OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Mendengar “khutbah” polis bahawa beberapa ceramah Pas didakwa tidak ada permit di Kerdau amat menyakitkan hati dan telinga. Dalam waktu kempen yang hanya seminggu panjangya mengapakah isu permit ceramah terus menerus didendang.
Kita merasa kesal kerana sehingga kini pihak polis masih tidak mahu menghormati hak dan kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman. Tindakan pihak polis menangkap dan menganggu perhimpunan aman kaum india di ibu kota baru-baru ini menunjukkan sikap polis terhadap perhimpunan aman masih tidak berubah. Bagi polis perhimpunan khususnya dari rakyat yang tidak menyokong BN adalah satu kesalahan tanpa mengira ianya aman atau tidak. Zikir polis adalah apa sahaja perhimpunan tanpa permit adalah haram maka halal bagi polis untuk mengganggu dan bertindak ganas ke atas ahli-ahli perhimpunan tersebut.
Polis di negara ini amat “allergic” dengan mana-mana perhimpunan rakyat . Meskipun sudah banyak kali pihak polis kalah di dalam perbicaraan di mahkamah yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram sikap polis dan peguam negara tidak pernah berubah. Polis akan terus mengganas dan menangkap mana-mana orang yang terlibat dengan perhimpunan dan pihak peguam negara akan terus mendakwa mereka yang ditangkap.
Untuk polis dan BN kita ingin mengingatkan bahawa revolusi yang berlaku di Timur Tengah sekarang ini dan telah berjaya di Tunisia dan Mesir setakat ini adalah hasil dari perhimpuan haram mengikut definisi polis di negara ini. Hanya dengan perhimpunan haram itulah kerajaan haram di Tunisia dan Mesir berjaya diguligkan. Jika Kerajaan di bawah BN terlalu benci dengan perhimpunan haram kita ingin lihat sama ada Malaysia akan terus mengadakan hubungan diplomatik dengan Kerajaan baru di Tunisia dan di Mesir yang lahir dari satu perhimpunan haram !
Kita sering mengingatkan BN jika kamu masih terus menerus menutup pintu demokrasi kamu hakikatnya sedang membuka pintu demonstrasi dan jika kamu terus menerus menekan demokrasi tidak mustahil akan munculnya satu revolusi.
Ramai mungkin tidak sedar antara faktor kuat yang mendorong dan mempercepatkan lagi revolusi rakyat di negara-negara Arab khususnya di Tunisia dan Mesir adalah faktor keganasan polis ( police brutality ). Dengan wujudnya teknologi IT yang terkini isu polis bertindak ganas ke atas rakyat mudah tersebar luas dan berjaya mencetuskan gelombang rakyat .
Majalah The Times yang terbaru melaporkan di Mesir sebagai contoh seorang pelajar Universiti ,Kamel dari Delta Nile menceritakan bagaimana beliau terjatuh dari kereta api di stesyen dan terbaring di landasan kereta api tersebut dan pihak polis telah datang ke tempat beliau terbaring. Beliau amat terkejut apabila pihak polis yang diharapkan akan menolongnya sebaliknya telah bertindak ganas dengan memukul beliau . Beliau bukan sahaja merasa sakit tetapi merasa amat terhina dengan tindakan polis tersebut. Beliau menyebar luas apa yang terjadi kepada beliau di alam maya melalui blog beliau
Kemudiannya dalam musim panas berlaku lagi kes keganasan polis yang menjadi perbualan hangat di kalangan masyarakat internet ( online community ) . Di Iskandariyyah seorang ahli perniagaan muda , Khaled Said telah dipukul sehingga mati oleh pihak polis. Tragedi itu melahirkan Facebook yang bertajuk “ We Are All Khaled Said” ( “ Kita Semua Adalah Khaled Said” ) yang dikendalikan oleh seorang pentadbir yang tidak bernama.
