Saturday, November 01, 2008

“SYARIAH COMPLIANT” –MENGAPA HANYA DALAM EKONOMI ?

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Perkataan “syariah compliant” ( menepati syariah ) adalah istilah yang amat popular bagi pengamal ekonomi Islam. Di dalam konteks pengamalan ekonomi yang berasaskan Islam, “syariah compliant” bermaksud segala aktiviti ekonomi yang dijalankan hendaklah selaras dengan prinsip syariah.

Sebagai orang Islam tiada yang lebih menggembirakan kita apabila manusia di seluruh dunia kini sudah mula mengiktiraf sistem ekonomi Islam. Sama ada mereka suka atau tidak suka, dunia mengakui bahawa ,tidak seperti agama lain, Islam menawarkan sistem ekonomi yang amat komprehensif.

Kini kita dapat melihat bagaimana institusi kewangan banyak menawarkan produk-produk kewangan yang berasaskan konsep Islam seperti Al-Bai Bithaman Ajil, Musyarakah Mutanaqisah, Al Ijarah Thumma Al Bai, tawarruq ( trading yang melibatkan lebih dari dua pihak ), murabahah ( penjualan dengan kos yang ditambah (sale at cost plus), Mudarabah, Bai al-Inah ( trading antara dua pihak ), Waad ( janji ) Bai al-Sarf ( kontrak pertukaran wang ) , sukuk ( Islamic bond ) dan pelbagai produk lain .

Atas dasar itulah di dalam dunia ini kita tidak pernah mendengar mana-mana sistem perbankan yang berasaskan agama kecuali Islam. Saya percaya kita tidak pernah mendengar bank Hindu atau bank Buddha atau bank Kristian di dalam mana-mana negara. Hal ini berlaku kerana tidak seperti agama lain, Islam adalah “al-deen” ( cara hidup ) . Ini bermakna di dalam Islam segala kehidupan manusia dibekalkan dengan peraturan sama ada peraturan yang diperincikan atau yang bersifat umum.

Sistem perbankan Islam kini boleh dikatakan boleh didapati bukan sahaja di negara umat Islam tetapi juga negara-negara lain termasuk negara barat.

Akhbar Business Times melaporkan Maybank Singapura kini mula menimbangkan pelancaran pinjaman yang selaras dengan syariah bagi pasaran HDB ( Housing Development Board ) yang ditaksirkan bernilai lebih dari $65 billion. Dengan pelancaran tersebut , produk kewangan Islam tersebut akan menjadi alternatif pertama kepada sistem gadaian yang berasaskan riba yang terdapat di negara tersebut.

Di Singapura 2.96 juta atau 82 peratus daripada populasi penduduk di negara itu tinggal di lebih daripada 887,000 flat HDB dan dianggarkan lebih dari 15-16 peratus daripada mereka adalah Islam. Jika diberi peluang ramai orang Islam di sana memilih untuk menukar pinjaman mereka kepada sistem gadaian yang selaras dengan Syariah.

Hatta bank konvensional asing yang beroperasi di negara ini juga menawarkan produk-produk kewangan Islam. Standard Chartered Bank Malaysia Berhad yang merupakan bank komersial asing adalah bank asing pertama yang menawarkan produk perbankan Islam apabila bank tersebut memperkenalkan Standard Chartered Saadiq pada Julai 1992 . Saadiq Account-i adalah berdasarkan kombinasi konsep Islam al-Wadiah Yad Dhamanah ( Safe Custody ) dan Mudharabah ( Profit Sharing ).

Sarjana sistem kewangan Islam Raj M Maiden iaitu ketua eksekutif Five Pillars Associates menyatakan bahawa perbankan Islam di Asia menunjukkan peningkatan jumlah pernyataan orang bukan Islam . Beliau menyatakan

'In fact, the number of non-Muslim investors registered by some of these banks far exceeds their counterparts. As such, we can see that people are becoming more aware and thus less apprehensive about participating in Islamic finance.'

Beliau seterusnya menyatakan objektif sistem kewangan Islam adalah untuk menyediakan para individu peluang untuk terlibat di dalam perniagaan dengan lebih adil dan saksama tanpa mengabaikan aspek keuntungan.

Beliau juga menyatakan sistem gadaian yang selaras dengan syariah ( Syariah-compliant mortgages ) sepertimana produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang lain menarik minat orang bukan Islam di sesetengah negara. Sebagai contoh apabila Kumpulan HSBC ( HSBC Group ) mula menwarkan sistem gadaian yang selaras dengan syariah pada tahun 2004 di Malaysia ianya amat memeranjatkan semua pihak kerana lebih dari separuh pelanggannya adalah orang-orang bukan Islam sepertimana yang dilaporkan oleh Business Week.

Apa tujuan saya mengutarakan fakta-fakta di atas ? Sebenarnya saya ingin membawa para pembaca merenungi beberapa perkara daripada fakta-fakta yang disajikan di atas .

Pertamanya orang Islam perlu memahami dan menyedari bahawa “syariah compliant” tidak wajar dihadkan kepada aspek ekonomi sahaja. Bagi orang Islam, syariah itu sendiri meliputi aspek yang luas dan tidak dihadkan kepada aspek ekonomi sahaja. Syariah mengatur kehidupan manusia dari perkara-perkara seperti ibadat, urusan keluarga ( syu’un al-usrah ), mua’malat, jenayah , politik , sosial, pendidikan , kebudayaan dan lain-lain. Dengan lain perkataan, kehidupan orang Islam mestilah “syariah compliant” di dalam aspek-aspek yang dinyatakan tadi. Apa gunanya jika kita bersungguh memastikan ‘syariah compliant” di dalam aspek ekonomi tetapi membiarkan sahaja “non syariah compliant” di dalam aspek-aspek yang lain. Ianya ibarat kita hanya mengenal Allah di dalam urusan ekonomi sahaja .

Malangnya jika kita lihat di negara kita, masih banyak aspek aktiviti kehidupan orang Islam di negara ini yang masih belum boleh dikategorikan “syariah compliant”. Masih banyak undang-undang yang tidak “syariah compliant”. Hatta yang lebih pelik dan ajaib Mahkamah Syariah yang sepatutnya “syariah compliant” pun masih tidak mencapai piawaian “syariah compliant”.

Perkara kedua adalah kesedian orang bukan Islam untuk menerima produk Islam iaitu sistem perbankan Islam. Selama ini rakyat di negara ini dimomokkan oleh UMNO bahawa Islam tidak boleh ditegakkan di negara ini kerana orang bukan Islam tidak boleh menerima sistem Islam. Penerimaan orang bukan Islam terhadap sistem perbankan Islam adalah jawapan yang praktikal menolak alasan remeh UMNO tersebut. Mengapakah Kerajaan yang menguasai media massa yang lebih efektif tidak mahu bersungguh-sungguh menerangkan Islam kepada rakyat bukan Islam di negara ini ? Persoalannya adakah orang bukan Islam tidak mahu menerima sistem Islam ataupun kita sendiri yang tidak mahu mereka mengenali dan menerima produk Islam ?

Perkara ketiga, di dalam memperkenalkan sistem kewangan dan perbankan Islam, kita lihat Kerajaan secara relatifnya agak bersungguh mempromosi sistem tersebut. Hatta Kerajaan sanggup mewujudkan Akta Bank Islam bagi tujuan tersebut. Suruhanjaya Sekuriti juga mempunyai bahagian yang menguruskan ususan sekuriti yang berlandaskan syariah . Alhamdulillah ini usaha yang bagus. Bagaimanapun tindakan Kerajaan masih menimbulkan persoalan . Mengapa Kerajaan agak “laju” bergerak jika ia melibatkan soal wang tetapi agak perlahan jika ia melibatkan soal-soal yang bukan wang.

Keempat, di dalam keadaan dunia sudah melihat kegagalan sistem ekonomi socialism dan kapitalisme adakah kerajaan umat Islam bersedia memainkan peranan yang pro aktif mempromosi sistem kewangan Islam dengan lebih agresif kepada dunia-dunia barat . Islam adalah rahmat untuk seluruh alam justeru itu sistemnya yang komprehensif dan berteraskan keadilan yang mutlak harus dikongsi oleh seluruh dunia.

No comments: