Tuesday, August 09, 2005

ISU AP- DEDAH DAH DAKWA BILA ?

Kini rakyat sudah mengetahui siapakah raja AP di Malaysia. Menurut senarai yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada petang 18hb Julai 2005 yang lalu terdapat empat orang iaitu Tan SriNasimuddin SM Amin, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim,Datuk Mohd. Haniff Abdul Aziz dan Datuk AzzuddinAhmad, yang telah diberikan lebih 25,000 permit import(AP) untuk mengimport kereta mewah pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, Syed Azman, Mohd. Haniff danAzzuddin menerima sejumlah 16,214 AP menerusi beberapa syarikat manakala Nasimuddin, pengarah urusan NazaMotor Group, memegang 9,412 AP kebanyakannya menerusi Naza Kia Sdn. Bhd.

Senarai meliputi 67,158 AP itu bagi tahun ini dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri ekoran timbulnya kontroversi mengenai pemberian AP. Adalah suatu yang agak aneh senarai penerima AP tersebut tidak dikeluarkan oleh MITI meskipun isu AP di bawah MITI.


Terdapat dua jenis AP iaitu AP terbuka dan AP francais. Bagi AP terbuka, pemegangnya dibenarkan mengimport kereta baru dan kereta terpakai dari mana-mana sumber tetapi pemberian AP ini dihentikan pada 1988 manakala AP francais pula diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai perjanjian agensi eksklusif dengan pengeluar kereta asing.

Antara penerima lain dalam bilangan besar ialah HyumalMotor Sdn Bhd yang dimiliki oleh Berjaya Group Bhd, Sime Darby Bhd dan Tan Sri Vincent Tan yang diperuntukan 8,573 AP bagi kereta Hyundai.

Isu AP itu menjadi hangat apabila bekas PerdanaMenteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemberiannyayang terlalu banyak telah menyebabkan berlakupersaingan tidak adil kepada kereta nasional, Proton.

Dr Mahathir merupakan penasihat kepada Proton. Katanya ramai pengimport membuat pengisytiharan harga yang rendah dan menjual kereta-kereta ini lebih murah daripada harganya yang sebenar.

Mahathir juga mempersoalkan bagaimana 20 syarikat diberikan sebahagian besar daripada 50,000 AP sedangkan matlamat kerajaan adalah untuk membantu sebanyak mungkin peniaga Bumiputera dengan mengagih-agihkan permit berkenaan.

Syarikat-syarikat milik Nasimuddin ialah Naza Kia Sdn,Next Car Sdn Bhd, NZ Wheel (M) Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhddan Naza Brabus, yang mengimport kereta-kereta sepertiKia, Mercedes Benz, Peugeot, Ferrari, Modena,Maserati, Rolls Royce, Bentley dan Brabus.

Syed Azman dan Mohd Haniff mengimport kereta mereka menerusi syarikat-syarikat seperti Westcar MotorsportSdn Bhd, Atlantic Star Auto Sdn Bhd, Auto Pacific StarSdn Bhd, Go Smartstar Sdn Bhd, Global World Trade SdnBhd dan Territorial Star Sdn Bhd. Seorang lagi pemilik saham di Weststar ialah Azzuddin. Syarikat mereka mengimport kereta-kereta seperti Honda, Ford,Chevrolet, Smart, Suzuki Audi.

Sebagai rakyat kita berterima kasih kepada Kerajaan kerana bersedia mendedahkan senarai penerima AP kepada umum. Bagaimanapun jika Kerajaan merasakan tugas mereka telah selesai dengan pendedahan senarai penerima AP ia adalah satu kesilapan yang besar.

Sebagai pembayar cukai, rakyat berhak untuk mengetahui sama ada pemberian AP tersebut benar-benar dibuat mengikut prosedur undang-undang. Isu AP ini membenarkan apa yang dikatakan oleh Lord Acton bahawa "power tends to ccorrupt; absolute power corrupts absolutely." Charles Raj di dalam artikelnya di Malaysian Business pula menyatakan bahawa isu AP ini lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan. Seratus peratus tepat .

Beberapa persoalan undang-undang boleh dibangkitkan di dalam isu pemberian AP ini yang antara lain adalah seperti di bawah ini :-

a. Mengapakah tidak terdapat pembahagian AP yang adil dan saksama kepada rakyat di negara ini ?

b. Mengapakah terdapat inidividu-individu tertentu seperti Tan Sri Nasimuddin SM Amin, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd. Haniff Abdul Aziz dan DatukAzzuddin Ahmad, telah diberikan lebih 25,000 permitimport (AP) untuk mengimport kereta mewah pada tahun ini dan apakah asas dan kriteria yang digunakan dalam pemberian AP tersebut ? Adakah unsur-unsur kronisme benar-benar bersih dalam pemberian AP kepada individu-individu ini ?

c. Mengapakah terdapat beberapa matan kakitangan MITI yang diberikan AP dan adakah pemberian tersebut benar-benar bersih daripada unsur-unsur salahguna kuasa ( malpractices ) dan rasuah ?

d. Mengapakah terdapat ahli kabinet seperti MenteriPelancongan Datuk Dr. Leo Michael Toyad yang memiliki15 peratus saham Mega Otomobil Sdn. Bhd. juga dikurniakan AP ? Bukankah ahli kabinet dilarang sama sekali menceburi bidang perniagaan ?

e. Mengapakah MITI menukar polisi isu pengeluaran APtahun lepas tanpa kebenaran ( approval ) daripadaKerajaan ? Isu ini telah dibangkitkan oleh PengerusiBackbencher ( BBC ) Dato' Shahrir Samad . Dato'Shahrir telah mempersoalkan tatacara yang digunapakai dalam pengeluaran AP. Menurut beliau bilangan AP pada asalnya berdasarkan 10 peratus pengeluaran kereta tetapi pada tahun 2004 ianya ditukar kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran kenderaan ( 10 percent of total vehicle production ) yang mana pertukaran polisi tersebut telah mengakibatkan terdapat peningkatan yang mendadak terhadap pengeluaran AP daripada 20,000 kepada 60,000 .

f. Mengapakah MITI secara mudah menukar polisi baru tanpa kebenaran Kerajaan dan mengapakah Kerajaan sendiri tidak membuat pemantauan terhadap perkara tersebut?Mengapakah Rafidah sebagai Menteri Kabinet tidak melaporkan pertukaran polisi dalam mesyurat kabinet yang diadakan setiap minggu ?

g. Mengapakah tokoh-tokoh melayu yang menerima AP tidak terlibat dengan mana-mana perniagaan penjualan kereta yang diimpot sedangkan banyak tokoh-tokoh pernigaan Cina yang tidak dikurniakan AP terlibat dalam menjual kereta import ?

Persoalan undang-undang di atas bagi saya perlu dijawab dan bagi menjawab persoalan -persoalan tersebut adalah penting bagi Badan Pencegah Rasuah (BPR ) mengambil sikap proakatif membuat siasatan secara terperinci tanpa gentar dan tanpa memihak . Kita tidak mahu pendedahan isu AP ini hanya gimik dan retorika politik semata-mata. Masa untuk bertindak PakLah bukan berlakon !!!

No comments: