Wednesday, June 29, 2005

Dr Hassan Ali menang kes

Isu hutan simpan Hulu Langat: Dr Hasan berjaya tuntut ganti rugiWednesday, June 29 @ 15:40:16 MYT Oleh Hafiz Mohd BaqiKUALA LUMPUR, 29 Jun (Hrkh) -

Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Ali melalui syarikatnya, Sabha Total Training Centre Sdn Bhd berjaya menuntut ganti rugi daripada pihak berkuasa negeri Selangor yang membatalkan permit kepada syarikatnya menggunakan hutan simpan Hulu Langat.Malahan larangan kepada Sabha Total untuk penggunaan kawasan tersebut oleh Pihak Berkuasa Negeri Selangor, juga dibatalkan.

Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Suriyadi Halim Omar di mahkamah Shah Alam kelmarin, selepas empat tahun kes tersebut dibicarakan.
Dalam perbicaraan tersebut, hakim telah meminta peguam kedua-dua pihak mengemukakan hujah masing-masing secara bertulis tetapi pihak kerajaan negeri tidak berbuat demikian.

Dr Hasan (pemohon) telah diwakili oleh peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin manakala pihak penguat kuasa negeri Selangor (responden) diwakili oleh pegawai undang-undang negeri.

Menurut Hanipa yang ditemui Harakah semalam, dalam kes tersebut, pihak responden telah gagal mengemukan sebarang hujah walaupun telah beberapa kali diminta berbuat demikan.

Manakala katanya, pihak pemohon antara lain telah berhujah bahawa responden tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan permit penggunaan kawasan hutan tersebut kerana kuasa terletak di bawah bidang kuasa Pengarah Perhutanan Negeri.

"Justeru hanya Pengarah Perhutanan sahaja yang boleh menolak atau membatalkan permit bukannya pihak responden seperti yang terjadi dalam kes ini," kata beliau.

Kata Hanipa lagi, responden juga telah bertindak di luar bidang kuasa yang diberikan kepadanya secara jelas dan tindakan tersebut adalah salah satu penyalahgunaan kuasa.

Kata beliau, pemohon juga berhujah bahawa keputusan penolakan memperbaharui permit daripada responden itu dipercayai didasarkan niat jahat (mala fide) dan dicemari oleh amalan diskriminasi disebabkan pengerusi eksekutif pemohon telah menjadi ahli Parti Islam Semalaysia (PAS).

Kes melibatkan Sabha Total dengan pihak berkuasa negeri Selangor bermula apabila pihak pemohon menerima surat daripada Pejabat Daerah pada 29 November 2001.

Dalam surat tersebut pejabat Daerah telah memaklumkan bahawa responden telah membuat keputusan menolak permohonan Sabha Total untuk memperbaharui permit sekali gus permit tersebut dibatalkan.

Lantaran itu, Dr Hasan telah memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi membatalkan keputusan pihak berkuasa Negeri Selangor yang telah membatalkan permit (use permit) kepada syarikatnya untuk menggunakan kawasan hutan simpan Hulu Langat.

Beliau telah memohon supaya mahkamah mengarahkan pemberian semula permit kepada syarikatnya di samping pihak terbabit membayar ganti rugi hasil daripada tindakan tersebut.
Beliau telah menganggarkan Sabha Total telah mengalami kerugian sebanyak RM1,291,984,66 akibat daripada tindakan pihak berkuasa negeri Selangor itu.


Sabha Total sebelum ini telah dibenarkan menggunakan kawasan hutan simpan Hulu Langat semenjak tahun 1993 lagi untuk menjalankan aktiviti seperti 'jungle trekking', 'orienteering' dan perkhemahan di kawasan tersebut. - lanh

No comments: