Tuesday, April 28, 2009

HANIPA JAWAB KENYATAAN PEGUAM UMNO , DATO’HAFARIZAM

Saya mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan Dato Hafarizam untuk menjawab artikel saya yang tersiar secara meluas di alam internet ini (“ Zambry perolehi perintah yang tidak laku” ) Paling kurang saya berterima kasih beliau membaca artikel saya. Terima kasih sekali lagi.

Sebagai peguam saya menghormati pendapat beliau dan bagi saya tidak salah untuk beliau mengambil keputusan menjawab artikel saya tersebut . Menyanjung roh demokrasi yang sebahagiannya adalah kebebasan bersuara , kita wajar menghormati kenyataan beliau ketika menjawab artikel saya tersebut.

Saya tidak bercadang menjawab satu persatu apa yang beliau tulis sebaliknya memadailah saya hanya menjawab isu teras yang beliau bangkitkan di dalam kenyataan beliau tersebut.

Ramai meminta saya jelaskan kenyataan beliau bahawa

"Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penggantungan Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri itu oleh Speaker DUN Perak, V Sivakumar batal dan tidak sah, adalah konklusif dan tidak boleh dipertikaikan"

Sebenarnya kalau para pembaca membaca tulisan saya dan memahami betul-betul apa yang saya cuba sampaikan, para pembaca akan tahu bahawa dua perintah deklarasi ( perisytiharan ) yang Zambry dan enam exconya perolehi tidak membawa apa-apa kesan .

Bagi sesiapa yang pelajari dan terdedah dengan undang-undang pentadbiran ( administrative law ) mereka akan tahu perintah deklarasi sahaja tidak cukup kuat untuk mengikat Sivakumar.

Memanglah susah nak terangkan pada mereka yang bukan ahli undang-undang ( laymen ) khususnya ahli dan penyokong Umno tentang apa dia certiorari dan apa dia mandamus kerana bukan sahaja orang awam susah untuk faham malahan tidak semua para peguam juga dapat memahaminya atau memahaminya dengan baik..

Saya tidak pasti sejauh manakah Dato ‘Hafarizam biasa dengan kes-kes semakan kehakiman ( judicial review ) dan jenis-jenis perintah ( remedies ) yang biasa dipohon di dalam kes-kes semakan kehakiman.

Bagi pihak saya dan bukan niat nak membanggakan diri, sudah hampir 16 tahun saya menjadi pengamal undang-undang dan dalam tempoh tersebut antara cabang undang-undang yang saya banyak kendalikan kes adalah melibatkan kes-kes semakan kehakiman .

Saya akui tidak semua kes saya menang tetapi pendedahan kepada undang-undang tersebut agak mungkin agak lebih sikit dari Dato’ Hafarizam ( yang juga kawan baik saya )

Saya lihat di dalam jawapan beliau kepada artikel saya , Hafarizam tidak menjawab mengapakah Zambry tidak memohon perintah certiorari ( quashed the decision of Sivakumar ) dan perintah mandamus ( supaya Sivakumar benarkan beliau dan enam exconya masuk ke dalam siding DUN Perak )

Hakikatnya apabila persoalan tersebut dibangkitkan oleh Haji Sulaiman Abdullah, peguam Zambry iaitu Encik Fairuz Hussin mengakui bahawa berdasarkan doktrin pengasingan kuasa Zambry tidak dibenarkan memohon dua perintah tersebut

Berdasarkan jawapan dari Encik Fairuz tersebut, beliau sendiri mengakui bahawa Zambry terikat dengan doktrin pengasingan kuasa - bermakna Mahkamah tidak boleh perintah untuk Speaker membuat sesuatu atau melarang speaker membuat sesuatu. Dengan lain perkataan Fairuz mengakui Zambry tidak boleh mendapatkan perintah certiorari dan mandamus ke atas Sivakumar.

Tanpa perintah certiorari dan mandamus sebaliknya hanya mendapat perintah deklarasi sahaja , ianya tidak membawa apa-apa kesan kerana perintah deklarasi tidak boleh memaksa Sivakumar membuat sesuatu atau melarang Sivakumar membuat sesuatu perkara.

Bagi orang awam mereka mungkin bertanya kenapa perintah deklarasi bersifat begitu ?

