Tabika Kemas dibantu SAR dibiarkan mati- adilnya Barisan Nasional
Lebih 200,000 orang murid Tabika Kemas di seluruh negara akan menerima bantuan geran per kapita sebanyak RM100 setiap orang mulai sesi persekolahan Januari tahun depan.
Bantuan itu adalah untuk membantu ibu bapa membayar yuran bulanan, membeli pakaian seragam dan buku.
Di samping itu 80,000 daripada 200,000 pelajar tersebut yang datang dari keluarga miskin itu pula akan mendapat geran tambahan sebanyak RM100 lagi.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata:
``Pemberian geran kepada murid-murid berkenaan akan dimulakan pada sesi persekolahan pada bulan Januari tahun depan dan kita harap ia tidak akan membebankan ibu bapa dan waris,'' ( Utusan Malaysia 15/7/2005 )
Kenyataan di atas mengesahkan amalan diskriminasi kerajaan BN di dalam sektor pendidikan. Meskipun kita boleh bersetuju dengan pemberian geran tersebut kita juga berhak untuk bertanya mengapakah pemberian geran kepada Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) sehingga kini masih dihentikan. Tidak cukup dengan pembatalan pemberian geran kepada SAR pelbagai tuduhan liar dilemparkan kepada SAR termasuklah menjadi sarang pengganas. Kalau ini bukan diskriminasi apakah namanya ?
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan melarang amalan diskriminasi. Perkara 8 memperuntukkan apa yang dinamakan kesamaan di sisi undang-undang ( equality before the law ) .
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara ini . Sebarang peraturan dan amalan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah dan "unconstitutional".
Jelas dengan pemberian geran kepada Tadika Kemas dan meneruskan polisi memberhentikan geran perkapita kepada SAR adalah tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan. Dengan lain perkataan pemimpin BN bukan sahaja mendera pelajar-pelajar dan guru-guru SAR malahan tidak langsung menghormati ketinggian Perlembagaan.
Memandangkan Tabika Kemas akan dibantu oleh kerajaan maka bantuan yang sama juga harus diberikan kepada tadika-tadika yang lain termasuk PASTI . Sehingga kini PASTI bukan sahaja tidak dibantu oleh kerajaan malahan telah beberapa kali cuba ditutup oleh kerajaan . Beberapa buah PASTI di Melaka kini sedang dihadapkan ke Mahkamah .
Kerajaan BN perlu sedar dengan penubuhan institusi-institusi pendidikan selain daripada institusi pendidikan yang dibiayai oleh kerajaan sepenuhnya rakyat sebenarnya membantu tanggungjawab sosial kerajaan yang bertanggungjawab memberikan pendidikan kepada rakyat. Dengan penubuhan institus-institusi pendidikan swasta termasuk SAR kerajaan telah dibantu secara tidak langsung dalam menjimat kos menyediakan segala prasarana pendidikan kepada rakyat. Oleh yang demikian sebagai tanda terima kasih, kerajaan seharusnya bersedia menolong institusi-institusi tersebut bagi memastikan hak rakyat mendapatkan pendidikan yang terbaik bagi diri mereka sentiasa dijamin. Dalam soal ini seharusnya ada satu liberalisasi bukannya diskriminasi.
Sayugia diingatkan isu pendidikan seharusnya merentasi garisan politik sempit. Berpolitik seharusnya bagi membaiki kehidupan rakyat bukan menyeksa mereka.
No comments:
Post a Comment