Thursday, August 28, 2008

UNDANG-UNDANG DNA – MEMERANGI JENAYAH ATAU ANWAR ?

OLEH : MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN

Pembentangan cadangan undang-undang unuk membolehkan pihak berkuasa mendapatkan sample DNA dan seterusnya mengumpul databank DNA telah mendapat banyak kritikan .Tidak perlu dinyatakan, undang-undang yang dicadangkan bukan sahaja mala fide ke atas Anwar malahan ia juga mencerobohi hak privasi seseorang.

Anwar sendiri menegaskan bahawa pembentangan Rang Undang-Undang Pengenalan DNA ( DNA Identification Bill ) adalah bermotifkan politik. Beliau mempersoalkan mengapkah ianya dibentangkan ketika ini apabila pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh sedang berjalan,

Sehingga ke hari ini Anwar menolak untuk memberikan sample DNA kepada pihak berkuasa bagi membantu penyiasatan polis ke atas tuduhan liwat yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sesungguhnya alasan Anwar suatu yang munasabah. Berbekalkan dengan laporan perubatan yang dikeluarkan oleh PUSRAWI yang secara jelas melepaskan beliau dari dkawaan liwat ke atasnya,, Anwar secara konsisten yakin bahawa tuduhan ke atasnya tidak mempunyai asas yang kukuh.

Oleh itu apabila Kerajaan BN bertindak membentangkan undang-undang DNA tersebut ia menunjukkan bahawa pihak Kerajaan tidak mempunyai keterangan yang kukuh bagi mendakwa Anwar dengan tuduhan liwat sejak dari awal lagi.

Dengan memperkenalkan undang-undang berkenaan ketika ini ,Kerajaan nampaknya mula menyedari bahawa tanpa sample DNA Anwar kes pihak pendakwa adalah lemah . Oleh itu Kerajaan secara terdesak memerlukan undang-undang ini bagi menyelamatkan kes pihak pendakwa yang amat lemah tersebut.
.

Abdullah Badawi menyatakan undang-undang tersebut amat diperlukan sebagai satu pendekatan menyeluruh bagi membanteras jenayah dengan lebih berkesan di samping membantu penyelidikan bagi mendapatkan keterangan yang diperlukan sebagai bahan bukti . Kalau itulah faktornya yang mendorong Kerajaan memperkenalkan undang-undang tersebut mengapakah undang-undang sepenting itu hanya diperkenalkan pada waktu ini – dalam tempoh kempen Permatang Pauh dan semasa kes Anwar dalam proses perbicaraan ?.

Adakah benar pembanterasan jenayah akan terjejas tanpa undang-undang tersebut ?. Dalam keadaan standard pasukan keselamatan khusunya pihak polis semakin menurun hari demi hari ditambah pula keengganan pihak Kerajaan menubuhkan IPCMC sepertimana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya DiRaja Pembaikan Polis yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dzaiddin , rakyat berhak merasa sangsi sama ada kerja-kerja membanteras jenayah akan menjadi kurang berkesan disebabkan tiadanya undang-undang DNA tersebut atau ianya berpunca dari rekod buruk dan penurunan tahap profesionalisme polis dalam memerangi jenayah ?

Untuk berlaku adil kepada pasukan polis, seluruh dunia mengetahui kini dalam banyak keadaan pihak polis sering dipengaruhi atau diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu untuk melawan rakyat yang tidak berdosa ( seperti dalam kes –kes demonstrasi aman ) dan bukannya memerangi penjenayah yang bermaharajalela. Cuba kita bayangkan berapa ramai anggota polis yang diletakkan di Permatang Pauh seolah-olah para penjenayah di negara ini sedang berhimpun di sana untuk menyambut festival jenayah kebangsaan.

Episod terbaru ini menggambarkan kepada kita bahawa apabila BN memutuskan untuk menghapuskan musuh politik mereka, ia akan mengumpul segala kekuatan yang ada padanya bagi melaksanakan pelan tindakannya. Tidak seperti Mahathir yang agak bijak mengatur strategi undang-undang sebelum beliau memutuskan untuk mendakwa Anwar , Abdullah Badawi nampaknya bertindak secara amatur dalam merancang strateginya berhadapan dengan Anwar.

Semasa Anwar didakwa bagi pertuduhan rasuah Mahathir memulakan modus operandi nya dengan meminda beberapa peruntukkan di dalam Kanun Prosedur Jenayah ( Criminal Procedure Code ( CPC ) ) beberapa bulan sebelum Anwar ditangkap dan kemudiannya didakwa di Mahkamah .

Antara lain pindaan tersebut menyentuh soal jaminan. Pindaan yang dibuat menghalang pihak yang kena tuduh ( seperti Anwar ) yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi untuk merayu ke Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang gagal member jaminan kepada orang yang dituduh. Dengan pindaan yang arbitrari dan terancang tersebut , rayuan Anwar di atas keputusan Augustine Paul yang enggan memberikan jaminan kepadanya telah gagal di Mahkamah Rayuan.

Hakim N.H Chan iaitu salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan tersebut , meskipun bersimpati dengan Anwar menyatakan bahawa Mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu Anwar kerana undang-undang telah dipinda melarang rayuan dikemukakan terhadap keputusan Hakim Mahmakah Tinggi yang enggan memberikan jaminan kepada orang kena tuduh

Seperti yang juga disebut sebelum ini, undang-undang DNA ini juga mencerobohi hak privasi seseorang. Dengan adanya undang-undang ini hak privasi tersebut tidak lagi dilihat bernilai . Meskipun Kerajaan mempunyai tanggungjawab memerangi jenayah ia juga mempunyai tanggungjawab memastikan hak privasi seseorang dihormati dan dilindungi.

Penyelesaian terbaik berhubung isu ini bukan melalui pengenalan undang-undang khusus seperti yang digubal ini. Sebaliknya apa yang boleh dibuat oleh Kerajaan adalah meminda CPC atau Akta Keterangan 1950 dengan memperuntukkan bahawa pihak polis atau pihak pendakwa boleh memohon kepada Mahkamah bagi mendapatkan sample DNA orang yang dituduh.

Adalah lebih selamat Parlimen memberi kuasa kepada pihak Mahkamah dan bukannya kepada pihak polis untuk menentukan sama ada pengambilan sample DNA orang yang dituduh boleh dibenarkan atau tidak. Ini akan dapat mengelakkan salah guna kuasa oleh pihak polis dan sekaligus sebagai satu penapis ( filter ) terhadap kuasa polis dalam isu pengambilan sample DNA. .

2 comments:

puterabumi said...

Kerajaan akan gunakan apa-apa saja cara untuk membunuh politik Anwar yang sedang menyebabkan ramai pemimpin UMNO tidur tak lena, makan tak lalu.

Shopping Blog said...

Many jewelers have personnel links jewellery on staff that is able to create a unique piece of jewelry to your specifications, links of london bracelet sale and if there are no personnel that can accomplish this task, links of london charms sale they can order it specially made for you. Not only do you have links of london womens watches the option of making this piece exactly the way you want it links of london rings sale to look, but no one will have one exactly like it. links of london necklaces sale Unique diamond jewelry does not have to be gaudy, but many people think gaudy is gorgeous.