Saya boleh jawab tetapi saya jika saudara tanya begitu samalah seperti saudara tanya seorang doktor kenapa ada ubat demam dalam bentuk pil dan ada dalam bentuk minuman atau pun saudara tanya seorang Ulama kenapa solat zohor empat rakaat dan kenapakah solat subuh hanya dua rakaat ?

Di dalam kenyataannya Hafarizam menyatakan bahawa isu mengapa Zambry tidak memfailkan semakan kehakiman sebaliknya hanya memfailkan Saman Pemula sahaja tidak wajar ditimbulkan kerana Mahkamah Persekutuan telah menolak bantahan peguam Nizar berkenaan isu tersebut .

Ya, benar Mahkamah telah menolak bantahan awal peguam Nizar terhadap isu tersebut, Tetapi apa yang Hafarizam tidak jelaskan adalah meskipun Mahkamah menolak bantahan tersebut ianya tidak bermakna perintah -perintah deklarasi yang Zambry pohon sama tarafnya ( dari segi kekuatan dan keberkesanannya ) dengan perintah seperti perintah certiorari dan perintah mandamus.

Hafarizam mungkin terlupa untuk menyatakan bahawa dengan penolakan bantahan tersebut , Mahkamah , pada hemat saya, pada hakikatnya ingin menyampaikan mesej kepada Zambry dengan mesej berikut :-

a. Bahawa memandangkan kamu hanya memohon perintah deklarasi sahaja , kami ( para hakim ) hanya benarkan untuk kamu memohon perintah tersebut melalui kaedah Saman Pemula dan tidak melalui Semakan Kehakiman di bawah Perkara 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

b. Tapi kamu juga kena faham apabila kamu hanya memohon perintah deklarasi sahaja dan tidak memohon perintah certiorari dan mandamus, kami boleh beri perintah yang kamu pohon tapi jangan salahkan kami kalau perintah tersebut tidak boleh membawa apa-apa kesan pemaksaan ( coercive force ) ke atas Sivakumar.

c. Kamu sendiri harus dipersalahkan kerana tidak memohon perintah certiorari dan mandamus bagi memastikan sebarang keputusan Sivakumar bukan sahaja dapat dibatalkan tetapi juga dapat dibuang/dipadam dari rekod DUN Perak. Tanpa perintah certiorari, keputusan Sivakumar tersebut akan kekal di dalam rekod di DUN Perak kerana kamu tidak pohon untuk padamkan perintah tersebut.

d. Kalau peguam kamu sendiri mengaku bahawa kamu tidak boleh pohon perintah certiorari dan mandamus bagi memadamkan keputusan Sivakumar, mengapa kamu masih juga memfailkan permohonan saman pemula ini dan meminta kami memerintahkan perintah yang tidak membawa apa-apa manfaat untuk mencabar keputusan Sivakumar.

e. Memandangkan kamu dah berada di Mahkamah ini dan memohon perintah-perintah deklarasi ( sebanyak 10 perintah ) kami bagi jugalah sebagai “saguhati” kepada kamu iaitu dua perintah deklarasi dari 10 perintah tersebut.


Sama ada mesej tersebut difahami oleh Umno atau tidak kita lihatlah pada 7 hb Mei ini .

Monday, April 20, 2009

ZAMBRY PEROLEHI PERINTAH YANG TIDAK LAKU ?

OLEH : MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN

Pembaca ruangan ini masih bertanya kepada saya adakah dua perintah perisytiharan yang Mahkamah Persekutuan keluarkan pada 15/4/2009 yang mengisytiharkan penggantungan Zambry dan enam exconya dibatalkan tidak mencukupi untuk mereka menghadiri sidang DUN Perak nanti.

Jawapan saya adalah tidak mencukupi. Berikut adalah alasan-alasan saya.

a. Apa yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya hanyalah perintah deklarasi ( perisytiharan ) semata-mata. Tidak lebih dari itu. Di dalam undang-undang perintah deklarasi yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya tidak membawa apa-apa makna kerana perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan ( coercive force ) .

Pakar undang-undang Pentadbiran, Prof M.P Jain secara jelas menyatakan

“ A declaration merely declares what the legal rights of the concerned parties are. A declaratory order has no coercive force as such nor does it quash any decision which may have been taken by an administrative authority.”

( Terjemahan : Perintah deklarasi hanya sekadar satu perisytiharan hak pihak-pihak yang terbabit dari segi perundangan. Perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaaan ( memaksa seseorang mengikut perintah tersebut ) .Perintah tersebut juga tidak memadam,membatalkan atau mengenepikan sebarang keputusan yang dibuat oleh mana pihak kuasa pentadbiran. )

b. Memandangkan Zambry dan enam exconya hanya memperolehi perintah deklarasi , perintah tersebut tidak meletakkan sebarang tanggungjawab ( impose an obligation ) ke atas Sivakumar untuk mematuhinya kerana dari segi rekod di dalam DUN di Perak, perintah penggantungan tersebut masih wujud selagi tidak dipadam oleh Mahkamah ( not quashed by the court ).

Untuk memudahkan faham saya bagi contoh berikut :-

Kita ambil satu kes misalnya seorang menyaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN ) kerana mengekalkan nama di dalam kad pengenalannya sebagai Ali bin Abu sedangkan beliau mendakwa telah menukar agama dan memohon namanya ditukar kepada John Abraham.

Katakan beliau meminta satu perintah deklarasi bahawa tindakan atau keputusan JPN yang tidak menukar namanya kepada John Abraham adalah tidak sah .

Katakan Mahkamah bersetuju dengan beliau dan mengisytiharkan bahawa keputusan atau tindakan JPN adalah tidak sah dan Mahkamah juga mengisytiharkan nama beliau adalah John Abraham . Maka persoalan yang timbul adalah adakah JPN wajib menukar namanya kepada John Abraham selepas beliau mendapat perintah perisytiharan tersebut ?

Dari segi undang-undang, JPN tidak wajib menukar namanya kepada John Abraham kerana Mahkamah hanya mengisytiharkan tindakan JPN adalah tidak sah tanpa memerintahkan nama Ali bin Abu dipadam dan ditukar kepada John Abraham.

JPN hanya wajib menukar nama Ali bin Abu kepada John Abraham jika pemohon mendapat perintah certiorari iaitu perintah mengenepikan/memadam ( quash ) keputusan JPN tersebut dan selanjiutnya perintah mandamus iaitu perintah mengarahkan JPN menukar nama beliau dari Ali bin Abu kepada John Abraham.

Selagi tidak ada perintah certiorari dan perintah mandamus tersebut maka nama beliau akan kekal di dalam kad pengenalan sebagai Ali bin Abu meskipun Mahkamah mengisytiharkan namanya John Abraham.

c. Dalam konteks kes Zambry lwn Sivakumar apa yang sepatutnya peguam Umno buat adalah selain mendapatkan perintah perisytiharan ( deklarasi ) bahawa penggantungannya tidak sah, Zambry juga sepatutnya memohon Mahkamah mendapatkan perintah-perintah berikut iaitu perintah certiorari iaitu perintah mengenepikan atau memadam keputusan Sivakumar yang menggantung beliau dan enam exconya dan juga perintah mandamus iaitu perintah meminta Sivakumar menbenarkan beliau dan enam exconya hadir ke dalam sidang DUN Perak.

d. Tanpa perintah certiorari dan mandamus tersebut maka perintah perisytiharan yang Zambry dan enam exconya perolehi dari Mahkamah satu perintah yang tidak membawa apa-apa kesan ke atas Sivakumar. Berhadapan dengan perintah seperti itu Sivakumar dengan tenang akan menjawab begini “ So what !”


Mungkin pembaca ingin bertanya mengapa Zambry dan enam exconya tidak memohon perintah certiorari dan mandamus sebaliknya hanya memohon perintah perisytiharan sahaja.

Ada dua sebab mengapa mereka tidak berbuat demikian .

Sebab Pertama adalah peguam Zambry sendiri secara jelas mengakui semasa penghujahan di Mahkamah Persekutuan bahawa Zambry tidak boleh memohon perintah certiorari dan mandamus kerana kedua-dua perintah tersebut tidak boleh dipohon di dalam kes ini disebabkan doktrin pengasingan kuasa ( separation of powers ).

Dengan lain perkataan peguam Zambry mengakui bahawa berdasarkan doktrin pengasingan kuasa , Mahkamah tidak boleh memerintah Sivakumar sebagai speaker untuk sama ada memadamkan keputusannya atau membenarkan Zambry masuk dan hadir di dalam persidangan DUN Perak.

Hatta jika kita lihat kepada 10 perintah yang Zambry pohon kesemunya adalah perintah berbentuk perisytiharan sahaja. Malahan Mahkamah juga tidak membenarkan perintah perisytiharan supaya beliau dan enam exconya untuk masuk , menghadiri dan mengambil bahagian di dalam sidang DUN Perak

Sebab kedua adalah Zambry dan enam exconya telah tersalah memilih prosedur Mahkamah. Jika beliau ingin memohon perintah certiorari dan mandamus , beliau perlu membuat permohonan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan bukannya melalui Saman Pemula seperti yang mereka buat. Memandangkan mereka telah tersalah prosedur maka mereka dengan berat hati terpaksa hanya berpuashati dengan perintah perisytiharan yang tidak membawa apa-apa makna .

Atas dasar itu juga peguam Sivakumar juga telah berhujah bahawa perintah perisytiharan yang Zambry pohon sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah dan meminta Mahkamah tidak melayan perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry tersebut.

Hujah peguam Sivakumar adalah berasaskan apa yang dinyatakan di dalam kes Fan Yew Teng v Government of Malaysia di mana Mahkamah telah menerima pakai apa yang dinyatakan oleh Erskine May di dalam buku Parlimentary Procedure ( 17th Edition ) di mana penulis telah menyatakan

“ The decisions of the court are not accepted as binding the house in matters of privilege, nor the decision of the House by the courts.

( Terjemahan : keputusan Mahakamh tidak diterima sebagai mengikat Parlimen atau DUN di dalam perkara menyentuh keistimewaan , begitu juga keputusan Parlimen atau DUN tidak mengikat Mahkamah.” ).

Mengapa , mungkin saudara bertanya, Mahkamah benarkan juga perintah yang tidak berfaedah tersebut ? Jawapan mudah saya ia adalah perintah untuk mengambil hati Umno. Perumpamaan yang mudah , ia adalah ibarat hadiah saguhati kerana menyertai pertandingan.

Jenis Umno ni , kita bagi mereka wang 1 sen pun mereka melonjak gembira sedangkan 1 sen boleh beli apa ?

Seperkara lagi yang saya perlu kongsi di sini adalah mengenai sidang DUN di bawah pokok yang diadakan pada 3 hb Mac 2009. Isu keesahan ( validity ) persidangan di bawah pokok tersebut juga merupakan salah satu isu yang dirujuk oleh Zambry semasa beliau merujuk kes beliau ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak.

Isu yang dirujuk adalah sama ada sidang bawah pokok pada 3 Mac 2009 adalah sah apabila ianya dibuat tanpa perkenan Y.M Tuanku Sultan Perak.

Selepas mendengar hujah peguam Zambry dan peguam Sivakumar ,Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat apa-apa keputusan terhadap isu keesahan sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac 2009 tersebut. Secara tersirat kita boleh menyimpulkan bahawa Mahkamah bersetuju bahawa sidang DUN di bawah pokok adalah sah.

Memandangkan tiada perintah Mahkamah yang membatalkan keputusan sidang bawah pokok , Umno terpaksa menerima hakikat berikut :-

a. Persidangan DUN di bawah pokok telah mengesahkan ( endorsed ) keputusan Sivakumar yang menggantung Zambry dan enam exconya selama 18 bulan dan 12 bulan..

b. Dengan pengesahan tersebut maka keputusan penggantungan tersebut adalah sah dan masih mengikat Zambry dan enam exconya yang lain.

c. Di dalam samannya Zambry mengatakan keputusan Sivakumar adalah tidak sah kerana keputusannya tidak disahkan oleh DUN Perak. Memandangkan sidang DUN Perak pada 3 Mac 2009 telah mengesahkan keputusan Sivakumar yang dibuat pada 18 Fenruari 2009 dan memandangkan Mahkamah Persekutuan tidak membuat apa –apa keputusan yang mengisytiharkan sidang bawah pokok adalah tidak sah maka keputusan DUN Perak di bawah pokok adalah sah dan mengikat Zambry serta enam exconya.

d. Apa yang Mahkamah putuskan hanya melibatkan keputusan Sivakumar pada 18 hb Februari dan bukannya keputusan DUN Perak pada 3 hb Mac 2009.

Kesimpulannya Umno hanya dapat perintah Mahkamah yang tidak membawa apa-apa faedah.

Friday, April 10, 2009

SIVAKUMAR MASIH DIBENARKAN MENCABAR KEPUTUSAN SPR KE ATAS TIGA ADUN YANG MELOMPAT

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan bahawa SPR mempunyai kuasa menentukan status tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat ( PR ) yang melompat iaitu Hee Yit Foong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) and Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) menandakan berakhirnya isu status ketiga-tiga ADUN tersebut ?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut di atas saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang intisari keputusan Mahkamah Persekutuan yang diberikan semalam ( 9/4/2009 ) . Keputusan tersebut boleh disimpulkan seperti berikut :-

1. Pada 9/4/2009 Mahkamah Persekutuan SEKADAR mengisytiharkan bahawa SPR dan bukannya Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu kerusi seseorang ADUN sepertimana tiga kerusi ADUN Perak tersebut kosong atau tidak.

2. Memandangkan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu kerusi seseorang ADUN di Perak kosong atau tidak adalah di tangan SPR maka SPR berhak menentukan tentang status tiga kerusi ADUN tersebut .

3. Memandangkan SPR telah membuat keputusan bahawa tiga kerusi ADUN tersebut tidak kosong maka Mahkamah memutuskan bahawa ketiga-tiga ADUN tersebut adalah kekal sebagai ADUN .

Itulah secara subtantifnya teras keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.. Persoalannya adakah keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut bermakna status ketiga-tiga ADUN tersebut tidak boleh dipertikaikan selepas ini ?

Jawapan kepada soalan di atas adalah status ketiga-tiga ADUN tersebut masih boleh dipertikaikan disebabkan alasan-alasan berikut :-

1. Apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa SPR mempunyai kuasa menentukan sama ada sesuatu kerusi DUN kosong atau tidak , Mahkamah Persekutuan sekadar memutuskan pihak mana yang berkuasa ( SPR atau Speaker ) bagi menentukan kekosongan sesuatu kerusi DUN. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu.

2. Mahkamah Persekutuan bagaimanapun TIDAK MEMUTUSKAN sama ada keputusan SPR ke atas status tiga ADUN tersebut sah atau tidak sah di sisi undang-undang ?

3. Isu sah atau tidak sah keputusan SPR masih boleh dicabar di Mahkamah melalui permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) .

4. Mahkamah Persekutuan sendiri mengesahkan bahawa keputusan Mahkamah semalam tidak memprejudiskan Saman ( Semakan Kehakiman ) yang dikemukakan oleh Sivakumar ke atas SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan SPR yang tidak mahu mengadakan pilihanraya kecil bagi ketiga-tiga DUN yang berkaitan.

5. Oleh yang demikian keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali menghalang Sivakumar untuk meneruskan saman beliau ke atas SPR yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada bulan Mei 2009 ini.

6. Jika kita boleh membuat satu analogi ( qiyas ) keputusan Mahkamah Persekutuan semalam ia bolehlah diibaratkan seperti berikut :-

Hanya kerana seseorang suami diberikan kuasa untuk menceraikan isteri tidak bermakna sebarang keputusan cerai yang dibuat oleh suami adalah sah dan tidak boleh dipertikaikan di Mahkamah.

Jika misalnya sisuami membuat keputusan menceraikan isterinya di dalam keadaan mabuk atau dalam keadaan tidak waras atau di dalam keadaan dipaksa oleh pihak ketiga , Mahkamah masih boleh membenarkan isteri mencabar keputusan suami tersebut.

7. Begitulah juga keadaan di dalam kes ini, Hanya kerana SPR mempunyai kuasa menentukan sama ada kerusi tiga ADUN Perak tersebut kosong atau tidak , ia tidak bermakna keputusan SPR tersebut adalah sah dan tidak boleh dicabar di Mahkamah. Dari segi undang-undang , Mahkamah masih boleh menyemak keputusan SPR tersebut bagi menentukan sama ada keputusan tersebut dibuat mengikut proses dan lunas undang-undang dan prinsip keadilan .

8. Sehingga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan terhadap saman yang dikemukakan oleh Sivakumar ke atas SPR , maka keputusan SPR masih belum boleh dikatakan secara muktamad sah dan mengikut lunas undang-undang.

