Tuesday, April 22, 2008

MB DAN UMNO TERENGGANU LAYAK DIGELAR BADUT POLITIK

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Pengumuman Menteri Besar Terengganu berkaitan dengan isu royalti petroleum di Terengganu adalah jenaka politik yang terbaru yang dimainkan oleh UMNO Terengganu.

Secara tiba-tiba UMNO Trengganu melalui Menteri Besarnya menyatakan :-

" the time had come for the annual 5% oil royalty, which was withdrawn in 1999 when PAS captured the state and restored later as the Federal Government Special Fund,
to be fully managed by the state government to carry out more development projects.We want to be frank. We expect the (royalty) money to be given to us,” ( lihat Star 21 April 2008 )

( Terjemahan : Masa dah tiba untuk bayaran royalti minyak sebanyak 5% yang ditarik baik apabila PAS menawan negeri tersebut dan dikembalikan semula sebagai wang pembiyaan ehsan untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan banyak lagi projek pembangunan. Kami ingin berterus-terang. Kami harapkan wang royalti diberikan kepada kami." )

Ha ha ! Secara tiba-tiba wang ehsan bertukar jadi royalti semula !! Bukankah dulu UMNO Trengganu sendiri merestui tindakan Dr Mahathir menghentikan pemberian royalti petroleum kepada Kerajaan Trengganu selepas Terengganu diambil alih oleh PAS. Di manakah suara Ahmad Said ketika itu ? Apabila mantan MB Trengganu Tan Sri Wan Mokhtar sendiri merestui tindakan Dr Mahathir merampas wang royalti Terengganu, meskipun beliau sendiri yang menandatangani perjanjian royalti dengan Petronas, tiada suara daripada UMNO Terengganu yang menemplak atau mengkritik tindakan Wan Mokhtar tersebut. Bagi UMNO Terengganu ketika itu pertukaran royalti ke wang ehsan adalah satu "loteri" yang membawa kegembiraan. UMNO Terengganu dapat menghidu projek yang banyak daripada pertukaran tersebut !! Motto UMNO Terengganu pada masa itu : persetankan hak rakyat, kantong kami lebih utama !!!

Rakyat tentu tidak lupa pengkhianatan UMNO yang bacol dan berpolitik sempit apabila enggan bersuara jauh sekali menentang tindakan Kerajaan Pusat ( yang juga dikuasai UMNO ) yang secara tiba-tiba merampas harta rakyat Terengganu. Jika tidak kerana pengkhianatan dan politik sempit sudah tentu pemimpin UMNO Terengganu , tanpa melihat siapa atau parti mana yang memerintah Terengganu , bangun berdiri menentang rampasan harta royalti petroleum berbilion ringgit yang menjadi hakmilik rakyat Terengganu.

Sebagai rekod , hak rakyat Terengganu kepada royalti adalah satu hak yang dijamin oleh undang-undang kerana terdapat satu perjanjian yang jelas dan sah ditandatangani oleh Petronas dan Kerajaan Terengganu seawal tahun 1975. Disebabkan terdapat perjanjian yang sah dan mengikat kedua-dua pihak ( Petronas dan Kerajaan Trengganu ) , Ketua Eksekutif Petronas sendiri iaitu seorang tokoh korporat yang amat profesional dan tahu serta faham apa itu perjanjian yang sah, telah menyatakan ( semasa isu rampasan royalti berlaku ) bahawa Petronas tetap akan membayar wang royalti Petroleum kepada Trengganu kerana seperti mana katanya :-

"For as long as oil is produced, royalty will be paid to the state and the royalty amount, accrued or due is RM810 million, which is 5% of the value of oil and gas produced"

( Terjemahan : Selagi mana minyak dikeluarkan, royalti akan dibayar kepada negeri (Terengganu ) dan jumlah royalti yang tertunggak adalah sebanyak RM 810 juta iaitu 5 peratus daripada nilai minyak dan gas yang dikeluarkan )

UMNO Terengganu sepatutnya merasa malu kerana hak royalti rakyat Terengganu dipertahankan oleh seorang tokoh korporat yang amat profesional yang telah berjaya meletakkan Petronas satu-satunya syarikat di Malaysia yang berjaya dan telah disenaraikan dalam 500 syarikat berjaya di dunia dalam "Fortune 500 company". Sehingga Mac 2000 ( apabila wang royalti dirampas ) Terengganu telah menerima sejumlah 7.13 billion ringgit wang royalti yang dibayar sejak tahun 1978 .

Ahmad Said kini mengeluh bahawa wang royalti disalurkan secara terus kepada Kementerian yang melaksanakan projek tanpa sebarang rundingan dengan Kerajaan Negeri yang mengakibatkan , katanya, banyak projek yang dilaksanakan tidak memberi kesan atau impak besar kepada rakyat kerana kehendak rakyat tidak diambil kira.

Jawapan saya kepada keluhan Ahmad Said itu : Wahai Ahmad Said , inilah wajah UMNO yang sebenar. Sejak bila UMNO mengambil tahu tentang keperluan rakyat ? Kalau UMNO ambil tahu penderitaan dan kehendak rakyat sudah tentu 5 negeri tidak jatuh kepada pakatan rakyat.

Jika Ahmad Said dan UMNO Trengganu sendiri tidak dapat mempertahankan hak rakyat Trengganu untuk terus menerima royalti meskipun di perintah oleh PAS pada tahun 1999, Ahmad Said dan UMNO Trengganu hilang kelayakan untuk berrcakap soal royalti dan hak rakyat Terengganu. Untuk Ahmad Said dan UMNO Terengganu jawablah saoalan-soalan ini :-

-Tidakkah Ahmad Said dan pemimpin UMNO sendiri selama ini bersetuju dengan pertukaran nama wang royalti kepada wang ehsan sekaligus mengenepikan perjanjian yang sah ?

-Tidakkah Ahmad Said dan UMNO Trengganu hanya berdiam diri semasa Rais Yatim menyatakan tidak ada perjanjian royalti , yang ada hanyalah MOU ( Memorandum of Understanding ) ?

-Di manakah UMNO Terengganu dan Ahmad Said apabila Kerajaan PAS Terengganu terkapai-kapai keseorangan mempertahankan royalti -hak rakyat Trengganu- di dalam dan luar Mahkamah ?

-Di manakah maruah dan harga diri Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila melihat rakyat di luar Terengganu yang sanggup disembur air dan diperlakukan secara kasar oleh polis demi menyokong dan mempertahankan royalti minyak yang menjadi milik rakyat Terengganu ?
-Di mana maruah Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila Kerajaan Pusat yang juga diterajui UMNO tidak langsung mengganggu jauh sekali merampas royalti minyak di Negeri Sabah dan Sarawak yang juga mempunyai perjanjian royalti yang sama dengan Petronas sepertimana perjanjian royalti Kerajaan Terengganu dan Petronas ?

-Di manakah suara Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila pada bulan Sept 5, 2000, Kementerian Kewangan mengumumkan wang royalti akan disalorkan secara terus kepada rakyat melalui projek pembangunan dan tidak lagi akan diberikan kepada Kerajaan Negeri Trengganu ?

-Di mana Ahmad Said dan UMNO Terengganu apabila Dr Mahathir mengambil tindakan secara unilateral tanpa merujuk kepada Petronas dan Peguam Negara menarik balik royalti dengan alasan pemberian royalti yang menjadi hak milik rakyat Terengganu adalah satu kesilapan ?

-Tidakkah Ahamd Said dan UMNO Trengganu sendiri terlibat secara langsung atau secara tidak langsung menggunakan wang royalti ( yang dianggap sebagai wang ehsan ) untuk mengumpan rakyat Terengganu bagi mendapatkan sokongan dan meraih undi rakyat Terengganu yang miskin dan terdesak ?

Selagi UMNO Trengganu dan Ahmad Said tidak dapat menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan di atas, kata-kata Ahmad Said dan UMNO Terengganu terhadap isu royalti tiada sebarang nilai. Bagi kami kamu hanya layak digelar Badut Politik ( Political Clown ).

No comments: