Monday, November 03, 2008

KES PEMBUNUHAN ALTANTUYA- SISTEM KEADILAN DIBICARAKAN ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Ramai dari kita mungkin bingung memikirkan bagaimanakah Razak Baginda boleh dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri di atas pertuduhan bersubahat membunuh Altantuya pada jam antara 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan 9.45 pagi 19 Ocktober 2006.

Bagi mereka yang mengharapkan kebenaran sebenar ( the real truth ) daripada episod pembunuhan ngeri ini saya ingin menasihati lupakan sahajalah hasrat anda tersebut. Perbicaraan jenayah bukan bertujuan mencari kebenaran. Dengan lain perkataan Mahkamah bukan tempat mencari kebenaran.

Perbicaraan jenayah melibatkan soal bukti dan keterangan. Mahkamah hanya berminat dengan keterangan dan bukti. Tidak lebih daripada itu. Apabila kita bercakap tentang bukti dan keterangan ianya tertakluk kepada kaedah dan prosedur tertentu sebelum ianya boleh diterima oleh Mahkamah.

Dalam konteks undang-undang di negara ini segala keterangan hanya akan diterima jika ianya mematuhi kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Akta Keterangan 1950 dan Kanun Prosedur Jenayah.

Memandangkan kerja membuktikan tuduhan jenayah adalah amat berat dan begitu membebankan tugas tersebut tidak dipikulkan ke atas individu. Sebaliknya tugas , tanggungjawab dan kerja tersebut diserahkan kepada Negara melalui institusi Pendakwa Raya.

Dalam konteks kes Altantuya, kerja membuktikan Razak Baginda terlibat bersubahat tidak diletakkan kepada ayah atau keluarga Altantuya. Sebaliknya tugas tersebut diserahkan kepada Negara Malaysia di bawah institusi Peguam Negara selaku Pendakwa Raya .

Mengapa diserahkan kepada negara ? Kerana hanya negara sahaja yang mempunyai segala kekuatan sama ada kekuatan material atau sumber manusia untuk melaksanakan tugas pendakwaan. Negara mempunyai polis yang mempunyai kuasa penyiasatan yang amat luas. Negara juga ada pendakwa raya yang mempunyai kuasa pendakwaan yang amat luas. Negara juga mempunyai Mahkamah yang mempunyai kuasa yang amat luas untuk membicarakan sesiapa sahaja yang melakukan jenayah tanpa mengira pangkat dan darjat .

Begitulah secara teorinya bagaimanakah proses pendakwaan kes jenayah berlaku di dalam mana-mana negara.

Secara teorinya sepatutnya negara yang mempunyai segala sumber ditangannya tidak mempunyai masalah untuk memastikan pendakwaan ke atas Razak Baginda dapat disempurnakan secara kemas dan teliti. Pendakwaan yang kemas dan teliti secara relatifnya akan berakhir dengan sabitan ke atas tertuduh. Dengan pendakwaan yang cermat dan teliti sebarang ruang untuk tertuduh dilepas dan dibebaskan dapat dielakkan.

Malangnya di dalam kes Altantuya kita dapat melihat satu paradox. Hakikatnya bukan negara yang membicarakan kes pembunuhan Altantuya sebaliknya negara yang dibicarakan di dalam kes Altantuya.

Amat malang perbicaraan kes pembunuhan Altantuya berlaku di dalam negara yang mana sistem keadilannya sedang dan masih dipertikaikan. Kes Altantuya berlaku ketika mana sistem keadilan negara ini berada di kemuncak krisis. Kes Altantuya menyaksikan bagaimana institusi-institusi keadilan seperti institusi polis, peguam negara dan Mahkamah kesemuanya sedang diletakkan “bersama-sama” Razak Baginda, Azilah dan Sirul Azhar di dalam kandang orang salah.

Kita mulakan dengan melihat bagaimana institusi polis dibicarakan. Di dalam kes Altantuya rakyat didedahkan dengan maklumat yang amat menggerunkan. Menggerunkan sehingga kita merasakan seolah-olah kita ditadbir oleh Mafia. Rakyat didedahkan menerusi afidavit Razak Baginda semasa permohonannya untuk mendapatkan jaminan bahawa Azilah ( seorang anggota polis ) mengakui dia bertanggungjawab di atas kematian enam orang atau lebih dan beliau boleh membantu Razak daripada gangguan Altantuya.

Di sini saya ingin mencelah sedikit . Adalah suatu yang amat pelik pihak Mahkamah boleh menggunakan afidavit yang sama untuk membebaskan Razak dari tuduhan bersubahat tanpa mengambil kira pengakuan Razak di dalam afidavitnya berkaitan apa yang dilakukan Azilah sepatutnya sudah mencukupi untuk membuktikan bahawa ada unsur subahat di dalam kes ini. Dalam keadaan Razak mengakui Azilah memaklumkannya bahawa beliau telah membunuh lebih dari enam orang dan boleh membantu Razak, Razak masih mahu menggunakan khidmatnya. Malahan Razak sendiri mendedahkan di dalam afidavitnya bagaimana Azilah memaklumkan kepadanya bahawa “ tonight sir, you can sleep peacefully ( malam ini tuan boleh tidur dengan nyenyak ). Saya percaya pembaca boleh menafsirkan apa maksud ayat tersebut !!

Untuk makluman pembaca semasa pendegaran permohonan jaminan oleh Razak, Hakim N.K Segara telah membuat teguran kepada peguam Razak . Hakim tersebut menyatakan afidavit yang dikemukakan oleh Razak mengarahkan kepada satu kesimpulan bahawa Razak telah bersubahat dengan Azilah untuk “get rid” ( bebaskan ) Altantuya dari kehidupan Razak . Hakim yang sama juga menyatakan mengapakah dalam keadaan Razak mengetahui Azilah telah membunuh beberapa orang beliau masih meneruskan hasratnya meminta tolong dari Azilah. Bagi saya kandungan afidavit Razak adalah bukti prima facie bagi menunjukkan elemen subahat.

Kes Altantuya juga mendedahkan kita bagaimana penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam dengan tiba-tiba boleh menukar pengakuaan bersumpahnya dalam masa 24 jam dan kini dilaporkan hilang. Bagaimana beliau boleh dengan tiba-tiba menukar pengakuannya jika tiada sebarang campurtangan dari pihak polis ? Ini persepsi rakyat jalanan yang tidak boleh dibuang begitu sahaja.

Mari kita lihat bagaimana Mahkamah juga dibicarakan di dalam kes Altantuya. Rakyat bertanya kenapakah Hakim N.K Segara yang agak senior dan sepatutnya mendengar kes tersebut secara tiba-tiba ditukarkan dengan Hakim yang agak junior iaitu Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin . Di kalangan para pengamal undang-undang Hakim N K Segara diketahui seorang hakim yang penuh integriti. Beliau dengan secara tegas tidak membenarkan Razak diberi jaminan dan malahan semasa pendengaran permohonan jaminan Razak, beliau memarahi peguam Razak kerana dengan secara sengaja tidak membaca perenggan di dalam affidavit Razak yang menyentuh pertemuan Razak dengan Najib Tun Razak .

Hakim yang membebaskan Razak iaitu Hakim Datuk Mohd Zaki pun tegas juga. Beliau dengan tegas tidak membenarkan sebarang isu yang mengaitkan diri Najib dibawa ke Mahkamah. Percubaan Karpal Singh untuk mengaitkan Najib dengan Razak dan Altantuya dengan tegas ditolak oleh Hakim Dato’ Mohd Zaki.

Kini setelah Razak dibebaskan mungkin baru rakyat dapat memahami dan menemui jawapannya kenapa ada pertukaran Hakim. Sama ada apa yang rakyat faham dan sedar itu betul atau salah soal lain. Pokoknya ini persepsi rakyat berkaitan isu pertukaran hakim di dalam kes Altantuya.

Akhirnya kita melihat pula bagaimana institusi peguam negara juga dibicarakan di dalam kes Altantuya. Meskipun kes ini kes yang besar , penting dan mendapat liputan meluas di dalam dan luar negara, peguam negara masih tidak merasakan adalah penting untuk beliau sendiri mengendalikan kes tersebut. Amat menghairankan di dalam kes Hindraf dan kes Batu Buruk, Trengganu yang hanya melibatkan tuduhan yang agak remeh dan hanya dibicarakan di Mahkamah rendah sahaja peguam negara sanggup “mencemar duli” mengendalikan kes tersebut.

Tidak cukup dengan peguam negara sendiri tidak turun dalam kes Altantuya, Timbalan Pendakwa Raya juga ditukarkan di saat akhir . Pertukaran pihak pendakwa di saat akhir bagi kes sebesar ini sudah tentu mencacatkan persediaan pendakwa . Takkan Peguam Negara tidak tahu hal ini. Tindak tanduk peguam negara , bagi rakyat, menunjukkan seolah-olah kes Altantuya bukan kes yang besar dan perlu diberi perhatian.

Razak Baginda mungkin dibebaskan dan dilepaskan tapi bagi rakyat biasa ,institusi polis, peguam negara dan Mahkamah tetap disabitkan bersalah di dalam kes Altantuya ini.

Hakim Dato' Zaki telah memutuskan tiada keterangan yang menunjukkan Razak Baginda bersubahat membunuh Razak Baginda. Itu kata Hakim Mahkamah. Hakim rakyat pula berkata "absence of evidence is not evidence of absence."

3 comments:

muhd_abduhu said...

selective investigation & selective prosecution ..

Anak Bulan said...

Assalammu'alaikum,

Tuan izinkan saya tumpang belajar.

Bolehkah tuan tampilkan satu kes di zaman Rasulullah s.a.w yang seakan2 kes bunuh altantuya ini.

Jika ada, minta tuan huraikan kebijaksanaan Nabi s.a.w menghakiminya.

Jawapan tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Anak Bulan
Bulan Penuh 2012

Shopping Blog said...

Many jewelers have personnel links jewellery on staff that is able to create a unique piece of jewelry to your specifications, links of london bracelet sale and if there are no personnel that can accomplish this task, links of london charms sale they can order it specially made for you. Not only do you have links of london womens watches the option of making this piece exactly the way you want it links of london rings sale to look, but no one will have one exactly like it. links of london necklaces sale Unique diamond jewelry does not have to be gaudy, but many people think gaudy is gorgeous.