Tuesday, July 12, 2005

news from harakahdaily.net

Islam semakin teruk di era Abdullah- HanipaMonday, July 04 @ 12:38:17 MYT Oleh Ismail HashimALOR SETAR, 4 Julai (Hrkh) -

Masyarakat Islam dalam negara ini sudah dapat melihat bagaimana kedudukan agama Islam di Malaysia semakin terpinggir di bawah era Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.Banyak peristiwa yang berlaku di dalam negara yang membabitkan agama Islam tetapi dipandang sepi oleh Abdullah yang dikatakan mempunyai kuasa malah pengetahuan mengenai perkara itu.

Demikian dijelaskan oleh AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin ketika menyampaikan pandangannya di dalam forum khas di sini 2 Julai lalu.

Forum bertajuk Malaysia di zaman Pak Lah itu diadakan sempena Ekspo Perdagangan Islam Kedah 2005 anjuran PAS Negeri Kedah yang bermula sejak 30 Jun hingga 5 Julai ini.
Turut serta di dalam forum yang diadakan di Kompleks PAS Kedah itu adalah mantan YDP ABIM Kedah, Haji Ahmad Kassim, Penulis terkenal, Azizi Haji Abdullah dan Naib Ketua Pemuda Keadilan Kedah, Ir. Zamri Yusoff.

Exco Pemuda Umno yang juga Exco Kedah, Dato' Azimi Daim dijemput menyertai forum itu sebagai panelis tidak dapat hadir dan gagal untuk menghantar wakil walaupun penganjur berusaha menghubungi mereka sehingga menjelang majlis bermula.
Dalam ucapannya juga, Hanipa menyebutkan tentang sikap Abdullah yang dilihat tidak menghentam Islam secara langsung tetapi mengambil sikap berdiam diri bila Islam dihina oleh segolongan mereka yang mempunyai hubungan dengan beliau.

“Gelagatnya yang tidak ‘ikhlas’ di dalam menentang Islam ini amat mengelirukan masyarakat dan rakyat terutama Muslim di negara ini Berbanding era Dr Mahathir yang secara ‘ikhlas’ menentang dan menuduh Islam dengan berbagai-bagai.

“Tetapi mesti diingat ketika Pak Lah menjadi Menteri Dalam Negeri, beliau telah mengarahkan supaya ceramah-ceramah agama dan politik ditegah sama sekali.

“Begitu juga di dalam isu Majlis Perunding Antara Agama (IFC) beliau hanya menangguhkannya bukan menolak terus sedangkan majlis perundingan antara agama itu dengan nyata cuba menjatuhkan imej Islam,” tegasnya.

Hanipa di dalam hujahnya berkata, rakyat amat terkeliru dengan Islam Hadhari yang dibawa oleh Abdullah kerana semua yang berlaku di dalam media terutamanya hiburan yang menjauhkan umat terutamanya muda-mudi dari hidup beragama.

Beliau turut senaraikan beberapa perkara yang merosakkan keyakinan dan keimanan rakyat di dalam negara ini antaranya IFC dan merebaknya pengaruh mereka yang mengambil agama secara mudah termasuk mereka yang keluar agama.

Hanipa yang juga peguam syariah dan sivil terkenal dengan kes-kes sensasi, baru-baru telah menang di dalam tuntutan kes Dato' Dr Hassan Ali terhadap kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, Azizi menyifatkan siapa sahaja yang memegang jawatan di dalam Umno tetap akan berperangai yang sama kerana 'bekasnya' adalah sama.
Kalangan penonton yang sempat ditemui melahirkan kekesalan kerana wakil Umno gagal hadir dalam satu majlis perbincangan yang sangat penting nilainya kepada pemikiran dan sikap rakyat negara ini.

Kata mereka, apa salahnya jika Umno hadir di dalam majlis PAS kerana sangat elok berbincang suasana terbuka dan boleh dimanfaatkan oleh rakyat keseluruhannya.
Seorang dari mereka, Saudara Sulaiman Mohd Noor, 42, dari Hutan Kampung berkata, sewajarnya Umno melihat bagaimana PAS yang sanggup hadir dalam mana-mana jemputan Umno termasuk program Debat Perdana.

“Kenapa perlu takut untuk hadir mengemukakan pandangan dalam satu majlis terbuka yang boleh dinilai oleh masyarakat awam,” tegasnya.

Pengarah Epik, Saudara Aris Awang bagaimana pun menerima alasan Dato’ Azimi melalui surat rasmi Exco Kerajaan Kedah yang menyatakan beliau mempunyai program di Langkawi walaupun pada peringkat awalnya dimaklumkan tiada pertembungan jadual pada tarikh itu.
Epik akan berakhir pada 4 Julai (malam ini) dengan ceramah umum penutup yang akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak bermula jam 9 malam. -zs

No comments: