Thursday, December 25, 2008

PERLAKSANAAN HUDUD BUKAN TANGGUNGJAWAB PAS SAHAJA

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini

"Kalau hajat mereka begitu, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pada Sabtu lepas bahawa parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" semata-mata kerana jikna PAS benar benar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan.

Saya percaya para pembaca boleh melihat kontradiksi ucapan kedua-dua pemimpim Umno tersebut. Mahadzir Khalid kata hudud boleh dilaksanakan di Kelantan, Zahid Hamidi pula mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan.

Kenyataan kedua-dua pemimpin Umno di atas adalah refleksi wajah sebenar Umno ketika berpolitik. Bagi pemimpin Umno peribadi seorang ahli politik dan peribadi seorang Islam adalah berbeza. Sebagai seorang Islam, ia boleh menerima hudud sebagai hukum Allah tetapi sebagai ahli politik ia sukar atau tidak boleh menerima bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan. Bagi Umno perbezaan sikap antara orang Islam dan orang politik tidak menjadi satu masalah.

Atas dasar itulah setiap kali isu hudud timbul, Umno meletakkan beban perlaksanaan hukum Allah tersebut hanya kepada PAS seolah-olah PAS sahaja yang diamanahkan melaksanakan perintah Allah tersebut. Hudud adalah perintah Allah dan yang demikian sesiapa sahaja yang mengaku dirinya sebagai orang Islam ia bukan sahaja wajib beriman dengan perintah Allah tersebut tetapi juga mesti berusaha melaksanakan hukum tersebut . Mana-mana orang Islam sama ada di dalam Umno, PAS , Keadilan, NGO atau apa-apa pertubuhan sekalipun wajib berusaha melaksanakan hukum hudud tersebut . Perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif orang-orang PAS sahaja.

Jika Umno tidak benak dan dapat memahami bahawa hudud adalah perintah Allah maka Umno tidak boleh, dalam apa keadaan sekalipun, menuduh PAS cuba mempolitikkan isu hudud ini sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid tersebut.

Bagi PAS, tiada satu dikotomi ( pemisahan ) antara orang Islam dan orang politik. Apabila pemimpin PAS bercakap tentang politik ia bercakap sebagai seorang pemimpin Islam dan apabila ia bercakap tentang Islam ia juga bercakap sebagai pemimpin politik. Kenapa begitu ? Kerana itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu Rasul bagi seluruh umat manusia termasuklah orang –orang PAS dan orang –orang Umno.

Oleh itu sama ada PAS berjuang bersendirian atau bersama Pakatan Rakyat , PAS tidak akan sama sekali meninggalkan matlamat perjuangannya untuk menegakkkan Islam yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk hukum hudud.

Tetapi dalam masa yang sama PAS juga amat maklum di atas kejahilan majoriti rakyat negara ini tentang hukum hudud tersebut dan batasan serta halangan perundangan, perlaksanaan hukum hudud mungkin tidak dapat disegerakan perlaksanaannya meskipun diandaikan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini. Atas dasar itu hasrat melaksanakan hudud tidak pernah menjadi penghalang kepada Pas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menuntut keadilan dan menentang kezaliman.

PAS maklum DAP masih belum menerima hasrat perlaksanaaan hudud di negara ini. Penentangan DAP bagi PAS bukan perkara yang pelik. Jika Umno yang bermajoritikan orang Islam juga menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud apalah yang nak dihairankan DAP yang bermajoritikan orang bukan Islam juga menentang hudud. Apabila Kelantan dan Trengganu ( ketika diperintah oleh PAS ) ingin melaksanakan hudud , siapa yang mencabarnya di Mahkamah ? DAP atau Umno ?

Saya optimistik DAP yang mempunyai ramai para intelektual boleh menerima hudud satu hari nanti kerana isu hudud bukan sahaja boleh dipertahankan dari sudut agama malahan juga menurut perspektif intelektual. Melihat sokongan yang makin meningkat ke atas kelab penyokong PAS dari kalangan orang bukan Islam, DAP kini tidak boleh menyatakan hudud ditentang oleh semua orang bukan Islam.

Sepertimana yang saya katakan perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif PAS. Ia adalah tanggungjawab bersama baik Umno atau orang-orang Islam yang lain . Meskipun Umno menuduh PAS hanya berpolitik di dalam isu hudud , siapa yang boleh menidakkan kesungguhan PAS untuk cuba melaksanakan hukum Allah tersebut. Bukankah PAS yang telah bersungguh-sungguh menggubal enakmen hudud di Kelantan dan Trengganu ( semasa Pas memerintah ) . Apa yang lebih menarik sebelum Kerajaan PAS Trengganu mengemukakan enakmen hudud di DUN Trengganu , PAS telah mengadakan seminar dan memanggil semua pihak termasukah Umno untuk memberikan pandangan dan kritikan mereka terhadap Enakmen yang ingin dibentangkan tersebut. Setahu saya ini tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara. Hal ini juga saya nyatakan kepada salah seorang Ahli Parlimen di London yang bertanyakan saya tentang enakmen tersebut ketika saya melawat Parlimen England bersama Y.B Salahudin Ayub suatu masa dahulu.

Jika PAS berusaha bersungguh-sungguh cuba melaksanakan hukum hudud semasa memerintah Kelantan dan Trengganu, Umno juga tidak ketinggalan bersungguh-sungguh cuba menghalang perlaksanaan hukum Allah tersebut. Tidak cukup pemimpin Nombor 1 UMNO ( pada masa itu ) menulis surat amaran kepada Kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakan hukum hudud ada juga pemimpin UMNO yang sanggup mencabar undang-undang hudud tersebut di Mahkamah. Malahan yang lebih teruk sekali pemimpin UMNO sanggup melabelkan hukum Alllah tersebut sebagai hukum hudud PAS.

Jika PAS boleh menyokong Bank Islam, Takaful , Universiti Islam mengapakah Umno amat sukar menerima hudud hanya kerana ianya digubal oleh Kerajaan PAS. Mengapa Umno tidak boleh sama sekali memberi ruang kepada PAS dalam isu hudud ini. Jika Perlembagaan menjadi penghalang sepertimana yang dikatakan oleh Zahid Hamidi mengapa selama ini Umno tidak bersedia memindanya bagi membolehkan PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Paling minima yang Umno lakukan adalah jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam. Dalam perkara yang bukan agama jika kamu salah bercakap, kamu hanya membuat kesilapan dan kesilapan tersebut tidak akan menjejaskan aqidah kamu. Sebaliknya isu agama lain. Jika salah bercakap sila-silap akan tergelincir aqidah. Atas dasar itu dalam isu hudud diamnya para pemimpin Umno lebih baik daripada mereka bercakap. Ini kerana jika mereka diam kita mungkin rasa mereka jahil dalam isu hudud ini sebaliknya jika mereka bercakap barulah kita sedar memang confirmlah mereka ini memang jahil.

3 comments:

aduh said...

Ini teks untuk Anwar baca kalau dah susah sangat nak bagi jawapan yang jelas. Sokongan makin lari bila Anwar tak jelaskan isu hudud dengan segera.

Jawapan:

1. Masyarakat bukan Islam tak perlu bimbang langsung kerana undang-undang Islam tidak akan dipaksakan ke atas mereka. Islam agama adil yang menghormati hak penganut agama-agama lain.

2. Kepada masyarakat Islam, undang-undang Islam wajib dilaksana tetapi secara berhikmah, bukan secara tergesa-tergesa. Saya tegaskan bahawa semua undang-undang Islam memang wajib ke atas umat Islam tetapi saya bagi jaminan tidak akan dilaksanakan secara tergesa-tergesa.

3. Kita kena faham bahawa sudah lama imej Islam diburukkan oleh pemahaman salah umat Islam berhubung kenyataan salah kepimpinan UMNO sebelum ini. Contohnya, ada pemimpin UMNO yang memfitnah bahawa menurut undang-undang Islam, 4 saksi diperlukan dalam kes rogol! Ini tidak benar. Kenyataan salah seperti ini yang membuatkan Islam kelihatan buruk.

