Thursday, September 24, 2009

KEBIJAKSANAAN PAKATAN RAKYAT TERSERLAH DALAM ISU KUIL DAN KEPALA LEMBU

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada dua Khalid - Y.B Khalid Samad dan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana ketenangan dan kematangan mereka menyelesaikan isu Kuil di Seksyen 23 Shah Alam.

Meskipun di"serang" dengan "serangan" yang tidak bertamadun dalam satu sesi yang sepetutnya bertamadun iaitu sesi dialog, kedua-dua Khalid tersebut berjaya mengawal keadaan. Inilah hadiah kepimpinan Pakatan Rakyat ( PR )kepada rakyat Malaysia amnya dan rakyat Shah Alam khususnya.

Memang mudah untuk melatah dalam isu sesentitif ini - isu penempatan kuil. Memang mudah juga untuk meniupkan api perkauman dalam isu sebegini.

Bagi parti yang tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya, memang Umno akan mengambil jalan mudah mengeksploitasi isu ini bagi mewujudkan persepsi di kalangan umat Islam bahawa PAS kononnya "membela" kuil dan tidak sensitif dengan hati dan perasaan umat Islam.

Bagaimanapun bagi PAS yang penuh yakin dengan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai dasar perjuangannya segala masalah yang timbul akan terlebih dahulu dirujuk kepada kedua-dua rujukan utama ini.

Rujukan kepada Al-Quran memberi satu formula yang tuntas bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi di Shah Alam tersebut .

Pertamanya Al-Quran dengan secara jelas menyatakan di dalam Surah Al-An'am bahawa umat Islam tidak dibenarkan mencerca mereka yang mengajak manusia selain dari Allah.

Allah s.w.t menyatakan " Janganlah kamu mencerca ( herdik, hina ) mereka yang menyeru selain dari Allah. maka ( jika kamu kamu berbuat demikian ) mereka akan mencerca ( herdik, hina ) Allah secara permusuhan dan dengan tanpa ilmu pengetahuan." ( Al-An'am 6 : 108 )

Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya , ayat tersebut secara jelas melarang Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman daripada mencerca dan menghina "tuhan-tuhan" orang-orang bukan Islam , meskipun mungkin terdapat manfaat daripada hal tersebut.

Cercaan tersebut akan membawa kepada mudarat yang lebih besar dari manfaat kerana jika cercaan itu dibenarkan penyembah-penyembah selain dari Allah tersebut akan membalas cercaan tersebut iaitu dengan mencerca Tuhan orang-orang beriman iaitu Allah s.w.t.

Ibn Kathir meriwayatkan di dalam tafsirnya bahawa Ali bin Abi Talhah berkata bahawa Ibn 'Abbas memberikan komen berikut terhadap ayat Surah Al-An'am : 108 " Mereka ( golongan orang kafir ) berkata " Oh Muhammad kamu hendaklah berhenti menghina 'tuhan-tuhan"kami, jika tidak kami akan hina Tuhan kamu". Selepas itu Allah melarang orang-orang beriman daripada mencerca "tuhan-tuhan" orang-orang kafir."

Adalah jelas kedua-dua Khalid tersebut berpegang kepada ayat dalam Surah Al-An'am ( yang juga menurut Yusuf Al-Qardhawi dipanggil surah Tawhid tersebut. Apabila berpegang dengan Al-Quran manusia akan sentiasa benar meskipun seluruh dunia mengatakan mereka salah. Itulah ,saya yakin, keyakinan kedua-dua Khalid tersebut.

Jelas apa yang dilakukan oleh 50 orang yang berhimpun di hadapan Pejabat SUK Selangor pada 30 Ogos lalu dengan mengusung dan memijak kepala lembu adalah perbuatan yang tidak boleh dilihat menaikkan nama Islam jika dilihat dari mana-mana persepektif sekalipun. Malahan ia menampakan kejahilan dan buta dengan ajaran Al-Quran.

Perbuatan memijak kepala lembu membuka ruang sepenuhnya kepada penghinaan kepada Allah . Ia juga sekaligus membuka ruang kepada penghinaan kepada Islam itu sendiri.

Menghina "tuhan" orang lain, meskipun mungkin dianggap sebagai wira oleh sesetengah pihak, pada hakikatnya hanya membawa penghinaan kepada Allah.

Sebab itu Rasullullah s.a.w menyatakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa :

"Dilaknat mereka yang mencerca ibu-bapanya sendiri, para sahabat kemudiannya bertanya " bagaimanakah seseorang itu mencerca ibu bapanya sendiri Ya Rasulullah ?" Rasulullah s.a.w menjawab " Seseorang itu mencerca bapa orang lain dan orang tersebut ( yang bapanya dicerca) akan mencerca pula bapa dia ( orang yang mula-mula mencerca) dan seseorang itu mencerca ibu orang lain dan orang tersebut ( yang ibunya dicerca) akan mencerca pula ibu dia ( orang yang mula-mula mencerca".


Lihatlah betapa berkesannya ajaran Al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w bagi menawarkan penyelesaian kepada satu kekusutan.

Perkara kedua yang dipegang oleh kedua-dua Khalid ini adalah prinsip "huriyyatul adyan" ( kebebasan agama ) yang disanjung tinggi oleh Islam.

Sebelum PAS memerintah Kelantan isu kebebasan agama mungkin hanya diajar di dalam masjid dan surau-surau sahaja. Bagaimanapun apabila Kelantan diperintah oleh Tuan Guru, kebebasan agama mula dijelmakan ke alam realiti. Tuan Guru meniru dari Rasullulah s.a.w dan kedua-dua Khalid pula meniru dari apa yang ditiru oleh Tuan Guru tersebut.

Sejarah Islam sarat dengan kisah-kisah yang menunjukkan bagaimana pemerintah Islam menjamin kebebasan agama.

Di dalam tulisan yang ditulis oleh Ismail Raji Al-Faruqi bertajuk " the role of Islam in Global Inter-Religious Dependence" beliau menukilkan apa yang dinyatakan oleh Al-Kufi di dalam Shah-Namah seperti berikut

"Apabila Muhammad Ibn Qasim berjaya menembusi benua India pada tahun 91 hijrah ( 711 Masihi ) , orang-orang Islam berhadapan dengan agama baru yang mereka tidak pernah berjumpa sebelum itu iaitu gaman Buddhism dan Hinduism. Kedua-dua agama tersebut wujud di Sind dan Punjab iaitu kedua-dua wilayah yang dikuasai oleh Islam dan menyertai Negara Islam. Muhammad Ibn Al-Qasim telah mendapatkan arahan dari Khalifah di Damsyik tentang bagaimana nak dilakukan ke atas kedua-dua agama tersebut. Pengikut-pengikut agama tersebut menyembah berhala dan berpegang kepada agama yang jauh dari prinsip Islam. Khalifah telah memanggil Majlis Ulama dan meminta mereka memberikan pendapat mereka dalam isu tersebut. Akhirnya diputuskan bahawa selagi mana para pengganut Hindu dan Buddha tersebut tidak memerangi negara Islam dan membayar jizyah , mereka bebas sepenuhnya untuk menyembah "tuhan-tuhan" mereka mengikut kemahuan mereka dan mereka juga berhak menguruskan kuil-kuil mereka dan menentukan kehidupan mereka sepertimana yang agama mereka mahu." [ lihat m/s 89-90 buku Islam and Other Faiths terbitan The Islamic Foundation ]

Perkara ketiga yang dipegang oleh kedua-dua Khalid adalah prinsip "hiwar" ( dialog ) di dalam mencari penyelasaian sesuatu masalah. Rakyat negara ini dapat melihat bagaimana kedua-dua Khalid tersebut begitu berani berhadapan dengan mereka yang kasar dan biadap dalam menyatakan pendirian mereka.

Kebiadapan tidak dibalas dengan kebiadapan tetapi dengan ketenangan dan kematangan menjawab segala isu yang ditimbulkan. Kedua-kedua Khalid tersebut boleh sahaja memilih untuk tidak berdialog dan juga memilih untuk melawan kebiadapan dengan kebidapan tetapi mereka tidak memilih jalan mudah dan singkat.

Bagi kedua-kedua Khalid,apa yang mereka hadapai adalah secara relatifnya lebih kecil daripada apa yang Rasulullah s.a.w hadapi.

Rasulullah s.a.w pernah berhadapan dengan mereka yang lebih biadap dari itu. Rasullulah s.a.w berhadapan dengan Arab Badwi yang terkenal dengan sikap keras dan biadap mereka. Badwi yang datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di masjid menunjukkan kebidapannya dengan kencing di dalam kawasan Masjid . Para sahabat marah tetapi Rasullullah s.a.w tetap tenang dan meminta para sahabat membasuh kencing Badwi yang biadap itu.

Begitulah sikap kedua-dua Khalid tersebut . Mereka hanya anggap mereka yang kasar di Majlis Dialog bersejarah itu umpama Badwi yang kencing di Masjid Nabi - basuh kencing selesai masalah !!!

3 comments:

djambu puadovich said...

salam.
mcm mana nak padankan hurriyatul adyan dgn undang2 murtad?

saya pohon penjelasan tuan

Unknown said...

syabas kepada khalid samad dan khalid ibrahim.

Unknown said...

tuan tolong nasihatkan sdr khairuddin othman supaya bertindak bijak demi masa depan pas.

sejak di jadi su pas selangor saya sudah risau.adakah beliau akan terjerumus dgn hassan ali dan roslan.

nampak sdr khairuddin sudah pun termakan dan kalah hujah dgn mereka lalu terjerumus bersam mereka apabila mengeluarkan stat yg tidak cerdik,ask him to be like his father..