Tuesday, July 12, 2005

Osu Sukam gagal sebagai pemimpin - bagaimana Pak Lah ?

" Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Osu Sukam gagal sebagai pemimpin yang baik kepada rakyat ekoran kegiatannya dalam perjudian sehingga berhutang sebanyak RM7.1 juta.
Perdana Menteri yang melahirkan rasa sedih dengan keadaan itu menegaskan, Osu sepatutnya menunjukkan nilai-nilai yang baik serta boleh dicontohi iaitu kepimpinan melalui teladan.

``Perkara ini telah mencemar kepimpinan beliau kerana pemimpin tak sepatutnya terlibat dengan kegiatan yang haram di segi agama dan tak bermoral dipandang masyarakat,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pengurusan Pengetahuan anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Pembangunan Akademik (CADe) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) . ( lihat Utusan Malasai 7/7/2005 )

Seterusnya Pak Lah juga menegaskan bahawa sebagai pemimpin Osu mesti mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan kredibiliti mereka.

``Seorang pemimpin yang baik ialah pemimpin yang dapat membawa kebaikan dari semua aspek dan boleh dicontohi serta berpegang kepada prinsip kepimpinan,'' kata Pak Lah..

Jika dilihat kepada komen Pak Lah di atas nampak seperti beliau benar-benar jijik dengan perjudian. Dengan lain perkataan Pak Lah tidak boleh menerima seorang pemimpin yang dikaitkan dengan judi. Bagimanapun tidakkah Pak Lah sedar Osu Sukam juga boleh berhujah bahawa Pak Lah juga gagal sebagai seorang pemimpin kerana sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno yang sibuk mencanangkan Islam Hadhari beliau secara sedar merestui kewujudan industri judi di negara ini. Judi di negara ini adalah suatu yang sah di sisi undang-undang melalui pelesenan yang dibenarkan oleh Kerajaan Islam Hadhari.

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan diberi kuasa memberi lesen kepada mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan judi. Kerajaan Negeri pula diberi kuasa mengeluarkan lesen premis perjudian (gaming house). Kedua-dua lesen ini mendatangkan hasil lumayan kepada negara melalui cukai perlesenan.

Osu Sukam hanya terlibat berjudi di luar negara tanpa terlibat menggalakkan orang lain berjudi manakala Pak Lah meskipun tidak berjudi terlibat menggalakkan orang ramai berjudi di negara ini dengan membenarkan industri judi bermaharajalela di negara ini melalui pelesenan. Melalui skim pelesenan judi kerajaan Islam Hadhari secara terang-terang membenarkan hasil negara ini diambil daripada sumber yang haram.

Di sini elok rasanya kita melihat kepada jawapan yang diberikan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Hilmi Yahya di Parlimen pada 15 Disember 2004 yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia ( 16/12/2004 ) di mana beliau berkata :-

"Kerajaan tidak bercadang menghentikan aktiviti perjudian secara berlesen di negara ini kerana mahu bersikap adil terhadap masyarakat bukan Islam di samping membendung kegiatan bookie haram. Sehingga kini terdapat 1,822 lesen diberikan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti ini, sama ada cabutan loteri Magnum, Toto, 1+3D dan kegiatan judi di premis-premis hiburan,'' .

Beliau seterusnya memberitahu, kerajaan tidak berhasrat menghentikan kegiatan itu kerana perjudian merupakan satu budaya kepada kaum-kaum tertentu.

"Ada kaum yang mempunyai budaya berjudi, jadi kita perlu bersikap adil kerana walaupun kita adalah negara Islam tetapi Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum dan dan agama,'' katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ratnam a/l Muthiah dalam sesi Dewan Negara.

Beliau memberitahu, kerajaan tidak berhasrat mengurangkan hari cabutan loteri Magnum, Toto dan 1+3D kerana ia akan mengurangkan pendapatan melalui cukai.

"Jika kita kurangkan kepada satu minggu sekali cabutan, kita akan kehilangan cukai RM620 juta dalam tempoh satu tahun,'' katanya.

Kerajaan Persekutuan dan kesemua kerajaan negeri yang diperintah oleh BN ( baca UMNO ) sehingga kini sedang meratah harta haram atas nama Islam Hadhari. Ulama UMNO yang ada "coklat" dimulut mereka tak bisa bersuara kerana hasil judi amat berbisa. Kerajaan Islam Kelantan yang disekat ekonominya oleh Kerajaan Pusat sejak daripada awal pemerintahannya pada tahun 1990 sehingga kini tidak langsung mengaut hasil judi melalui lesen premis perjudian meskipun terpaksa kehilangan jutaan ringgit. Bukan tidak terliur dengan hasil tersebut tetapi takutkan Allah dan memastikan harta yang didapati mestilah halal dan berkat mengelakkan Kelantan terjebak dalam harta yang haram.

Kesimpulannya Pak Lah dan Osu Sukam adalah dua kali lima. Kedua-duanya gagal sebagai pemimpin. Malahan Pak Lah lebih bahaya kerana beliau terlibat dengan perjudian di bawah topeng Islam Hadhari.

1 comment:

WarChief said...

Jangan lupa main Bola Tangkas di JokerMM.com!