Friday, April 10, 2009

SIVAKUMAR MASIH DIBENARKAN MENCABAR KEPUTUSAN SPR KE ATAS TIGA ADUN YANG MELOMPAT

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Ramai ingin mengetahui sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan bahawa SPR mempunyai kuasa menentukan status tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat ( PR ) yang melompat iaitu Hee Yit Foong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) and Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) menandakan berakhirnya isu status ketiga-tiga ADUN tersebut ?

Sebelum saya menjawab soalan tersebut di atas saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang intisari keputusan Mahkamah Persekutuan yang diberikan semalam ( 9/4/2009 ) . Keputusan tersebut boleh disimpulkan seperti berikut :-

1. Pada 9/4/2009 Mahkamah Persekutuan SEKADAR mengisytiharkan bahawa SPR dan bukannya Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu kerusi seseorang ADUN sepertimana tiga kerusi ADUN Perak tersebut kosong atau tidak.

2. Memandangkan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu kerusi seseorang ADUN di Perak kosong atau tidak adalah di tangan SPR maka SPR berhak menentukan tentang status tiga kerusi ADUN tersebut .

3. Memandangkan SPR telah membuat keputusan bahawa tiga kerusi ADUN tersebut tidak kosong maka Mahkamah memutuskan bahawa ketiga-tiga ADUN tersebut adalah kekal sebagai ADUN .

Itulah secara subtantifnya teras keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.. Persoalannya adakah keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut bermakna status ketiga-tiga ADUN tersebut tidak boleh dipertikaikan selepas ini ?

Jawapan kepada soalan di atas adalah status ketiga-tiga ADUN tersebut masih boleh dipertikaikan disebabkan alasan-alasan berikut :-

1. Apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa SPR mempunyai kuasa menentukan sama ada sesuatu kerusi DUN kosong atau tidak , Mahkamah Persekutuan sekadar memutuskan pihak mana yang berkuasa ( SPR atau Speaker ) bagi menentukan kekosongan sesuatu kerusi DUN. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu.

2. Mahkamah Persekutuan bagaimanapun TIDAK MEMUTUSKAN sama ada keputusan SPR ke atas status tiga ADUN tersebut sah atau tidak sah di sisi undang-undang ?

3. Isu sah atau tidak sah keputusan SPR masih boleh dicabar di Mahkamah melalui permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) .

4. Mahkamah Persekutuan sendiri mengesahkan bahawa keputusan Mahkamah semalam tidak memprejudiskan Saman ( Semakan Kehakiman ) yang dikemukakan oleh Sivakumar ke atas SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan SPR yang tidak mahu mengadakan pilihanraya kecil bagi ketiga-tiga DUN yang berkaitan.

5. Oleh yang demikian keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali menghalang Sivakumar untuk meneruskan saman beliau ke atas SPR yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada bulan Mei 2009 ini.

6. Jika kita boleh membuat satu analogi ( qiyas ) keputusan Mahkamah Persekutuan semalam ia bolehlah diibaratkan seperti berikut :-

Hanya kerana seseorang suami diberikan kuasa untuk menceraikan isteri tidak bermakna sebarang keputusan cerai yang dibuat oleh suami adalah sah dan tidak boleh dipertikaikan di Mahkamah.

Jika misalnya sisuami membuat keputusan menceraikan isterinya di dalam keadaan mabuk atau dalam keadaan tidak waras atau di dalam keadaan dipaksa oleh pihak ketiga , Mahkamah masih boleh membenarkan isteri mencabar keputusan suami tersebut.

7. Begitulah juga keadaan di dalam kes ini, Hanya kerana SPR mempunyai kuasa menentukan sama ada kerusi tiga ADUN Perak tersebut kosong atau tidak , ia tidak bermakna keputusan SPR tersebut adalah sah dan tidak boleh dicabar di Mahkamah. Dari segi undang-undang , Mahkamah masih boleh menyemak keputusan SPR tersebut bagi menentukan sama ada keputusan tersebut dibuat mengikut proses dan lunas undang-undang dan prinsip keadilan .

8. Sehingga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan terhadap saman yang dikemukakan oleh Sivakumar ke atas SPR , maka keputusan SPR masih belum boleh dikatakan secara muktamad sah dan mengikut lunas undang-undang.

Mungkin para pembaca masih ingin bertanya adakah keputusan Mahkamah Persekutuan semalam bermakna Sivakumar sebagai Speaker Perak tidak mempunyai kuasa selepas ini menghalang tiga-tiga ADUN tersebut masuk ke dalam dewan DUN.

Jawapannya Sivakumar masih boleh menghalang kerana Mahkamah Persekutuan tidak membuat sebarang perintah melarang Sivakumar dari menahan ketiga-tiga ADUN tersebut dari masuk ke dewan DUN. Peguam Umno juga tidak memohon kepada Mahkamah bagi mendapatkan perintah halangan tersebut.

Oleh itu Sivakumar tidak boleh dikatakan menghina Mahkamah jika selepas ini beliau menghalang ketiga-tiga ADUN tersebut masuk ke dalam dewan DUN.

Nampaknya sekali lagi keputusan Mahkamah tidak membantu UMNO menyekat kuasa V.Sivakumar – individu yang memeningkan Umno sejak krisis Perak dicetuskan oleh Umno.

5 comments:

looes74 said...

Hey,
How can you say that Sivakumar has offended the Court even if Sivakumar has lost the case against those 3 froggies?
Whose dewan's this? The federal court or Speaker's courts. Hence, such exercise would prove futile to the federal court if it continues. As long as Sivakumar in his own official capacity refused to admit these 3 jokers and declared these 3 jokers' seats are empty. Then, it's empty lah. Plus where does this aduns' allowance comes from? Under whose power? Speaker or EC or Federal Court?
The whole thing is a sham lah. I still do not understand how come EC has the power. Furthermore, how come EC can be a judge? The leader of the dewan is still the Speaker.
Thailand fiasco reminded us of what's going to happen when we don't respect our own laws. By the way, the only way is to resolve the problem is to PARDON Thaksin! Aiyah......what can I say man?

Anak Pendang Sekeluarga said...

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia." (Al-Anfaal 8:74)

Salam ziarah dari saya,,blog yang menarik ,jemput muzakarah di blog saya....dan jadikan blog saya sebagai rakan anda..tq

kudincendol said...

Kalau ikut apa yg saya faham, maksudnya, SPR ada 2 tindakan:
(1) SPR isythihar 3 ADUN tu masih ADUN yg sah.
(2) SPR isytihar PRK tak perlu.

Jadi mahkamah isytihar bahawa tindakan SPR yg (1) tu sah, tapi mahkamah tak sebut tindakan (2) tu sah atau tidak. Sebab tu Sivakumar masih boleh cabar tindakan SPR no (2).

Betul ke pemahaman saya ini ?

Tapi kalau ikutkan pengetahuan saya yg amat cetek dlm undang2 ni, teori pengasingan kuasa menjadikan bahawa kes Sivakumar ni sepatutnya mahkamah tak boleh ambil langsung. Ini sebab keputusan Sivakumar itu di buat dalam Dewan, bukan press conference.

Itu macam kalu, baik hakim je la duduk kat tempat speaker kat Dewan tu hehehe.

AB said...

Assalamualaikum saudaraku Hanipa,

BErcakap lah yang benar dan jgn mengelirukan Rakyat walaupun kebenaran itu pahit untuk di terima saudara

AB said...

Assalamualaikum,

Saudaraku, semasa Mahkamah Persekutuan memutuskan permohonan dibawah Seksyen 84 Courts of Judicature Act memihak kepada saudara, kenapa tiada komen langsung tentang "keanihan" keputusan tersebut bila masa Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan menurut Seksyen 84 sebelum2 ini.
Tapi apabila saudara kalah kali ini, bermacam macam komen dan alasan yang diberikan.
Nasihat lah Sivakumar supaya berlaku adil dan berkecuali.....itu tugas saudara yang akan disoal kemudian hari.