OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Isu lompat parti kembali lagi dibincangkan selepas Barisan Nasional ( BN ) mengalami kekalahan yang teruk dalam pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim telah pun mengeluarkan kenyataan pada 22 Mac 2008 sepertimana yang dipetik daripada akhbar the Star ( 23/3/2008 )
“I will propose to the Cabinet for consideration. It is an issue of integrity and morality. I am sure Malaysians would not want their politicians to hop.” ( Saya akan mencadangkan Kabinet untuk pertimbangan . Ia adalah isu integeriti dan moraliti. Saya pasti rakyat Malaysia tidak mahu ahli politik mereka melompat.” )
Suruhanjaya Pilihanraya juga melalui Timbalan Pengerusinya juga mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda agar pebuatan melompat parti boleh dicegah.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak bersetuju perbuatan melompat parti dan bersetuju dengan cadangan Zaid kerana menurutnya PAS juga pernah mengalami masalah melompat parti dan beliau menambah perbuatan ahli politik melompat parti adalah menunjukkan ahli politik tersebut adalah seorang yang rendah moralnya dan tidak takut dengan dosa.
Jika dilihat kepada ketiga-tiga kenyataan individu-individu di atas adalah jelas kesemuanya bersetuju bahawa undang-undang anti lompat sesuatu yang perlu dengan alasan-alasan yang diberikan .
Sebenarnya undang-undang melarang perbuatan melompat parti telah pun wujud di tiga buah negeri di Negara ini iaitu di Sarawak, Sabah dan Kelantan. Perlembagaan Negeri Sarawak telah dipinda pada bulan November 1994 dengan menambah Klausa 7 kepada Artikel 17 Perlembagaan Negeri bagi membenarkan undang-undang anti lompat digubal.
Klausa 7 (a) berbunyi “Any person who has voluntarily given an undertaking to the Speaker in writing that he will not resign his membership from the political party for which he stood or to which he belonged when he is elected to the DUN, shall, if he resigns from the political party after being elected, be disqualified in the interest of public integrity and morality from continuing to be a member of the DUN with effect from the date he resigned from the political party.”
( Terjemahan harfiah : Mana-mana orang yang secara sukarela member akujanji kepada Speaker secara bertulis bahawa dia tidak akan meninggalkan keahliannya daripada parti politik yang beliau berdiri/bertanding atau yang dia ceburi apabila dia dilantik di DUN hendaklah, sekiranya dia meninggalkan parti politik selepas dipilih , hilang kelayakan demi kepentingan integriti politik dan moraliti daripada terus menerus menjadi ahli DUN dan berkuatkuasa daripada tarikh dia meninggalkan parti politik tersebut )
Manakalah Klausa 7 (b) pula berbunyi “For the avoidance of any doubt, it is hereby declared that this Clause shall not be taken as imposing restrictions on any person from becoming a member of any political party, permanently or otherwise.”
( Terjemahan : Bagi mengelak sebarang keraguan, adalah dengan ini diisytiharkan Klausa ini tidak boleh diambil sebagai mengenakan halangan mana-mana orang daripada menjadi ahli mana-mana parti politik , secara kekal atau sebaliknya.” )
Undang-undang di Sarawak ini digubal selepas mengambil pengajaran dari undang-undang yang sama yang dilulus oleh Kerajaan Kelantan awal dari itu yang bagaimanapun diisytiharkan batal oleh Mahkamah Agung . Sebab itulah di dalam undang-undang yang digubal di Sarawak ditanbah dengan kalimah " demi menjaga kepentingan integriti dan moraliti".
Perlembagaan Persekutuan membenarkan sesuatu undang-undang dibuat meskipun menghadkan kebebasan asasi individu jika ia dibuat demi menjaga moraliti awam. Rakyat Sarawak nampaknya selesa dengan pindaan itu dan tidak mencabar pindaan tersebut di Mahkamah.
Kecuali Tuan Guru Nik Aziz yang dilihat konsisten membantah dan mengutuk perbuatan melompat parti dan membuktikan kecaman tersebut dengan tindakan apabila pada tahun 1992 Kerajaan Kelantan pimpinan beliau meminda Perlembagaan Kelantan bagi melarang perbuatan melompat parti , Zaid ( dan UMNO ) serta SPR dilihat tidak konsisten.
Kenapakah Zaid dan SPR tidak langsung bersuara jauh sekali menyokong pindaan yang dibuat oleh Kelantan bagi melarang perbuatan melompat parti pada tahun 1992 . Zaid dan SPR bukan sahaja tidak bersuara malahan partinya sendiri merestui tindakan Nordin Salleh , ADUN BN di Kelantan pada masa itu mencabar pindaan undang-undang yang dibuat di Kelantan pada masa itu.
Akhirnya undang-undang yang dibuat di Kelantan itu, yang Zaid kini baru mengatakan ianya adalah isu integeriti dan moraliti, telah diisytiharkan terbatal dan tidak sah kerana bertentangan dengan kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perkara 10 ( 1 ) ( c ) Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya bukan sahaja undang-undang anti lompat di Kelantan dibatalkan malahan Kerajaan Kelantan terpaksa juga membayar kos Mahkamah yang agak tinggi.
Jelas tindakan Zaid dan SPR ( dibaca juga sebagai UMNO ) sekali lagi dilihat “consistenly inconsistent”.
Mereka hanya bersedia mengubah sesuatu perkara apabila kepentingan mereka terancam. Bagi saya ini gaya berpolitik orang yang tidak berprinsip. Apa sahaja yang datang dari Pembangkang seperti PAS tidak akan disokong meskipun ianya suatu yang baik . Apabila terdesak dan terhimpit mereka tidak segan silu meniru balik tindakan yang mereka kecam sebelum ini.
Mana-mana parti politik di Negara ini termasuk PAS tidak harus mengamalkan amalan berpolitik tanpa prinsip ini. Politik sebegitu sesuai dengan parti sebegitu.
Jika PAS telah mengambil pendirian bahawa perbuatan melompat parti di kalangan ADUN atau Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat adalah sesuatu amalan yang buruk dan ianya dimanifestasikan melalui tindakan meminda Perlembagaan Kerajaan Negeri Kelantan bagi menghalang tindakan melompat parti maka , suka atau tidak, PAS tidak dapat lari dari diperhatikan dan dihakimi oleh rakyat Negara ini jika ia mengambil pendirian yang berbeza.
Mungkin terlalu awal untuk meramal semua ini tetapi ingatlah pendirian yang konsisten adalah asas dalam dunia politik. Mengambil ringan perkara ini “is at our own peril.”
1 comment:
SALAM......
MASYA'ALLAH...INI KE HANIPA MAIDIN
YANG MENJADI KEBANGGAAN "SEGELINTIR" MAHASISWA AL-AZHAR...ish,ish.ish
PEGUAM...
TUNJUKKAN LA TELADAN YANG ELOK DAN BUKANNYA.....
??????????--------------???????
Post a Comment