Thursday, April 02, 2009

TV3 DAN UTUSAN MALAYSIA BUAT LAPORAN PUTAR BELIT KES BEKAS TIGA ADUN V SIVAKUMAR

OLEH : MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN

Laporan Buletin Utama TV3 semalam ( 1/4/2009 ) dan laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini ( 2/4/2009 ) mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar untuk membatalkan saman terhadapnya oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas tidak menggambarkan keputusan sebenar Mahkamah Tinggi tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan hari ini ( 2/4/2009 ) seperti berikut:-

“ IPOH 1 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar untuk membatalkan saman terhadapnya oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

Keputusan ini secara tidak langsung membolehkan ketiga-tiga ADUN Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong.”

Laporan utusan di atas khususnya perenggan yang menyatakan “ keputusan ini secara tidak langsung membolehkan ketiga-tiga ADUN Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong” adalah satu laporan yang amat mengelirukan dan boleh dibaca sebagai laporan yang mala fide ( berniat jahat ) di atas alasan –alasan berikut :-

1. Mahkamah Tinggi Ipoh HANYA menolak permohonan Sivakumar bagi membatalkan saman pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga “ADUN” tersebut ke atas beliau.

2. Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Sivakumar tidak bermakna Mahkamah mengisytiharkan ketiga-tiga “ADUN” Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapt. (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) kekal sebagai wakil rakyat dan kerusi bagi DUN berkenaan tidak kosong kerana isu tersebut belum didengar dan diputuskan oleh Mahkamah.

3. Apabila Hakim mendengar mana-mana permohonan untuk membatalkan Saman ( sama ada Writ Saman atau Saman Pemula - dalam kes ini ianya adalah Saman Pemula ) yang mana permohonan tersebut dibuat di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 ( juga dikenali sebagai permohonan “to strike out pleading” ) , Hakim hanya memutuskan permohonan tersebut sahaja . Ini bermakna di dalam kes di Ipoh tersebut hakim hanya memutuskan sama ada membenarkan permohonan Sivakumar atau menolak permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga “Adun tersebut”.

4. Di dalam kes ini Mahkamah memerintahkan permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga “Adun tersebut” ditolak. Itu sahaja perintah yang Mahkamah berikan. Tiada perintah lain diberikan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

5. Selepas Mahkamah memerintahkan permohonan Sivakumar bagi membatalkan Saman Pemula ketiga-tiga “Adun tersebut” ditolak , Mahkamah yang sama telah menetapkan untuk meneruskan pendengaran Saman Pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga “ ADUN” bebas tersebut dan tarikh pendengaran Saman Pemula telah ditetapkan pada 8 hb April 2009 ini.

6. Selagi Mahkamah belum mendengar dan memutuskan isu yang dibangkitkan di Saman Pemula yang difailkan oleh ketiga-tiga “ADUN” tersebut , ketiga-tiga mereka belum boleh dikatakan sebagai wakil rakyat yang sah dan kerusi mereka juga tidak boleh dikatakan tidak kosong sepertimana yang dilaporkan oleh TV3 dan Utusan Malaysia.

7. Pasukan Peguam Sivakumar telah memutuskan untuk memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut dan terdapat kemungkinan besar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut akan diketepikan oleh Mahkamah Rayuan kelak sepertimana Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Dato’ Ridzuan yang melarang Sivakumar diwakili oleh peguam.

Saya harap penjelasan di atas dapat sedikit sebanyak membetulkan salah faham para pembaca di atas laporan putar belit TV3 dan Utusan Malaysia di atas.

5 comments:

IBAN MUSLIM said...

Terfikir juga saya...Seolah-olah mahkamah ini ada yang masih ada remote controlnya. Sampai bila kita akan mendapat Keadilan yang sebenarnya dlm konteks negara Malaysia.

Siva said...

"Mainstream Media" di negara kita memang suka memberi pandangan sehala sahaja.Saya dah bosan menonton berita di TV kerana selalu memberikan gambaran yang buruk kepada pembangkang.

freemalaysia said...

RTM juga putar belitkan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Jam 4.45pm, Traxx FM mengumumkan dalam "breaking news" bahawa Mahkamah mengistiharkan ketiga Adun berkenaan kekal dalam kerusinya.

muhd_abduhu said...

Bagusla syeikh hanipa, siap bagi syarahan Order 18, Rule 19 lagi tu...hehe.

Mari celikkan rakyat, tolak media putar alam.

-mz-

MalaysianMan said...

Dah 52 tahun mereka praktik benda yang sama...sehala je cerita depa..depa betui je orang lain semua salah...52 tahun !!!! Kita rakyat ni bukannya bodoh tapi yang bodoh macam lembu ditambat tali adalah majoriti..cukup sedih. Beri peluang pihak yang terlibat sekurang-kurang membela diri melalui saluran yang sama (melalui media)..barulah betui..
Kita rakyat tahulah menilainya siapa yang bersalah...bosanlah asyik cerita sehala je...muaklah..dah 52 tahun ooooi!!!. masalahnya rakyat yang bodoh yang majoriti ni masih memberi sokong mereka...tak heranlah ada vvip yang menjadi mp selama berpuluh-puluh tahun..dan ini pulak diberi peluang vvip untuk merampas harta negara dan rakyat...akhirnya rakyat yang merana bukannya mereka...mereka hidup senang lenang sampai bila-sila...hantar anak mereka belajar ke luar negara..beli harta kat luar negara dan sebagainya....kesian RAKYAT MALAYSIAN!!!!