4. Berhubung pelaksanaan undang-undang Islam, saya akan mulakan dengan kaedah pendidikan di sekolah di mana dalam matapelajaran agama Islam, pelajar akan diberi penerangan tentang undang-undang Islam yang sebenar. Salahfaham mesti diperbetulkan. Contohnya, bukan semua kes mencuri dihukum dengan potong tangan. Nabi Muhammad menjelaskan bahawa hukuman hudud tidak perlu dilaksanakan dalam kes kes yang ada keraguan. Orang yang mencuri kerana miskin contohnya. Islam tidak fanatik hendak memotong tangan orang. Islam mengiktiraf kaedah takzir (iaitu hukuman yang bukan hudud ) dalam kebanayakan kes..

5. Berhubung isu besar seperti ini, saya tidak setuju bahawa ia perlu diputuskan secara individu oleh mana-mana pemimpin. Seperti isu bahasa untuk Sains dan Matematik. Keputusan yang dibuat secara tiba-tiba tanpa konsultasi dan perbincangan, dan pelaksanaan secara tergesa-tergesa akan menimbulakan banyak masalah, seperti dalam isu Sains MAtematik sebelum ini..

Saya akan panggil semua pihak, alim ulamak dari seluruh negara tanpa mengira fahaman politik untuk membincangkan solution bagi masalah ini. Pakar undang-undang dan wakil dari Majlis Peguam dan pertubuhan hak asasi manusia akan turut dipanggil untuk memberikan pandangan dalam proses mendraf undang2 yang selaras dengan syariah Islam.

5. Selepas beberapa tahun, survey akan dibuat untuk melihat penerimaan umat Islam terhadap isu ini. Sekiranya terdapat banyak tentangan, mungkin undang2 Islam boleh dibuat secara berperingkat. Sebagai contoh, untuk ahli-ahli PAS dan orang Islam yang ingin kepada undang2 Islam, mereka boleh menandatangani borang menyatakan mereka ingin undang2 Islam dilaksanakan ke atas mereka. Justeru, tidak timbul masalah undang2 Islam dipaksakan ke atas sesiapa.

Saya yakin kebaikan undang-undang Islam akan terserlah apabila ia mula dilaksanakan dan tidak timbul langsung sebarang paksaan.

Sebagai manusia, saya mungkin tersilap dan sedia menerima teguran.

aNaK BaPaK said...

Anwar memang akan beri respon longgar tentang hudud malah islam pun, sebab, parti dia ( PKR )parti berasaskan sekular, berjuang menegakkan hak rakyat mengikut lunas sekular dan liberal ( liberal: apa yang menguntungkan PKR dia sokong apa yg tidak kalau hilang undi cthnya dia tolak atau senyap)..maka dia tak perjuangkan hudud apatah lagi hudud..jika dia perjuangkan maka dia telah melakukan suatu perkara yang bertentangan dengan perlembagaan partinya..natijahnya keluarlah kenyataan longgar dari anwar soal hudud...!!!

UMNO dan PKR dari segi dasarnya adalah sama..parti asas sekular..bezanya UMNO buat kerja zalim dan PKR bersama PAS menentang kezaliman...nak tanya tentang hudud,..kena tanya pimpinan PAS lah..takkan nak tanya hukum mencuri pada pencurik..kena tanya orang 'alim lah..!!!

Shopping Blog said...

Many jewelers have personnel links jewellery on staff that is able to create a unique piece of jewelry to your specifications, links of london bracelet sale and if there are no personnel that can accomplish this task, links of london charms sale they can order it specially made for you. Not only do you have links of london womens watches the option of making this piece exactly the way you want it links of london rings sale to look, but no one will have one exactly like it. links of london necklaces sale Unique diamond jewelry does not have to be gaudy, but many people think gaudy is gorgeous.