin pengundi tahu memilih yang mana calon yang boleh membawa pembangunan dan yang mana calon yang hanya berjuang berdasarkan emosi.” Katanya. .. Abdul Fatah menyifatkan perkembangan Pas menampilkan Dr Ahmad Yunus menjadi calon sebagai parti yang terdesak kerana mereka tidak mempunyai calon yang cukup.”


Di dalam samannya Dr Ahmad Yunus yang ketika itu adalah calon Pas bagi Dun Sijangkang mendakwa kata-kata tersebut adalah satu fitnah yang amat jahat ke atas beliau kerana dalam maknanya yang asal dan biasa kata-kata tersebut antara lain bermaksud bahawa beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai, seorang penipu dan tidak mempunyai integriti. Kata-kata fitnah tersebut dakwa Dr Ahmad Yunus juga bermaksud bahawa beliau adalah calon tangkap muat dan beliau adalcah calon yang berjuang berdasarkan emosi.

Saman Dr Ahmad Yunus telah ditetapkan untuk bicara hari ini di Mahkamah Sesyen Klang

Dr Yunus diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Dato Abdul Fatah Iskandar diwakili oleh Puan Siti dari firma Tetuan Salehuddin Saidin dan akhbar Berita Harian diwakili oleh peguam Josephen dari Tetuan Sharizat & Lee.

Monday, July 26, 2010

" Saya Mufti takkan saya tak tahu Pas betul Umno salah"

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Utusan Malaysia melaporkan Mufti Perak Tan Sri Harussani mengatakan berikut " Saya mufti takkan saya berbohong " ( Utusan Malaysia 21/7/2010 ). Kita boleh bersetuju dengan kata-kata tersebut.

Tapi saya rasa beliau kena lanjutkan kata-kata tersebut dengan ayat berikut " Saya Mufti takkan saya tidak tahu Pas betul Umno tidak betul. Sebagai mufti ( yang tahu Islam ) maka saya menyeru marilah kita tinggalkan Umno dan pakat sokong Pas ramai-ramai."

Kalau Mufti Perak masih tidak nampak perbezaan Pas dan Umno, beliau kena malulah dengan Ah Chong dan Mutusamy yang kini menyokong dasar Islam yang Pas bawa dan perjuangkan. Takkanlah Ah Chong dan Mutusamy lebih kenal perbezaan antara Pas dan Umno dibandingkan Mufti Perak ?

Untuk Mufti Perak ikutlah dan contohilah jejak langkah Almarhum mantan Mufti Selangor Dato Ishak Bahrom yang teruk dizalimi Umno tetapi istiqamah berjuang dengan Pas sehingga akhir hayat beliau !!!

Tuesday, July 06, 2010

KES SUARA KEADILAN- APABILA DEMOKRASI DI HUKUM MATI

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Kerajaan BN yang zalim telah mengggunakan Akta zalim iaitu Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 bagi melarang PKR untuk menerbitkan akhbar Suara Keadilan. Tulisan ini ingin membawa para pembaca melihat dan mengenali Akta draconian ini dengan lebih dekat supaya para pembaca dapat melihat kezalimannya dengan lebih dekat. Harapan saya selepas para membaca artikel ini dan mengenali betapa buruknya Akta ini maka kita dapat bersama-sama dengan satu nada menyumpah Akta ini dan berdoa agar Akta ini dapat dimusnahkan dengan kadar segera.

Di dalam Islam hanya Allah yang ada kuasa mutlak. Kuasa manusia tidak mutlak. Kuasa manusia boleh dibahas dan dipertikaikan.Jika kita lihat Akta Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 ianya berpaksikan atas satu dasar sahaja iaitu Menteri Dalam Negeri adalah berkuasa penuh dan tiada siapa boleh persoalkan kuasa mutlak tersebut hatta Mahkamah .

Akta ini mengingatkan saya kepada kata-kata Lord Acton yang masyhur iaitu “ power corrupts and absolute power corrupts absolutely” ( “Kuasa itu merosakkan dan kuasa yang mutlak rosak secara mutlak” ) .

Ayuh mari kita berkenalan dengan Akta zalim ini.

Seksyen 6 ( 1 ) ( a ) memperuntukkan bahawa Menteri boleh melalui budibicaranya yang mutlak memberikan kebenaran atau permit kepada mana-mana orang untuk menncetak dan menerbitkan suratkhabar di negara ini tetapi dalam masa yang sama di bawah seksyen 6 ( 2 ) Menteri yang sama juga diberikan kuasa mutlak untuk membatalkan permit suratkhabar atau menggantungnya seberapa lama yang Menteri itu mahu.

Seksyen 13A ( 1 ) Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 memperuntukkan bahawa keputusan Menteri untuk tidak memberikan, membatalkan permit atau menggantung permit adalah muktamad dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa alas an sekalipun.

Seksyen 5 pula mengandungi 10 kesalahan yang boleh dikenakan ke atas mana-mana orang iaitu kesalahan-kesalahannya adalah mencetak, mengimport ,menerbitkan, menjual dan mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri atau kesalahan atau menawarkan diri untuk mencetak,menawarkan diri untuk mengimport , menawarkan diri untuk menerbitkan,menawarkan diri untuk menjual dan menawarkan diri untuk mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri.

Mana-mana orang yang didapati melakukan mana-mana kesalahan dari 10 kesalahan di atas boleh ditangkap dan jika didapati bersalah oleh Mahkamah boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun penjara atau dengan hukuman denda yang tidak melebihi RM 20,000-00 atau kedua-duanya.

Akta ini juga memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya , jika dia mendakwa mana-mana orang di bawah mana-mana peruntukkan Akta ini , untuk meminta Mahkamah menggantung penerbitan akhbar tersebut dan jika Mahkamah berbuat demikian ianya adalah suatu yang sah di bawah seksyen 8c ( 2 ) Akta tersebut.

Akta ini juga berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk meletakkan apa-apa syarat di atas permit yang diberikan dan kuasa Menteri ini juga tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun. Kita tentu tidak lupa bagaimana akhbar Harakah pernah dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah oleh Menteri meskipun permit dikeluarkan.

Saya masih ingat sewaktu mewakili Harakah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri suatu ketika dahulu. Harakah telah mencabar syarat-syarat yang dirasakan tidak munasabah yang dikenakan ke atas akhbar tersebut.

Saya masih ingat salah satu syarat yang dikenakan kepada Harakah adalah ia hanya boleh menerbitkan berita tentang PAS sahaja . Maknanya kalau Harakah hentam Umno di dalam akhbar teersebut ia dikira melanggar syarat permit. Tidakkah ini syarat gila yang hanya boleh dikenakan oleh Kerajaan gila seperti Kerajaan BN.

Meskipun jangka hayat permit suratkhabar itu adalah untuk tempoh 12 bulan daripada tarikh permit dikeluarkan namun berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) Menteri juga diberi kuasa mutlak untuk meletakkan syarat di dalam permit bahawa tempoh usia permit itu dikurangkan dari 12 bulan.
Seksyen 12 ( 2 ) secara jelas menyatakan Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk tidak meluluskan permohonan bagi mendapatkan permit. Dan di bawah seksyen 12 ( 2 ) inilah Menteri telah menggunakan kuasa mutlaknya itu untuk tidak memperbaharui permit akhbar Suara Keadilan. Harus diingatkan Menteri tidak perlu memberi apa-apa alasan mengapa ia enggan memperbarui permit Suara Keadilan.

Di dalam undang-undang pentadbiran ( administrative law ) sebarang keputusan pihak awam seperti kuasa Menteri perlu mematuhi prinsip keadilan asasi ( natural justice ) di mana salah satu prinsip itu adalah apa yang dipanggil “ audi alteram partem” ( seseorang hendaklah diberi hak untuk didengar ).

Diterjemah di dalam kes akhbar Suara Keadilan sepatutnnya Menteri hendaklah memberi hak tersebut kepada PKR apabila ia memutuskan untuk tidak mahu memberikan permit kepada Suara Keadilan. Adakah tindakan Menteri tersebut boleh dicabar ? Jawabnya tidak kerana seksyen 13B dengan secara jelas memberi kekebalan kepada Menteri apabila diperuntukkan bahawa mana-mana orang yang tidak diberikan permit atau digantung permitnya tidak perlu diberi hak untuk didengar oleh Menteri .

Akhirnya Akta ini juga membenarkan mana-mana orang yang ditangkap kerana disyaki melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini tanpa perlu waran tangkap dari Mahkamah ( lihat seksyen 20 Akta ) . Seterusnya jika pihak penguatkuasa KDN melakukan penggeledahan dan rampasan dan berlaku kerosakan mereka juga kebal dari sebarang tuntutan gantirugi dan mereka tidak boleh disaman di Mahkamah ( lihat seksyen 24 )

Amat menghairankan hanya kerana Suara Keadilan menyerang bertubi-tubi pengurusan Felda – agensi di bawah jagaan dan kawalan Najib- maka ia dihukum dengan hukuman yang amat berat – tidak boleh lagi diterbit dan dicetak akhbar tersebut. Kita tidak faham kenapakah Suara Keadilan perlu di hukum dengan hukuman sebegitu berat. Jika pun berita tentang Felda itu adalah satu fitnah ke atas Felda bukankah Felda dibenarkan oleh undang-undang untuk menyaman akhbar itu dan menuntut gantirugi . Tidakkh akhbar pro Umno juga banyak kali menyiarkan berita fitnah dan bohong dan mengapakah mereka tidak pernah dihukum seperti Suara Keadilan ?

Suatu yang amat ganjil parti apabila politik berdaftar seperti PKR dinafikan haknya yang fundamental iaitu menyebarkan mesejnya kepada rakyat melalui penerbitan akhbar. Jika Perlembagaan Perskutuan di dalam Perkara 10 ( 1 ) memberi kebebasan bersuara yang mana hak itu termasuk kebebasan akhbar Akta zalim ini menjadikan hak dan kebebasan di dalam undang-undang tertinggi tersebut tidak lagi bermakna dan hanya satu ilusi atau mimpi.

Sayugia diingatkan apabila BN menghukum Suara Keadilan menggunakan Akta zalim itu pada hakikatnya BN sedang menjatuhkan hukuman mati ke atas demokrasi. Apabila hak bersuara PKR dinafikan BN pada hakikatnya sedang mencabut oksigen dari tabung atau balang demokrasi. Pembunuh demokrasi wajib dihukum mati oleh hakim yang berkuasa di negara ini- rakyat atau pengundi .

Apa lagi – marilah kita sama-sama menyumpah Akta zalim ini 33 kali dalam sehari !

Tuesday, June 22, 2010

KES TIAN CHUA-MAHKAMAH WUJUDKAN KECELARUAN ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin


Isu sama ada Saudara Tian Chua masih layak menjadi Ahli Parlimen Batu kini hangat dibincangkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan mengurangkan hukuman denda ke atas Tian Chua daripada RM 3000-00 kepada RM 2000-00.

Isu ini melibatkan tafsiran Artikel 48 ( 1 ) (e ) Perlembagaan Persekutuan ( PP ).  Artikel  48 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan kehilangan kelayakan Ahli Parlimen. Salah satu sebab yang membolehkan seorang Ahli Parlimen seperti Tian Chua boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen adalah jika Ahli Parlimen itu disabitkan atas sesuatu kesalahan dan dihukum dengan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari satu tahun atau hukuman denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan Ahli Parlimen itu tidak mendapat pengampunan bebas.

Dalam isu Tian Chua ini isunya adalah berkisar kepada frasa “ hukuman denda tidak kurang dari dua ribu ringgit’. Apakah tafsiran yang sebenar tantang frasa tersebut ? Adakah tidak kurang dari dua ribu ringgit termasuk denda sebanyak RM 2000 atau denda RM 2000 tidak termasuk dalam frasa tersebut ?

Melihat kepada alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi ketika mengurangkan hukuman ke atas Tian Chua, hakim tersebut nampaknya tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan di Parlimen Batu. Atas dasar itu beliau mengurangkan hukuman denda daripada RM 3000 kepada RM 2000. 

Saya pasti hakim tersebut sedar tentang kewujudan Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan semasa beliau membuat keputusan. Secara tersiratnya apabila beliau menjatuhkan hukuman denda RM 2000-00 ke atas Tian Chua , hakim tersebut boleh dikatakan berpendapat denda RM 2000 tidak menyebabkan hilangnya kelayakan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen. 

Mengapa saya menyimpulkan Hakim tersebut boleh dikatakan berpendapat denda RM 2000 tidak menyebabkan hilangnya kelayakan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen. Jawapannya mudah. Pertamanya beliau bersetuju dengan hujah mitigasi ( pengurangan hukuman ) yang dibuat oleh peguambela Tian Chua untuk mengurangkan denda sehingga ke tahap yang membolehkan Tian Chua tidak hilang kelayakan sekaligus dapat mengelakkan pilhanraya kecil.

Bukti beliau menerima hujah peguambela tersebut amat jelas apabila beliau dengan secara terus terang di dalam penghakimannya menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju pilihanraya kecil diadakan. Oleh itu hakim tersebut bertindak mengurangkan denda kepada RM2000 sahaja di atas keyakinan beliau bahawa hukuman denda RM 2000 tersebut tidak mengakibatkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Secara tersirat kita boleh katakan Hakim tersebut berpendapat bahawa denda RM 2000 tidak termasuk dalam frasa “ hukuman denda tidak kurang dari RM 2000” yang dinyatakan di dalam Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan.

Bagi saya adalah lebih wajar hakim tersebut mengurangkan denda Tian Chua kepada jumlah kurang dari RM 2000 seperti RM 1900 misalnya bagi mengelakkan kecelaruan. Dalam keadaan beliau bersetuju tidak wajar diadakan pilihanraya maka adalah lebih elok beliau mengurangkan hukuman denda kepada jumlah yang kurang dari RM 2000.

Apa pun beliau telah menjatuhkan hukuman denda RM 2000 ke atas Tian Chua.  Adakah hukuman RM 2000 itu boleh menyebabkan Tian Chua kini boleh dikatakan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu di bawah Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan.

Karpal Singh menyatakan hukuman denda RM 2000 menyebabkan Tian Chua hilang kelayakan. Mereka yang menyatakan Tian Chua tidak hilang kelayakan berpegang kepada tafsiran Mahkamah Agung ( pada masa itu ) di dalam kes Pendakwa Raya lwn Leong Ying Ming ( 1993 ) 1 MLJ 177 Mahkamah Agung diminta menafsirkan seksyen 41B( 1 ) ( b ) Akta Dadah Berbahaya. Mahkamah memutuskan frasa hukuman penjara tidak kurang dari 5 tahun bermaksud “ hukuman penjara lebih dari 5 tahun iaitu dari 5 tahun 1 hari hingga hukuman penjara seumur hidup” . Diterjemahkan dalam konteks kes TianChua ia bermaksud jikaTian Chua dikenakan hukuman lebih dari RM2000-00 barulah beliau dikatakan hilang kelayakan.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan pendapat Karpal Singh yang menyatakan bahawa hukuman denda RM 2000 itu mengakibatkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Saya berpendapat perkataan “ denda tidak kurang dari RM 2000-00” di dalam Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan adalah terlalu jelas iaitu ia merangkumi hukuman denda RM 2000-00 dan lebih. Dengan lain perkataan jika seseorang Ahli Parlimen itu didenda RM 2000 atau lebih beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Sebenarnya telah ada precedent sebelum ini bagi kes sebegini.Di dalam kes Fan Yew Teng pada tahun 1975 , Ahli Perlimen DAP tersebut telah diputuskan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Mengelembu apabila beliau disabitkan bersalah di atas tuduhan hasutan dan didenda RM 2000. Bagi saya kes Fan Yew Teng lebih wajar dirujuk dari kes Pendakwa Raya lwn Leong Ying Ming kerana kes Fan Yew Teng melibatkan isu penafsiran Artikel 48 ( 1 ) ( e ) Perlembagaan Persekutuan sama dengan isu Tian Chua.  

Ingin saya tegaskan di sini meskipun saya berpendapat hukuman denda RM 2000 menyebabkan Tian Chua boleh dikatakan hilang kelayakan ini tidak bermakna saya setuju dengan hukuman tersebut. Hakikatnya saya merasa pelik bagaimanakah hakim Mahkamah Tinggi boleh mengekalkan sabitan keputusan Mahkamah Majistret yang memutuskan Tian Chua bersalah dalam keadaan keterangan pendakwa bahawa Tian Chua menggigit pegawai polis penuh dengan keraguan. Saya lebih nampak kedua-dua keputusan Magistret dan Hakim mahkamah Tinggi itu adalah keputusan yang tidak betul atau boleh dikatakan “keputusan politik” semata-mata.

Mengenai komen Hakim bahawa pilihan raya kecil akan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan rakyat bagi saya adalah alasan yang nampaknya semacam senada dengan suara pemimpin Umno. Bukankah Najib juga pernah mengatakan lebih kurang macam Hakim itu bercakap semasa memboikot pilihanraya kecil Dun Penanti satu ketika dahulu ?

Tuesday, June 15, 2010

USTAZ HASAN SHUKRI -KEHILANGANMU SUKAR DICARI GANTI

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Sederhana. Prihatin. Mudah mesra. Berpengalaman. Itulah antara lain ciri-ciri yang ada pada seorang individu hebat Pas yang telah pergi meninggalkan kita semua pada tanggal 14 hb Jun 2008 yang lalu. Itulah Almarhum Ustaz Hasan Shukri – orang parti. Kehidupannya diabadikan hanya untuk parti yang beliau amat sayangi iaitu Pas. Mungkin beliau adalah antara pemimpin Pas yang mempunyai pengalaman yang amat lama dalam Pas iaitu sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1951 atau mungkin sebelum itu lagi.

Kali pertama saya bertemu beliau adalah ketika menghadiri tamrin pelajar di Taman Melewar. Ketika itu saya berada di tahun pertama sebagai pelajar undang-undang di UIA . Jika tidak silap saya pada masa itu beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Pas. Itulah kali pertama saya mengunjungi Taman Melawar dan itulah juga kali pertama saya melihat Ustaz Hasan Shukri secara bersememuka. Saya amat tertarik dengan sifat kesederhanaan yang beliau tunjukkan. Meskipun beliau adalah orang lama dalam Pas beliau menujukkan sifat mesra kepada orang-orang baru Pas seperti saya. Banyak pengalaman-pemgalaman manis dan pahit yang beliau kongsikan kepada kami- para pelajar yang baru ingin berjinak dengan Pas.

Sejak dari pertemuan kali pertama sehinggalah kali terakhir saya bertemu dan berborak mesra dengan beliau di Muktamar Pas di Putik Kelantan , apa yang saya boleh katakan adalah betapa Pas kehilangan besar sebuah permata yang amat bernilai. Terlalu banyak perkara yang saya – termasuk para pimpinan dan ahli pas yang lain- belajar dari Ustaz Hasan Shukri. Pelajaran yang paling berharga adalah perlunya istiqamah dalam perjuangan tanpa mengira di waktu senang dan susah. Tidak sedikit mereka yang gugur dalam perjuangan Pas kerana tidak tahan diuji. Namun Ustaz Hasan membuktikan kepada kita beliau telah berjaya melepasi segala ujian dalam perjuangan Pas dan kekal istiqamah dalam perjuangan sehingga akhir hayat beliau.

Jika kita bercakap tentang jasa dan pengorbanan beliau dalam perjuangan terlalu banyak yang boleh diperkatakan. Muktamar Pas di Putik baru-baru ini menyaksikan sejarah dalam Pas dengan penyertaan golongan bukan Islam yang menjadi perwakilan melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas. Tetapi mungkin ramai yang tidak sedar atau tahu bahawa individu yang memberi sumbangan besar sehingga tergubalnya Peraturan –Peraturan bagi mengawal Dewan Himpunan Penyokong Pas adalah Almarhum Ustaz Hasan Shukri. Kefahaman beliau yang mendalam tentang Perlembagaan Pas dan undang-undang yang berkaitan seperti Akta Pertubuhan menyaksikan kecerdikan beliau mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas tanpa perlu meminda Perlembagan Pas.

Bagi para pimpinan Pas, Ustaz Hasan adalah pakar Perlembagaan Pas. Boleh dikatakan beliau semacam menghafal Perlembagaan Pas sepertimana Dr Aziz Bari semacam menghafal Perlembagaan Persekutuan. Meskipun saya seorang peguam dan diamanahkan sebagai Penasihat Undang-Undang Pas namun apabila timbul masalah mengenai isu-isu Perlembagaan parti saya yang merujuk kepada beliau dan bukan sebaliknya.

Kehebatan dan pengalaman lama beliau dalam pentadbiran parti dan Perlembagaan parti bukan sahaja diakui dan dihormati oleh dalaman parti tetapi juga mereka yang berada di luar parti. Apabila sahabat –sahabat dari Brunai Darussalam berhajat menubuhkan parti politik mereka telah berkunjung ke rumah Ustaz Hasan dan meminta almarhum menggubal rang Perlembagaan parti politik tersebut. Saya masih ingat setelah beliau menyempurnakan penggubalan rang Perlembagaan tersebut beliau telah menyerahkan saya sesalinan rang Perlembagaan tersebut untuk tujuan semakan dan menerima pandangan saya. Sebagai seorang peguam saya amat terpegun dengan hasil cipta beliau mengambil kira beliau bukan terlatih sebagai seorang peguam dan tidak terdedah dengan disiplin penggubalan undang-undang secara khusus.

Pengalaman bersama beliau menunjukkan bahawa Almarhum adalah orang parti sejak dari awal penyertaan beliau bersama Pas sehingga pemergian beliau. Beliau adalah pemimpin parti yang berpengalaman memegang jawatan parti dari serendah-rendah peringkat sehingga ke peringkat yang paling tinggi iaitu Timbalan Presiden Pas.

Apabila Pas menaja kewangan beliau untuk menyambung belajar di Iraq, beliau membayar balik jasa Pas itu dengan terus berkhidmat dengan parti selepas menyempurnakan pelajarannya. Beliau menunjukkan “ passion ( minat yang mendalam ) dalam kerja-kerja mengemaskan pentadbiran parti di semua peringkat . Meskipun kerja-kerja itu dilihat “kurang glamour” namun itulah kerja-kerja yang beliau lakukan tanpa mengenal penat lelah dan jemu.

Boleh dikatakan semua maklumat cawangan parti di seluruh negara ada di dalam pengetahun beliau. Beliau sanggup meninggalkan keluarga berhari-hari hanya kerana membantu kerja-kerja menguruskan kerja-kerja pentadbiran cawangan –cawangan Pas di seluruh negara.

Sifat mudah mesra dan kesederhanaan beliau tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Semasa saya baru mengenali beliau saya amat terkejut melihat beliau dengan berbaju T=Shirt Pagoda dan berkain pelekat tidak segan silu memotong rumput dan menyapu kawasan di Markaz Taman Melewar sedangkan pada masa itu beliau adalah Timbalan Presiden Pas. Boleh dikatakan kerja-kerja tersebut dilakukan secara rutin oleh beliau.

Boleh dikatakan juga rumah beliau telah menjadi pusat aduan tidak rasmi Pas. Ahli-ahli dan pimpinan parti yang menghadapi masalah sering mengadu nasib kepada AlMarhum tanpa mengira waktu dan masa. Para tetamu dari dalam dan luar negara sering berkunjung ke rumah beliau bagi memohon pelbagai bantuan termasuklah bantuan penginapan dan kewangan .

Saya pernah bertanyakan kepada beliau sewaktu pulang bersama-sama beliau dari satu program ceramah di Sabak Bernam, apakah pengalaman yang beliau tidak dapat lupakan ketika menghadiri program Pas. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak dapat melupakan peristiwa di mana semasa beliau memandu kereta selepas balik dari satu ceramah salah satu tayar kereta beliau tercabut dan beliau tidak sedar akan hal tersebut dan terus memandu sehinggalah seseorang menahan beliau dan memberitahu beliau bahawa tayar kereta beliau telah tercabut dan terpelanting keluar. Mungkin ini antara karamah yang Allah berikan kepada pejuang Islam yang ikhlas seperti Almarhum.

Moga Allah merahmati Almarhum . Amin.

Monday, June 07, 2010

BERSEDIA DENGAN FASA POLITIK BARU

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Ironis berlaku di dalam mana-mana perjuangan apatah lagi perjuangan Islam. Pas adalah parti Islam dan logiknya orang Islam sepatutnya lebih mudah menerima mesej Islam yang Pas bawa. Namum ironisnya kini orang bukan Islam agak selesa menerima mesej Islam yang dibawa oleh Pas. Dari Lajnah Antara Kaum kini Pas melangkah dengan lebih yakin apabila menaiktarafkan lajnah tersebut kepada status Dewan – Dewan Perhimpunan Penyokong Pas. Bukankah satu yang ironis Pas boleh disokong oleh bukan Islam dalam keadaan Umno yang bermajoritikan orang Islam bermati-matian menentang Pas dari segenap segi.

Apabila Pas menentang judi bola ironisnya ahli-ahli Dewan Perhimpunan Penyokong Pas yang bukan beragama Islam tidak membantah pendirian Pas tersebut malahan menyokong sepenuh hati. Tidakkah suatu yang pelik apabila mereka yang bukan beragama Islam di dalam PAS boleh faham kebobrokan judi dan menentangnya sebaliknya Umno sebagai parti yang bermajoritikan orang Islam tidak gentar sama sekali menghalalkan judi yang Allah haramkan secara qat’ie.

Pejuang Islam yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran pasti melihat ironi dalam kisah Nabi Yusuf a.s.. Nabi Yusuf a.s adalah anak yang paling disayangi oleh bapanya Nabi Yaakub a.s. Apabila anak disayangi oleh bapa ia adalah satu perkara yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu mengakibatkan Nabi Yusuf ingin dibunuh dengan dicampakkan ke dalam telaga.

Berada di dalam kegelapan di dalam telaga selama beberapa hari adalah perkara yang buruk namum ironisnya perkara buruk itu mengakibatkan baginda berjaya berada di istana raja. Berada di istana raja pada zahirnya adalah suatu yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu membawa Nabi Yusuf a.s ke dalam penjara. Berada di dalam penjara adalah suatu perkara yang buruk namun ironisnya perkara yang buruk itu membawa Nabi Yusuf a.s kepada jawatan Menteri Kewangan Mesir sekaligus berjaya mentadbir ekonomi Mesir dengan cemerlang.

Inilah hakikat dan tabiat perjuangan. Ironi di mana-mana. Ia kerja Allah. Sukar kadangkala untuk dirasionalkan.

Apabila Pas kini mula disokong dan didokong oleh rakyat bukan Islam ia menuntut satu persiapan dan kesedian untuk para pemimpin dan ahli Pas berada di fasa baru perjuangan. Pemimpin Pas yang selama ini mungkin lebih selesa berbicara dengan kelompok orang Islam sahaja kini harus menyiapkan dirinya memasuki fasa dan politik baru ini. Fasa baru ini bukan menuntut Pas menggadai prinsip perjuangan atau bersikap apologetik . Tidak . Tidak sama sekali. Apa yang dituntut adalah kefahaman yang mendalam dan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dan merangka strategi-strategi baru perjuangan. Mereka yang tidak bersedia dengan persiapan ini dikhuatiri akan menjadi penghambat kepada perkembangan perjuangan Pas kerana amat mudah untuk menolak satu perkara yang baru dalam keadaan seseorang itu sudah selesa dengan sesuatu yang lama.

Sebagai pejuang Islam kita patut merasa bersyukur kerana Islam itu sendiri sarat dengan petunjuk dan panduan kepada kita. Ertinya kita tidak perlu meraba-raba mencari panduan dan petunjuk. Menekuni seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat memberi taujihat yang jelas kepada kita bahawa motto “ Islam adalah rahmat seluruh alam” berjaya ditonjolkan secara praktikal oleh Rasulullah s.a.w dan mereka yang dididik oleh Baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjaya menonjolkan ruh toleransi ( tasamuh ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka berjumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) iaitu Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur .

Lihatlah ruh tasamuh ( toleransi ) yang Rasulullah s.a.w tonjolkan. Kita lihat pula kisah toleransi Al-Faruk ( Syaidina Umar r.a ) . Seperti yang kita tahu di dalam pemeritahan Islam zakat tidak diwajibkan ke atas orang bukan Islam . Sebagai ganti mereka bertanggungjawab membayar sejenis cukai yang dipanggil jizyah. Bagaimanapun jizyah tidak diwajibkan ke atas wanita , kanak-kanak, orang miskin dan mereka yang tidak mampu. Kalimah jizyah ada dinyatakan di dalam Al-Quran.

Di zaman Syaidina Umar terdapat golongan bukan Islam iaitu golongan Kritian dari Bani Thaglib yang setuju membayar cukai sepertimana zakat yang dibayar oleh orang Islam namun mereka tidak setuju dengan kalimah jizyah. Malahan mereka sanggup bayar berganda asalkan tidak digunakan kalimah jizyah. Umar sebagai seorang yang faqih bersetuju tidak menggunakan kalimah jizyah kepada golongan Kristian Bani Taghlib tersebut dan menerima bayaran cukai yang mereka bayar . Umar berkata “ mereka ini ( golongan Bani Taghlib ) ini golongan yang tidak faham, mereka bersetuju dengan makna tetapi menentang nama !! ( lihat m/s 14 Kitab “Al-Aqaliyyat Al-Dinniyyah Wa Al-hallu Al-Islami Karangan Yusuf Al-Qaradawi )

Kesedian Umar tidak menggunakan kalimah jizyah meskipun ia adalah kalimah yang wujud di dalam Al-Quran menunjukkan kebijaksanaan Umar dan sikap toleransi yang amat tinggi yang beliau tonjolkan.

Berdasarkan apa yang Syaidina Umar lakukan itu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi menyatakan “ begitu juga sekiranya istilah Ahlul Zimmah menyusahkan golongan bukan Islam tiada masalah digugurkan kalimah itu dan cukup mengekalkan istilah rakyat sebagaimana yang digunakan sekarang “

Tuesday, June 01, 2010

RAKYAT GILA BOLA ,UMNO GILA JUDI

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Apabila Rejim Najib melalui Awang Adek mengumumkan bahawa Kerajaan bersedia meluluskan aktiviti judi bola saya menganggap Awang Adek seorang yang jujur . Beliau jujur mendedahkan kepada rakyat tentang identiti atau wajah sebenar Umno- parti yang ketagih dan gila judi.

Sebagai parti sekular , bagi Awang Adek, Umno tidak perlu takut untuk mendedahkan kepada rakyat tentang identiti sebenar Umno. Ya, judi adalah haram berdasarkan wahyu yang qati’e . Melakukan perbuatan haram boleh membawa kepada neraka. Tetapi itu semua doktrin yang PAS pegang. Umno bukan PAS. PAS parti Islam, Umno parti sekular. Mana boleh sama. Bagi Umno apa kena mengena dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam perjuangan politik. Bukankah mantan Presiden Umno pernah mengatakan tindakan PAS yang berkempen tentang syurga dan neraka adalah termasuk dalam “rasuah politik.”

Memandangkan Umno mempunyai “world view” yang jelas bertentangan dengan Pas maka kita tidak perlu risau jika Umno bersedia menghalalkan benda yang diharamkan oleh Allah. Fahaman maddiyyah ( materialism /kebendaan ) dan hedonism ( hidup ini sekadar untuk bersuka ria ) yang menjadi pegangan dan sandaran Umno tidak membenarkan Umno melepaskan peluang untuk mengisi perbendaharaan negara ini dengan hasil ekonomi – tanpa kira hasil yang halal atau haram.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu sama ada Umno ini sekular atau tidak lihatlah pendirian rasmi Umno tentang judi di Parlimen. Mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Hilmi Yahya di Parlimen menyatakan di Parlimen pada 15 Disember 2004 dan dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia ( 16/12/2004 ) seperti berikut :-

"Kerajaan tidak bercadang menghentikan aktiviti perjudian secara berlesen di negara ini kerana mahu bersikap adil terhadap masyarakat bukan Islam di samping membendung kegiatan bookie haram. Sehingga kini terdapat 1,822 lesen diberikan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti ini, sama ada cabutan loteri Magnum, Toto, 1+3D dan kegiatan judi di premis-premis hiburan,'' .

Beliau seterusnya memberitahu, kerajaan tidak berhasrat menghentikan kegiatan itu kerana perjudian merupakan satu budaya kepada kaum-kaum tertentu.

"Ada kaum yang mempunyai budaya berjudi, jadi kita perlu bersikap adil kerana walaupun kita adalah negara Islam tetapi Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum dan dan agama,'' katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ratnam a/l Muthiah dalam sesi Dewan Negara.

Beliau memberitahu, kerajaan tidak berhasrat mengurangkan hari cabutan loteri Magnum, Toto dan 1+3D kerana ia akan mengurangkan pendapatan melalui cukai.

"Jika kita kurangkan kepada satu minggu sekali cabutan, kita akan kehilangan cukai RM620 juta dalam tempoh satu tahun,'' katanya.

Bagi Umno tidak merebut peluang untuk mengisi perbendaharaan negara dengan wang melalui aktiviti judi yang berleluasa dalam pesta bola piala dunia ini adalah satu kerja bodoh. Bukankah dengan membenarkan aktiviti judi semasa pesta bola piala dunia ini akan menyebabkan Kerajaan dapat menjana kewangan melalui cukai yang akan dibayar oleh tauke-tauke judi. Rasional Umno adalah daripada membiarkan taukeh-taukeh judi ini berjudi secara tidak sah lebih baik Kerajaan sahkannya melalui perlesenen. Bukankah taukeh judi ini akan membayar cukai yang banyak kepada Kerajaan jadi mengapa Kerajaan harus lepaskan peluang keemasan ini.

Bukankah mantan Perdana Menteri Singapura sendiri Lee Kuan Yew, hujah Umno, pernah menyatakan Kerajaan Singapura sepatutnya lebih awal membenarkan dan menggalakkan industri judi di negara itu sepertimana Kerajaan Malaysia lakukan dengan kewujudan mahligai judi di Genting. Lee Kuan Yew memuji Malaysia kerana pandai menjana kewangan melalui industri judi di Genting . Pujian Lee Kuan Yew bukan meresahkan Umno sebaliknya menyeronokkan Umno. Pujian itu juga memberi inspirasi baru kepada Umno. Umno kini dengan lantang dan mendabik dada menyatakan “ Wahai Lee Kuan Yew lihatlah kami bukan sahaja ada Genting tetapi kami juga menghalalkan judi semasa pesta bola piala dunia.”

Isu judi ini juga mendedahkan sikap hipokrit Umno yang amat jelas. Semasa kempen Piliharaya kecil Hulu Selangor, Umno tanpa rasa segan dan malu sanggup berkempen bermatian-matian untuk memberitahu rakyat di sana bahawa mereka perlu menolak Zaid Ibrahim kerana beliau adalah kaki arak. Cara Umno berkempen seoalah-oleh arak adalah sesuatu yang jijik bagi Umno . Dalam kempen pilihanraya itu Umno gagal menerangkan kepada rakyat jka Zaid Ibahim perlu ditolak kerana dilabelkan kaki arak Umno sudah tentu lebih aula ditolak kerana membenarkan kilang arak didirikan dan industri judi dihalalkan dan kini dikembangkan .

Mana –mana Kerajaan yang membenarkan aktiviti judi pada hakikatnya menggalakkan rakyatnya untuk hidup dalam khayalan dan angan-angan .Judi ( maisir ) bagi Islam adalah bentuk aktiviti gharar ( tidak pasti ) iaitu yang bagi ahli ekonomi dikatakan sebagai “ a zero sum game which risky payoff” . “Zero sum game” bermaksud orang yang menang dalam judi adalah di atas kerugian orang lain kerana judi adalah aktiviti yang tidak bersandarkan kepada kemahiran dan kecekapan sebaliknya hanya kepada tuah semata-mata. Seorang ahli ekonomi barat . Goodman, menyatakan peningkatan industri judi pada tahun-tahun kebelakangan ini di Amerika adalah disebabkan adalah kerana “ the growing tendency to rely on economic ventures of chance as opposed to those involving skill and real work “ ( kecenderungan untuk berngantung kepada aktiviti-aktiviti ekonomi yang berdasarkan tuah daripada aktiviti-aktiviti yang berdasarkan kemahiran dan kerja-kerja yang sebenar )

Saya minta maaf jika tersilap. Tetapi saya tidak nampak golongan agama di dalam Umno dan di luar Umno yang lantang menyerang Pakatan Rakyat lantang juga menyerang Umno di dalam isu judi ini. Saya tak nampak Mufti Perak bersuara dalam isu ini. Jika dalam isu Nizar memegang lilin sepantas kilat Nizar di”fatwakan” terlibat dalam perkara-perkara yang melanggar hukum agama mengapakah dalam isu judi bola ini “fatwa” sebegitu tidak keluar dari mulut-mulut golongan –golongan agama tertentu sedangkan hukum judi adalah lebih jelas.

Apapun pesta bola piala dunia ini mewujudkan dua golongan yang gila dalam masyarakat – rakyat gila bola Umno pula gila judi!!!

Tuesday, April 06, 2010

RAKYAT MAHU KERAJAAN BARU BUKAN MODEL EKONOMI BARU

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Pada 30 Mac yang lalu Najib Tun Razak mengumumkankan kepada rakyat kononnya satu reformasi ekonomi Malaysia melalui pengenalan bahagian pertama Model Ekonomi Baru ( MEB). Bahagian kedua MEB akan diumumkan pada bulan Jun nanti.

MEB mengandungi 8 inisiatif perubahan yang dicadangkan oleh Kerajaan BN.Di dalam laporan yang disediakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan ( MPEK ) didedahkan satu penilaian yang agak terbuka tentang apa yang tidak kena dengan ekonomi Malaysia sebelum ini . MPEK juga mendedahkan halangan-halangan yang mengakibatkan pencapaian ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.

Kadar pertumbuhan tersebut mula menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini kepada purata 4.5 hingga 5 peratus sahaja.

MEB sepertimana slogan 1 Malaysia adalah slogan-slogan baru yang dicanangkan kepada rakyat negara ini. Menjadi satu trend dalam negara ini setiap kali berlaku pertukaran Perdana Menteri maka bertukar juga slogan-slogan manis yang dicanangkan kepada rakyat. Satu Malaysia ganti Islam Hadhari. MEB ganti DEB.

Bagaimanapun satu perkara yang tidak bertukar adalah sama ada konsep Islam hadhari atau 1 Malaysia atau DEB atau MEB idea-idea ini masih datang dari partai politik yang sama yang menerajui negara ini selama ini- UMNO atau Barisan Nasional ( BN ). Sejarah membuktikan idea-idea seperti DEB meskipun manis dari segi konsep dan niatnya namun bercelaru apabila tiba waktu pelaksanaannya.

DEB yang bertunjangkan idea yang baik iaitu untuk menyusun semula masyarakat dan menbanteras kemiskinan diakui oleh Najib sendiri dalam ucapannya dengan kata-kata berikut “ untuk sekian lama, perlaksanaan dasar affirmative ( DEB ) tidak sampai kepada pihak-pihak yang perlu kepada dasar tersebut”. Secara mudahnya DEB gagal.

Para penganalisa ekonomi meskipun mengambil sikap terbuka menerima konsep MEB ini namun masih ragu-ragu sama ada perlaksanaannya akan benar-benar dapat dilakukan dengan jayanya. Melihat kepada beberapa tulisan di dalam “the edge” seperti tulisan oleh Azam Aris ( “the missing political will” ) dan Anna Taing ( “So much to do and so little time to do it “) adalah jelas mereka percaya dasar ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya selagi mana budaya “rent seeking and patronage” masih terus berleluasa.

Azam menulis “ budaya rent seeking dan sistem patronage adalah faktor besar yang menyumbang kepada ketirisan dan kebocoran dalam ekonomi- sebahagian menyatakan beratus-beratus billion ringgit- yang membawa kepada persekitaran ekonomi yang tidak cekap dan berdaya saing. Budaya ini berkait rapat dengan amalan rasuah”

Secara mudahnya budaya “rent seeking “ berlaku apabila mana-mana individu atau syarikat atau organisasi menggunakan segala sumber yang mereka ada untuk mendapat faedah-faedah ekonomi daripada Kerajaan tanpa mengembalikan semula faedah-faedah yang mereka terima itu kepada masyarakat. Contoh rent seeking adalah apabila syarikat melobi pihak Kerajaan bagi mendapatkan pinjaman, geran atau perlindungan tariff di mana aktiviti-aktiviti ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada rakyat bawahan kerana ianya hanya adalah satu pengagihan semula sumber –sumber dari pembayar cukai kepada golongan-golongan yang mempunyai kepentingan tertentu.

Apa yang didedahkan oleh Azam bukan satu omongan kosong. Sejarah Umno mengurus ekonomi negara membuktikan apa yang dikatakan oleh Azam adalah satu realiti. Sebagai satu contoh kita lihat pendedahan yang dilakukan oleh Barry Wain tentang budaya rent seeking dan patronage” di dalam bukunya “Malaysia Maverick Mahathir Mohamed in turbulent times” . Di m/s 186 buku tersebut Barry Wain menulis bagaimana Mantan Presiden Umno itu menberikan kontrak projek empangan Bakun di Sarawak bernilai RM 15 bilion tersebut kepada Ting Pek Khiing yang mempunyai hubungan rapat dengan mantan presiden Umno itu.

Barry Wain menulis “Dr Mahathir memberi keizinan kepada Ekran Bhd ( syarikat milik Ting Pek Khiing ) pada awal tahun 1994 selepas Ting dan Ketua Menteri Sarawak yang amat berpengaruh iaitu Abdul Taib Mahmud secara bersendirian membincangkan projek tersebut hanya dalam beberapa minggu sahaja. Tiada persaingan /tender yang terbuka dibuat , Ekran yang tidak mempunyai apa-apa kepakaran atau pengalaman dalam projek pembinaan empangan tidak mengemukakan apa-apa cadangan kepada Kerajaan Negeri sebelum mendapatkan kontrak tersebut. Ting hanya mengemukakan kajian kesan kepada alam sekitar ( environmental impact study ) hanya setelah 6 bulan beliau mendapatkan kontrak tersebut.”

Barry Wain juga menulis rakan kongsi kepada Ekran iaitu “Swiss Swedish engineering powerhouse Asea Brown Boveri Ltd. iaitu syarikat yang dipilih oleh Kerajaan Malaysia bagi mengetuai Konsortium pembinaan empangan bakun itu telah bertelingkah dengan Ekran apabila Asea Brown Boveri Ltd. membantah pemberian kontrak berjumlah RM 9 bilion kepada empat syarikat yang Ekran mempunyai kepentingan tanpa tender terbuka. Bantahan itu mengakibatkan syarikat asing itu dikeluarkan sebagai rakan kongsi Ekran.

Pendedahan Bary Wain itu satu contoh daripada beberapa contoh yang menunjukkan budaya rent seeking dan patronage boleh merosakkan sebarang dasar atau teori ekonomi meskipun dihiasi dengan kata-kata yang indah. Apa jaminan selagi Umno memerintah budaya tidak sihat sepertimana dalam kes Bakun itu tidak akan berlaku dan merosakkan kata-kata indah yang mendasari MEB yang dicanangkan oleh Najib.

Sepertimana yang dikatakan meskipun MEB adalah idea baru namun ianya datang dari pemimpin Umno- parti yang sama memperkenalkan DEB dan dalam masa yang sama menggagalkan DEB kerana perlaksanaannya yang penuh dengan ketirisan, kronisme , nepotisme dan juga rasuah di mana-mana.

Apa yang lebih malang di zaman Umno memerintah krisis keyakinan melanda institusi –institusi penting negara ini . Keyakinan para pelabur terhadap integriti institusi kehakiman sebagai contoh sehingga kini masih belum pulih sekaligus ia merencat iklim pelaburan. Bukan menjadi rahsia lagi para pelabur asing lebih rela dan yakin kes –kes mereka dibicarakan oleh timbangtara yang dikendalikan di luar negara daripada dibicarakan oleh Mahkamah di negara ini. Atas dasar itu semasa menandatangani mana-mana kontrak di negara ini para pelabur ini akan mengarahkan para peguam mereka meletakkan klausa di dalam perjanjian bahawa sebarang pertikaian yang berlaku hendaklah diputuskan oleh timbangtara dan bukannya oleh Mahkamah di Malaysia. Lihatlah betapa hinanya institusi kehakiman setelah dirosakkan oleh Umno.

Atas dasar itu rakyat mempunyai alasan yang kukuh untuk meragui konsep MEB meskipun dasar itu dihiasai dengan pelbagai kata-kata yang enak dan manis didengar. Najib mengatakan bahawa MEB masih mengekalkan dasar affirmative tetapi ianya kini berdasarkan empat prinsip – prinsip mesra pasaran ( market friendly ), prinsip berdasarkan merit ( merit based ), prinsip berdasarkan keperluan ( need based ) dan prinsip ketelusan ( transperancy ). Ya memang sedap didengar tetapi dengan trek rekod yang buruk BN mengurus ekonomi negara ini adakah kata-kata yang indah itu yang diperlukan oleh rakyat pada ketika ini ?

Monday, March 29, 2010

ULAMA TIADA KUASA VS ULAMA ADA KUASA

Oleh : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Antara isu yang sering dimainkan media ke atas gerakan Islam seperti PAS adalah dakwaan kononnya Pas anti hiburan. Mesej yang cuba dibawa dari dakwaan tidak berasas ini - amat berbahaya untuk memberi kepada gerakan Islam seperti Pas . Memberi sokongan kepada Pas ertinya menyokong supaya industri hiburan ditutup. Tiada konsert, tiada filem, tiada nyanyian. Begitulah fitnah yang sering dimainkan oleh musuh gerakan Islam.

Tidak dinafikan jika yang dimaksudkan hiburan itu adalah satu bentuk keseronokan yang bebas sepenuhnya dari sebarang sekatan dan kawalan maka Pas mengaku bahawa ia memang menentang hiburan sebegitu. Jika yang dimaksudkan dengan hiburan misalnya adalah nyanyian atau lakonan yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang tidak terkawal , pakaian yang menjolok mata, senikata dan skrip yang tidak membina keperibadian manusia sepertimana yang ditonjolkan oleh Hollywood atau Bolywood dan ditiru oleh industri hiburan tanahair maka hiburan yang seperti itu akan pasti ditentang oleh Pas meskipun seluruh alam membenci Pas.

Bagi Pas hasrat manusia untuk berhibur adalah satu fitrah manusia. Memandangkan ianya satu fitrah maka adalah mustahil untuk Pas melarang perkara tersebut. Sebaliknya hiburan itu patut disuburkan bagi membantu manusia lari dari masalah dan kerunsingan yang mereka hadapi. Bukankah itu matlamat hiburan ?

Apa yang malang manusia barat mengaitkan hiburan dengan keseronokan yang tidak dikawal. Industri hiburan barat menghiburkan manusia dengan meminta manusia mengikut selera hawa nafsu manusia . Tiada had dan batasan dibenarkan. Hiburan barat adalah berdasarkan falsafah hedonism – keseronokan yang tidak dibatasi oleh sebarang sekatan dan kawalan. Sistem ekonomi kapitalisme bukan sahaja merangsang industri hiburan barat malahan ia juga menjadi pengawal kepada industri hiburan tersebut.

Soal adab, akhlak , maruah, harga diri dan keperibadian insan tidak ada dalam kamus kapitalisme dan dunia hiburan barat. Apabila manusia dibiarkan untuk mengikuti hawa nafsunya untuk berseronok atas nama hiburan ia hanya membantu manusia lari sementara dari masalah dan kerunsingan . Bagaimanapun selepas menikmati hiburan itu ia akan membawa manusia itu kepada beribu masalah yang lain. Paparan akhbar tentang apa yang berlaku kepada artis-artis negara barat dan juga di negara ini – masalah dadah, khalwat, zina, gay, mabuk, kadar penceraian yang tinggi adalah contoh yang boleh kita lihat di depan mata kita.

Sebagai gerakan Islam yang ingin membawa manusia kepada kebaikan dan kesejahteraan yang hakiki Pas tidak boleh membiarkan dunia hiburan terus dinodai oleh acuan dunia hiburan barat. Maka tindakan mengharamkan terus industri hiburan sudah semestinya bukan satu pilihan yang wajar dan bijak. Jika itu pilihan Pas maka ia adalah satu bentuk escapism. Jika itu yang dilakukan maka ia menjustifikasi dakwaan jahat musuh bahawa Pas adalah anti hiburan.

Justeru itu tindakan Kerajaan Kelantan membenarkan konsert jom heboh baru-baru ini bagi saya adalah satu tindakan yang positif dan patut dipuji. Sebelum ini kita juga dapat melihat Negara Iran yang dipimpin oleh golongan ulama telah berjaya membawa revolusi industry perfilemen negara itu – dari industri glamour kepada industry yang membina. Perfilemen Iran menunjukkan bahawa sesebuah filem itu masih mampu menang award meskipun tiada arak dan adegan seks di dalam filem.

Bagi yang tidak senang dengan Pas, tindakan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Aziz membenarkan sure heboh di bumi serambi Mekah dilihat seolah-oleh menempelak kenyataan Mufti Perak sebelum ini yang mengatakan jomheboh atau sure heboh adalah haram.

Jika itu kritikan yang ditujukan kepada Kelantan , jawapan kita mudah sahaja. Haram atau tidak haramnya sesuatu perkara bukan hanya kerana namanya . Sebagai contoh adakah kasino itu haram kerana namanya kasino ? Bagaimanakah jika kasino menukar programnya dari yang berbentuk permainan dengan wang taruhan ( judi ) kepada permainan semata-mata tanpa ada unsur judi. Adakah ketika itu kasino masih haram hanya kerana namanya Kasino !

Sewaktu saya bersama dengan Presiden Pas bertemu para pelajar di Australia suatu ketika dahulu, Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang memberikan satu contoh yang menarik kepada pelajar tentang kaedah hukum dalam Islam. Contoh yang beliau berikan adalah melibatkan makan nasi. Beliau mengatakan hukum makan nasi boleh jadi harus atau wajib atau haram mengikut keadaannya. Asal hukum makan nasi adalah mubah ( harus ). Bagaimanapun ia boleh bertukar menjadi wajib jika apabila seseorang itu dalam kebuluran dan hanya ada nasi sahaja dan tidak ada makanan lain di hadapan beliau. Makan nasi ketika itu jadi wajib kerana ingin menjaga nyawa. Makan nasi juga boleh jadi haram jika makan di waktu siang semasa berpuasa di bulan Ramadhan..

Hal yang sama juga boleh berlaku kepada sure heboh. Sure heboh boleh jadi harus atau haram mengikut keadaan . Jika program sure heboh dipenuhi maksiat sudah tentu ia haram. Tetapi jika kandungan maksiat di program itu dapat dibuang atau dielakkan adakah hukum program itu akan terus berkekalan haram hanya kerana namanya sure heboh. Sudah tentu tidak.

Kita percaya bahawa apabila Mufti Perak mengatakan sure heboh haram ianya bukan kerana namanya tetapi kerana isi kandungan program tersebut. Program sure heboh sebelum ini termasuk di Perak sendiri tidak dikawal .Para penonton lelaki dan wanita dibenarkan duduk bersama-sama . Artis wanita dibenarkan terkinja kinja menyanyi di pentas dengan pakaian yang tidak sopan dan tidak menutup aurat. Mufti Perak yang tidak bersandarkan kuasa politik tidak dapat berbuat apa-apa apabila sure heboh berkunjung ke negeri Perak sendiri. Beliau terpaksa akur melihat fatwanya dilanggar oleh orang-orang politik di negeri itu. Konsert sureheboh di Perak terpaksa mengikut gendang TV 3 sebagai penganjur program itu.

Keadaan yang sama tidak berlaku di Kelantan. Di Kelantan pihak penganjur terpaksa ikut gendang Kerajaan yang dipimpin oleh Ulama’. Apabila Kelantan bersuara tiada artis wanita – maka TV 3 ikut. Tiada percampuran lelaki dan wanita- sekali lagi TV 3 ikut. Inilah bezanya apabila Ulama yang bersandar dengan kuasa dengan ulama yang tidak mempunyai kuasa.

Ulama tiada kuasa hanya dapat menyatakan ini haram itu haram tanpa dapat berbuat apa-apa jika manusia tidak endahkan fatwanya. Apabila TV 3 tidak endah fatwa Ulama yang tiada kuasa maka ulama seperti Mufti Perak tidak boleh buat apa-apa .

Apabila ulama ada kuasa ia boleh bertindak dengan lebih aktif dan efektif. Ia boleh ‘dictate” pihak penganjur supaya tunduk kepada peraturan Kerajaan negeri. Akhirnya ulama yang ada kuasa boleh menawarkan rakyatnya hiburan alternatif yang terbaik kepada sure heboh yang diharamkan oleh ulama yang tiada kuasa.