Tuesday, June 01, 2010

RAKYAT GILA BOLA ,UMNO GILA JUDI

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Apabila Rejim Najib melalui Awang Adek mengumumkan bahawa Kerajaan bersedia meluluskan aktiviti judi bola saya menganggap Awang Adek seorang yang jujur . Beliau jujur mendedahkan kepada rakyat tentang identiti atau wajah sebenar Umno- parti yang ketagih dan gila judi.

Sebagai parti sekular , bagi Awang Adek, Umno tidak perlu takut untuk mendedahkan kepada rakyat tentang identiti sebenar Umno. Ya, judi adalah haram berdasarkan wahyu yang qati’e . Melakukan perbuatan haram boleh membawa kepada neraka. Tetapi itu semua doktrin yang PAS pegang. Umno bukan PAS. PAS parti Islam, Umno parti sekular. Mana boleh sama. Bagi Umno apa kena mengena dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam perjuangan politik. Bukankah mantan Presiden Umno pernah mengatakan tindakan PAS yang berkempen tentang syurga dan neraka adalah termasuk dalam “rasuah politik.”

Memandangkan Umno mempunyai “world view” yang jelas bertentangan dengan Pas maka kita tidak perlu risau jika Umno bersedia menghalalkan benda yang diharamkan oleh Allah. Fahaman maddiyyah ( materialism /kebendaan ) dan hedonism ( hidup ini sekadar untuk bersuka ria ) yang menjadi pegangan dan sandaran Umno tidak membenarkan Umno melepaskan peluang untuk mengisi perbendaharaan negara ini dengan hasil ekonomi – tanpa kira hasil yang halal atau haram.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu sama ada Umno ini sekular atau tidak lihatlah pendirian rasmi Umno tentang judi di Parlimen. Mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Hilmi Yahya di Parlimen menyatakan di Parlimen pada 15 Disember 2004 dan dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia ( 16/12/2004 ) seperti berikut :-

"Kerajaan tidak bercadang menghentikan aktiviti perjudian secara berlesen di negara ini kerana mahu bersikap adil terhadap masyarakat bukan Islam di samping membendung kegiatan bookie haram. Sehingga kini terdapat 1,822 lesen diberikan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti ini, sama ada cabutan loteri Magnum, Toto, 1+3D dan kegiatan judi di premis-premis hiburan,'' .

Beliau seterusnya memberitahu, kerajaan tidak berhasrat menghentikan kegiatan itu kerana perjudian merupakan satu budaya kepada kaum-kaum tertentu.

"Ada kaum yang mempunyai budaya berjudi, jadi kita perlu bersikap adil kerana walaupun kita adalah negara Islam tetapi Malaysia mempunyai rakyat berbilang kaum dan dan agama,'' katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ratnam a/l Muthiah dalam sesi Dewan Negara.

Beliau memberitahu, kerajaan tidak berhasrat mengurangkan hari cabutan loteri Magnum, Toto dan 1+3D kerana ia akan mengurangkan pendapatan melalui cukai.

"Jika kita kurangkan kepada satu minggu sekali cabutan, kita akan kehilangan cukai RM620 juta dalam tempoh satu tahun,'' katanya.

Bagi Umno tidak merebut peluang untuk mengisi perbendaharaan negara dengan wang melalui aktiviti judi yang berleluasa dalam pesta bola piala dunia ini adalah satu kerja bodoh. Bukankah dengan membenarkan aktiviti judi semasa pesta bola piala dunia ini akan menyebabkan Kerajaan dapat menjana kewangan melalui cukai yang akan dibayar oleh tauke-tauke judi. Rasional Umno adalah daripada membiarkan taukeh-taukeh judi ini berjudi secara tidak sah lebih baik Kerajaan sahkannya melalui perlesenen. Bukankah taukeh judi ini akan membayar cukai yang banyak kepada Kerajaan jadi mengapa Kerajaan harus lepaskan peluang keemasan ini.

Bukankah mantan Perdana Menteri Singapura sendiri Lee Kuan Yew, hujah Umno, pernah menyatakan Kerajaan Singapura sepatutnya lebih awal membenarkan dan menggalakkan industri judi di negara itu sepertimana Kerajaan Malaysia lakukan dengan kewujudan mahligai judi di Genting. Lee Kuan Yew memuji Malaysia kerana pandai menjana kewangan melalui industri judi di Genting . Pujian Lee Kuan Yew bukan meresahkan Umno sebaliknya menyeronokkan Umno. Pujian itu juga memberi inspirasi baru kepada Umno. Umno kini dengan lantang dan mendabik dada menyatakan “ Wahai Lee Kuan Yew lihatlah kami bukan sahaja ada Genting tetapi kami juga menghalalkan judi semasa pesta bola piala dunia.”

Isu judi ini juga mendedahkan sikap hipokrit Umno yang amat jelas. Semasa kempen Piliharaya kecil Hulu Selangor, Umno tanpa rasa segan dan malu sanggup berkempen bermatian-matian untuk memberitahu rakyat di sana bahawa mereka perlu menolak Zaid Ibrahim kerana beliau adalah kaki arak. Cara Umno berkempen seoalah-oleh arak adalah sesuatu yang jijik bagi Umno . Dalam kempen pilihanraya itu Umno gagal menerangkan kepada rakyat jka Zaid Ibahim perlu ditolak kerana dilabelkan kaki arak Umno sudah tentu lebih aula ditolak kerana membenarkan kilang arak didirikan dan industri judi dihalalkan dan kini dikembangkan .

Mana –mana Kerajaan yang membenarkan aktiviti judi pada hakikatnya menggalakkan rakyatnya untuk hidup dalam khayalan dan angan-angan .Judi ( maisir ) bagi Islam adalah bentuk aktiviti gharar ( tidak pasti ) iaitu yang bagi ahli ekonomi dikatakan sebagai “ a zero sum game which risky payoff” . “Zero sum game” bermaksud orang yang menang dalam judi adalah di atas kerugian orang lain kerana judi adalah aktiviti yang tidak bersandarkan kepada kemahiran dan kecekapan sebaliknya hanya kepada tuah semata-mata. Seorang ahli ekonomi barat . Goodman, menyatakan peningkatan industri judi pada tahun-tahun kebelakangan ini di Amerika adalah disebabkan adalah kerana “ the growing tendency to rely on economic ventures of chance as opposed to those involving skill and real work “ ( kecenderungan untuk berngantung kepada aktiviti-aktiviti ekonomi yang berdasarkan tuah daripada aktiviti-aktiviti yang berdasarkan kemahiran dan kerja-kerja yang sebenar )

Saya minta maaf jika tersilap. Tetapi saya tidak nampak golongan agama di dalam Umno dan di luar Umno yang lantang menyerang Pakatan Rakyat lantang juga menyerang Umno di dalam isu judi ini. Saya tak nampak Mufti Perak bersuara dalam isu ini. Jika dalam isu Nizar memegang lilin sepantas kilat Nizar di”fatwakan” terlibat dalam perkara-perkara yang melanggar hukum agama mengapakah dalam isu judi bola ini “fatwa” sebegitu tidak keluar dari mulut-mulut golongan –golongan agama tertentu sedangkan hukum judi adalah lebih jelas.

Apapun pesta bola piala dunia ini mewujudkan dua golongan yang gila dalam masyarakat – rakyat gila bola Umno pula gila judi!!!

2 comments:

primehonda said...

salam,

saya merasakan masyarakat kita sedang melalui zaman pencerahan minda. dlm pertemuan saya dgn anak2 muda baru2 ini yg fresh graduated, isu2 seperti ini dituturkan & dianalisa dgn jitu sekali. mereka bukanlah religiously pious..yg solat 5x sehari di masjid, tetapi mereka ada kesedaran betapa sebenarnya sistem sosial, ekonomi & politik di negara kita ini ada sesuatu yg tidak kena. tidak seperti mahasiswa uitm (bukan semua) lagi-lagi isu ketuanan melayu yg dijajakan. tetapi bagi anak2 muda yg dinamik yg saya jumpai ini, isu2 seperti itu tidak dipedulikan. kerana isu pokok yg paling menentukan hala tuju negara seperti rasuah, korupsi dan penipuan lebih penting utk ditangani.

saya dapat melihat masa depan; kalau beginilah pemikiran anak muda kita, pembaharuan dan reformasi yg digagaskan oleh pakatan rakyat tidak mustahil dapat dibuat. inilah semangat yg patut ada pada setiap anak muda..betapa mereka telah dapat melihat umno sebenarnya telah banyak menipu rakyat. isu judi ini hanyalah salah satu dari penipuan umno selama ini kpd rakyat malaysia & kakitangan awam. manakan tidak, selama puluhan tahun gaji kakitangan awam ini bersumberkan pendapatan cukai..termasuklah cukai judi. selama puluhan tahun para mufti kita yg mengharuskan gaji dari sumber judi. tanggunglah dosa itu wahai para mufti sekalian. kalaulah semasa kerajaan minta fatwa dari para mufti dulu sama ada boleh ambil cukai judi kemudian dijadikan sumber pendapatan negara, dan para mufti bertegas mengatakan TIDAK BOLEH!, senario sekarang tidak akan berlaku. kerajaan tidak akan menjadikan judi sbg salah satu punca pendapatan. sekali lagi diulang, para mufti, tanggunglah dosamu! sekarang sudah terlambat. gara2 takut dgn mahathir & percaya sgt dgn visi ekonominya negara kita sudah jadi begini. malahan ada yg x percaya lagi wawasan 2020 akan tercapai. kenapa tidak? 2019 diramalkan negara hilang sumber pendapatan. nak capai wawasan mcm mana?

oleh itu, jadikan isu judi ini utk membuka lagi minda rakyat kita. mereka berhak dimaklumkan kebobrokan umno selama ini. ini peluang baik kerana najib tidak sepandai mahathir dlm menjual temberang kerajaan. saya doaka pimpinan pakatan rakyat berjaya dlm misi ini..insya Allah.

siti zaidah Ahmad said...

saya setuju ngan pandangan primehonda mengenai masadepan melalui pemikiran anakmuda kita; cuma 1 hal yg merungsingkan saya; saya selalu mendapat fitnah drp anak2 yg mempunyai nama Islam ni...puas saya cuba memujuk hati saya supaya bersabar menghadapi kerenah mereka...tapi makin ari makin panas menengokkan fiil mereka ni...sebaliknya anak2 yg nama mereka takde bin dan binti sejuk pulak ati saya bila menghadapi mereka....