Thursday, September 29, 2005

Pak Lah hancurkan demokrasi atas nama Islam Hadhari


Jika ada pun harapan yang boleh disandarkan oleh pembangkang kepada Pak Lah sebaik sahaja beliau mengambil alih tugas Perdana Menteri daripada Tun Mahathir adalah adalah berhubung isu demokrasi. Jika segala pintu demokrasi ditutup dengan begitu rapat di zaman Mahathir rakyat masih boleh menerimanya kerana memang Dr Mahthir terbilang di dalam hal tersebut.

Bercakap soal demokrasi sekurangnya-kurangnya ianya menyentuh hak-hak berikut

· Kebebasan bersuara ( termasuk kebebasan akhbar ),
· Kebebasan berhimpun dan berpersatuan,
· Pilihanraya yang adil, bebas dan bersih ,
· Kedaulatan undang-undang ( rule of law ),
· Rakyat bebas daripada undang-undang yang tidak adil dan draconian ; dan
· Kebebasan badan kehakiman.

Negara yang bertamadun tidak sewajarnya menafikan rakyatnya menikmati hak-hak tersebut. Hak-hak tersebut adalah suatu hak yang paling asas dan bukanya satu “privilege”. Di zaman Mahathir rakyat mungkin hanya mengetahui bahawa hak-hak tersebut wujud ( mungkin juga ramai yang tidak tahu ianya wujud ) di dalam Perlembagaan tetapi mereka tidak dibenarkan untuk menikmati hak-hak tersebut. Jika ada pun ada rakyat yang prihatin cuba melaksanakan atau menuntut hak-hak tersebut mereka terpaksa membayar harga yang sangat mahal- dilucutkan kehormatan dan kemanusiaan mereka. Malahan Mahkamah sendiri masih keberatan untuk memastikan hak-hak asasi tersebut benar-benar dapat dikecapi oleh rakyat.

Persoalannya adakah Pak Lah berjaya membawa rakyat keluar daripada “zaman kegelapan demokrasi” di era Mahathir tersebut ? Jawapannya hanya satu : TIDAK. Dan saya ingin menambah bahawa demokrasi di zaman Pak Lah telah dengan secara terancang diangin ahmarkan oleh beliau sehingga ianya menjadi kaku dan beku.

Pak Lah dan UMNO perlu menerima hakikat bahawa pilihanraya di zaman Pak Lah telah diarkibkan sebagai pilihanraya yang paling kotor dan jijik yang pernah berlaku di Malaysia. Malahan yang lebih malang lagi penyakit pilihanraya yang kotor dan tidak adil yang dilakukan oleh BN telah mula menjadi wabak dan menular secara berleluasa di kampus-kampus universiti tempatan. Apa yang berlaku di dalam kampus pada masa ini adalah PAKSARAYA bukannya PILIHANRAYA.

Warga kampus dipaksa untuk memenangkan calon-calon aspirasi yang ditaja oleh UMNO dan ini dilakukan dengan memanipulasi secara maksimum pemimpin-pemimpin boneka universiti atau badan-badan tertentu di dalam dan luar universiti dan juga melalui perlanggaran peruntukkan undang-undang secara terbuka . Ironisnya parti Pak Lah bangga mencapai kemenangan secara tidak bermaruah begitu.

Siapa yang boleh menolak hakikat bahawa di zaman Pak Lah inilah kita melihat tokoh-tokoh akademik betul-betul dicucuk hidung mereka dan ditelanjangkan kebebasan mereka. Apa yang terjadi kepada Prof Azly Rahman seorang cendikiawan melayu yang tersohor ( diambil tindakan tatatertib oleh UUM kerana enggan menandatangani akujanji ), Prof Edmonce Gomez, Prof. Jomo dan Prof. Ramasamy sudah cukup menutup segala pintu harapan untuk rakyat mengharap Pak Lah melakukan reformasi terhadap demokrasi di negara ini.

Kebebasan besuara khususnya kebebasan akhbar meskipun terdapat sedikit perubahan namun ianya masih dikawal oleh Akta Penerbitan dan Percetakan yang masih direstui oleh Pak Lah untuk terus dikuatkuasakan. Kebebasan untuk menerbitkan harakah dua kali seminggu masih belum direstui oleh Pak Lah. Sehingga sekarang permit Harakah yang wajib diperbaharui setiap tahun masih tertakluk kepada syarat-syarat berikut - tidak boleh diterbitkan melebihi dua kali sebulan ; tidak boleh dijual kepada orang ramai ( hanya kepada ahli PAS ) dan hanya boleh memuatkan berita tentang PAS sahaja !!!.

Hak rakyat untuk berhimpun masih tidak menentu. Meskipun Pak Lah menubuhkan Suruhanjaya Pembaikan Polis , rekod polis di dalam kes hak-hak asasi masih belum dapat dan sangat sukar untuk dibaiki. Polis masih bermaharajalela menyuraikan perhimpunan rakyat di Trengganu dengan menggunakan kekerasan. Hatta sehingga kini tafsiran pihak polis terhadap seksyen 27 Akta Polis 1967 yang tidak betul digunakan untuk mewujudkan suasana takut untuk rakyat berhimpun mendengar ceramah pembangkang. Demokrasi jenis apa apabila perhimpunan rakyat di dalam premis persendirian ( PASTI ) di Besut anjuran pemuda PAS Besut dengan kehadiran puluhan rakyat menyaksikan berbelas trak polis dan water cannon, berpuluh-puluh land rover polis dan beratus-ratus anggota FRU bertopi merah dan bersenjata !!!

Akta-akta draconian seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi ( OSA ), Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Percetakan, Akta Universiti dan Kolej yang telah berjaya mewujudkan suasana takut di kalangan rakyat bukan sahaja dikekalkan malahan tidak kedengaran langsung suara Pak Lah untuk meminda jauh sekali untuk menyahkan akta-akta tersebut. ISA yang zalim masih terus dikekalkan. Pak Lah masih terus merestui Akta tersebut.

Nik Adli dan rakan-rakan kini dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi di bawah Akta zalim tersebut. Segala rayuan, rintihan dan protes daripada pelbagai pihak termasuk keluarga tahanan ISA ( yang kebanyakan daif dalam segala hal ) kepada Pak Lah langsung tidak mendapat apa-apa jawapan jauh sekali harapan daripada Perdana Menteri yang diprojekkkan imej baik dan bersih.

Tahniah Pak Lah kamu berjaya ‘membunuh’ demokrasi atas nama Islam Hadhari.

No comments: