OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu program yang Allah aturkan untuk orang-orang yang beriman mencapai ketaqwaan. Taqwa kepada Allah adalah aset penting manusia di muka bumi Allah ini. Kemuliaan seorang insan, menurut perspektif Islam, adalah berdasarkan ketinggian taqwanya . Islam tidak menilai kemuliaan seseorang insan berasaskan rupa paras, keturunan, warna kulit, bangsa, pangkat atau banyaknya harta benda.
Di samping ibadah puasa, taqwa juga dikaitkan dengan usaha menegakkan keadilan. Allah menyatakan di dalam Al-Quran “ janganlah kerana kebencian ke atas sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berlaku adillah kerana ia ( dengan menegakkan keadilan tersebut ) akan mendekatkan kepada ketakwaan.” Lihatlah betapa intimnya hubungan keadilan dengan ketakwaan. Lihatlah kita kena tegakan keadilan hatta ke atas musuh kita iaitu orang yang kita benci !!!.
Lawan keadilan adalah kezaliman . Jika Islam menyeru kita menegakkan keadilan Islam Islam juga dalam masa yang sama melarang kita melakukan kezaliman. Bahkan bukan sahaja kita dilarang melakukan kezaliman , cenderung kepada kezaliman pun dilarang oleh Allah s.w.t.
Allah berfirman “ Janganlah kamu cenderung kepada mereka yang membuat zalim nanti kamu akan disentuh dengan api neraka.”
Bagi melihat bagaimana ayat tersebut diterjemah ke dalam dunia realiti, saya ingin berkongsi kisah masyhur tafsiran seorang ulama Islam yang melarang seorang tukang jahit menjahit jubah seorang pembesar Islam yang zalim iaitu Hajjaj Yusuf Al-Thaqafi. Hajjaj adalah seorang taghut yang telah banyak membunuh ramai orang Islam termasuk para ulama’. Al-kisah maka suatu hari jubahnya koyak dan beliau telah meminta para tukang jahit di seluruh Kota Bahgdad menjahit jubahnya yang koyak tersebut. Seorang demi seorang tukang jahit menolak permintaanya untuk menjahit jubahnya.
Ditakdirkan Alllah ada seorang tukang jahit yang sudi mengambil jubah Hajjaj tersebut tetapi beliau meminta masa untuk menjahit jubah tersebut. Penangguhan itu kerana tukang jahit tersebut ingin meminta pendapat para ulama terlebih dahulu sebelum beliau memutuskan untuk menjahit jubah Hajjaj tersebut. Maka beliau telah berjumpa seorang ulama ( dikatakan ulama tersebut adalah Ibnu Sirrin ) bagi mendapatkan fatwa tentang hal tersebut.
Ulama tersebut melarang tukang jahit tersebut menjahit jubah tersebut kerana jubah tersebut adalah milik seorang yang zalim. Ulama tersebut menyandarkan fatwanya di atas ayat “ Janganlah kamu cenderung kepada mereka yang membuat zalim nanti kamu akan disentuh dengan api neraka.” Bagi ulama tersebut menjahit jubah sizalim adalah termasuk di dalam golongan mereka yang menyokong kezaliman atau cenderung kepada kezaliman.
Kalau menjahit jubah sizalim tergolong di dalam kategori menyokong kezaliman , bagaimanakah agaknya golongan yang menggubal akta yang zalim seperti ISA dan menggunakan akta zalim tersebut menangkap orang tanpa bicara, Kalau yang menggubal akta yang zalim dikira zalim, tidakkah golongan yang memastikan golongan yang zalim itu terus berkuasa dan mengekalkan akta zalim tersebut tidak termasuk di dalam golongan yang cenderung atau menyokong kezaliman ?
Sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w orang Arab jahiliyyah berpegang kepada fahaman asabiyyah ( nasionalisme ) yang amat kuat. Asabiyyah jahiliyyah membenarkan mereka menolong kaum dan suku sakat mereka tanpa mengira kaum mereka menzalimi orang lain atau dizalimi oleh orang lain. Di dalam kedua-dua keadaan tersebut , Arab jahiliyyah akan tetap menolong dan membantu kaum mereka.
Rasulullah s.a.w. mengubah konsep dan cara berfikir yang menyeleweng tersebut. Rasulullah s.aw menyatakan hendaklah kamu menolong saudara kamu iaitu sizalim dan mereka yang dizalimi ( madzlum ) . Para sahabat boleh menerima saranan Rasululullah s.a.w bahawa mereka yang dizalimi hendaklah ditolong tetapi bagaimana caranya untuk menolong mereka yang zalim ?. Lihatlah jawapan hebat Rasulullah s.a.w : Tolonglah mereka yang zalim tersebut dengan menghentikan kezaliman mereka. Dengan lain perkataan jangan biarkan mereka yang zalim terus berkuasa !!!
Pembicaraan isu kezaliman di dalam Al-Quran dinyatakan di dalam pelbagai dimensi. Antaranya kezaliman dikaitkan juga dengan kegagalan berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan. Allah berfirman “ Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan , mereka itulah adalah golongan yang zalim.”
Memang layak manusia yang tidak berhukum dengan hukum Allah digelar dengan gelaran sizalim. Mana tidak ? Tidakkah manusia dijadikan oleh Allah daripada mereka tidak tahu apa-apa sehinggalah Allah mengurniakan sedikit ilmu kepada mereka. Lihatlah betapa banyaknya nikmat yang Allah turunkan untuk manusia tanpa sebarang bayaran. Tumbuhan-tumbuhan dan haiwan malahan segala yang ada di muka bumi dijadikan oleh Alah untuk mereka berkhidmat kepada manusia.
Di samping nikmat yang banyak Allah juga , dengan rahmat dan kasih sayangNya kepada hambaNya menurunkan undang-undang dan peraturan untuk mengatur kehidupan manusia di muka bumi ini, Wajarkah insan yang menerima budi menolak hukum yang Allah turunkan kepadanya dengan memilih hukumnya sendiri ? Jika manusia yang tidak mengenang budi manusia yang lain pun dikutuk oleh manusia , tidakkah golongan yang tidak mengenang budi Allah tidak layak digelar sizalim.
Ingatlah hukum Allah tidak boleh ditolak dan diketepikan. Menolak hukumnya adalah syirik kepadaNya. Antara wasiat Luqman Al-Hakim sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran adalah “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang maha besar.”
Selamat hari raya ‘eidul fitri kepada semua pembaca blog saya ini
“ Kullu ‘amin wa antum bikhairin”
No comments:
Post a Comment