Wednesday, June 17, 2009

TIDAK SALAH MEMINTA SISTERS IN ISLAM DISIASAT

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Isu usul muktamar PAS berkaitan dengan pertubuhan Sisters In Islam ( SIS ) menjadi isu yang hangat dibincangkan pada masa ini. Muktamar PAS yang baru lalu menerima usul bagi mendesak kerajaan mengharamkan SIS jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.

Usul yang dibawa PAS Shah Alam itu diterima tanpa bahas di hari terakhir Muktamar ke-55 yang diadakan di Shah Alam. Antara lain ayat usul tersebut menyatakan :-

"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya,"

Bagi saya isu ini menjadi hangat kerana kewujudan perkataan “mengharamkan SIS” yang dilihat oleh setengah pihak sebagai satu unsur yang agak drastik dan tidak demokratik. Bagaimanapun tiada siapa boleh menafikan bahawa usul tersebut bukan secara per se ingin mengharamkan SIS. Sebaliknya ayat usul secara jelas meminta satu siasatan dibuat terhadap SIS sebelum tindakan mengharamkan dilakukan.

Sebagai gerakan Islam yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya PAS tidak boleh lari dari “core business ”nya iaitu Islam. Maka jika dilihat dari konteks tersebut PAS sudah tentu berhak memberikan pandangannya dalam perkara yang menyentuh Islam dan umatnya.

Saya berani mengatakan bahawa SIS sendiri sedar bahawa ramai umat Islam di negara ini yang tidak selesa dengan pendirian pertubuhan tersebut di dalam sesetengah isu yang menyentuh Islam. Saya juga percaya bahawa SIS juga menyedari bahawa mereka bukan didokong oleh golongan yang benar-benar mempelajari Islam mengikut disiplin Islam secara teratur ( munazzam )

Islam memang menghormati kebebasan bersuara. Bagaimanapun Islam mempunyai standardnya sendiri dalam menentukan had kebebasan bersuara. Mereka yang ingin bercakap tentang sesuatu isu baik isu agama atau isu bukan agama perlu menguasai bidang yang mereka cakapkan. Sebagai seorang peguam saya berhak bercakap mengenai isu perubatan tetapi sudah tentu pengusasaan saya tentang ilmu perubatan tidak sama dengan seorang doktor yang dididik secara formal dengan ilmu tersebut. Begitulah sebaliknya.

Jika saya bercakap ilmu perubatan dan jelas apa yang saya cakapkan itu adalah salah orang tidak akan mengatakan saya sesat atau terkeluar dari agama. Paling kurang orang akan hanya mengatakan saya bebal atau bodoh. Tetapi apabila saya bercakap tentang agama dan terbukti apa yang saya cakap itu tidak betul, ia bukan sahaja mengancam diri saya tetapi juga mengancam orang Islam yang lain jika apa yang saya cakap tersebut dipegang dan diamalkan oleh orang lain juga. Di dalam Islam dipanggil dhol wa adhol ( sesat dan menyesatkan ).

Perkataan sesat ( dholal ) hanya relevan dalam isu agama dan tidak dalam isu yang lain.

Secara peribadi saya memuji keberanian SIS menyatakan pandangan namun apa yang dikesali dalam banyak keadaan keberanian itu melebihi hadnya sehingga mewujudkan satu kekeliruan di kalangan masyarakat.

Bekas pengasas SIS, Cik Salbiah Ahmad sendiri mengakui antara sebab mengapa beliau telah keluar dari pertubuhan tersebut dan tidak mahu lagi terlibat dengan pertubuhan itu adalah kerana isu tudung. Di dalam bukunya yang bertajuk “ Critical Thoughts on Islam , Rights and Freedom in Malaysia ( 2007 ) beliau menulis seperti berikut ( lihat m/s 8 dan 9 )

“ Salah satu sebab untuk saya meninggalkan dan tidak lagi menyertai SIS pada tahun 1997 , pertubuhan yang saya tubuhkan pada tahun 1987 adalah kerana isu tudung.. Dalam pertemuan pertama dengan wakil Yayasan Ford ( Ford Foundation ) , salah seorang anggota SIS telah membuka tudung yang saya pakai. Anggota SIS tersebut tidak mahu mana-mana ahli SIS dipandang oleh pembiaya SIS adalah mereka yang “jenis bertudung ( “tudung type” ) , tidak progresif , fundamentalist dan obscurantist ( golongan yang kabur ) . Saya terasa dihina dengan dengan tindakan ahli SIS tersebut dan saya memaklumkan hal tersebut kepadanya di dalam pertemuan tersebut. Tetapi ahli SIS tersebut tidak berubah dan bagi saya tindakan tersebut tidak menghormati pilihan saya ( untuk bertudung )”

Lihat sendiri pengakuan dari mantan pengasas SIS terhadap tindakan SIS berhubung pemakaian tudung.

Mengenai isu poligami saya ingin kongsi di sini kenyataan rasmi SIS yang bertajuk “Controversy on Polygamy” bertarikh 8 Januari 2002 di mana SIS menyatakan antara lain
( Terjemahan dari bahasa Inggeris )

“Oleh itu isu yang sepatutnya perlu dibincangkan di dalam masyarakat kita hari ini bukanlah sama ada poligami patut dibenarkan semula di dalam undang-undang sivil untuk orang-orang bukan Islam tetapi sama ada poligami sepatutnya harus diteruskan di bawah undang-undang keluarga Islam untuk orang Islam … Orang Islam seharusnya mengetuai masyarakat lain di dalam perjuangan menentang poligami dan penyalahgunaanya."

Pendirian SIS yang kontroversial terhadap isu poligami tersebut tidak berhenti di situ. SIS juga adalah salah satu dalang utama di dalam kempen monogami ( satu suami satu isteri ) yang dianjurkan oleh Coalition on Women’s Right in Islam pada 16/3/2003.

Kempen monogami ini telah ditentang hebat oleh para Mufti di negara ini kerana kempen ini secara halus dan secara tidak langsung cuba membawa mesej bahawa hukum poligami yang dibenarkan oleh Islam adalah satu yang tidak membawa kebaikan kepada wanita.

Bagi saya pendirian SIS terhadap poligami ini menunjukkan kecelaruannya dan kekeliruannya dalam memahami hukum poligami di dalam Islam. SIS di dalam banyak tulisannya cuba menunjukkan bahawa amalan poligami telah banyak menindas wanita.

Jika pun benar amalan poligami menindas wanita itu bukan hujah untuk kita menolak poligami yang dibenarkan Islam . Sebaliknya itu adalah hujah Islam ke atas orang yang berpoligami. Maknanya Islam boleh berhujah kepada pengamal poligami yang menindas wanita bahawa kerana kamu ( pengamal poligami ) tidak mengikut garis panduan yang Islam telah tetapkan sebab itulah poligami kamu yang amalkan mendatangkan keburukan.

SIS juga, tanpa bersandarkan disiplin ilmu , dengan begitu mudah membuat pendirian bahawa Kongsi Raya bukanlah amalan agama ( lihat kenyataaan rasmi SIS bertajuk “ Kongsi Raya not a religious ritual” bertarikh 16 hb Jun 2006 ) di mana antara lain SIS menyatakan

“ Kongsi Raya is not a religious ritual, but a harmonious social custom that has become part of Malaysian tradition, and become a model to other countries

( Terjemahan : Kongsi Raya bukanlah amalan agama tetapi satu adat sosial yang harmonis dan menjadi satu tradisi orang-orang Malaysia dan menjadi model kepada negara –negara lain )

Lihatlah betapa mudahnya SIS mengeluarkan kenyataan seolah-oleh isu kongsi raya tidak mempunyai nilaian dan celupan agama. Bagi orang Islam menyambut hari raya adalah satu bentuk ibadah ( sebab itu ada syiar takbir dan ibadat solat iaitu solat aidil fitri dan solat i'edul adha ) dan memandangkan ianya satu 'ibadah amalan tersebut tidak boleh dibuat mengikut kemahuan kita sendiri.

Amalan kongsi raya yang telah diamalkan oleh rakyat negara ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menjustifikasikan bahawa kongsi raya adalah sah di sisi Islam. Halal atau haramnya sesuatu amalan tersebut hendaklah dinilai dengan berpaksikan nas dan bukannya dari apa yang telah diamalkan melainkan apa yang diamalkan itu selari dengan nas. Jika apa yang telah diamalkan adalah selari dengan nas Islam mengiktiraf amlan tersebut berdasarkan kaedah " Al'adah muhakkamah" .

Atas dasar itu di dalam Islam terdapat perbezaan prinsip yang terpakai di dalam urusan mu’amalat dan prinsip yang terpakai di dalam urusan ‘ibadah.

Di dalam urusan mu'amalah , prinsip yang terpakai adalah “ sesuatu perkara itu pada asalnya harus kecuali ada nas yang melarang” ( al-aslu fi al-ashya’ al-ibahah )

Manakala prinsip di dalam 'ibadah pula “ sesuatu ibadah itu haram ( dilarang ) hukumnya melainkan ada nas yang membenarkannya”.

7 comments:

Aris Awang said...

Saya pun menyokong usul tersebut, dan telah menghantar mesej kepada salah seorang AJK PAS Kawasan Shah Alam agar usul tersebut tidak dipinda apa-apa - tetapi mencadangkan sidang akhbar yang akan dibuat hanyalah sekadar memberi penjelasan terhadap kekeliruan yang timbul.

Tanggung jawab kita bukan setakat mengimarahkan dunia ini - tetapi mencegah manusia lain dari terjerumus kelembah neraka ALLAH yang kita yakini dengan sebenar yakin, sehingga ketahap haqqul yaqin dalam kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Maha Suci Allah - Berilah Hidayah dan Petunjuk Mu kepada kami.

Aris Awang.

Tanduk_Emas said...

sorang ustaz mengatakan kongsi raya sepatutnya tidak boleh diraikan, walaupun menggambarkan msyarakat majmuk kaum di malaysia.

kongsi raya merujuk pada sambutan raya pada hari yang sama, seperti hari raya puasa dgn raya cina pada satu masa.

hujahnya, perayaan agama islam tidak dapat disamakan dengan perayaan lain (agama lain)kerana agama lain adalah mereka yang kufur kpd allah.

apabila kita meraikan perayaan 'bersama' ini menggambarkan bahawa kita membenarkan tindakan (kekufuran)mereka dan soalah-olah menyamakan tahap kesucian perayaan.

atas dasar apa perlu kita kongsi perayaan(kongsi raya)?

hujah ustaz itu lagi, slogan2 kongsi raya sepatutnya tidak boleh war-warkan.tidak boleh diraikan biarlah setiap agama itu meraikan raya masing2 tanpa perlu dikongsi.

wallahuallam....

waris jebat said...

Harap pihak yang berwajib ambil berat akan masalah ini. Bubarkan SIS demi agama Islam kita, anak cucu kita agar mereka tidak terjerumus ke dalam arus songsang lagi menyesatkan. Jangan pula nanti pada akhir zaman mereka menyalahkan kita kerana tidak bertindak lebih awal. BUBAR!!

Malaysia Traveler said...

I disagree with your comments that what SIS is doing is due to lack of depth in islamic religion. I am surprised as lawyer, your comments inclined to autocratic thinking. How do Muslims in West practice their faiths where there's no Islamic Authority established and they have abide by the common laws including monogamous marriage. What has banning orgainsation achieved? Look at Iran today, are all the Iranian people wrong in going against the Ayatollah? The truth is in Malaysia, the Islamic Authorities wants to "Control" the islamic population irrespective what they aspire. the tructh is that the Islamic authorities does want the common people decide for themselves. Encouraging such thinking would mean questioning the so called "authorities". The issue has nothing to do with islamic religion, it comes to the manner its being administered. Please look at the situation of the Islamic countries and the west, who is more tolerant and who is more repressive.

ibnubattuta said...

salam,
Rencana dalam bahasa melayu, banyak komen pun dalam bahasa melayu. entah datang dari mana UniversalTraveller65 tiba2 bercakap bahasa penjajah (english). tunjuk terer kot kononnya dia tu pandai sangat dalam bahasa penjajah tu. siap konon2 terperanjat penulis ni " inclined to autocratic thinking". apa yg dia fikir orang akan tulis dalam blog ni? sokong SIS? pegi jalan dah. buat UniversalTraveler65, insaflah. sudah-sudahlah buat dosa tu. Kembali kepada ajaran Al-quran dan As-sunnah. Pasal tudung tu memang betul kata penulis. semasa menghadiri forum agama di UTM, tahun 2001, wakil SIS dengan berani berkata tudung tu bukan ajaran islam. itu cuma budaya org arab yg dijadikan ajaran dan ikutan orang islam. ada ke patut cakap macam tu? habis nabi kita ni bukan orang arab? kalau mengikut segala sunnah nabi saya dituduh mengikut budaya orang arab semata-mata, maka biarlah saya dituduh begitu. jadi kalau universaltraveller65 nak berpaksikan negara barat sebagai contoh, marah tak dia kalau aku kata dia ni sama macam barat? Diri sendiri pun mereka boleh jual, apatah lagi agama. lagipun, apalah sangat nak dibanggakan dengan barat ni? budaya? ekonomi? nak muntah kalau nak difikirkan. Muhasabah dan renung-renungkanlah.

kiff2011 said...

Kini terdapat organisasi pertubuhan yg menyalah gunakan nama Islam.PAS sebagai tongak politik berpaksikan Islam seharusnya lebih berani mendedahkan kepincangan yg berlaku dlm masyarakat.Biar hilang undi, jangan hilang Islam.

Adam said...

Tuan,

Pendapat, dan luahan yang amat baik. Enough to say, after reading few other blogs, I like this the most.

You talk based on truth, and solid foundation. You made some of those who really being misled by UMNO wakes up from their sleep.

Keep up on writing, and for SIS, they are not even an islamic organization.