Tuesday, June 10, 2008

KES DUN SANGLANG –PERBICARAAN TENTANG KEJUJURAN

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin


Selepas pilihanraya umum 2004 , UMNO Kelantan telah memfailkan petisyen pilihanraya bagi kawasan Parlimen Pasir Putih. Di dalam pilihanraya tersebut calon UMNO yang sepatutnya diisytiharkan menang telah diisytiharkan kalah oleh SPR manakala calon PAS yang kalah iaitu Senator Kalthom telah diisytiharkan menang .

Memandangkan memang terdapat kesilapan yang “genuine” oleh pihak SPR maka semasa perbicaraan petisyen Pasir Putih tersebut calon PAS bersedia menyerahkan kerusi Parlimen Pasir Putih tersebut kepada calon UMNO yang sepatutnya diisytiharkan menang oleh SPR.

Meskipun keputusan untuk menyerahkan kerusi Pasir Putih tersebut adalah suatu yang agak berat untuk dibuat, namun demi menghormati pilihan rakyat Pasir Putih yang telah memilih calon UMNO sebagai wakil rakyat mereka maka ianya diserahkan kepada calon UMNO tersebut dengan hati terbuka.

Kini dalam Pilihanraya Umum 2008 sejarah yang sama berulang kembali. Bezanya kali ini SPR telah membuat kesilapan dengan megisytiharkan calon UMNO yang kalah iaitu Abdullah bin Hassan sebagai pemenang sekaligus menafikan kemenangan calon PAS iaitu Ustaz Hashim Jasin sebagai wakil rakyat DUN Sanglang, Perlis.

Jika dilihat kepada kesemua Borang 14 ( Borang Penyata Rasmi Undi ) yang dikeluarkan oleh semua Ketua Tempat Mengundi ( KTM ) di semua tempat mengundi di DUN Sanglang tersebut adalah jelas Ustaz Hashim telah mencapai kemenangan dengan majoriti 47 undi.

Semasa saya menerima keputusan yang berasaskan Borang 14 tersebut, keputusan pilihanraya DUN Sanglang masih belum diwartakan . Memandangkan keputusan belum diwartakan , saya dan beberapa peguam Pas yang lain berpandangan keputusan tersebut masih belum muktamad dan SPR masih boleh membetulkan keputusan tersebut dan seterusnya mewartakan keputusan yang sebenar iaitu Ustaz Hashim yang seharusnya dilapor pilih sebagai wakil rakyat DUN Sanglang.

Kami lantas memfaikan Saman Pemula bagi mendapatkan perisytiharan Mahkamah bahawa Ustaz Hashim diisytiharkan menang dan seharusnya dilapor pilih .Kami juga meminta Mahkamah memerintah SPR mewartakan keputusan pilihanraya tersebut dengan memasukkan nama Ustaz Hasim sebagai calon yang mendapat undi tertinggi. Malangnya jauh daripada membuat pengakuan terhadap kesilapan tersebut, kedua-dua pihak iaitu SPR dan calon UMNO tersebut membantah Saman Pemula tersebut di atas alasan kes tersebut seharusnya difailkan melalui petisyen pilihanraya.

Malangnya Yang Arif Hakim menerima bantahan teknikal tersebut dan menolak Saman Pemula Ustaz Hashim tanpa kos. Pada masa itu saya berhujah bahawa meskipun sebarang keputusan pilihanraya harus dicabar melalui petisyen pilihanraya di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan namun kes ini amat berbeza kerana keputusan masih belum diwartakan . Ini bermakna, saya hujahkan, keputusan tersebut masih belum muktamad dan boleh dibetulkan dan diwartakan mengikut keputusan yang sebenar sepertimana yang ditunjukkan di dalam kesemua Borang 14. Saya meminta Mahkamah menggunakan kuasa sedia ada ( inherent power ) untuk membetulkan ketidakadilan yang berlaku ( to correct injustice ).

Di atas penolakkan saman pemula itu, saya menasihati Ustaz Hashim untuk memfailkan petisyen pilihanraya. Maka ,Ustaz Hashim pun memfailkan petisyen pilihanraya. Saya amat berharap calon UMNO dan SPR tidak akan membantah petisyen pilihanraya tersebut. Jangkaan saya silap. Apabila kes ini mula dipanggil pada kali pertama pada 14/5/2008 tiada pengakuan kesilapan oleh calon UMNO.

Calon UMNO bukan sahaja tidak mahu mengakui malahan membuat permohonan untuk membatalkan petisyen Ustaz Hashim tersebut dengan pelbagai bantahan yang bersifat teknikal.

Kes ditetapkan untuk pendengaran pada 21/5/2008 namun masih tiada pengakuan oleh calon UMNO dan SPR.

Kes kemudian ditangguhkan kepada 28/5/2008 untuk pendengaran permohonan calon BN untuk membatalkan petisyen Ustaz Hashim tersebut. Sebelum hujah dimulakan saya masih bertanya peguam calon UMNO adakah anakguam beliau mahu mengaku. Jawapan beliau, tiada arahan daripada anakguam beliau untuk mengaku.

Mahkamah pun meneruskan pendengaran bantahan calon UMNO. Hati saya menggelegak marah dengan sikap calon UMNO yang masih tidak mahu mengakui kesilapan. Tapi saya hanya pendamkan kemarahan tersebut di dalam hati. Saya bertanya di dalam hati “Where is honesty ? Saya pun bersungut di dalam hati adakah calon UMNO tidak takut memakan elaun wakil rakyat yang bukan miliknya ?

Peguam beliau akhirnya berhujah dan mengambil masa lebih kurang empat jam untuk meminta Mahkamah membatalkan petisyen Ustaz Hashim. Saya membuat hujah balas dalam masa lebih kurang 1 jam sahaja.

Selepas penghujahan tamat dan sebelum Y.A. Hakim menangguhkan kes untuk keputusan Y.A Hakim telah bertanya peguamcara SPR tentang pendirian SPR di dalam kes ini. Ketika itulah buat kali pertama ( iaitu pada jam lebih kurang 4.00 petang 28/5/2008 ) peguam SPR mengakui secara terbuka terdapat kesilapan yang menyaksikan Ustaz Hashim diisytiharkan kalah dan calon UMNO diisytiharkan menang . Peguam UMNO agak terkejut. Saya terkejut tapi sedikit gembira, Lewat mengakui kesilapan adalah lebih baik daripada tidak mengakui langsung.

Kesemua peguam dipanggil ke kamar hakim selepas pengakuan SPR tersebut. Akhirnya peguam calon UMNO diberi tempoh sehingga 4/6/2008 untuk mendapatkan arahan anakguamnya sama ada beliau juga ingin mengakui sepertimana yang SPR lakukan.

Pada 4/6/2008 peguam calon UMNO memaklumkan saya anakguamnya bersetuju mengakui kesilapan tapi beliau diarahkan untuk memohon supaya pilihanraya diisytiharkan terbatal dan pilihanraya kecil diadakan.

Saya tidak bersetuju dan mencadangkan kepada beliau agar isu sama ada pilihanraya semula perlu diadakan ataupun Ustaz Hashim diisytiharkan menang dihujahkan untuk Y.A Hakim membuat keputusan.

Akhirnya setelah pengakuan dibuat oleh calon UMNO bahawa beliau juga mengakui terdapat kesilapan, Y.A Hakim member masa saya tempoh satu hari sahaja untuk saya berhujah sama ada pilihanraya semula perlu diadakan ataupun Ustaz Hashim diisytiharkan menang tanpa pilihanraya semula.

Pembaca mungkin bertanya kenapakah perlu pilihanraya semula ? Bukankah UMNO dah SPR telah mengakui kesilapan ? Jawapannya : isu ini berbangkit kerana Parlimen telah memansuhkan peruntukkan di dalam seksyen 35 ( c ) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang mana sebelum pemansuhan itu seksyen tersebut membenarkan hakim pilihanraya mengisytiharkan mana-mana calon sebagai pemenang. Pindaan ini dibuat selepas kes petisyen Bukit Bintang yang melibatkan Y.B Wee Chee Keong. Dengan pemansuhan itu secara zahirnya seolah-oleh Y.A Hakim tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang meskipun kesilapan diakui.

Dalam masa 24 jam maka kami ( Saya, Hj Arif Yusuff , Zulmi Sabri dan saudara Aqbal ) membuat penyelidikan.

Kami berhujah bahawa meskipun seksyen 35 ( c ) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 telah dimansuhkan, Mahkamah masih mempunyai kuasa sedia ada ( inherent power ) untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang kerana fakta kes ini menunjukkan secara jelas terdapat kesilapan yang bukan berpunca dari Ustaz Hashim atau calon UMNO tetapi pihak SPR. Memandangkan SPR dan calon UMNO telah mengakui terdapat kesilapan maka Mahkamah seharusnya mempunyai kuasa sedia ada ( inherent power ) untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang kerana itulah pilihan rakyat DUN Sanglang pada pilihanraya umum baru-baru ini. Dengan mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang, kami hujahkan, Mahkamah pada hakikatnya bukan melantik Ustaz Hashim sebaliknya mengesahkan dan menghormati keputusan atau pilihan rakyat DUN Sanglang yang mahukan Ustaz Hashim mewakili mereka dan bukannya Abdullah bin Hassan iaitu calon UMNO.

Hujah telah diberi. Keputusan akan diumumkan pada 18 Jun 2008 ini. Sama ada Ustaz Hashim diisytiharkan menang atau satu pilihanraya kecil akan diadakan, bagi saya , bukan persoalan yang utama bagi kes ini. Bagi saya perbicaraan Sanglang ini adalah "perbicaraan mengenai kejujuran" ( " the trial of honesty" ) !!!

2 comments:

Kak kiah said...

assalamualaikum, saudara Hanifa,

bolehkah saya dapatkan email saudara untuk rujukan dan pertanyaan mengenai undang-undang?

need some supporting infos regarding law courses that i'm taking in UITM.

hope you would allow that...
email me: kodok78@gmail.com

is150 said...

apa keputusannya?