Kamel yang sebelum ini dipukul polis di landasan kereta api turut serta dalam Kumpulan Facebook tersebut dan menjadi salah seorang perancangnya yang utama. Hanya pada 7 Februari 2011 barulah Kamel mengetahui bahawa pentadbir Facebook yang tidak bernama tersebut adalah Wael Ghonim , eksekutif Google yang menjadi hero rakyat dalam perhimpunan di Dataran Tahrir yang berjaya menggulingkan rejim Hosni Mubarak.
Kamel dam Wael Ghonim adalah dua anak muda yang menjadi pencetus perhimpunan besar-besaran dan bersejarah pada 25 Januari di Dataran Tahrir .Keganasan polis telah memberikan mereka satu kekuatan baru untuk meminta rakyat Mesir turun ke jalan raya menggulingkan rejim Mubarak.
Keganasan polis wanita ke atas Mohammad Bouazizi sehingga membuatkan beliau membakar dirinya menjadi pencetus revolusi Jasmine di Tunisia.
Di Malaysia keganasan polis juga berlaku dalam skala yang amat besar. Yang rakyat tahu seperti kes Kugan dan adik Aminurrasyid adalah kerana ianya didedahkan di msia massa. Kes kematian adik Aminurasyid yang dibunuh oleh polis tidak melahirkan Facebook “ KITA SEMUA ADALAH AMINURRASYID” namun kita percaya akan muncul wira-wira baru jika pihak polis masih terus tidak berubah.
Mungkin bagi BN keganasan polis bukan satu isu yang mereka perlu takuti . Ya, ia mungkin bukan satu isu pada masa ini tetapi apa jaminan ia tidak akan menjadi isu besar di masa hadapan. Adakah BN ingat kaum muda di negara ini yang saban hari terdedah dengan internet , facebook dan twitter hanya melihat apa yang berlaku dan tidak merasa apa-apa.
Jika itu yang Najib dan BN fikirkan kita juga ingin menyatakan itu jugalah yang difikirkan oleh rejim Zine el Abidine Ben Ali dan rejim Mubarak ke atas anak-anak muda di Tunisia dan Mesir. Sebelum revolusi di Tunisa dan Mesir berlaku anak-anak muda arab di sana dianggap oleh rejim –rejim diktator tersebut sebagai generasi yang hilang arah.
Seorang Profesor Sains Politik di Universiti Cairo, Hassan Nafaa menyatakan “ jika kamu katakan beberapa tahun lalu bahawa pelajar-pelajar saya adalah bertanggungjawab ke atas pertukaran rejim di Mesir saya akan hanya ketawa ,,tetapi tidak sekarang.”” Hassan yang menamakan generasi muda di Mesir itu sebagai “Generasi Internet” atau “Generasi Facebook’ menyatakan “ budak-budak muda ini telah melakukan banyak perkara daripada apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka dalam masa 30 tahun.”
Revolusi di negara-negara Arab memberi satu signal kepada kerajaan-kerajaan umat Islam di dunia ini bahawa jangan perkecilkan kuasa rakyat. Hanya kerana kamu lama berkuasa dan terus menang dalam pilihanraya dan dalam masa yang sama masih terus mencengkam rakyat dengan pelbagai polisi dan undang-undang yang draconian jangan kamu ingat kamu tidak diperhatikan oleh rakyat.
Di Tunisa pemuda-pemuda yang menentang Ben Ali bukanlah pemuda-pemuda yang melaungkan ayat-ayat Al-Quran sebaliknya mereka adalah generasi Rap yang bangkit menentang rejim Ben Ali dengan senikata lagu rap yang ditulis oleh ElGeneral “ Lihat apa yang berlaku Mr Presiden/ rakyat mati, rakyat makan sampah/ lihatlah Mr Presiden , aku bercakap tanpa takut, meskipun aku tahu aku akan dilanda masalah/ lihatlah Mr Presiden aku menyaksikan ketidakadilan di mana-mana.”