Friday, October 14, 2005

ISA SAMAD WAJAR LETAK JAWATAN AHLI PARLIMEN DAN DIDAKWA DI MAHKAMAH

Majlis Tertinggi UMNO telah pun memutuskan untuk mengekalkan hukuman penggantungan keahlian terhadap Mohd. Isa Samad, matan Naib Presiden UMNO walaupun telah mengurangkan hukuman enam tahun kepada tiga tahun. Hukuman tersebut diputuskan selepas Mohd. Isa didapati terlibat dalam politik wang, berkuat kuasa 24 Jun lalu. Dengan keputusan itu, Mohd Isa perlu melepaskan jawatan menteri Kabinet.

Sebagai satu peringatan pada 25 hb Jun 2005 yang lalu Pak Lah telah menyatakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh menyiasat kes rasuah politik membabitkan Mohd.Isa. ( lihat Utusan Malysia 26/6/2005 ).

Memandangkan proses rayuan Isa telah tamat maka adalah wajar pihak BPR memulakan penyisatannya secara terperinci bagi memastikan beliau dibawa ke muka pengadilan. Berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang mengekalkan hukuman penggantungan keahlian terhadap Mohd. Isa, walaupun telah mengurangkan hukuman enam tahun kepada tiga tahun UMNO dilihat cuba menonjolkkan kepada rakyat bahawa seolah-olah kes ini telah selesai dan Isa seharusnya tidak diganggu lagi.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dijelaskan di dalam isu Isa ini :-

Pertama, meskipun pada zahirnya kes Isa ini melibatkan isu disiplin dalaman UMNO namun ia melibatkan seorang pemimpin kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya. Isa bukan sahaja sekadar pemimpin tertinggi UMNO beliau juga adalah seorang pemimpin yang mewakili rakyat atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Wilayah Persekutuan. Yang demikian apabila beliau telah pun diputuskan terlibat dengan rasuah ( politik wang ) maka hak UMNO untuk mengatakan isu ini sebagai isu dalaman UMNO telah hilang. Ia kini menjadi isu rakyat dan demi kepentingan rakyat pemimpin rasuah seperti Isa wajar dibawa ke muka pengadilan. Diberitakan bahawa di dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh Lembaga Disiplin ianya melibatkan tuduhan Isa menyalahgunakan pejabat Kementeriannya bagi melakukan rasuah politik wang tersebut. Memandangkan Isa telah didapati bersalah oleh UMNO maka dakwaan tersebut boleh dianggap satu dakwaan yang betul dan ianya adalah satu penyalahgunaan kuasa yang jelas dan nyata. Tanggungjawab untuk mengambil tindakan selanjutnya ke atas Isa kini beralih daripada UMNO kepada BPR, Peguam Negara dan Mahkamah.

Kedua, memandangkan Lembaga Disiplin UMNO mempunyai bukti-bukti yang kukuh bagi mendakwa Isa dengan tuduhan rasuah politik wang , tidak ada sebab untuk BPR menghadapi masalah untuk melakukan penyiasatan ke atas Isa. BPR mempunyai kuasa yang luas di bawah Pencegahan Rasuah 1997 (Akta No. 575 ) untuk memanggil kesemua ahli lembaga disiplin UMNO bagi mendapatkan maklumat berhubung kes Isa tersebut dan tidak timbul ahli-ahli lembaga disiplin untuk tidak memberi kerjasama kepada BPR bagi tujuan tersebut. Pak Lah sendiri ketika ditanya oleh wartawan sebelum ini mengapakah kes Isa mengambil masa begitu lama untuk disiasat, berkata, Lembaga Disiplin terpaksa mengambil kira dan menghalusi semua maklumat. Beliau berkata ``Kes (Mohd.) Isa bukan diputuskan dalam masa sehari tetapi telah disiasat dan dihalusi sejak Oktober tahun lepas,'' ( lihat Utusan Malaysia 30/6/2005 ).

Kenyataan Pak Lah itu membuktikan siasatan telah dilakukan terperinci dan sudah tentu dengan bukti yang kukuh dan kuat.

Seksyen 22 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 memperuntukkan bahawa " Seseorang pegawai Badan yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh-

(a) memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu;

(b) memerintahkan mana-mana orang supaya mengemukakan di hadapannya apa-apa buku, dokumen atau apa-apa salinan diperakuinya, atau apa-apa benda lain yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu; atau

(c) dengan notis bertulis menghendaki mana-mana orang memberikan pernyataan bertulis yang dibuat dengan bersumpah atau berikrar yang menyatakan dalamnya segala maklumat yang dikehendaki di bawah notis itu, iaitu maklumat yang, pada pendapat pegawai itu, akan dapat membantu dalam penyiasatan kesalahan itu."
Ahli-ahli lembaga badan disiplin adalah mereka yang berpotensi untuk dipanggil sebagai saksi-saksi sekiranya pendakwaan dilakukan ke atas Isa. Oleh itu BPR wajar memanggil mereka memberikan keterangan bagi membantu penyiasatan.

Ketiga, apabila rakyat memohon agar Isa dibawa ke muka pengadilan ianya tidak seharus dilihat sebagai satu penganiyaan kepada Isa. Sebaliknya pendakwaan secara terbuka yang dilakukan di Mahkamah Awam secara terbuka lebih adil hatta kepada Isa sendiri. Melalui pendakwaan di Mahkamah Isa akan dianggap tidak bersalah dan beban kepada Pendakwa untuk membuktikan beliau bersalah. Beliau juga berhak mendapatkan peguambela yang terbaik ( dengan kekayaan beliau penulis tidak nampak beliau mengalami kesukaran ) bagi membela beliau. Harus diingat pendakwaan di Mahkamah adalah berbeza dengan perbicaraan di dalam lembaga disiplin. Di Mahkamah , tidak seperti di dalam lembaga disiplin , penerimaan bukti dan keterangan tertakluk kepada tatacara dan kaedah-kaedah yang lebih teliti seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Keterangan . Oleh itu jika bercakap soal keadilan Isa lebih wajar dibicarakan di Mahkamah .

Keempat, UMNO dan Pak Lah tidak seharusnya merasakan bahawa hanya kerana Isa telah digantung keahliannya di dalam UMNO dan mungkin akan kehilangan jawatan Menteri sudah cukup sebagai hukuman ke atas Isa. Rakyat berhak lebih daripada itu dan pendakwaan ke atas Isa adalah perlu untuk rakyat menerima bahawa Pak Lah serius memerangi rasuah dan tidak sekadar beretorik dari semasa ke semasa.

Kelima, kenyataan Isa bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen kerana tidak mahu kerajaan membazirkan duit membuat pilihanraya kecil adalah satu hujah yang dangkal dan amat meleset. Amat malang beliau masih tidak malu bercakap tentang pembaziran duit tanpa menyedari politik wang bukan sahaja membazirkan duit malahan haram dan berdosa. Sebagai ahli politik maruah dan kehormatan ( dignity ) pemimpin adalah segala-galanya. Perletakkan jawatan beliau hendaklah dilihat di dalam konteks tersebut- perlunya pemimpin yang mewakli rakyat bukan sahaja perlu bersih, bermaruah dan ada kehormatan tetapi hendaklah dilihat bersih, bermaruah dan ada kehormatan . Come on Isa that was very basic in politics !!!

No comments: