Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Jika harta dan kebendaan yang menjadi ukuran sudah pasti calon PAS, Zulkifli Mohd Omar bukanlah tandingan Tan Sri Mohd Isa Samad , calon Umno di DUN N.31 Bagan Pinang.
Semua orang tahu betapa kaya dan berpengaruhnya Tan Sri Isa Samad jika dibandingkan dengan Zulkifli Mohd bin Omar.
Bagaimanapun Al-Quran membimbing manusia bagaimana memilih kepimpinan. Isu kepimpinan tidak diukur dengan banyaknya harta dan pengikut seseorang.
Kisah pertarungan Thalut ( dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Saul ) dan Jalut ( dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Goliath ) yang diceritakan di dalam surah Al-Baqarah ( lihat Ayat 247 hingga 250 ) menjadi panduan yang amat berharga kepada kita tentang isu memilih kepimpinan.
Apabila Nabi Shamwil ( Samuel ) memaklumkan kepada rakyat Bani Israel bahawa Allah memilih Thalut sebagai pemimpin di kalangan mereka, rakyat Bani Israel menentang dengan menunggunakan alasan harta kebendaan. Bani Israel membantah pemilihan Thalut kerana beliau tidak dikurniakan harta yang banyak .
Meskipun Thalut tidak mempunyai harta yang banyak namun beliau diberi kelebihan yang lain iaitu kelebihan ilmu pengetahuan dan kekuatan fizikal ( tubuh badan ). Kedua-dua kekuatan tersebutlah akhirnya, dengan izin Allah , membawa kepada kejayaaan Thalut dan para pengikutnya ke atas Jalut.
DUN Bagan Pinang menemukan dua individu yang jika dilihat dari sudut kebendaan semata-mata, jelas memihak kepada calon Umno.
Isa Samad berharta tetapi perasuah. Zulkifli Omar tidak berharta namun bersih dari rasuah.
Empat tahun yang lepas Umno tidak benarkan Isa Samad bertanding merebut jawatan Naib Presiden Umno kerana beliau disabitkan dengan kesalahan rasuah ( politik wang ) . Apabila Badan Disiplin Umno mensabitkan Isa sebagai perasuah , Umno tidak mempertikaikan. Umno setuju 100 peratus dengan keputusan Badan Disiplin Umno yang antara lain anggotanya adalah Ketua Hakim Negara sekarang , Tan Sri Zaki Tun Azmi.
Bagi menunjukkan kononnya Umno jijik dengan rasuah maka mana-mana pemimpin Umno yang terbabit dengan rasuah tidak dibenarkan diberi tanggungjawab kepimpinan kerana bagi Umno pada masa itu Isa Samad adalah pemimpin yang kotor dan jijik.
Label Isa Samad sebagai perasuah masih terlekat di seluruh anggota badan beliau. Selagi label itu ada Isa Samad adalah perasuah . Oleh itu Isa Samad masih kotor dan jijik.
Bagaimanapun dengan tiba-tiba Isa yang kotor dan jijik itu kini dipandang bersih oleh Umno. Maka Umno tanpa segan silu dan tanpa rasa bersalah memilih beliau sebagai calon yang mewakili Umno di Bagan Pinang.
Para pemimpin Umno seperti Najib, Muhyiddin, Hishamuddin dan ramai lagi yang empat tahun dahulu bersetuju bahawa Isa Samad adalah perasuah-jijik dan kotor- kini dengan tanpa segan silu menyokong beliau sebagai calon Umno di Bagan Pinang. Mereka bukan sahaja sokong malahan sanggup membela Isa. Kesalahan merasuah wang yang Isa lakukan dibela sebagai kesalahan melanggar etika sahaja. Maka Umno bersetuju Isa adalah pemimpin yang tidak beretika yang ditawarkan untuk memimpin rakyat Bagan Pinang.
Jelas Umno secara konsisten tidak konsisten dalam isu Isa Samad ini. Apabila Isa Samad hendak dipilih sebagai pemimpin dalam Umno beliau diketepikan kerana rasuah. Bagaimanapun apabila rakyat Bagan Pinang ingin memilih kepimpinan pada 11 hb Oktober ini pemimpin yang rasuah ini ditawarkan oleh Umno untuk mewakili rakyat Bagan Pinang. Mesej Umno kepada rakyat Bagan Pinang adalah jelas iaitu “ kami tidak mahu pemimpin rasuah dalam parti kami tetapi kami mahu pemimpin rasuah itu menjadi pemimpin orang-orang selain dari kami ( rakyat Bagan Pindang ).”
PAS menawarkan calon yang bersih dari rasuah. Meskipun tidak berharta sepertimana Isa Samad , calon PAS adalah seorang yang berpelajaran tinggi sehingga ke peringkat sarjana. Beliau sanggup meninggalkan gaji yang tinggi apabila mula-mula diarahkan oleh parti untuk bertanding buat kali pertama di Lenggeng. Meskipun kalah dan seterusnya hilang jawatan dan sedikit kesenangan beliau terus istiqamah dalam perjuangan PAS. Bakat kepimpinannya terserlah . Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan ketika umurnya masih muda.
Nama Zulkifli Mohd bin Omar yang diberikan oleh arwah ayahnya adalah sempena nama Allahyarham mantan pemimpin agung Pas iaitu Prof. Zulkifli Mohamad. Beliau memberitahu saya ayahnya amat mengagumi Prof Zulkifli Mohamad lantas menyemadikan nama tersebut kepada beliau. Arwah ayah beliau adalah antara pemimpin awal PAS Negeri Sembilan.
Zulkifli Mohd Omar adalah orang yang sangat rapat dengan rakyat khususnya rakyat yang ditindas tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Nama beliau amat harum di Broga ( yang majoritinya kaum Cina ) kerana tanpa penat lelah beliau berjuang bersama-sama penduduk mustad’afin di Broga bagi memastikan projek Insinerator ( loji pelupusan sampah ) dihentikan. Pada Pilihan Raya tahun 2004 ketika mana pengundi Cina tidak mengundi PAS , Zulkifli Omar masih menang dengan selesa di peti undi Broga. Kami bergurau memanggil beliau “ADUN Broga”.
Saya masih ingat sewaktu saya dan beliau balik dari Kota Bahru menaiki kereta beliau selepas menghadir muktamar PAS di sana, beliau tiba di rumahnya di Lenggeng jam 7.00 pagi. Sampai sahaja di rumah beliau , tanpa rehat, beliau terus pergi ke Putrajaya bersama-sama penduduk Broga bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri.
Runah beliau adalah “markaz” penduduk Broga . Saya nampak betapa selesanya rakyat Broga yang berbangsa Cina setiap kali bersama-sama beliau. Perjuangan beliau dengan rakyat Broga bukan melibatkan hari tetapi memakan masa beberapa tahun. Beliau habiskan segalanya – wang ringgit , masa, tenaga – bagi membantu rakyat miskin dan tertindas di Broga. Dan tidak pernah sekali pun beliau mengeluh dengan apa yang beliau lakukan tersebut.
Jiwa dan denyutan nadi Zulkifli adalah bersama rakyat setiap masa. Beliau adalah teman rakyat tertindas. Rumah beliau adalah pejabat rakyat tertindas. Beliau adalah pemimpin yang tidak pernah mengatakan tidak kepada segala aduan rakyat.
Rakyat Bagan Pinang yang bijaksana tentu tidak mahu lepas peluang mempunyai pemimpin seperti Zulkifli Mohd Omar sebagai wakil mereka .
1 comment:
SubhanALLAH.. hitam putih dah jelas di depan mata. tinggal lagi ketinggian fikir pengundi Bagan Pinang. ingat, wut u GIVE, u'll GET back!
Post a Comment