Mungkin para pembaca masih ingin bertanya adakah keputusan Mahkamah Persekutuan semalam bermakna Sivakumar sebagai Speaker Perak tidak mempunyai kuasa selepas ini menghalang tiga-tiga ADUN tersebut masuk ke dalam dewan DUN.

Jawapannya Sivakumar masih boleh menghalang kerana Mahkamah Persekutuan tidak membuat sebarang perintah melarang Sivakumar dari menahan ketiga-tiga ADUN tersebut dari masuk ke dewan DUN. Peguam Umno juga tidak memohon kepada Mahkamah bagi mendapatkan perintah halangan tersebut.

Oleh itu Sivakumar tidak boleh dikatakan menghina Mahkamah jika selepas ini beliau menghalang ketiga-tiga ADUN tersebut masuk ke dalam dewan DUN.

Nampaknya sekali lagi keputusan Mahkamah tidak membantu UMNO menyekat kuasa V.Sivakumar – individu yang memeningkan Umno sejak krisis Perak dicetuskan oleh Umno.

Sunday, April 05, 2009

MAHKAMAH BUKTIKAN SECARA JELAS NIZAR TIDAK DERHAKA

OLEH : BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI PERAK

Sejak krisis Perak dicetuskan oleh Umno, parti tersebut tidak henti-henti menuduh Y.B Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka. Tuduhan derhaka tersebut dibuat hanya di atas andaian jahat semata-mata. Umno mengandaikan Y.B Dato’ Seri Nizar derhaka kerana enggan mematuhi keputusan Y.M Tuanku Sultan Perak.

Meskipun Umno sedar tuduhan derhaka tersebut tidak mempunyai asas sama sekali namun di atas prinsip “matlamat menghalalkan cara” yang menjadi teras atau rukun politik Umno, gendang derhaka tersebut terus menerus dipalu oleh Umno bagi mendapat undi rakyat dengan cara yang tidak bermaruah. Sejak dari awal Dato Seri Nizar dan Pakatan Rakyat ( PR ) tidak pernah berniat jauh sekali menderhaka kepada Y.M Tuanku Sultan. PR dan Dato’Seri Nizar menerima dengan terbuka konsep Raja berperlembagaan

PR boleh dan telah pun mengemukakan bukti-bukti sahih dan kuat yang secara jelas menunjukkan Umno adalah sebenarnya penderhaka kepada Sutan. Bukti-bukti yang PR kemukakan adalah bukti-bukti yang boleh diperolehi secara mudah dari rekod-rekod awam ( public record ) dan rekod rasmi. Apa yang berlaku sebenarnya adalah penderhaka Umno menuduh Dato’ Seri Nizar yang tidak derhaka sebagai penderhaka.

Dato’ Seri Nizar telah memfailkan saman ( semakan kehakiman ) ke atas Dato Dr Zambry di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan antara lain perintah bahawa Dato Seri Nizar diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Memandangkan beliau masih sebagai Menteri Besar Perak yang sah maka Dato Zambri tidak berhak memegang jawatan tersebut.

Semasa pendengaran saman tersebut pada 2/4/2009 ( khamis) yang lalu, pihak Peguam Negara telah bermatian-matian membantah saman Dato’ Seri Nizar tersebut di atas alasan Dato Seri Nizar sebenarnya mencabar keputusan Y.M Tuanku Sultan Perak dan keputusan Sultan, menurut Peguam Negara , tidak boleh dipertikaikan atau disemak oleh Mahkamah.

Pasukan Peguam Nizar berhujah bahawa Dato Seri Nizar tidak pernah berniat jauh sekali mencabar keputusan Y.M Sultan Perak . Peguam Dato’ Seri Nizar juga bersetuju bahawa kuasa Sultan tidak boleh dicabar di Mahkamah. Namun bagi mereka yang mahir dalam undang-undang pentadbiran ( administrative law ) , mereka tentu arif bahawa undang-undang membenarkan Mahkamah bertanyakan kepada mana-mana penjawat awam seperti Dato Zambry atas kuasa apakah beliau layak memegang jawatan tersebut di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Perak di dalam keadaan Nizar mendakwa beliau masih lagi Menteri Besar yang sah.

Pada 3/4/2009 ( Jumaat ) iaitu pada jam 3.50 petang ,Y.A Hakim Dato Abdul Aziz Abdul Rahim menolak bantahan Peguam Negara dan memutuskan permohonan Dato Seri Nizar bukan permohonan yang remeh ( not frivolous ) sebaliknya permohonan tersebut mempunyai merit dan asas yang kuat. Mahkamah menolak hujah Peguam Negara bahawa Dato Seri Nizar mencabar keputusan Sultan kerana berdasarkan saman yang Dato’ Seri Nizar failkan di Mahkamah adalah jelas Dato Seri Nizar tidak menyaman Sultan atau mempertikaikan keputusan Sultan.

Keputusan Mahkamah tersebut secara jelas dan terang menunjukkan bahawa sejak dari awal Nizar tidak pernah mempertikaikan keputusan Sultan . Keputusan tersebut sekaligus menyangkal dakwaan tidak berasas Umno bahawa Nizar adalah pernderhaka.
Keputusan Mahkamah membuktikan secara jelas bahawa isu derhaka yang Umno mainkan selama ini adalah satu politik jahat , politik murahan dan politik putar belit Umno Beginilah politik Umno dulu, kini dan tak tahu sampai bila.

Thursday, April 02, 2009

TV3 DAN UTUSAN MALAYSIA BUAT LAPORAN PUTAR BELIT KES BEKAS TIGA ADUN V SIVAKUMAR

OLEH : MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN

Laporan Buletin Utama TV3 semalam ( 1/4/2009 ) dan laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini ( 2/4/2009 ) mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar untuk membatalkan saman terhadapnya oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas tidak menggambarkan keputusan sebenar Mahkamah Tinggi tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan hari ini ( 2/4/2009 ) seperti berikut:-

“ IPOH 1 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar untuk membatalkan saman terhadapnya oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

Keputusan ini secara tidak langsung membolehkan ketiga-tiga ADUN Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong.”

Laporan utusan di atas khususnya perenggan yang menyatakan “ keputusan ini secara tidak langsung membolehkan ketiga-tiga ADUN Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong” adalah satu laporan yang amat mengelirukan dan boleh dibaca sebagai laporan yang mala fide ( berniat jahat ) di atas alasan –alasan berikut :-

1. Mahkamah Tinggi Ipoh HANYA menolak permohonan Sivakumar bagi membatalkan saman pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga “ADUN” tersebut ke atas beliau.

2. Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Sivakumar tidak bermakna Mahkamah mengisytiharkan ketiga-tiga “ADUN” Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong kerana isu tersebut belum didengar dan diputuskan oleh Mahkamah.

3. Apabila Hakim mendengar mana-mana permohonan untuk membatalkan Saman ( sama ada Writ Saman atau Saman Pemula - dalam kes ini ianya adalah Saman Pemula ) yang mana permohonan tersebut dibuat di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 ( juga dikenali sebagai permohonan “to strike out pleading” ) , Hakim hanya memutuskan permohonan tersebut sahaja . Ini bermakna di dalam kes di Ipoh tersebut hakim hanya memutuskan sama ada membenarkan permohonan Sivakumar atau menolak permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga “Adun tersebut”.

4. Di dalam kes ini Mahkamah memerintahkan permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga “Adun tersebut” ditolak. Itu sahaja perintah yang Mahkamah berikan. Tiada perintah lain diberikan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

5. Selepas Mahkamah memerintahkan permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga “Adun tersebut” ditolak , Mahkamah yang sama telah menetapkan untuk meneruskan pendengaran Saman Pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga “ ADUN” bebas tersebut dan tarikh pendengaran Saman Pemula telah ditetapkan pada 8 hb April 2009 ini.

6. Selagi Mahkamah belum mendengar dan memutuskan isu yang dibangkitkan di Saman Pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga “ADUN” tersebut , ketiga-tiga mereka belum boleh dikatakan sebagai wakil rakyat yang sah dan kerusi mereka juga tidak boleh dikatakan tidak kosong sepertimana yang dilaporkan oleh TV3 dan Utusan Malaysia.

7. Pasukan Peguam Sivakumar telah memutuskan untuk memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut dan terdapat kemungkinan besar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut akan diketepikan oleh Mahkamah Rayuan kelak sepertimana Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Dato’ Ridzuan yang melarang Sivakumar diwakili oleh peguam.

Saya harap penjelasan di atas dapat sedikit sebanyak membetulkan salah faham para pembaca di atas laporan putar belit TV3 dan Utusan Malaysia di atas.