OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Umno sudah lama berpolitik. Namun parti tersebut tidak faham apa dia politik. Ini dapat kita lihat dari apa yang berlaku semasa perhimpunan rakyat menentang ISA pada 1 hb Ogos yang lalu.
Umno fikir dengan menggunakan polis untuk menyuraikan dengan ganas perhimpunan aman rakyat tersebut ia akan mendapat keuntungan politik. Umno fikir rakyat akan takut dan gentar dengan pihak polis justeru itu tidak akan berani hadir di perhimpunan aman tersebut.
Tidak keterlaluan kalau kita katakan himpunan tersebut dihadiri ramai rakyat kerana promosi besar-besaran dari pihak polis di media-media arus perdana. Apabila pihak polis memberi amaran supaya rakyat tidak memyertai perhimpunan aman tersebut, ia dikira satu promosi percuma dari pihak polis. Untung pihak penganjur kerana tidak perlu membayar sewa iklan kepada TV3, RTM dan Utusan.
Walau apa pun niat polis , apa yang jelas semakin banyak polis memberi amaran dan ancaman , semakin ramai pula kehadiran orang ramai dalam perhimpunan aman tersebut. Untuk itu kita patut berterima kasih pada pihak polis dan juga Umno !!
Selepas kejayaan perhimpunan Bersih sebelum Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu, rakyat kini tidak lagi gentar dengan amaran polis. Sebab itu kita dapat lihat meskipun gerak kerja bagi menghimpun rakyat untuk menyertai perhimpunan menentang ISA tidak dilakukan dalam tempoh yang lama ( tidak seperti perhimpunan Bersih ) namun semua dapat melihat betapa ramai rakyat tanpa mengira agama , bangsa dan fahaman politik
hadir bagi menunjukkan protes mereka ke atas ISA yang zalim tersebut.
Semasa saya hadir di Balai Polis Bukit Jalil pada malam tersebut bagi bertemu dengan mereka yang ditangkap datang seorang lelaki memaklumkan kepada saya bahawa hanya beliau sahaja yang tidak ditahan pada hari itu sedangkan isteri , empat orang anak perempuannya dan seorang menantu lelakinya semuanya ditangkap polis . Beliau tidak sedih sebaliknya berbangga dengam mereka semua.
Tindakan ganas pihak polis ke atas rakyat yang berhimpun tanpa senjata hanya menguntungkan Pakatan Rakyat ( PR ) dan merugikan Umno . PR bukan parti yang sempurna tetapi kebersamaan tiga parti yang menganggotai PR tersebut menentang ISA memberi harapan baru kepada rakyat tentang masa depan demokrasi dalam negara ini. Tindakan ganas pihak polis bermakna Umno sanggup melakukan apa sahaja dan menggunakan sesiapa sahaja bagi mengekalkan ISA yang zalim tersebut.
Jika Umno cerdik sedikit, ia akan membenarkan perhimpunan aman tersebut berjalan dengan aman tanpa berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini. Paling lama perhimpunan aman akan berlangsung adalah setakat 3 jam jika tidak diganggu polis.
Jika Umno tidak gunakan ( baca : salahguna ) pihak polis untuk mengganggu hak rakyat untuk berhimpun secara aman sudah tentu Umno akan mendapat pujian dari dalam dan luar negara. Ramai yang akan memuji Najib kerana demokrasi dilihat hidup sedikit di eranya. Namun Umno, sebagai parti yang terkenal dengan kejahatannya, tidak mahu dan tidak senang dilihat baik. Ia lebih senang dilihat sebagai parti yang terus menerus jahat dulu , kini dan selamanya.
Perhimpunan raksasa I hb Ogos yang lalu mengesahkan rakyat telah berubah dan Umno terus tidak berubah. Umno dan agen-agennya seperti polis, media pro Umno dan Peguam Negara masih terus berada ditakuk lama.
Setiap kali ada perhimpunan aman besar-besaran , polis yang tidak berubah ini akan terus menerus menggendangkan lagu dan irama yang sama dan lama - perhimpunan haram kerana tidak ada permit , rakyat jangan hadir , kalau hadir akan ditangkap !!!
Media pro BN seperti TV3 yang juga tidak pernah berubah akan juga menyiarkan berita menggunakan teknik pemberitaan yang lapok - menemuramah para peniaga yang kononnya tidak suka rakyat berhimpun kerana ia akan menjejaskan pendapatan mereka.
Tidak pernah TV 3 terfikir untuk menyiarkan berita yang adil iaitu jika perhimpunan aman tersebut dapat berjalan dengan aman tanpa gangguan pihak polis sudah tentu ia akan menguntungkan para peniaga apabila mereka yang hadir ke perhimpunan aman tersebut akan singgah ke gerai-gerai dan kedai-kedai peniaga tersebut selepas berakhirnya demonstrasi aman tersebut. Ilmu ekonomi mana TV3 pakai , para peniaga di KL tidak mahu orang ramai berkunjung ke KL !!!
Kini TV3 dan pemimpin Umno sibuk mencanangkan kisah para peniaga untuk menyaman Gerakan Mansuhkan ISA ( ISA ). Saya tak tahu siapa yang menjadi penasihat kepada para peniaga tersebut, tetapi yang jelas adalah para peniaga tersebut nampaknya sedang dikhayalkan dengan mimpi Mat Jenin.
Saya tidak tahulah kalau undang-undang dah dipinda. Tetapi yang saya tahu menyaman satu badan yang tidak berdaftar seperti GMI adalah kerja sia-sia . Kalau benar peniaga hendak menyaman mereka sepatutnya dinasihati dengan jujur bahawa peluang untuk mereka mendapatkan pampasan dari pihak polis adalah lebih baik sekiranya mereka menyaman polis. Saranan Prof Khoo Kay Kim supaya rakyat menyaman pihak polis adalah lebih munasabah daripada nasihat busuk pemimpin BN supaya peniaga menyaman GMI.
Peguam Negara yang tugas utamanya adalah mendakwa penjenayah sebenar juga tidak pernah berubah setiap kali ada perhimpunan aman . Mereka akan berhempas pulas mencari jalan bagaimana mahu mendakwa rakyat yang tidak berdosa . Maka timbullah pendakwaan yang tidak masuk akal.
Sebagai contoh 13 orang wira Unit Amal ingin didakwa kerana terlibat dalam pertubuhan haram . Pendakwa raya yang tidak cerdik mendakwa Unit Amal adalah pertubuhan haram kerana tidak berdaftar. Lihatlah betapa jahilnya pihak Pendakwa .
Unit Amal adalah satu unit kecil di dalam PAS. Memandangkan PAS adalah parti yang sah di bawah Akta Pertubuhan , maka menurut undang-undang mana-mana unit , lajnah atau biro di dalam parti tersebut juga adalah dikira sah dan tidak perlu didaftarkan.
Kalau ikut "logik gila" Peguam Negara sudah tentu parti politik tidak akan mempunyai apa -apa biro atau lajnah bagi menggerakkan parti tersebut sebab semuanya tidak sah kerana tidak berdaftar termasuklah biro-biro dalam Umno.
Untuk rakyat yang berhimpun tersebut ingatlah sedikit penderitaan yang kita alami dari semburan gas pihak polis tidak akan sama dengan penderitaan mereka yang ditahan dengan zalim oleh rejim zalim yang menggunakan Akta yang zalim !
No comments:
Post a Comment